Halusinasi merupakan sejenis pengalaman deria atau sensori yang kelihatan seolah olah benar tetapi hanya dicipta di dalam minda anda. Ia boleh terjadi kepada mana mana organ deria anda seperti mata, telinga, kulit, lidah dan hidung. Sebagai contohnya, anda mungkin mendengar sesuatu suara, tetapi bagi orang yang normal mereka tidak mendengari suara tersebut malah suara tersebut tidak mempunyai sumber.
Contoh lain adalah anda dapat melihat makhluk lain di dalam rumah anda, tetapi orang lain tidak dapat melihat perkara tersebut.
Dalam kebanyakan kes, simptom ini berpunca daripada masalah kesihatan mental, namun ia juga boleh terjadi disebabkan kesan sampingan ubat-ubatan ataupun penyakit perubatan lain seperti epilepsi, ketumbuhan dalam otak dan juga seringkali disebabkan oleh penggunaan bahan terlarang seperti dadah dan alkohol berlebihan.
Jenis jenis halusinasi
Seperti yang dijelaskan tadi, halusinasi boleh terjadi kepada mana mana deria sensori anda seperti deria penglihatan, deria pendengaran, deria rasa, deria bau ataupun deria sentuhan.
1. Halusinasi deria penglihatan
Halusinasi deria penglihatan menyebabkan anda melihat atau nampak perkara yang tidak wujud di alam nyata. Simptom tersebut mungkin terdiri daripada objek, corak visual, manusia ataupun cahaya.
Sebagai contohnya, anda mungkin melihat seseorang yang tidak wujud di alam nyata atau anda mungkin melihat kerdipan cahaya.
Terdapat juga halusinasi di mana anda dapat melihat objek di luar kawasan pandangan normal manusia seperti dapat melihat objek di belakang kepala.
2. Halusinasi deria bau
Halusinasi deria bau menyebabkan anda menghidu bauan yang tidak dapat dihidu oleh orang lain. Kebanyakan kes ini melibatkan menghidu bau yang busuk dan tidak menyenangkan. Anda juga boleh menghidu bau wangian seperti bau-bauan bunga.
3. Halusinasi deria rasa
Halusinasi deria rasa hampir serupa dengan halusinasi deria bau, tetapi ia melibatkan deria rasa anda iaitu lidah dan mulut. Anda mungkin merasa perkara tidak senang atau pelik. Ia kerap terjadi kepada mereka yang mengalami epilepsi dan keadaan ini dipanggil sebagai aura.
4. Halusinasi deria pendengaran
Halusinasi deria pendengaran merupakan jenis halusinasi yang sering dialami oleh mereka yang mengalami penyakit Skizofrenia. Anda mungkin mendengar seseorang bercakap dengan anda ataupun menyuruh anda melakukan sesuatu perkara. Anda juga boleh mendengar beberapa suara yang sedang bercakap tentang anda dan mengkritik perkara yang anda lakukan. Suara suara yang didengari boleh bercakap dalam nada marah ataupun neutral.
Antara halusinasi deria pendengaran yang lain ialah mendengar bunyian seperti seseorang berjalan di tingkat atas, ataupun bunyi ketukan.
5. Halusinasi deria sentuh
Halusinasi deria sentuh melibatkan anda rasa seperti seseorang menyentuh anda ataupun pergerakan dalam badan anda. Sebagai contohnya, anda mungkin merasa seperti ada serangga yang sedang berjalan di bawah kulit anda ataupun merasa seperti isi perut anda ditarik atau dipulas. Anda juga merasa seperti ada seseorang yang memegang badan anda.
Punca Halusinasi
Masalah ini boleh berpunca daripada beberapa perkara. Antaranya ialah:
1. Masalah kesihatan mental
Masalah kesihatan mental merupakan antara punca utama anda mengalami masalah ini. Penyakit seperti skizofrenia, dementia, delirium dan penyakit psikosis yang lain boleh menyebabkan halusinasi. Dalam penyakit skizofrenia, halusinasi deria pendengaran adalah yang paling kerap terjadi dimana pesakit mendengar suara yang bercakap dengan mereka, suara yang bercakap tentang mereka dan suara yang mengkritik kelakuan mereka.
2. Penggunaan bahan terlarang
Penggunaan bahan terlarang juga sering menjadi punca anda berhalusinasi. Sesetengah orang mengalami simptom ini apabila mereka minum alkohol secara berlebihan ataupun penggunaan dadah seperti kokain. Terdapat juga dadah jenis halusinogen yang menyebabkan anda berhalusinasi seperti LSD dan PCP.
3. Kurang tidur
Tidur yang tidak cukup boleh menyebabkan simptom ini. Jika anda tidak tidur selama beberapa hari ataupun tidak mendapatkan tidur yang cukup dalam tempoh yang lama, anda juga boleh mengalami masalah ini. Halusinasi hipnagogik dialami apabila anda mengalami simptom sejurus sebelum anda tidur. Halusinasi hipnopompik pula dialami sebelum anda bangun dari tidur.
4. Ubatan
Terdapat beberapa ubatan yang boleh menyebabkan simptom ini. Ubatan untuk penyakit Parkinsons, depresi, psikosis dan epilepsi boleh mencetuskan masalah ini.
5. Keadaan lain lain seperti:
Terdapat beberapa keadaan lain yang menyebabkan masalah ini. Ia adalah:
- Demam panas
- Migrain
- Sawan
- Ketumbuhan dalam otak
- Jangkitan kronik seperti HIV/AIDS
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Ujian Pemeriksaan
Doktor akan bertanyakan kepada anda tentang simptom anda dan pemeriksaan fizikal dan mental. Selain itu, anda mungkin juga memerlukan beberapa ujian lain seperti:
- Ujian darah
- Ujian air kencing bagi mengesan penggunaan bahan terlarang
- Ujian pengimejan seperti CT scan otak
Rawatan
Setelah mengetahui puncanya, anda akan dirawat bergantung kepada punca.
1. Ubatan
Anda mungkin diberi ubatan bagi mengawal simptom anda. Jika anda didapati mengalami penyakit mental seperti skizofrenia dan psikosis, ubatan yang diberi adalah ubat anti psikotik seperti Olanzapine, Risperidone ataupun Haloperidol.
Jika halusinasi anda berpunca daripada penggunaan dadah, anda mungkin diberi ubat yang melawan kesan dadah tersebut seperti penggunaan ubat Naloxone bagi opioid.
2. Kaunseling
Selain dari ubatan, rawatan anda juga terdiri daripada kaunseling terutamanya dalam kes penyakit mental. Kaunseling terdapat dalam pelbagai bentuk seperti kaunseling individu, kaunseling berkumpulan dan kaunseling keluarga.
Rujukan:
- American Psychiatric Association. (2013). Diagnostic and statistical manual of mental disorders (5th ed.). Arlington, VA: American Psychiatric Publishing.
- Barnes J, et al. (2000). Visual hallucinations in Parkinson’s disease: A review and phenomenological survey – British Medical Journal
- Daroff RB, et al. (2016). Bradley’s neurology in clinical practice (7th ed.). New York, NY: Elsevier.