Skip to content

Hidung Berdarah (Epistaxis): Punca dan Cara Rawatan

Apakah punca kepada masalah hidung berdarah? Artikel ini akan membincangkan secara lengkap dan panduan bagi mereka yang mengalami masalah hidung berdarah.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Struktur Hidung
  3. Bagaimana Hidung Berdarah Berlaku?
  4. Punca Hidung Berdarah
  5. Kesudahan
  6. Komplikasi
  7. Penyakit yang Berkaitan
  8. Ujian Pemeriksaaan
  9. Rawatan Hidung Berdarah
  10. Pencegahan

Tetapi perkara ini selalu berlaku di dalam masyarakat hingga menyebabkan kebanyakan individu menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak serius

Istilah Perubatan:

Epistaxis: Pendarahan dalam hidung
Plexus: Jaringan saluran darah
Nasal packing: Rawatan hidung berdarah dengan cara memasukkan satu kain khas ke dalam lubang hidung
Prognosis: Kesudahan pesakit yang mengalami masalah tersebut
Patofisiologi: Bagaimana penyakit itu berlaku

Pengenalan




Hidung berdarah atau dalam istilah perubatannya epistaxis merupakan keadaan yang berlaku disebabkan pecahnya saluran darah dibahagian hidung.

Keadaan ini selalunya tidak serius dan pendarahan tersebut akan berhenti dengan sendirinya. Tetapi ia mungkin akan mendatangkan kerisauan terutamanya dikalangan ibubapa.

Epistaxis boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu pendarahan di bahagian hadapan dan pendarahan dibahagian belakang.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Struktur Hidung


Hidung adalah bahagian badan yang kaya dengan saluran darah. Ianya mendapat bekalan darah daripada karotid arteri dalam(internal karotid artery) dan luar(external carotid artery).

struktur-hidung berdarah

Pendarahan hidung bahagian hadapan



Dibahagian hadapan hidung, terdapat satu jaringan salur darah yang banyak dan ia dikenali sebagai Kiesselbach plexus. Ia terletak di dinding bahagian tengah yang membahagikan dua lubang hidung. Kiesselbach plexus merupakan tempat yang selalu berlaku pendarahan kerana lapisan kulit luarnya yang sangat nipis.

Epistaxis yang berlaku dibahagian ini dikategorikan sebagai pendarahan di bahagian hadapan dan ia melibatkan pendarahan di sebelah lubang hidung sahaja

Pendarahan hidung bahagian belakang

Di belakang bahagian hidung juga terdapat satu jaringan saluran darah yang dikenali sebagai Woodruff plexus. Ia berada dibelakang turbin hidung yang terakhir. Pendarahan pada bahagian ini selalunya melibatkan pendarahan pada kedua-dua belah hidung dan ianya lebih serius.

Bagaimana hidung berdarah berlaku?


Pendarahan hidung selalunya berlaku apabila lapisan mukosa yang melapisi jaringan saluran darah(plexus) terhakis dan menyebabkan salur darah tersebut pecah

Lebih daripada 90% pendarahan hidung berlaku pada bahagian hadapan hidung. Dimana ia melibatkan Kiesselbach plexus. Pendarahan pendarahan bahagian ini selalunya melibatkan sebelah bahagian hidung sahaja dan mudah untuk diberhentikan.

Manakala 10% daripada pendarahan hidung berlaku pada bahagian belakang hidung. Pendarahan pada bahagian ini selalunya lebih banyak dan lebih berbahaya. Jika pendarahan tersebut teruk, ia boleh menyebabkan saluran pernafasan tersumbah, pesakit tersedut darah ke dalam paru-paru dan pendarahan tersebut lebih susah untuk dikawal

Periksa Simptom anda Di Sini



Punca Hidung Berdarah


Penyebab hidung berdarah boleh dibahagikan kepada beberapa perkara

1. Trauma

Trauma dibahagian dalam hidung boleh disebabkan seseorang itu suka mengorek hidungnya yang menyebabkan pembentukan ulser serta pendarahan. Senario ini selalunya berlaku pada kanak-kanak.

Trauma seperti ditumbuk dibahagian hidung juga boleh menyebabkan pendarahan dibahagian tersebut. Jika ia melibatkan trauma yang teruk, ia mungkin menyebabkan pendarahan yang tidak terkawal dan memerlukan rawatan ‘nasal packing’ dimana satu kain yang khas akan dimasukkan ke dalam hidung untuk memberhentikan pendarahan dikawasan tersebut

2. Udara yang kering

Kawasan yang mempunyai kelembapan yang rendah boleh menyebabkan iritasi pada lapisan dalam hidung. Ini akan menyebabkan lapisan mukosa serta saluran darah mudah untuk pecah dan menyebabkan pendarahan.

Penggunaan mesin untuk melembabkan udara di dalam rumah boleh membantu dalam menghadapi masalah tersebut

3. Radang



Jangkitan kuman seperti virus dan bakteria yang menyebabkan selesema boleh menyebabkan saluran darah dikawasan tersebut mengembang dan pecah.

Begitu juga mereka yang mempunyai masalah resdung(allergic rhinitis). Ia juga akan menyebabkan saluran darah dibahagian tersebut senang untuk pecah

4. Tumor

Ketumbuhan dalam hidung boleh menyebabkan hidung berdarah. Pesakit selalunya akan mengadu sumbat pada salah satu bahagian hidung. Kadang-kadang terdapat pesakit yang mempunyai angiofibroma

5. Tekanan darah tinggi

Jarang bagi mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi boleh menyebabkan pecahnya saluran darah dibahagian hidung. Tetapi ia boleh berlaku

Prognosis(Kesudahan)


Bagi masyarakat, hidung berdarah adalah sesuatu yang tidak merisaukan. Tetapi kadang-kadang ia boleh mengancam nyawa, terutamanya jika ia berlaku pada mereka yang sudah berumur ataupun mempunyai penyakit kronik yang lain.

Kematian disebabkan hidung berdarah adalah sangat jarang berlaku. Itupun jika ia melibatkan pendarahan hidung yang sangat teruk. Oleh itu, secara keseluruhan prognosis untuk masalah ini adalah sangat bagus.



Komplikasi 


Majoriti daripada pesakit tidak mengalami sebarang komplikasi jika menghadapi masalah ini. Komplikasi hanya berlaku jika keadaan darah hidung tersebut terlalu teruk. Beberapa komplikasi yang boleh dihadapi oleh pesakit ini adalah

  • Jangkitan kuman sinus(Sinusitis)
  • Septal hematoma
  • Tersedak darah

Penyakit Lain yang Berkaitan


Beberapa diagnosa lain yang mempunyai simptom yang sama adalah:

  • Keracunan dadah kokain
  • Disseminated Intravascular coagulopathy(Kecelaruan dalam pembekuan darah yang berlaku pada seluruh badan)
  • Objek asing di dalam hidung
  • Hemophilia
  • Penyakit von Willebrand disease

Ujian Pemeriksaan


Selalunya pesakit yang mempunyai pendarahan sekali ataupun tidak selalu tidak memerlukan sebarang penyiasatan. Pengambilan sampel darah hanya diperlukan pada pesakit yang selalu mengalami masalah tersebut

Beberapa jenis bacaan boleh diketahui dengan pengambilan sampel darah:

  • Jumlah platlet dalam darah: Platlet digunakan untuk pembekuan darah. Jika jumlahnya terlampau rendah ia boleh menyebabkan pendarahan yang berlaku secara tiba-tiba
  • Bacaan pembekuan darah seperti ‘Internatinal normalized ratio'(INR), Masa prothrombin dan masa thromboplastin. Kesemua bacaan ini akan menunjukkan bahawa pesakit mempunyai masalah dalam pembekuan darah ataupun tidak

Doktor juga akan melihat dalam lubang hidung  untuk mengesan punca pendarahan tersebut sama ada ia disebabkan pendarahan pada kawasan kiesselbach plexus ataupun disebabkan perkara lain seperti ketumbuhan dan sebagainya.

Rawatan Hidung Berdarah


Kebanyakkan masalah hidung berdarah tidak memerlukan apa-apa jenis rawatan kerana ia akan berhenti dengan sendiri. Apabila rawatan epistaxis diperlukan, bermaksud masalah tersebut selalu berlaku ataupun pesakit mungkin mengalami pendarahan yang teruk.

Rawatan untuk menghentikan pendarahan tersebut dimulakan dengan:

1. Menghentikan pendarahan tersebut secara manual



Tekanan pada hidung dengan cara memicit hidung adalah salah satu cara yang efektif. Pesakit boleh menekan hidung tersebut selama 5 hingga ke 10 minit.

Pesakit tidak boleh mendongakkan kepala kerana darah boleh masuk ke bahagian tekak dan menutupi saluran pernafasan.

2. Guna Ais

Perkara lain yang boleh digunakan adalah ais. Bungkusan ais boleh diletakkan pada hidung untuk menghentikan pendarahan tersebut. Ini kerana suhu yang sejuk akan menyebabkan saluran darah mengecut lalu membuatkan pendarahan berhenti

3. ‘Nasal packing’

Rawatan jenis ini boleh dilakukan jika cara di atas tidak mampu memberhentikan pendarahan tersebut. Satu kain yang dibasahkan dengan ubat epinephrine akan dimasukkan ke dalam lubang hidung bergantung kepada lokasi pendarahan.

Ubat epinephrine berfungsi untuk mengecilkan saluran darah supaya pendarahan pada bahagian tersebut dapat diberhentikan

4. Cauterization(Pelecuran/Pembakaran pada saluran darah)



Jika cara di atas tidak boleh memberhentikan pendarahan, penggunaan alat untuk membakar saluran darah yang terlibat dikatakan boleh memberhentikan pendarahan yang berlaku

Pencegahan


Beberapa perkara boleh dilakukan oleh pesakit untuk mengelakkan hidung berdarah terutamanya mereka yang selalu mempunyai masalah tersebut:

  • Guna spray pada hidung. Terutamanya ketika cuaca sejuk dan kering
  • Elakkan daripada menghembus hidung ataupun bersin secara kuat
  • Bersin menggunakan mulut yang terbuka
  • Jangan korek hidung
  • Kurangkan atau elakkan makanan yang pedas kerana ia boleh menyebabkan iritasi pada lapisan hidung

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Traboulsi H, Alam E, Hadi U. Changing Trends in the Management of Epistaxis. Int J Otolaryngol. 2015. 2015:263987.
  2. Abelson TI. Epistaxis. Schaefer SD. Rhinology and Sinus Disease 1st ed. New York: Mosby; 1998. 43-50.
  3. Douglas R, Wormald PJ. Update on epistaxis. Curr Opin Otolaryngol Head Neck Surg. 2007 Jun. 15(3):180-3.
  4. Cummings CW. Epistaxis. Cummings. Otolaryngology: Head and Neck Surgery. 4th ed. Philadelphia, Pa: Elsevier, Mosby; 2005. Chap 40.
  5. Padgham N. Epistaxis: anatomical and clinical correlates. J Laryngol Otol. 1990 Apr. 104(4):308-11.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × two =