Skip to content

Injap Jantung Bocor: Simptom, Punca & Rawatan

Apakah punca kepada masalah injap jantung bocor? Artikel ini akan membincangkan simptom, punca dan rawatan kepada masalah jantung ini.

Pengenalan

Tahukah anda, jantung kita bekerja seperti sebuah enjin. Terdapat 4 ruang jantung dengan 4 injap yang bertanggungjawab untuk mengepam darah ke paru – paru dan ke seluruh badan. Fungsi otot jantung di keempat – empat ruang jantung ini adalah untuk mengecut lalu menghasilkan kuasa pengepaman untuk mengalirkan setiap titis darah dalam badan kita. Manakala, struktur yang memastikan aliran darah tersebut berlaku secara berirama adalah melalui injap yang memastikan darah mengalir dengan setiap denyutan nadi kita. 

Apa akan berlaku sekiranya injap – injap yang membahagikan ruang atas dan ruang bawah badan kita tidak efisien dan longgar? Inilah yang kita panggil sebagai keadaan di mana injap jantung bocor. Injap jantung bocor boleh terjadi di bahagian kanan iaitu injap trikuspid ataupun injap mitral di sebelah kiri. Kedua – dua injap ini akan mengumpulkan darah secukupnya sebelum darah tersebut dipam ke paru – paru atau ke seluruh badan. 

Punca



Kebocoran injap trikuspid ialah sejenis penyakit injap jantung di mana injap antara dua ruang jantung kanan (ventrikel kanan dan atrium kanan) tidak tertutup dengan betul. Akibatnya, darah bocor ke belakang ke ruang atas sebelah kanan (atrium kanan).

Seseorang mungkin dilahirkan dengan kebocoran injap trikuspid (kecacatan kongenital yang muncul sejak lahir). Kadangkala, kebocoran injap trikuspid berpunca daripada masalah injap yang disebabkan oleh keadaan kesihatan yang lain.

Injap trikuspid bocor menyebabkan darah mengalir semula ke atrium kanan (Diambil dari Cleveland Clinic)

Kebocoran injap tricuspid boleh disebabkan oleh:

  1. Kecacatan jantung hadir semasa lahir (kecacatan jantung kongenital): Kecacatan jantung kongenital boleh menjejaskan struktur dan fungsi injap trikuspid. Regurgitasi injap tricuspid pada kanak-kanak biasanya disebabkan oleh kecacatan jantung kongenital yang jarang terjadi, yang juga dipanggil sebagai anomali Ebstein. Dalam keadaan ini, injap trikuspid cacat dan kedudukannya terletak lebih rendah daripada lokasi biasa di ventrikel kanan.
  2. Genetik. Sindrom Marfan ialah gangguan pada tisu penghubung yang kadangkala menyebabkan dengan regurgitasi injap trikuspid.
  3. Demam reumatik: Demam yang disebabkan oleh jangkitan Streptococcus ini, antara komplikasinya adalah sakit tekak yang tidak dirawat, lalu boleh menjangkiti serta merosakkan injap trikuspid dan injap jantung lain, mengakibatkan kebocoran injap di kemudian hari.
  4. Jangkitan pada lapisan jantung (jangkitan keradangan lapisan jantung atau endokarditis): Jangkitan pada lapisan jantung juga boleh merosakkan injap trikuspid.

Dalam kebocoran injap mitral pula, berlakunya ketidaklancaran pengaliran darah diantara ruang jantung di sebelah kanan. Lebih berbahaya kerana bahagian ini bertanggungjawab untuk mengepam darah ke seluruh badan.



Kebocoran injap mitral di bahagian jantung berwarna merah (diambil dari MayoClinic)

Manakala, kebocoran injap mitral pula boleh disebabkan oleh :

  1. Demam rheumatik: Demam rheumatik adalah komplikasi sakit tekak yang tidak dirawat. Demam reumatik boleh merosakkan injap mitral, yang membawa kepada kebocoran injap mitral. 
  2. Serangan jantung: Serangan jantung boleh merosakkan kawasan otot jantung yang menyokong injap mitral. Jika kerosakan serangan jantung melibatkan jantung di kawasan berdekatan injap mitral, kejadian itu boleh menyebabkan kebocoran injap mitral secara tiba-tiba. Injap mitral bocor yang disebabkan oleh serangan jantung dipanggil kebocoran injap mitral iskemia. Iskemia secara mudahnya adalah kematian sel disebabkan kekurangan bekalan oksigen ke sel tersebut.
  3. Masalah jantung hadir semasa lahir (kecacatan jantung kongenital): Sesetengah orang dilahirkan dengan masalah struktur jantung, termasuk injap jantung yang rosak.
  4. Endokarditis: Injap mitral mungkin rosak akibat jangkitan pada lapisan jantung (endokarditis) yang boleh melibatkan injap mitral di jantung.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Risiko

Anda lebih berkemungkinan mengalami regurgitasi injap mitral jika anda:

  • Tidak mendapatkan rawatan awal setelah dijangkiti penyakit jangkitan kuman streptococcus, lalu  menghidapi penyakit jantung reumatik.
  • Penggunaan ubat atau dadah secara intravenous. Ini meningkatkan risiko jangkitan injap jantung.
  • Beberapa faktor risiko yang anda tidak boleh ubah. Sebagai contoh, beberapa keadaan yang boleh menyebabkan regurgitasi injap mitral adalah sebahagiannya genetik.
  • Umur tua
  • Sakit jantung
  • Rawatan radiasi di kawasan jantung atau dada.

Simptom

Simptom – simptom yang boleh dialami oleh orang yang mempunyai kebocoran injap jantung  termasuklah:

  1. Sesak nafas apabila membuat kerja (Exertional dyspnoea)
  2. Sesak nafas apabila baring (Memerlukan bantal untuk baring dengan selesa)
  3. Keletihan
  4. Kurang daya tahan atau keupayaan untuk bersenam
  5. Menyedari dengan jelas setiap kali jantung berdenyut
  6. Berdebar-debar
  7. Bengkak di kaki, perut, dan urat di leher anda
  8. Sakit dada 

Regurgitasi injap mitral yang berlaku dalam masa singkat adalah lebih teruk dan merupakan  satu kecemasan perubatan. Ia boleh menyebabkan gejala serius seperti:

  1. Gejala seperti dalam kejutan (shock) termasuklah kulit pucat, pengsan, atau  pernafasan yang cepat
  2. Sesak nafas yang teruk
  3. Irama jantung yang tidak normal lalu menyebabkan jantung tidak dapat mengepam dengan baik

Kebanyakan orang yang mengalami kebocoran injap secara kronik tidak menyedari sebarang gejala untuk masa yang lama. Orang yang mengalami kebocoran injap yang tidak teruk –  ringan atau sederhana, selalunya tidak mempunyai sebarang gejala. Jika kebocoran  menjadi lebih teruk, gejala mungkin bermula. Gejala ini mungkin memberi kesan yang teruk kepada pesakit dan berlaku lebih kerap dari semasa ke semasa. 

Pemeriksaan dan Ujian

Kebanyakan pesakit kebocoran injap tidak akan menunjukkan simptom, maka penyakit ini mungkin dijumpai secara tidak sengaja iaitu ketika doktor sedang memeriksa pesakit yang datang ke klinik atau hospital untuk penyakit lain. Sekiranya doktor anda mengesan simptom-simptom injap bocor, maka pemeriksaan yang biasanya dilakukan adalah seperti berikut:

  1. Ekokardiogram untuk menilai kebocoran yang berlaku melalui gelombang bunyi.
  2. Ekokardiogram tekanan untuk menilai daya ketahanan pesakit ketika bersenam
  3. Elektrokardiogram (ECG) untuk menilai irama jantung yang mungkin terkesan akibat ketidakstabilan sistem pengepaman jantung.
  4. MRI jantung – Penggunaan daya magnetik untuk menghasilkan gambaran struktur jantung dengan lebih spesifik.
  5. Kateterisasi jantung – Tiub nipis (kateter) dimasukkan melalui saluran darah di lengan atau pangkal paha ke arteri di jantung dan pewarna disuntik melalui kateter. Ini menjadikan arteri di dalam ruang jantung kelihatan lebih jelas pada X-ray.

Rawatan

Antara jenis-jenis rawatan yang ditawarkan untuk pesakit yang mempunyai kebocoran injap termasuklah:



1. Mengambil ubat.

Ubat-ubat tertentu yang diberikan doktor boleh membantu mengurangkan simptom-simptom injap bocor. Walaubagaimanapun, ia tidak mampu merawat secara terus injap yang rosak kerana ubat-ubatan digunakan untuk mengawal gejala sahaja.

2. Pembedahan.

Terdapat dua jenis pembedahan yang boleh dilakukan seperti:

  • Pembedahan untuk membaiki injap
  • Pembedahan untuk menggantikan injap rosak

3. Melalui kateter.

Pesakit yang berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi semasa pembedahan akan menggunakan prosedur kateter kerana ia kurang invasif. Prosedur ini dilakukan dengan menghantar alat membaiki injap melalui saluran darah pada pangkal paha dan dipandu sehingga ke jantung. Antara cara lain yang boleh dilakukan termasuklah menghantar injap melalui dada kiri.

Tempoh pemulihan daripada pembedahan adalah bergantung kepada prosedur yang dijalankan.

Sekiranya melakukan pembedahan, pesakit kebiasaannya akan tinggal di hospital selama beberapa hari dan tempoh masa untuk pulih mengambil masa beberapa minggu. Bagi prosedur berasaskan kateter pula, kebanyakan pesakit boleh balik ke rumah pada hari yang sama atau keesokan harinya dan boleh kembali melakukan aktivit seperti biasa dalam jangka masa yang lebih pendek.



Komplikasi dan Prognosis

Komplikasi yang berpotensi untuk kebocoran injap tricuspid dan mitral termasuklah :

  1. Pemfibrilan atrium (A-fib). Sesetengah orang yang mengalami kebocoran injap trikuspid dan mitral yang teruk juga mungkin mengalami Pemfibrilan atrium, iaitu gangguan irama jantung yang biasa.
  2. Kegagalan jantung. Kebocoran injap trikuspid atau mitral yang teruk boleh menyebabkan tekanan meningkat di ruang bawah kanan (ventrikel). Ventrikel kanan boleh mengembang dan menjadi lemah dari semasa ke semasa, mengakibatkan  kegagalan jantung.

Sebaik mana prognosis seseorang itu selepas didiagnosis dengan kebocoran injap mitral dan trikuspid adalah berbeza-beza. Prognosis kebocoran injap jantung bergantung kepada:

  1. Punca kebocoran injap 
  2. Tahap kebocoran injap jantung
  3. Keterukan kebocoran (pengaliran darah semula ke ruang jantung yang sebelumnya)
  4. Berapa lama pesakit menghidapi kebocoran injap jantung (tempoh)
  5. Kira-kira satu daripada 10 orang yang mengalami kebocoran injap mitral dan trikuspid kronik akibat pelbagai punca – punca yang disenaraikan memerlukan pembedahan untuk membaiki atau menggantikan injap jantung.

Rujukan:

  1. Arsalan, Mani; Walther, Thomas; Smith, Robert L.; Grayburn, Paul A. (2015-09-10). “Tricuspid regurgitation diagnosis and treatment”. European Heart Journal: ehv487.
  2.  Singh, Jagmeet P; Evans, Jane C; Levy, Daniel; Larson, Martin G; Freed, Lisa A; Fuller, Deborah L; Lehman, Birgitta; Benjamin, Emelia J (1999-03-15). “Prevalence and clinical determinants of mitral, tricuspid, and aortic regurgitation (the Framingham Heart Study)”. The American Journal of Cardiology. 83 (6): 897–902.
  3.  Gjerdalen, G. F.; Hisdal, J.; Solberg, E. E.; Andersen, T. E.; Radunovic, Z.; Steine, K. (December 2015). “Atrial Size and Function in Athletes”. International Journal of Sports Medicine. 36 (14): 1170–1176.
  4. Valve Regurgitation. Cedars.
  5. Etisas :: Portal maya Istilah Sains . UKM
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fourteen − 7 =