Skip to content

Monkey Pox: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada penyakit Monkey Pox (Cacar Monyet)? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah monkey pox ini.

Pengenalan

Cacar Monyet adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Monkeypox. Ia adalah satu penyakit yang pertama kalinya ditemui pada tahun 1958, namun telah mula tersebar ke 12 buah negara pada tahun 2022. Penyakit ini dipanggil Cacar Monyet kerana simptom penyakit ini didapati menyerupai wabak penyakit yang menyerang sekelompok koloni monyet yang sedang dikaji. 

Virus ini mampu menjangkiti orang lain apabila seseorang itu dengan mudah terutamanya apabila mereka tidak mempunyai sistem imuniti yang kuat dan bersentuhan dengan haiwan atau manusia yang dijangkiti, atau objek yang terdapat virus tersebut.



Melalui nama penyakit ini sendiri, masyarakat boleh terkeliru dengan satu lagi penyakit yang dipanggil Cacar Air (Chicken Pox). Cacar Air adalah disebabkan oleh Virus Varicella Zoster, manakala Cacar Monyet pula dsebabkan oleh virus Monkeypox. Walaupun kedua – dua penyakit ini menyebabkan ruam, bahagian badan yang terkesan dengan ruam akibat jangkitan Cacar Air lebih tertumpu kepada bahagian tertentu pada badan, berbeza dengan Cacar Monyet yang menyebabkan ruam di seluruh bahagian badan.

Cacar Monyet berlaku dalam dua fasa iaitu Fasa 1 apabila virus menceroboh badan dan Fasa 2 apabila perubahan kulit berlaku dengan muncul dan pulihnya ruam di badan.

Punca Cacar Monyet

Punca Cacar Monyet adalah disebabkan jangkitan Monkeypox. Virus ini tergolong dalam genus Orthopoxvirus dalam famili Poxviridae. Penyakit ini boleh dibawa dan dihidap oleh bukan sahaja manusia, namun juga haiwan – haiwan yang dijangkiti, selalunya terdiri daripada tikus, tupai, tikus serta monyet.

Virus ini boleh tersebar dengan beberapa cara, samada secara langsung atau tidak langsung. Penyebaran virus secara langsung berlaku apabila ada sentuhan melalui cecair badan atau kudis pada orang yang dijangkiti. Secara tidak langsung pula, apabila terdapat sentuhan dengan objek yang tercemar dengan virus tersebut. 

Golongan yang berada dalam risiko tinggi untuk dijangkiti termasuklah yang mempunya faktor risiko seperti dibawah ;

  1. Faktor umur iaitu golongan yang berumur bawah daripada 15 tahun
  2. Golongan yang melakukan hubungan seksual antara sama jantina (MSM).
  3. Golongan yang mempunyai sistem imuniti yang lemah termasuklah golongan warga emas, golongan yang menghidapi penyakit HIV, Leukemia dan pesakit yang sedang menjalani rawatan steroid. 
  4. Wanita hamil.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom dan Tanda Cacar Monyet



Setelah dijangkiti oleh virus Monkeypox, masa yang diambil untuk seseorang itu untuk menunjukkan simptom adalah dalam 1 hingga 2 minggu.

Fasa pertama jangkitan dapat dikenalpasti apabila tanda – tanda awal seperti demam, bengkak di kelenjar limfa, sakit kepala, sakit badan di bahagian belakang dan otot, serta rasa lemah dan tidak bertenaga. Ciri – ciri unik yang terdapat pada penyakit Cacar Monyet termasuklah bengkak kelenjar limfa yang boleh terjadi pada peringkat awal jangkitan.

Gambar 1 ; Ruam yang membengkak ketika dalam fasa kedua cacar monyet (WHO)

Fasa kedua adalah apabila terdapat perubahan kulit seperti ruam yang muncul di kawasan muka, tapak tangan serta tapak kaki. Namun, ruam ini boleh terjadi di bahagian lain. Mulanya, ruam ini dapat dilihat seperti kesan kemerahan yang rata, namun berubah menjadi lebam dan terdapat nanah didalamnya. Ruam ini akan menjadi kerak dan kering dengan sendirinya dan kemudian jatuh. 

Bagaimana penyakit ini menjangkiti orang lain?

Virus cacar monyet ini tersebar melalui manusia, haiwan serta objek lain yang dicemari virus tersebut. Selain daripada sentuhan langsung dan tidak langsung, virus cacar monyet ini dapat juga disebarkan oleh haiwan yang dijangkiti apabila haiwan tersebut mengigit atau mencakar seseorang. Virus ini juga dapat disebarkan oleh ibu yang hamil kepada janinnya melalui urinya.  

Sesudahnya virus ini menjangkiti seseorang, masa inkubasi iaitu tempoh yang diambil untuk virus tersebut untuk menggandakan jumlahnya untuk mencapai tahap yang cukup untuk menghasilkan simptom adalah dalam sekitar 6 hingga 21 hari, bergantung kepada individu tersebut.

Apabila virus cacar monyet tersebut telah menyebabkan simptom – simptom kepada tuan badan, ia boleh bertahan dari 2 hingga 4 minggu. Selalunya, penyakit ini tidak menyebabkan kesan yang teruk kepada seseorang, namun menurut World Health Organization (WHO), sekitar 3 – 6 % daripada kes cacar monyet mengakibatkan impak kesihatan yang teruk dan boleh menyebabkan kematian. Oleh itu, adalah penting untuk berjumpa dengan doktor secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan.

Komplikasi

Kesan daripada penyakit cacar monyet ini, komplikasi yang boleh berlaku semasa jangkitan cacar monyet ini termasuklah ;



  1. Sepsis (Keadaan yang mengancam nyawa apabila reaksi badan manusia terhadap sesuatu jangkitan itu menyebabkan kerosakan tisu dan organ)
  2. Bronkopneumonia (Radang paru – paru serta kesannya yang menyebabkan kesukaran untuk badan menjalankan proses pernafasan)
  3. Radang otak
  4. Kesan penglihatan melalui jangkitan kornea
  5. Kematian terutamanya dalam kalangan kanak – kanak.

Ujian Pengesahan

Bermula dengan sejarah perubatan yang lengkap berserta ujian fizikal seluruh badan yang lengkap, pemeriksaan klinikal dan fizikal selalunya mencukupi untuk seorang pegawai berubatan yang mahir untuk mengenalpasti penyakit cacar monyet. Namun, beberapa ujian makmal perlu dilakukan bagi mengecualikan beberapa penyakit lain yang mempunyai simptom yang serupa dengan penyakit cacar monyet.

Ujian makmal

Serologi dan teknik pengesanan antigen untuk mengenalpasti penyakit cacar monyet telah dikaji dan menurut WHO, ujian ini adalah tidak spesifik kepada cacar monyet. Oleh itu, ujian yang digalakkan adalah dengan melakukan Polymerase Chain Reaction (PCR) kerana ketepatan dan sensitiviti ujian ini. Untuk melakukan ujian ini, sampel kulit atau biopsi kulit boleh diambil untuk menguji virus. 

Dengan kemahiran mengambil sejarah penyakit dan ujian fizikal berserta makmal yang dihantar, pegawai perubatan dapat mengenalpasti dengan tepat penyakit ini dan memastikan pesakit yang dijangkiti untuk mengasingkan diri daripada menjangkiti orang lain.

Diagnosa-diagnosa lain

Oleh kerana bengkak kelenjar limfa antara simptom yang dapat membezakan penyakit cacar monyet dengan penyakit lain, perlu diketahui bahawa simptom – simptom yang lain boleh juga disebabkan oleh penyakit lain seperti ;

  1. Cacar Air 
  2. Demam Campak
  3. Kudis
  4. Sifilis
  5. Alergi terhadap sebarang ubat yang pesakit tidak sedar
  6. Impetigo

Rawatan

Rawatan untuk penyakit cacar monyet adalah bertumpu untuk mengurangkan kesakitan daripada simptom, mengawal komplikasi, dan mengelakkan kesan jangka masa panjang. 

Oleh itu, rawatan sokongan bertumpu kepada memastikan pesakit supaya menerima air dan makanan yang secukupnya untuk memastikan status nutrisi sentiasa mencukupi. 

Pencegahan dan Vaksinasi

Vaksin untuk cacar monyet telahpun di cipta dan digunakan di negara – negara maju seperti United Kingdom, namun tidak terdapat di Malaysia. Namun begitu, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk mencegah penyakit ini. Pencegahan Cacar Monyet meliputi ;



  1. Menghindari daripada menyentuh haiwan yang berpotensi untuk menjadi pembawa virus terutamanya haiwan yang sakit atau sudah mati
  2. Menghidari objek dan bahan yang telah disentuh oleh haiwan yang sakit atau sudah mati
  3. Mengasingkan diri apabila simptom – simptom yang disenaraikan mula muncul
  4. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan cermat dan mengikuti setiap langkah apabila mencuci tangan.

Rujukan ;

  1. Monkeypox (2022) World Health Organization. World Health Organization.
  2. Monkeypox (2022) Centers for Disease Control and Prevention. Centers for Disease Control and Prevention.
  3. Multi-country monkeypox outbreak in non-endemic countries (no date) World Health Organization. World Health Organization.
  4. Harris, E. (2022) “What to know about Monkeypox,” JAMA, 327(23), p. 2278. Available at: https://doi.org/10.1001/jama.2022.9499. 
  5. Mustaffa, F., Zaini, N.A. and Selvarajah, K. (2019) “Review: An analysis of Monkeypox disease and current scenario in Malaysia,” International Journal of Research -GRANTHAALAYAH, 7(9), pp. 82–87. Available at: https://doi.org/10.29121/granthaalayah.v7.i9.2019.562. 
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − seven =