Skip to content

Kekurangan Vitamin D: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca dan tanda kepada masalah kekurangan Vitamin D? Artikel ini akan menerangkan bagaimana kekurangan vitamin D akan menyebabkan masalah pada tulang dan rawatannya

Vitamin D merupakan sejenis vitamin larut lemak. Terdapat dua bentuk vitamin D iaitu vitamin D yang dihasilkan secara semulajadi apabila kulit manusia terdedah kepada cahaya matahari iaitu cholecalciferol (vitamin D3) dan dalam bentuk sintetik yang boleh dihasilkan oleh tumbuhan dan kulat iaitu ergocalciferol (vitamin D2).

Sumber utama vitamin D adalah 30% daripada pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin D seperti lemak ikan salmon dan tuna, minyak hati ikan serta kuning telur dan 30% daripada penghasilan vitamin D dalam kulit yang dipengaruhi oleh pendedahan kepada cahaya matahari yang mencukupi.



Vitamin D seterusnya akan melalui proses hidroksilasi di hati menjadi 25-hidroksi-vitamin D dan melalui proses hidroksilasi sekali lagi di buah pinggang menjadi 1,25-dihidroksi-vitamin D yang merupakan bentuk aktif vitamin D. 1,25-dihidroksi-vitamin D akan menambah penyerapan kalsium dalam usus dan juga bertindak pada kerangka bagi proses remodeling tulang. Penghasilan 1,25-dihidroksi-vitamin D diregulasi oleh kelenjar paratiroid yang menghasilkan hormon paratiroid secara tindak balas negatif.

Antara fungsi utama vitamin D adalah mempengaruhi proses penyerapan kalsium, mineralisasi tulang dan pembahagian tisu yang penting dalam pembentukan dan penjagaan tulang dan gigi yang sihat.

Dos Pengambilan Vitamin D

Pengambilan vitamin D yang disyorkan mengkut kumpulan-kumpulan umur menurut National Committee on Food and Nutrition (NCCFN), Kementerian Kesihatan Malaysia (2005) adalah seperti berikut ˸

Kumpulan UmurRNI (µg/sehari)RNI (IU/sehari)
Bayi
0 – 5 bulan
6 – 11 bulan
5
5
200IU
200IU
Kanak-kanak
1 – 3 tahun
4 – 6 tahun
7 – 9 tahun
5
5
5
200IU
200IU
200IU
Remaja (Lelaki)
10 – 18 tahun
5200IU
Remaja (Perempuan)
10 – 18 tahun
5200IU
Dewasa (Lelaki)
19 – 50 tahun
51 – 65 tahun
> 65 tahun
5
10
15
200IU
400IU
600IU
Dewasa (Wanita)
19 – 50 tahun
51 – 65 tahun
> 65 tahun
5
10
15
200IU
400IU
600IU
Wanita hamil5200IU
Wanit menyusu5200IU

Kesan Kekurangan Vitamin D

Antara kesan utama daripada kekurangan vitamin D adalah osteomalacia dikalangan orang dewasa dan penyakit riket pada kanak-kanak. Hal ini boleh berpunca daripada kekurangan pendedahan kepada cahaya matahari, kurang pengambilan vitamin D dalam diet dan gangguan penyerapan zat dalam pesakit yang mempunyai sakit berkaitan perut dan usus serta masalah kesihatan hati dan buah pinggang yang menggangu metabolisasi vitamin D dalam tubuh badan.

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom dan Tanda Kekurangan Vitamin D



Kekurangan vitamin D dalam kanak-kanak boleh menyebabkan masalah riket, Beberapa simptom riket adalah:

  • Kelewatan perkembangan kanak-kanak,
  • Otot menjadi lemah
  • Craniotabes (sebahagian tulang tengkorak menjadi lembut)
  • Dahi mengalami kebenjolan (frontal bossing)
  • Kelewatan penutupan ubun-ubun (anterior fontanelle).

Selain itu, riket juga boleh menyebabkan pembesaran epifisis pada hujung tulang radius dan penebalan tulang rusuk (rachitic rosary). Kanak-kanak yang mengalami riket juga kebiasaannya mempunyai kaki yang bengkok (bow legs) dan perut buncit (protruded abdomen).

Bagi orang dewasa pula, kekurangan Vitamin D akan menyebabkan satu keadaan yang dipanggil sebagai Osteomalacia.

Osteomalacia yang terjadi akibat kekurangan vitamin D dikalangan orang dewasa pula boleh terjadi tanpa simptom atau mengalami patah tulang dan menyerupai masalah osteoporosis. Osteomalacia yang lebih teruk boleh menyebabkan sakit tulang dan otot, lesu seluruh badan dan patah akibat kerapuhan tulang (fragility fracture).

Kedua-dua penyakit riket dan osteomalacia juga boleh menyebabkan sakit tulang dan sakit sendi, kelemahan otot, kerapuhan tulang, pertambahan risiko untuk mengalami patah tulang serta kekejangan otot dan kebas.

Ujian Pemeriksaan

Diagnosis bagi kekurangan vitamin D dilakukan melalui ujian biokimia bagi mengukur paras vitamin D, kalsium, fosfat, hormon paratiroid dan beberapa lagi ukuran dalam darah. Bagi ujian pengimejan pula, x-ray, scan tulang dan biopsi juga boleh dilakukan mengikut keperluan berdasarkan pemerhatian doktor.

Rawatan

Osteomalacia dan riket kedua-duanya boleh dirawat dengan rawatan tambahan vitamin D. Bagi osteomalacia dan riket yang disebabkan oleh masalah kesihatan hati dan buah pinggang haruslah dirawat punca penyakitnya terlebih dahulu.

Langkah Pencegahan

Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan bagi mengelakkan kekurangan vitamin D adalah termasuk˸



  • Pengambilan diet seimbang serta kaya dengan vitamin D
  • Melakukan aktiviti luar bagi memastikan pendedahan kepada cahaya matahari yang optima
  • Pengambilan makanan tambahan vitamin D terutama bagi yang memerlukan sumber vitamin D yang lebih tinggi seperti wanita mengandung, wanita yang menyusukan anak dan warga emas

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Melamed M. Archives of Internal Medicine, August 2008.
  2. News release, Peninsula Medical School News.
  3. WebMD Health News: “Low Vitamin D Linked to Severe Asthma.”
  4. Garland C.F.  Annals of Epidemiology, July 2009.
  5. Davidson’s Principles & Practice of Medicine,
  6. MyHEALTH.gov KKM
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

sixteen + sixteen =