Skip to content

Makanan Pesakit Gout: Apa perlu dielak atau dimakan?

“Gout? Alamak banyak la tak boleh makan ni.” Ini adalah kerisauan yang biasa dialami oleh pesakit gout semasa awal disahkan mempunyai penyakit gout. Artikel ini akan berkongsi kepentingan mengurus pemakanan pesakit gout dan saranan makanan atau supplemen yang lebih khusus.

Gout adalah keradangan yang berlaku pada sendi-sendi yang mendatangkan kesakitan dan bengkak di kawasan sendi disebabkan pengumpulan asid urik yang tinggi dalam tubuh badan. Asid urik adalah bahan kumuhan hasil daripada pemecahan purine (sejenis asid nukleik dalam DNA) dalam badan. Apabila kandungan asid urik tinggi dalam badan, ia akan membentuk Kristal terutamanya di kawasan sendi lalu memberi kesan sakit yang kuat, bengkak dan keradangan. Serangan gout biasanya berlaku pada waktu malam dan boleh berlarutan selama 3-10 hari.

Gout jika tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi seperti batu karang di saluran urinari (air kencing). Antara faktor risiko gout adalah keturunan, pengambilan protein yang berlebihan, berat badan berlebihan, kegagalan buah pinggang dan pengambilan alkohol berlebihan terutamanya bir.



Selain mengambil ubat-ubatan untuk menurunkan paras asid urik dan mengurangkan kesakitan, pesakit gout juga perlu mengamalkan pemakanan yang bersesuaian. Diet untuk pesakit gout adalah bertujuan mengurangkan risiko serangan gout dan membantu menurunkan paras asid urik dalam darah serta menikmati kehidupan yang lebih baik.

Bagaimana makanan mempengaruhi gout?

Jika anda mempunyai sakit gout, adalah penting untuk anda mengenal pasti makanan apa yang akan meningkatkan kebarangkalian anda diserang serangan gout. Kebiasaannya punca kepada serangan gout adalah makanan tinggi purin. Apabila purin dalam makanan dihadam didalam tubuh, tubuh akan menghasilkan asid urik sebagai bahan kumuhan. Untuk individu yang sihat penghasilan asid urik mungkin tidak menjadi isu kerana tubuh mereka mampu membuang lebihan asid urik daripada tubuh.

Namun bagi pesakit gout, tubuh mereka tidak mampu bekerja dengan efisien dalam  membuang asid urik yang berlebihan daripada badan. Oleh itu, makanan tinggi purin hanya akan menambah beban kepada tubuh badan kerana berlaku pengumpulan asid urik lalu menyebabkan serangan gout. Menurut kajian, purin daripada sumber haiwan meningkatkan risiko serangan gout lebih besar berbanding purin daripada sumber tumbuhan.

Malah makanan berasaskan tumbuhan adalah antara sumber protein untuk memenuhi keperluan nutrient apabila sumber protein daripada haiwan dikurangkan daripada diet. Hal ini kerana, apabila pesakit gout mengamalkan diet rendah purin, jika tidak diamalkan secara seimbang  ia akan membawa kepada pengambilan berlebihan makanan tinggi karbohidrat dan lemak tepu yang akan memburukkan lagi sakit gout dan risiko kerintangan insulin.

Selain itu, protein berasaskan tumbuhan seperti  kacang dan kekacang adalah sumber terbaik dalam memenuhi keperluan  protein, serat, vitamin, mineral untuk tubuh malah bermanfaat dalam melawan risiko kenaikan berat badan, penyakit jantung koronari, kematian akibat serangan jantung dan diabetes (kencing manis) tahap 2. Hasil kajian turut menunjukkan bahawa pengambilan makanan tinggi purin berasaskan tumbuhan tidak meningkatkan risiko serangan gout sebaliknya minuman pemanis dan makaanan tinggi fruktosa akan meransang serangan gout untuk berlaku. walaupun fruktosa bukan makanan tinggi purin namun boleh meningkatkan kandungan asid urik dalam darah.

Makanan yang perlu anda elak



1. Makanan tinggi purin (150-825mg purin / 100g makanan)

  • Organ dalaman : Hati, paru, limpa, ginjal, otak dan lain-lain kerana ia mengandungi paras purin yang tinggi dan meningkatkan paras asid urik dalam darah
  • Daging merah : Hadkan pengambilan daging lembu, kambing dan khinzir
  • Makanan laut : Seperti ikan kembung, ikan parang, sardine, ikan bilis, kerang kerangan dan telur ikan. Namun disarankan mengambil ikan secara sederhana kerana kebaikannya lebih banyak terhadap tubuh berbanding risiko untuk pesakit gout.
  • Yis

2. Makanan tinggi fruktosa

  • Manisan akan menyebabkan insulin kurang bekerja lalu menyukarkan proses membuang asid urik melalui air kencing.
  • Sirap jagung tinggi fruktosa (high fructose corn syrup)
  • Buah dalam tin
  • Minuman bergula dan berkarbonat
  • Jus buah segar atau yang dipasarkan berkotak. Sesetengah jus buah yang diperbuat daripada buah segar (seperti epal, tembikai, mangga, pir, anggur, kiwi, laici, prun) sudah sedia ada mempunyai kandungan fruktosa yang tinggi tetapi kebanyakkan pengilangan akan menambahkan lagi gula fruktosa ke dalam minuman tersebut untuk memaniskan rasa jus buah itu.

3. Alkohol terutamanya bir

Elakkan meminum alkohol terutamanya ketika serangan gout berlaku dan hadkan pengambilan bir pada masa lainnya.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Makanan yang disarankan anda ambil

Jika dilihat secara kasar, diet untuk pesakit gout seolah-olah mengehadkan banyak jenis makanan. Namun sebenarnya terdapat pelbagai lagi makanan yang boleh diambil oleh pesakit gout. Antaranya adalah makanan rendah purin. Makanan akan dikategori sebagai rendah purin jika kandungan purin adalah kurang daripada 50mg per 100g makanan.

  • Kebanyakan jenis buah-buahan kecuali yang dinyatakan di kategori tinggi purin seperti epal, manga, tembikai dan pir. Buah ceri didapati dapat mengurangkan risiko serangan gout dan boleh mengurangkan paras asid urik serta mengurangkan keradangan
  • Semua jenis sayur-sayuran termasuklah kentang, cendawan, terung dan sayuran berdaun
  • Sayuran kekacang seperti kacang soya, tofu, kekacang dan kacang.
  • Bijirin penuh seperti oat, beras perang, barli. Selain itu, anda juga boleh mengambil makanan seperti roti putih, keow teow, bihun.
  • Susu, produk tenusu dan telur.
  • Herba dan rempah

Makanan yang perlu diambil dalam kuantiti sederhana

Makanan yang mengandungi sederhana purin (50mg – 150mg/100g makanan)

  • Selain organ dalaman, daging merah dan sesetengah jenis ikan yang dikategori tinggi purin.
  • Hadkan pengambilan ikan dana yam kepada 2-3 hidangan sehari
  • Kopi : Pengambilan kopi secara sederhana (<200mg kafein, 1-3 cawan sehari) didapati mengurangkan risiko gout. Namun jika anda mengambil ubat-ubatan, pengambilan kopi boleh menyebabkan interaksi dengan ubat-ubatan tersebut. Rujuk kepada doktor/pegawai dietetik untuk menentukan dos kopi harian anda.

Kesimpulan

Pengambilan diet gout sahaja akan kurang berkesan jika tiada perubahan dibuat terhadap gaya hidup harian. Seperti yang dinyatakan diatas, berat badan yang berlebihan dan merokok antara faktor penyumbang sakit gout. Pesakit perlu berusaha melakukan penurunan berat badan dengan sihat kerana penurunan bera badan dikaitkan dengan peningkatan fungsi insulin, seterusnya dapat membantu pengeluaran asid urik dalam air kencing.

Dapatkan berat badan yang seimbang sekitar indeks jisim tubuh (BMI) 18.5kgm2 – 24.9kgm2. Ambil air kosong secukupnya bagi mengelakkan pembentukan Kristal di sendi serta elakkan merokok dan makanan yang tinggi lemak tepu.



Rujukan.

  1. Beyl, R. N., Hughes, L., & Morgan, S. (2016). Update on Importance of Diet in Gout. The American Journal of Medicine, 129(11), 1153-1158.
  2. Choi, H. K., Atkinson, K., Karlson, E. W., Willett, W., & Curhan, G. (2004). Purine-Rich Foods, Dairy and Protein Intake, and the Risk of Gout in Men. New England Journal of Medicine, 350(11), 1093-1103.
  3. Choi, H. K., Niu, J., Neogi, T., Chen, C. A., Chaisson, C., Hunter, D., & Zhang, Y. (2015). Nocturnal risk of gout attacks. Arthritis Rheumatol, 67(2), 555-562.
  4. Zhang, Y., Chen, C., Choi, H., Chaisson, C., Hunter, D., Niu, J., & Neogi, T. (2012). Purine-rich foods intake and recurrent gout attacks. Annals of the rheumatic diseases, 71(9), 1448-1453.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen − four =