Skip to content

Noriday: Fungsi, Dos Dan Kesan Sampingan

Apakah fungsi dan kegunaan pil perancang Noriday? Artikel ini akan membincangkan berkenaan keguaan pil ini, kesan sampingannya dan pelbagai lagi.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Penggunaan
  3. Penyimpanan
  4. Cara Ubat Berfungsi
  5. Kesan Sampingan
  6. Peringatan (precaution)
  7. Penggunaan pada Wanita Mengandung
  8. Interaksi antara ubat
  9. Kesan Terlebih Dos

Pengenalan

“Siapa saja yang tak mahu anak kan?”

Setiap dari manusia yang bercinta hinggalah ke jinjang pelamin memang sudah pasti memerlukan cahaya mata sebagai pelengkap hidup sebuah suri keluarga. Oleh itu tidak menghairankan sangatlah apabila kita melihat pelbagai cara dan usaha dibuat, tanpa lelah dan jemu untuk kekal kelak menimang anak mereka sendiri.



Namun begitu, jelas sudah dalam menghadapi bahana pandemik Covid-19 yang masih menggusarkan ramai pihak terutamanya dalam kehidupan berumahtangga, adakalanya perasaan untuk mengandung bukanlah suatu makna yang senang dilafazkan. Kegawatan ekonomi serta sosial bahkan menghalang sebarang kemungkinan untuk berlakunya perhubungan yang tidak sepatutnya diadakan. Faham kan? Faham kan? Faham kan?

Semenjak awal abad ke-20 lagi isu hak asasi wanita merupakan suatu pergerakan yang mencapai momentum ketara lebih-lebih lagi apabila ia menyentuh kebebasan wanita untuk beranak dan menggugurkan anak mereka – sehinggakan ia turut mempengaruhi sejauh hingga ke dalam peringkat pusat di Amerika Syarikat.

Kemucak kepada pergerakan tersebut adalah kejayaan para saintis menghasilkan ubat perancang keluarga pertama di dunia (atau lebih dikenali sebagai “the pill” di Amerika) pada tahun 1960. Sejak itulah teknologi penghasilan pil perancang keluarga menjadi semakin berkembang dan juga menjadi amat kompleks dalam memberikan perancangan keluarga (istilah contraception kerap digunakan di sini) yang cukup berkesan bukan sahaja di negara maju malah di serata dunia secara amnya. Kali ini, kita akan melihat lebih dekat lagi kepada salah satu pil perancang keluarga yang digunakan di Malaysia iaitu Noriday.

Penggunaan

Noriday (nama dagangan untuk ubat generik bernama norethisterone) didaftarkan dalam negara kita sebagai ubat perancang keluarga. Ubat tersebut boleh didapati di hospital dan klinik kesihatan tertentu di dalam negara, dan semestinya turut diual di farmasi komuniti berhampiran anda.

Kalau sekiranya anda dan suami memang hendak berminat menggunakan norethisterone sebagai ubat untuk merancang keluarga anda, anda sekurang-kurangnya perlu berbincang terlebih dahulu dengan keluarga masing-masing dan perlu dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.



Para doktor juga perlu menilai kesesuaian dan tahap kesihatan pihak isteri juga dalam memulakan terapi perancang keluarga sebegini, jadi penilaian tersebut tidaklah sama sekali perlu dicapai secara tergesa-gesa.

Cara Menggunakannya

Pil ini mesti dimulakan seawal hari pertama kitaran haid wanita tersebut. Para wanita yang berhasrat untuk mengambil pil ini perlu mengambil sebiji sekali sahaja setiap hari, biasanya selepas makan. Jika boleh, perlu diambil pada waktu dan masa yang sama setiap hari. Maknanya, jika diambil waktu pagi selepas makan, anda mestilah mengambilnya setiap pagi selepas makan secara konsisten.

Setiap biji pil Noriday berisi dos 0.35mg norethisterone, dan dos tersebutlah yang perlu dimakan oleh anda setiap hari. Jika anda juga ada memakai alat perancang kehamilan lain seperti kondom dan sebagainya, anda boleh memulakannya pada hari ketujuh selepas anda memulakan dos Noriday anda dari pek pertama anda menggunakannya.

Jika Terlupa

Jika sekiranya terlupa mengambil dos harian anda, para wanita disyorkan untuk mengambil dos tersebut secepat mungkin. Biasanya jika anda tertinggal dos dalam kurang 3 jam dari waktu anda sepatutnya ambil terus dos harian anda sejurus anda mengingatinya.

Jika terlupa mengambil dos harian anda dalam masa 3 jam dan ke atas dari waktu sepatutnya, anda masih lagi perlu mengambil terus dos harian anda sejurus anda teringat mengenainya tetapi mesti makan pada waktu yang sama seperti apa yang selalunya anda makan untuk keesokan harinya.

Namun begitu para doktor dan farmasis tetap mengesyorkan anda untuk mungkin bersedia dengan alat perancang kehamilan lain (kondom, tampon dan sebagainya) untuk masa 7 hari berikutnya untuk mengelakkan kegagalan proses kontrasepsi. Tapi yang pastinya jangan sama sekali ambil dua dos sekali (double dosing) dalam satu masa ya!



Jika Ingin Menukarkan Jenis Pil Perancang

Kalau katakan anda sendiri ada pernah menggunakan ubat perancang keluarga lain selain dari Noriday, dan anda mahu meneruskan kontrasepsi, pastikan anda habiskan dos terakhir anda dari ubat perancang keluarga yang sebelumnya, kemudian anda sambung ambil dos Noriday pertama anda seperti biasa pada hari itu juga.

Jika mahu menggunakan selepas melahirkan anak

Jika anda mahu memulakan kontrasepsi selepas anda melahirkan anak, pastikan anda mulakan dos Noriday anda pada hari ke-21 dari tarikh anda melahirkan anak anda. Diingatkan juga agar tidak sama sekali menangguhkan dos pertama anda terlalu lama ataupun anda tidak akan mencapai kontrasepsi seawal seminggu selepas memulakan dos anda.

Jika anda mengalami keguguran ataupun sudah pun menggugurkan anak anda dan mahu menggunakan pil ini, anda boleh terus mengambil ubat tersebut serta-merta dan anda akan terus dilindungi selepas itu.

Bila Boleh Berhenti?

Anda boleh sahaja menghentikan terus penggunaan ubat ini pada bila-bila masa dalam tempoh kitaran haid yang anda mahu, dan kitaran haid anda mungkin kembali normal seperti sediakala walaupun mengambil masa yang perlahan. Namun demikian penting untuk bertanyakan nasihat doktor anda mengenai hal demikian juga ya!

Selain digunakan sebagai pil perancang keluarga secara persendirian, norethisterone juga turut digandingkan bersama estrogen sebagai ubat kontraseptif juga (orang putih memanggilnya combined oral contraceptives ataupun COC). Norethisterone juga turut digunakan dalam rawatan endometriosis (pertumbuhan abnormal selaput endometrium selain rahim yang membawa kepada pendarahan abnormal, senggugut dan sebagainya).



Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Sepertimana ubat pil, kapsul, dan tablet lainnya, anda perlu menyimpannya di tempat sejuk dan kering, tetapi suhu bilik adalah amat digalakkan. Ubat tersebut perlu dielakkan dari terkena sinaran matahari yang terik, dan dijauhkan daripada kanak-kanak. Apa yang paling penting, ubat tersebut perlulah digunakan sebelum tarikh luput untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan kontrasepsi tersebut. Biasanya simpanan Noriday boleh tahan sehingga 5 tahun dari tarikh pembuatannya.

Cara Ubat Berfungsi

Kitaran haid bagi wanita normal biasanya banyak menjurus kepada dua fasa utama: fasa folikulasi (folliculation phase) yang menghasilkan sel telur ovum daripada ovari, dan fasa luteal (secretion phase; fasa perembesan) yang membawa kepada penebalan dinding endometrium di dalam serviks yang menjadi perancang utama ke arah proses-proses persenyawaan sempurna ataupun penghancuran dinding endometrium yang membawa kepada keluarnya darah haid apabila proses persenyawaan tidak berjalan sepatutnya.

Kedua-dua fasa tersebut asasnya ditunjangi oleh perembesan hormon pelepasan gonadotropin (gonadotrophin-releasing hormone, GnRH) dari hipotalamus yang mengaktifkan atau menghentikan sama ada perembesan hormon penstimulasi folikel (follicle-stimulating hormone atau FSH) ataupun hormon peluteinan (luteinising hormone, LH) daripada kelenjar pituitari depan (anterior pituitary gland) yang dipengaruhi oleh mekanisme maklum balas negatif (negative feedback mechanism).

FSH kebiasaannya lebih mempengaruhi penghasilan estrogen pada waktu kitaran haid awal 14 hari pertama melalui pengaktifan FSH terhadap sel folikel di dalam ovari untuk penghasilan sel ovum wanita. Manakala LH pula mengaktifkan penghasilan progesterone daripada sel folikel yang terkoyak (corpus luteum) selepas pengeluaran ovum pada hari ke-14 sehinggalah corpus luteum hilang sepenuhnya jika proses persenyawaan tidak berlaku pada akhir hari ke-28 kitaran haid secara kebiasaannya.

Hormon estrogen dan progesterone merupakan antara sasaran utama penghasilan ubat kontrasepsi komersial. Manipulasi kepekatan kedua-dua hormon tersebut dalam darah boleh merencatkan proses ovulasi dan persenyawaan seperti apa yang diharapkan. Sebagai contoh, manipulasi terhadap kepekatan hormon estrogen misalnya menyebabkan kerencatan penghasilan FSH dalam sel folikel ovari, sekaligus menghindari penghasilan folikel dominan yang bertanggungjawab menghasilkan ovum.

Manakala apabila kita mengganggu kepekatan hormon progesterone dalam darah pula, penghasilan hormon LH pula direncatkan, membawa kepada pengeluaran mukus berlebihan (lendir yang terdiri daripada protein dan asid sialik secara khususnya) dari permukaan endometrium serviks dan juga tiub Fallopia, merencatkan pergerakan ovum yang mungkin disenyawakan. Manipulasi yang sama turut mengaruh pelekatan ovum untuk persenyawaan disebabkan berlaku tumbesaran dinding endometrium dalam serviks yang tidak lengkap dan pengurangan penghasilan silia yang selalunya berfungsi menarik ovum untuk bergerak ke arah endometrium dalam kawasan serviks.

Untuk meningkatkan keberkesanan kontrasepsi, COC biasanya akan lebih diambil perhatian. Tetapi tidak bagi Noriday, kerana Noriday hanya mempunyai persediaan progestin sahaja, iaitu norethisterone (Nota: progestin merujuk kepada ubat-ubatan yang mirip kepada ciri-ciri hormon progesterone yang dihasilkan secara sintetik untuk rawatan kontraseptif).

Tidak seperti ubat pil campuran kontraseptif, keberkesanan penggunaan ubat progestin sahaja (dalam kes ini, pil norethisterone) boleh dikatakan agak kurang berbanding campuran progestin dan estrogen. Ia boleh dilihat menerusi penyediaan ubat sedemikian yang mengandungi kurang dos progestin daripada ubat campuran, serta tidak mempunyai komponen estrogen.



Walaupun demikian, kebanyakan daripada pesakit yang menyusukan anak biasanya akan lebih digalakkan menggunakan ubat tersebut. Antara faktor utama adalah perembesan hormon prolactin dalam wanita menyusu secara tidak langsung merencatkan proses ovulasi emak. Selain itu, ubat berdasarkan progestin sahaja seperti Noriday ini tidak memiliki apa-apa kesan yang agak ketara terhadap anak yang menyusu dan pengeluaran susu para ibu menyusu. Pesakit yang tidak boleh mengambil terapi estrogen untuk kontraseptif sebagai contoh alahan kepada estrogen, boleh saja memulakan terapi kontraseptif menggunakan ubat ini.

Kesan Sampingan Noriday

Seperti kebanyakan ubat yang selalu dijumpai di pasaran, mungkin ada sesetengah dari para wanita yang tidak dapat lari dari masalah berkaitan sistem penghadaman, sebagai contoh muntah ataupun cirit-birit. Noriday kebiasaanya tidak dapat diserap oleh tubuh badan apabila terdapat masalah yang saya sudah pun nyatakan tadi.

Namun begitu, bagi para wanita yang inginkan proses kontrasepsi berjaya, mereka perlu meneruskan juga pengambilan ubat ini, tetapi adalah amat penting untuk mereka termasuklah anda untuk bersedia dengan alat perancang kehamilan anda sekali.

Penggunaan Noriday juga boleh mendatangkan kesan sampingan lain juga seperti:

  • Pendarahan faraj
  • Tiada kitaran haid
  • Migrain
  • Mual
  • Pening kepala
  • Perubahan berat badan
  • Alahan (contohnya ruam), dan bengkak di sekitar tulang kaki, tapak kaki ataupun di belah tangan anda.

Jika anda mengalami kesukaran bernafas dan rasa tidak selesa pada bahagian dada, migrain dan pening kepala yang agak teruk, pendarahan faraj yang tidak normal serta gangguan pada penglihatan, maklumkan segera kepada doktor anda.

Wanita juga mempunyai risiko untuk mengalami kandungan di luar rahim(Ectopic pregnancy) jika mengambil pil ini.

Peringatan (precaution)

Noriday tidak semestinya boleh senang-senang digunakan. Kebiasaannya doktor akan melihat kesesuaian norethisterone setelah menilai segala parameter penting seperti fungsi buah pinggang dan hati, tahap kesihatan kardiovaskular dan kolesterol anda dan parameter lain yang difikirkan bersesuaian untuk anda.

Lagipun, jika anda sendiri pernah mempunyai sejarah strok; menghidap penyakit berkaitan komplikasi jantung, lebih-lebih lagi serangan jantung; pernah atau mengalami penyakit darah beku; kegagalan fungsi hati; pendarahan faraj yang sukar dikenal pasti puncanya; mengalami barah payudara atau barah berkaitan sistem reproduktif atau ada sejarah mengenainya; dan juga mungkin penyakit berkaitan dengan metabolisme lemak, anda memang tidak akan sama sekali dimulakan dengan terapi kontraseptif ini.



Penggunaan Noriday juga turut mempengaruhi bacaan parameter makmal, jadi nyatakan juga perkara tersebut terlebih dahulu pada doktor anda.

Noriday juga perlu digunakan secara berhati-hati kepada para wanita yang memakai cermin mata, ada masalah seperti kemurungan, masalah migrain kerap, asma, kerintangan penghadaman gula, masalah kolesterol, darah tinggi, ataupun berkaitan penyakit autoimun seperti systemic lupus erythematosus (SLE). Jika ada pesakit yang juga turut menjalani rawatan untuk sawan ataupun kemerosotan fungsi buah pinggang, penggunaan Noriday mungkin akan menambahkan lagi kesakitan mereka, melalui sifat ubat tersebut yang menakung cecair dalam tubuh badan (fluid retention).

Penggunaan Pada Wanita Mengandung

Tidak disarankan juga untuk wanita mengandung mengambil ubat ini memandangkan ubat ini diletakkan dalam kategori hamil X mengikut standard FDA. (Kategori X merujuk kepada kesan teratogenik yang berbahaya kepada struktur tubuh badan fetus anak dalam kajian manusia dan haiwan, dan risiko penggunaannya dalam wanita mengandung lebih tinggi dari manfaatnya serta penggunaannya menyebabkan kontraindikasi kepada wanita yang bakal atau sedang mengandung).

Interaksi antara ubat

Setiap ubat tidak dapat lari daripada kesan interaksi antara satu sama lain. Norethisterone biasanya akan dimetabolismekan dalam badan melalui kompleks sitokroma P450 dalam hati, lebih-lebih lagi dimetabolisme melalui subunit 3A4, dan secara minimum melalui subunit 2C19, CYP1A2 dan CYP 2A6.  

Ubat yang mempengaruhi kesan sampingan Noriday, sebagai contoh:

  • Phenytoin
  • Phenobarbitone
  • Carbamazepine (ubat sawan) dan
  • ubat anti-kulat seperti griseofulvin

Ubat-ubat ini boleh mengurangkan kepekatan ubat tersebut, sekaligus mengurangkan kesan kontraseptif norethisterone. Biasanya jika pertembungan ubat tyersebut tidak dapat dielakkan, pesakit perlu bersedia dengan alat pencegah kehamilan alternatif yang lain. Selain itu, ubat antibiotik seperti erythromycin pula meningkatkan keberkesanan norethisterone.

Pemakanan herba seperti St John’s wort (Hypericum perforatum) juga turut mengurangkan keberkesanan ubat kontraseptif ini juga. Untuk pengetahuan lebih lanjut, tanya doktor atau farmasis berdekatan anda jika anda was-was mengambil ubat selain dari pil kontraseptif anda.

Kesan terlebih dos

Insiden terlebih dos Noriday ada direkodkan dalam kalangan kanak-kanak, namun tiada kesan negatif yang memudaratkan pernah dilaporkan dari mereka. Antara simptom dan tanda-tanda yang mudah dikesan akibat terlebih dos, termasuklah tumbesaran payudara, mual-mual, muntah dan pendarahan di faraj.



Jika berlaku simptom dan tanda-tanda tersebut dalam kurang dari tempoh 4 jam selepas termakan dos Noriday, prosedur gastric lavage diberikan kepada pesakit secepat mungkin untuk mengelakkan lebihan ubat tersebut diserap masuk ke dalam darah. Seperti biasa rawatan berkaitan dengan insiden terlebih dos ini perlu dirawat mengikut simptom sedia ada setelah dinilai oleh para doktor.

Rujukan

  1. Burrows, L. J., Basha, M., & Goldstein, A. T. (2012). The effects of hormonal contraceptives on female sexuality: A review. The Journal of Sexual Medicine, 9(9), 2213–2223. doi:10.1111/j.1743-6109.2012.02848.x 
  2. Holesh, J. E., Bass, A. N., & Lord, M. (2020). Physiology, ovulation. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.
  3. Noriday [Internet]. Available from: MIMS Gateway [Accessed 29 January 2021]
  4. Sitruk-Ware, R. (2018). Non-clinical studies of progesterone. Climacteric, 21(4), 315–320.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

13 − 2 =