Skip to content

Patah Jari: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah cara rawatan dan tanda-tanda apabila seseorang itu mengalami masalah patah cari? Artikel ini akan menerangkan cara untuk mengenalpasti cara masalah patah jari ini berserta rawatan pesakit.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca Jari Patah
  3. Jenis Jari Patah
  4. Golongan berisiko
  5. Simptom Jari Patah
  6. Mengenal pasti
  7. Rawatan
  8. Pencegahan

Pengenalan


Tulang tulang di jari dipanggil phalanges. Setiap jari mempunyai 3 phalanges kecuali ibu jari yang hanya mempunyai 2 phalanges. Jari yang patah atau retak terjadi apabila salah satu dari tulang tadi patah. Ia berlaku selalunya disebabkan oleh kecederaan kepada tangan. Retak atau patah boleh terjadi di mana mana phalanges. Patah juga boleh berlaku pada kawasan buku jari iaitu kawasan di mana sendi bertemu dengan tulang di jari.

Punca jari patah


Jari merupakan antara bahagian badan yang berisiko tinggi untuk tercedera. Jari boleh tercedera ketika bekerja menggunakan alatan seperti tukul atau gergaji. Jari juga boleh patah apabila objek yang bergerak dengan laju terkena pada tangan, seperti dalam permainan baseball. Menghempas tangan dengan kuat pada pintu juga boleh menyebabkan kepatahan tulang pada bahagian ini.



Jenis, cara dan mekanisma kecederaan dan kekuatan tulang menentukan samada jari patah atau tidak. Keadaan seperi osteoporosis dalam kalangan wanitan berusia dan menopaus serta mereka yang kurang nutrisi merupakan antara golongan yang mudah mengalami tulang patah. Hal ini kerana keadaan tulang mereka yang tidak padat.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Jenis jari patah


Berikut merupakan antara klasifikasi untuk mengelaskan masalah ini:

Mekanisma tulang patah

  • Avulsion iaitu sejenis kecederaan di mana ligamen atau tendon dan serpihan tulang terpisah dari struktur tulang asal
  • Impacted iaitu apabila hujung tulang yang patah menghimpit satu sama lain
  • Shear iaitu apabila kecederaan menyebabkan tulang yang terpatah dua ke dua arah berbeza antara satu sama lain

Penglibatan kulit

  • Terbuka iaitu struktur tulang yang patah menembusi kulit dan menyebabkan luka terbuka
  • Tertutup iaitu struktur tulang yang patah tidak mengakibatkan kerosakan pada kulit

Keadaan tulang

  • Nondisplaced atau stabil iaitu tulang yang patah sedikit atau patah menyeluruh tetapi tidak bergerak
  • Displaced dimana tulang yang patah ke beberapa bahagian dan tidak sebaris
  • Comminuted di mana tulang patah ke banyak bahagian dan serpihan

Golongan berisiko




Golongan yang mempunyai komposisi tulang yang lemah seperti orang berusia yang mempunyai kekurangan zat kalsium, mempunyai risiko tinggi untuk mengalami jari patah. Golongan yang banyak menggunakan tangan juga seperti atlet dan buruh terdedah kepada risiko patah pada bahagian ini. Sukan sukan yang banyak menyaksikan pemainnya mengalami masalah ini ialah:

  • Bola keranjang
  • Baseball
  • Bola tampar
  • Ragbi
  • Hoki
  • Tinju

Keadaan yang mempunyai impak tinggi dan berat seperti kemalangan kereta juga boleh menyebabkan kepatahan ini.

Periksa Simptom anda Di Sini

Simptom jari patah


Terdapat beberapa tanda yang perlu diketahui jika mengalami masalah ini. Tanda dan gejala tersebut adalah:

  • Sakit di sekitar kawasan jari terutamanya apabila menggerakkan jari
  • Bengkak di sekitar jari
  • Pergerakan terhad di kawasan patah tersebut
  • Jari kelihatan cacat iaitu bentuk tidak normal
  • Sakit dibahagian sendi yang patah

Mengenal pasti jari patah


Doktor akan mengambil maklumat yang terperinci mengenai kecederaan anda dan memeriksa jari serta tangan anda. Doktor juga akan memeriksa sekiranya terdapat kecederaan pada saraf terutamanya bagi kepatahan yang terbuka. Seterusnya anda perlu melalui ujian X ray tangan dan jari bagi melihat kesan patah pada tulang jari. Kadangkala, kesan patah pada tulang jari mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar namun dapat dilihat menggunakan X ray.

Rawatan jari patah


Rawatan jari yang patah bergantung kepada jenis kecederaan dan keadaan tulang.

1. Balutan dengan Jari sebelah yang tidak patah (Buddy splint)

Bagi kecederaan yang minima serta tulang stabil, doktor akan melekatkan tulang tersebut dengan tulang berhampiran dengan membalut menggunakan simen. Ini adalah bertujuan untuk menggalakkan penyembuhan dan proses penyambungan tulang.



2. Proses meluruskan semula tulang (reduction)

Kecederaan yang lebih serius dan tidak stabil mungkin memerlukan doktor untuk meluruskannya kembali ke posisi asal iaitu proses reduction. Kemudian, anda akan dipakaikan splint atau cast iaitu alat sokongan bagi membantu menyokong penyembuhan tulang.

3. Pembedahan

Kecederaan yang melibatkan banyak serpihan tulang, doktor akan melakukan pembedahan bagi menstabilkan tulang. Antara keadaan lain yang mungkin memerlukan pembedahan ialah:

  • Tulang patah di banyak tempat
  • Kecederaan yang melibatkan sendi
  • Kecederaan pada tendon, ligamen
  • Kecederaan terbuka dan tidak stabil

Pakar bedah tulang akan menggunakan pin, skru dan wayar bagi menyambungkan tulang jari. Setelah itu, anda akan melalui proses rehabilitasi dan fisioterapi bagi menggalakkan penyembuhan tulang dan membina kekuatan dan fungsi tulang. Ia juga dapat mengelakkan berlaku kecacatan kekal.

Selain itu, anda juga akan diberikan ubat tahan sakit seperti Ibuprofen bagi meredakan kesakitan sementara menunggu rawatan pembedahan. Bagi kecederaan dengan luka yang terbuka, anda mungkin memerlukan rawatan antibiotik dan perlu mencuci luka dengan bersih bagi mengelakkan jangkitan kuman. Bagi kecederaan yang berlaku di tempat berisiko seperti kemalangan di atas jalan raya, pasir dan tanah, paramedik akan memberikan anda suntikan anti tetanus bagi mengelakkan jangkitan kuman tetanus yang boleh menyebabkan kancing gigi.

Tempoh penyembuhan bagi masalah ini boleh mengambil masa sependek minggu sehingga bertahun lamanya bergantung kepada beberapa faktor luaran. Ini termasuk sekiranya terdapat kecederaan pada struktur lain seperti kecederaan saraf ataupun salur darah ataupun pada sendi yang boleh menyebabkan arthritis.

Pencegahan


Pengambilan diet yang kaya dengan vitamin D dan kalsium boleh mengekalkan kesihatan tulang dan mengurangkan risiko patah. Mereka yang mempunyai kesukaran berjalan dan mudah jatuh dinasihatkan untuk menggunakan alat bantuan berjalan seperti tongkat dan melakukan fisioterapi. Atlet dan buruh juga perlu lebih berhati hati bagi mengelakkan masalah ini.



Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Broken fingers – Healthline
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 + three =