Skip to content

Penyakit Bawaan Makanan dan Air: Simptom dan Rawatan

Apakah itu penyakit bawaan makanan dan air? Artikel ini akan menjelaskan beberapa penyakit yang berkaitan dengan makanan dan air berserta rawatannya.

Pengenalan

Tidak boleh dinafikan, makanan dan air merupakan keperluan hidup. Badan memerlukan makanan untuk kekal bertenaga dan air untuk sistem badan terus berfungsi. Menurut kajian, seorang manusia mampu bertahan tanpa makanan sekitar 8-21 hari dan tanpa air sekitar 3 hari. Tahukah kita bahawa terdapat beberapa penyakit boleh terjadi disebabkan oleh makanan dan air yang terjangkiti oleh organisma berbahaya atau kotor.

Laporan daripada World Health Organization (WHO) pada tahun 2019 menyatakan:

  • 785 juta penduduk dunia kekurangan kemudahan untuk mendapatkan bekalan air minuman yang bersih.
  • Sekurang-kurangnya 2 bilion penduduk dunia menggunakan air minuman yang mengandungi najis/bahan tercemar.
  • Air tercemar ini boleh mengakibatkan penyakit bawaan makanan dan air seperti cirit-birit, Taun, dan Demam Kepialu.
  • Air minuman tercemar ini telah mengakibatkan kematian sekitar 485, 000 manusia setiap tahun disebabkan oleh penyakit cirit-birit.


Di Malaysia, dianggarkan 96% rumah mempunyai bekalan air bersih. Justeru, penulisan kali ini akan cuba mengupas tentang Taun dan Demam Kepialu yang mana merupakan salah satu  penyakit bawaan makanan dan air yang sering terjadi di negara kita.

Taun (Cholera)

Penyakit Taun atau juga dikenali dengan Cholera merupakan sejenis penyakit bawaan makanan dan air yang disebabkan oleh sejenis bakteria bernama Vibrio Cholerae.

V. Cholerae merupakan bakteria gram-negatif berbentuk rod. Kelihatan seperti tanda koma, ia mempunyai “bacillus” beserta “flagellum.

Menurut WHO, penyakit ini pernah mencetuskan wabak di Malaysia iaitu di Pulau Pinang pada bulan Mei 1996. Sebanyak 607 kes dilaporkan diseluruh negara dengan 476 kes berlaku di Pulau Pinang. Hasil laporan makmal mendapati, kesemua pesakit dijangkiti oleh bakteria Vibrio Cholerae dan gejala utama adalah cirit-birit. Di Malaysia, Sabah merupakan negeri yang sering dilanda wabak Taun. Pada 24 Julai 2020, sebanyak 53 kes direkodkan di Sabah.

Kadar insiden Taun di Malaysia pada tahun 2000 sehingga 2011.



Sumber: Jabatan Penerangan Negeri Sabah

Penyakit ini boleh menjangkiti antara seorang manusia dengan manusia yang lain menerusi makanan atau air yang tercemar dengan najis atau muntah orang yang dijangkiti. Selanjutnya, penyakit ini boleh menyebabkan gejala seperti:

  • Cirit-birit
  • Loya
  • Muntah
  • Kejang pada perut (stomach  cramp)
  • Sakit perut

Cirit-birit yang teruk boleh menyebabkan dehidrasi dan sekiranya ia tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan asidosis, gangguan peredaran darah (shock), dan kegagalan fungsi buah pinggang seterusnya boleh menyebabkan kematian.

Objektif rawatan untuk penyakit ini adalah untuk mengelakkan dehidrasi dan membunuh bakteria tersebut. Bagi dehidrasi ringan dan sederhana, pesakit akan diberikan larutan rehidrasi oral (ORS). Sekiranya dehidrasi teruk berlaku, pesakit akan dirujuk ke hospital untuk rawatan. Selain itu, pesakit juga akan diberikan antibiotik seperti Azithromycin, Doxycycline, atau Erythromycin Ethylsuccinate.

Tambahan pula, menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, setiap kes Taun hendaklah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran dalam tempoh 24 jam.

Info:

Wabak Taun di Broad Street, Soho, London pada tahun 1854 telah mengakibatkan 616 kematian. Dalam kejadian ini, Doktor John Snow (15 Mac 1813 – 16 Jun 1858) telah berjaya mengemukakan teori “Germ-Contaminated Water” adalah sumber penyakit Taun ini dan bukannya disebabkan oleh zarah partikel dalam udara (Miasma). Beliau telah membuat tanda dalam peta untuk menggambarkan kluster pesakit Taun di kawasan sekitar pam-pam air di London. Hasil penemuan beliau ini, telah menyebabkan perkembangan dalam bidang kesihatan awam terutamanya bidang epidemiologi.

Snow telah menanda jumlah kes di sekitar pam-pam air di London.



Teori Miasma mempercayai bahawa penyakit ini disebabkan oleh zarah partikel dalam udara yang mana ia terjadi hasil proses terurai (decomposing matter) atau daripada sumber bahan organik yang tercemar.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Demam Kepialu

Demam Kepialu atau juga dikenali sebagai Typhoid Fever ialah sejenis penyakit bawaan makanan dan air yang disebabkan oleh bakteria bernama Salmonella Typhi atau Salmonella Paratyphi.

Salmonella Typhi merupakan bakteria gram-negatif mempunyai “bacillus” beserta “flagella.

Di Malaysia, penyakit ini sering terjadi disebabkan oleh pengendali makanan yang mana mereka tanpa sedar sebagai pembawa telah mencemari makanan dan minuman semasa proses penyediaannya. Insiden Demam Kepialu di Malaysia pada tahun 1978-1990 adalah sekitar 10.2-17.9 kes per 100, 000 penduduk dan 50.3 kes per 100, 000 penduduk di Kelantan. Namun, jumlah kes di Kelantan telah berkurangan daripada 14.7 kes per 100, 000 penduduk pada tahun 2000 ke 2.8 kes per 100, 000 penduduk pada tahun 2010.

Selain itu, penyakit ini boleh menyebabkan gejala seperti:

  • Demam berterusan dan berpanjangan, suhu melebihi 40 ?C
  • Cirit birit
  • Sembelit
  • Sakit perut
  • Sakit kepala
  • Sakit badan / lemah / letih lesu
  • Kurang selera makan
  • Batuk tanpa kahak
  • Denyutan jantung perlahan ( bradycardia )
  • Ruam (bintik merah pada bahagian atas badan)
  • Bengkak limpa dan hati

Penyakit ini boleh dirawat dengan antibiotik seperti Ceftriaxone, Ciprofloxacin, dan Chloramphenicol.

Seperti Taun, berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, setiap kes Demam Kepialu hendaklah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran dalam tempoh tujuh hari selepas pesakit disahkan menghidap penyakit.

Di Malaysia, semua pengendali makanan, sama ada warga asing atau tempatan diwajibkan mendapatkan suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid). Ini berdasarkan, Peraturan 11, Peraturan Kebersihan Makanan 2009, yang mana pemilik premis makanan hendaklah tidak menggaji atau membenarkan mana-mana pengendali makanan bekerja di premisnya melainkan jika mereka diberi suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) oleh pengamal perubatan berdaftar.



Tambahan pula, mengikut Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, semua pengendali makanan, sama ada warga asing atau tidak, perlu mendapatkan suntikan vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar. Jika pengendali makanan atau pemilik premis gagal mematuhi arahan tersebut,  mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Info:

Bila menyebut tentang Typhoid Fever, maka haruslah kita tahu serba sedikit mengenai kisah “Typhoid Mary”. Kisah Typhoid Mary diambil sempena seorang perempuan berbangsa irish iaitu Mary Mallon (23 September 1869 – 11 November 1938). Mary merupakan seorang tukang masak yang sering bertukar tempat kerja. Dikatakan, Mary telah menjangkiti hampir 53 orang dan mengakibatkan tiga kematian (ada pendapat menyatakan jumlahnya lebih disebabkan dia pernah menyamar untuk bekerja sebagai tukang masak dan tidak mahu memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa). Tanpa Mary sedar, dia sebenarnya adalah pembawa kepada penyakit ini.

Mary Mallon merupakan pembawa penyakit ini yang tidak menunjukkan sebarang gejala (asymptomatic).

Langkah Pencegahan

Penutup

Perkataan “Halalan Toyyiban” disebut sebanyak empat kali di dalam al-Quran:

  • al-Baqarah ayat 168
  • al-Maidah ayat 88
  • al-Anfal ayat 69
  • an-Nahl ayat 114

Kalimah Halalan Toyyiban ini membawa maksud benda-benda (makanan dan minuman) yang halal lagi baik. Penulis amat tertarik dengan konsep ini yang  menyatakan, makanan halal sahaja tidak mencukupi bahkan perlu juga baik, selamat,bersih, suci dan tidak memudharatkan kesihatan.

Rujukan:



  1. Water-Borne Disease: Issues and Strategies by Dr Rohani Jahis, Disease Control Division, MOH Malaysia
  2. Healthline: How Long You Can Live Without Food
  3. MedicalNewToday: How Long You Can Live Without Water
  4. World Health Organization: Drinking-water
  5. MyHEALTH: Taun
  6. International Association for Medical Assistance to Travellers: Cholera
  7. World Health Organization: 1996- Cholera in Malaysia
  8. Infection Landscapes: Cholera
  9. Jabatan Penerangan Negeri Sabah
  10. Wikipedia: John Snow
  11. Wikipedia: 1854 Broad Street cholera outbreak
  12. Jikal, M., Riduan, T., Aarifin, R., Jeffree, M. S., & Ahmed, K. (2019). Cholera outbreak by Sea Gypsies in Sabah, Malaysia: A challenge in North Borneo. International Journal of Infectious Diseases, 83, 83-85.
  13. MyHEALTH: Demam Kepialu (Tifoid)
  14. Harian Metro: Wajib dapatkan suntikan vaksin
  15. Wikipedia: Mary Mallon
  16. Infection Landscape: Typhoid fever
  17. Goay, Y. X., Zaidi, N. F. M., Low, H. C., Hussin, H. M., Hamzah, W. M., Bhore, S. J., … & Phua, K. K. (2013). Epidemiological analysis of typhoid fever in Kelantan from a retrieved registry. Malaysian Journal of Microbiology, 9(2), 147-151.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × 2 =