Penyakit Kolera: Punca, Simptom dan Rawatan

Published by Dr Latif Saad on

75Shares

Penyakit kolera adalah jangkitan di dalam saluran permakanan disebabkan bakteria yang bernama Vibrio cholera. Simptom utama yang berlaku apabila dijangkiti bakteria ini adalah cirit-birit yang teruk. Ada sesetengah kes dimana jangkitan tersebut menjadi teruk dengan mengambil masa beberapa jam sahaja sehingga menyebabkan kematian.

Jangkitan kolera merebak melalui pengambilan makanan ataupun air yang tercemar. Selalunya bakteria itu akan dikeluarkan bersama najis dari cirit pesakit. Ketika mana, pesakit itu tidak membersihkan tangan tersebut dengan betul, ia boleh merebak kepada orang lain.

Punca Kolera

Punca penyakt ini adalah disebabkan bakteria Vibrio cholera yang berbentuk seperti koma. Ia adalah bakteria yang boleh hidup sama ada memerlukan oksigen ataupun tidak.

Bakteria ini juga boleh menyebabkan wabak di sesetengah kawasan malah ia boleh merebak dengan lebih jauh lagi.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan bakteria ini merebak dan menyebabkan wabak. Ia adalah:

Faktor persekitaran

V cholera boleh wujud di dalam air masin dan selalunya ia hidup di dalam kawasan marin bersama-sama dengan plankton.

Bakteria ini boleh hidup pada 2 kawasan sahaja iaitu di dalam manusia dan air sahaja. Ia sangat jarang dijumpai pada haiwan.

Kadar jangkitan selalunya tinggi dikawasan yang mempunyai sistem pengairan yang tidak efektif. Menyebabkan masyarakat yang tinggal dikawasan tersebut terdedah dengan air yang tercemar dengan bakteria ini.

Faktor Manusia

Masyarakat yang tinggal dikawasan yang selalu berlaku wabak ini selalunya mempunyai kadar jangkitan yang rendah mungkin disebabkan mereka pernah dijangkiti kuman ini pada waktu kecil.

Seseorang individu yang mengalami masalah imun lebih mudah terkena jangkitan ini dan boleh menyebabkan komplikasi yang teruk.



Prognosis (Kesudahan Pesakit)

Sebelum wujudnya pemberian air yang boleh dimasukkan terus ke dalam saluran darah, kadar kematian adalah pada 50%. Kematian ini selalunya berlaku pada wanita yang sedang mengandung dan juga kanak-kanak.

Apabila wujudnya rawatan pemberian air ke dalam saluran darah, kematian disebabkan penyakit ini turun dengan drastik hingga pada paras kurang dari 1%.

Simptom dan Tanda Tanda Kolera

Apabila seseorang itu terdedah dengan bakteria ini, ia mengambil masa 24-48 jam untuk pesakit mula mempunyai tanda-tanda jangkitan kolera.

Tanda-tanda tersebut

  • Cirit-birit: Cirit birit yang cair dan mempunyai isipadu yang banyak adalah simptom utama jangkitan kolera. Disebabkan pesakit ini mempunyai isipadu cirit yang banyak, selalunya pesakit tidak akan mampu menahan diri untuk membuang air besar. Najis yang terhasil juga akan berwarna putih seperti air yang digunakan untuk cuci beras.
  • Muntah: Simptom ini tidak semestinya berlaku pada mereka yang mempunyai masalah ini. Ia selalunya berlaku disebabkan darah pesakit yang menjadi semakin berasid. Cirit-birit yang teruk boleh menyebabkan darah seseorang menjadi lebih berasid kerana kekeringan yang dialami oleh pesakit

Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat penyakit lain yang menyebabkan simptom yang sama seperti:

Penyiasatan

Untuk mengesahkan seseorang itu mengalami penyakit kolera, najis pesakit perlulah diambil dan dihantar ke makmal untuk tujuan kultur.

Ketika mana najis diambil, spesimen diambil dan diletakkan dalam satu medium(bekas yang sesuai berserta makanan bakteria tersebut) untuk tujuan membiakkan bakteria tersebut.

Setelah bakteria tersebut membiak, bakteria itu akan diletakkan dibawah makriskop untuk melihat strukturnya dan beberapa ujian lain akan dibuat untuk mengesahkan bahawa bakteria tersebut adalah V cholera.

Rawatan penyakit kolera

Rawatan untuk penyakit ini melibatkan pemberian air dan juga antibiotik. Rawatan yang paling penting untuk mengelakkan pesakit mengalami komplikasi disebabkan penyakit ini adalah pemberian air yang mencukupi. oleh itu, tidak dapat tidak pesakit perlulah selalu mengambil air untuk mengelakkan dirinya kekeringan.

1. Pemberian air(Rehidrasi)

Pesakit yang mengalami kekeringan(dehidrasi) yang sedikit selalunya akan disuruh untuk mengambil air dengan lebih banyak. Pesakit juga akan diberikan air garam untuk diminum setiap kali cirit.

Bagi pesakit yang mengalami kekeringan yang teruk, pesakit akan dimasukkan ke dalam wad untuk dimasukkan air secara intravenous(masukkan air terus ke dalam saluran darah). Ini penting untuk mengelakkan pesakit mengalami kurang tekanan darah yang boleh menyebabkan kematian.

2. Antibiotik

Penggunaan antibiotik boleh mengurangkan masa pesakit untuk tinggal lebih lama di dalam hospital. Ini kerana ia boleh membantu dalam membunuh kuman kolera.

Terdapat beberapa jenis antibiotik yang boleh digunakan seperti doxycycline, tetracyline, ciprofloxacin, trimethoprim dan beberapa antibiotik yang lain,



Rujukan;

  1. Centers for Disease Control and Prevention. Cholera. Available at http://www.cdc.gov/cholera/index.html
  2. Tobin-D’Angelo M, Smith AR, Bulens SN, et al. Severe diarrhea caused by cholera toxin-producing vibrio cholerae serogroup O75 infections acquired in the southeastern United States. Clin Infect Dis. 2008 Oct 15. 47(8):1035-40.
  3. CDC. Two cases of toxigenic Vibrio cholerae O1 infection after Hurricanes Katrina and Rita–Louisiana, October 2005. MMWR Morb Mortal Wkly Rep. 2006 Jan 20. 55(2):31-2.
  4. WHO. Cholera vaccines: WHO position paper. World Health Organization. Available at http://www.who.int/wer/2010/wer8513.pdf.
  5. Pan American Health Organization. EOC Situation Report – Cholera Outbreak #20. Pan American Health Organization. Available at http://new.paho.org/blogs/haiti/?p=2034.
  6. Rehydration Project. Oral Rehydration Solutions: Made at Home. Available at http://rehydrate.org/solutions/homemade-ors.pdf.
Categories: Perubatan

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *