Skip to content

SINDROM PATAH HATI BOLEH MEMBAWA MAUT

Sindrom Patah Hati yang juga dikenali sebagai Takotsubo Cardiomyopathy adalah satu masalah kesihatan yang mirip dengan serangan jantung dan selalunya berpunca daripada perasaan sedih dan kecewa yang amat kuat. Golongan wanita merupakan golongan yang selalunya mendapat serangan ini.

Nama takotsubo berasal dari perkataan jepun, yang membawa maksud “ perangkap sotong “. Keadaan ini mula-mula ditemui oleh Dr. Hikaru Sato pada tahun 1991. Menurut Dr. Hikaru Sato, jantung pesakit menunjukkan pembesaran yang abnormal di sebelah kiri ventrikel jantung. Ia menyerupai sebuah balang yang biasanya digunakan untuk menangkap sotong oleh masyarakat jepun.

Pesakit selalunya akan mengalami tanda-tanda serangan jantung seperti sakit dada yang teruk dan sesak nafas. Penyiasatan rutin yang dilakukan di hospital untuk mengesan serangan jantung seperti penyiasatan Electrocardiogram (ECG) dan ujian darah akan menjadi positif.



Namun setelah penyiasatan lebih lanjut seperti angiogram, echocardiogram, magnetic resonance imaging (MRI) dilakukan, tiada sebarang penyumbatan pada salur darah jantung dikesan yang mana penyumbatan salur sarah adalah penyebab utama serangan jantung yang biasa.

Selain itu, menerusi sejarah pesakit yang diambil oleh doktor selalunya mendapati pesakit sedang mengalami tekanan emosi yang kuat akibat masalah seperti putus cinta dan kematian orang tersayang. Melalui penyiasatan-penyiasatan yang dijalankan dan riwayat yang diambil dari pesakit, barulah masalah ini dapat disahkan sebagai sindrom patah hati.

Negara Jepun telah melaporkan sindrom ini ke negara barat pada tahun 2001 dengan nama lain iaitu Transient Left Ventricular Apical Ballooning.

Patogenesis bagi masalah ini masih lagi belum dapat dipastikan secara jelas. Namun, terdapat beberapa kajian telah dilakukan dan salah satunya menyatakan bahawa tindakan saraf simpatetik yang keterlaluan akibat faktor penggalak seperti tekanan emosi yang kuat dan kehadiran hormon Catecholamines seperti adrenaline dan dopamine yang berlebihan menyebabkan kecederaan otot jantung (myocardium).

Prognosis bagi masalah ini adalah baik dimana kebanyakan pesakit dilaporkan telah berjaya disembuhkan. Namun, sekiranya tidak diberi rawatan awal yang sepatutnya, Sindrom Patah Hati ini mampu membunuh anda kerana ianya melibatkan kecederaan jantung yang sudah pastinya sangat berbahaya.



Oleh itu, sekiranya anda baru sahaja ditinggalkan kekasih hati, janganlah terlalu bersedih kerana ibarat pepatah orang lama ; bunga bukan sekuntum, kumbang pula bukan seekor. Begitu juga halnya bagi perkara lain yang merunsingkan anda, ingatlah bahawa setiap musibah itu punya hikmah tersembunyi.“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216).

Rujukan

  1. A. Tofield (1 October 2016) Hikaru Sato and Takotsubo Cardiomyopathy, European Heart Journal, Volume 37, Issue 37 , Pages 2812, ISSN 1522-9645
  2. Akashi YJ, Nakazawa K, Sakakibara M, Miyake F, Koike H, Sasaka K. The clinical features of takotsubo cardiomyopathy. QJM 2003;96:563–73.
  3. Tsuchihashi K, Ueshima K, Uchida T, Oh-mura N, Kimura K, Owa M, et al. Transient left ventricular apical ballooning without coronary artery stenosis: a novel heart syndrome mimicking acute myocardial infarction. Angina Pectoris-Myocardial Infarction Investigations in Japan. J Am Coll Cardiol 2001;38:11–8.
  4. Wittstein IS, Thiemann DR, Lima JA, Baughman KL, Schulman SP, Gerstenblith G, et al. Neurohumoral features of myocardial stunning due to sudden emotional stress. N Engl J Med 2005;352:539–48.
  5. White M, Wiechmann RJ, Roden RL, Hagan MB, Wollmering MM, Port JD, et al. Cardiac beta-adrenergic neuroeffector systems in acute myocardial dysfunction related to brain injury. Evidence for catecholamine-mediated myocardial damage. Circulation 1995;92:2183–9.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × one =