Skip to content

Strok & Sakit Jantung: Bagaimana darah tinggi menyebabkan perkara ini?

Sering kali kita dengar mereka yang mengalami angin ahmar (strok) ataupun sakit jantung mesti mempunyai faktor risiko terutamanya tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi. Tetapi bagaimanakah tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kedua-dua masalah ini?

Apakah itu tekanan darah tinggi?

Tekanan darah tinggi ditakrifkan sebagai bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90 mmHg. Bacaan tekanan darah tinggi ini juga mesti diambil 2 kali atau lebih pada waktu yang berbeza.

Jika ia masih berterusan melebihi 140/90, maka seseorang itu dikatakan mempunyai masalah tekanan darah tinggi



Tekanan darah manusia yang normal adalah diantara 90-140 untuk bacaan atas dan 60-90 bagi bacaan bawah.

Bagaimana tekanan darah tinggi menyebabkan strok dan sakit jantung?

Ketika tekanan darah menjadi lebih tinggi akan terdapat beberapa perubahan pada saluran darah

  • Lebih mudah berkalu atherosclerosis
  • Dinding saluran darah yang normal menjadi lebih nipis

Atherosclerosis adalah penebalan dinding saluran darah yang dipenuhi dengan kolesterol. Perkara ini terjadi kerana tekanan darah yang tinggi itu sendiri akan menyebabkan salur darah tercedera.

Ini akan menyebabkan sel darah putih memasuki dalam dinding saluran darah tersebut. Ketika dinding saluran darah itu rosak, kolesterol yang diangkut oleh lipoprotein akan masuk ke dalam dinding saluran darah dan dioksidakan oleh sel darah putih tersebut. Perkara inilah yang akan menyebabkan kolesterol terkumpul pada saluran darah

Dinding saluran darah akan mula menebal dan diameternya semakin berkurangan. Dan kadang-kadang terdapat benjolan dalam saluran darah yang dinamakan sebagai artherosclerotic plug.



Arthersclerotic plug ini adalah benjolan yang rapuh dan boleh pecah pada bila-bila masa. Ketika bacaan darah tinggi meningkat, ia akan memberi tekanan yang lebih pada benjolan ini dan menyebabkan ia pecah.

Ketika benjolan itu pecah, ia mendedahkan bahagian dalam dinding saluran darah yang akan memulakan mekanisma pembekuan darah. Ia sama seperti jika seseorang itu mengalami luka dan berdarah. Pendarahan itu berhenti disebabkan pendedahan bahagian dalam dinding saluran darah. Bahagian dalam saluran darah inilah yang menyebabkan mekanisma pembekuan darah bermula

Cumanya dalam masalah artherosclerotic plug, dinding saluran darah itu tidak pecah keluar.

Pembekuan darah itu pula berlaku di dalam saluran darah. Inilah yang akan menyempit dan menyumbatkan saluran darah menyebabkan darah tidak boleh mengalir

Kawasan selepas daripada sumbatan akan mengalami kekurangan oksigen dan disinilah angin ahmar dan juga sakit jantung akan berlaku. Jika ia berlaku pada saluran darah di bahagian otak, ia menyebabkan angin ahmar. Jika ia berlaku di jantung, ia menyebabkan serangan sakit jantung.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Ramai yang ada masalah tekanan darah tinggi, tetapi tidak tahu dia mempunyai masalah tersebut

Satu per tiga daripada mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai masalah tersebut. Ini kerana masyarakat tidak selalu menjalankan pemeriksaan tekanan darah secara berkala.

Mereka yang tidak tahu mempunyai tekanan darah tinggi inilah yang mempunyai berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi yang diceritakan diatas. Ini kerana artherosceloris berlaku pada satu jangka masa yang lama. Disebabkan mereka tidak mempunyai apa-apa simptom, maka pembentukan atherosclerosis berlaku sedikit demi sedikit hingga menyebabkan strok dan sakit jantung datang tanpa amaran.

Jika pesakit tekanan darah tinggi dapat dirawat pada awalnya, sudah tentu artherosclerosis itu tidak terjadi dan angin ahmar serta sakit jantung dapat dielakkan



Kesimpulan

Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, individu dalam masyarakat perlulah sentiasa membuat pemeriksaan tekanan darah tinggi secara berkala. Jika boleh setiap tahun sekali untuk periksa tekanan darah, gula dalam darah dan juga BMI(Body mass index).

Perkara ini adalah penting untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing.

Rujukan:

  1. Hollander W. Role of hypertension in atherosclerosis and cardiovascular disease. Am J Cardiol. 1976 Nov 23;38(6):786-800.
  2. Johansson BB. Hypertension mechanisms causing stroke. Clin Exp Pharmacol Physiol. 1999 Jul;26(7):563-5.
  3. Sumber Featured image: medicalnewstoday.com
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 + 1 =