Kolesterol Tinggi: Punca, Tanda dan Rawatan

Published by Dr Latif Saad on

Home » Artikel Terbaru » Perubatan » Kolesterol Tinggi: Punca, Tanda dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah kolesterol tinggi beserta rawatan yang boleh dilakukan untuk mengurangkan masalah ini?

Artikel ini akan membincangkan secara lengkap berkenaan punca kepada masalah ini, simptom dan juga rawatan yang boleh dibuat untuk mengurangkan kolesterol dalam darah.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca Kolesterol Tinggi
  3. Simptom Kolesterol Tinggi
  4. Faktor Risiko Sakit Jantung
  5. Diagnosa-diagnosa lain
  6. Rawatan Kolesterol tinggi
  7. Cara untuk mengurangkan kolesterol dalam darah
  8. Lemak Trans Vs Lemak Tepu

Pengenalan


Kolesterol tinggi merupakan salah satu penyakit yang sering dihadapi oleh masyarakat. Ia selalu dihadapi bagi mereka yang berisiko seperti orang yang berlebihan berat badan, sejarah keluarga yang mempunyai penyakit kolesterol tinggi dan juga mereka yang sedang mengalami penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Anda panggilnya kolesterol tinggi. Tetapi doktor memanggilnya sebagai hypercholesterolemia. Masalah ini boleh dirawat. Tetapi ia memerlukan perubahan terhadap gaya hidup individu tersebut.

Tujuan rawatan ataupun perubahan cara hidup itu adalah untuk mengurangkan kolesterol yang berbahaya kepada badan. Dengan berbuat sedemikian, anda akan mengurangkan risiko untuk terkena serangan sakit jantung dan juga angin ahmar.

Punca Kolesterol Tinggi


Kolesterol adalah salah satu jenis lemak yang dihasilkan dalam badan. Ia juga boleh berasal daripada makanan yang kita makan.

Majoriti daripada kenaikan kolesterol dalam badan kita adalah berasal daripada gula, lemak tepu dan juga lemak trans yang diambil oleh kita. Pengambilan makanan yang mempunyai kolesterol hanya sedikit mempengaruhi bacaan kolesterol dalam badan.

Beberapa makanan yang perlu anda kurangkan untuk mengelakkan kolesterol jahat meningkat di dalam badan adalah:

  • Gula dan makanan manis
  • Ais krim
  • Majerin
  • Butter
  • Pastri
  • Daging merah

Perlu diketahui gula itu sendiri tidak mempunyai kolesterol. Tetapi apabila ia memasuki badan, produk yang terhasil daripada metabolisma gula adalah Acetyl CoA. Acetyl CoA sepatutnya digunakan untuk menghasilkan tenaga. Jika ia tidak diguna oleh badan, ia akan ditukarkan samada menjadi kolestrol ataupun lemak.

Manakala pengambilan lemak seperti lemak trans dan lemak tepu juga akan meningkatkan kolesterol dalam badan jika ia tidak digunakan.

Sebab itu punca utama dalam masalah kolesterol ini adalah pemakanan dan juga gaya hidup. Bermaksud jika anda asyik mengambil makanan yang akan meningkatkan kolesterol dalam badan juga mengamalkan gaya hidup tidak sihat dan tidak selalu bersenam, maka kolesterol dalam badan akan meningkat.

Walaupun begitu, terdapat juga sesetengah pesakit yang mengalami kolesterol tinggi disebabkan keturunan (Familial hypercholesterolemia). Di dalam pesakit ini, terdapat genetik yang meningkatkan penghasilan kolesterol dalam badan dengan sendirinya

Simptom dan Tanda Tanda Kolesterol Tinggi


Kebanyakan mereka yang mengalami masalah kolesterol tinggi pada mulanya tidak mengetahui mereka mempunyai masalah tersebut. Kerana selalunya kolesterol yang tinggi tidak menghasilkan apa-apa simptom kepada pesakit.

Sehinggalah anda kena samada sakit jantung, angin ahmar ataupun tekanan darah tinggi.

Ada juga tanda tanda kolesterol tinggi yang lain. Beberapa adalah:

  • Tendon Xanthoma. Ianya merupakan benjolan kolesterol yang melekat pada sendi. Tanda ini spesifik untuk mereka yang mengalami kolesterol tinggi disebabkan keturunan (Familial hypercholesterolemia)
  • Xanthelasma. Ia merupakan benjolan kolesterol di sekeliling mata. Tetapi tidak semestinya mereka yang mempunyai tanda ini sedang mengalami kolesterol yang tinggi.

Faktor Risiko Sakit Jantung


Bacaan kolesterol yang tinggi sedikit bagi mereka yang tidak mempunyai masalah lain adalah tidak mengapa. Tetapi jika mereka mengalami masalah berikut, maka dinasihatkan untuk mengurangkan bacaan kolesterol kerana ia boleh menyebabkan serangan sakit jantung. Faktor risiko tersebut adalah:

  • Umur: Melebihi 45 tahun bagi lelaki dan 55 tahun bagi wanita
  • Sejarah keluarga yang menunjukkan pernah berlakunya serangan sakit jantung(Untuk golongan lelaki, serangan sakit jantung kurang daripada 55 tahun. Untuk wanita, serangan sakit jantung pada umur kurang daripada 65 tahun)
  • Merokok
  • Mempunyai tekanan darah tinggi(lebih daripada 140/90)
  • Kencing manis

Diagnosa-diagnosa lain


Terdapat beberapa diagnosa lain yang menyebabkan bacaan kolesterol meningkat. Ianya adalah:

Rawatan Kolesterol Tinggi


Rawatan bagi pesakit yang mempunyai kolesterol yang tinggi terbahagi kepada 2 iaitu perubahan gaya hidup dan juga pemberian ubat

Perubahan gaya hidup

Perubahan gaya hidup adalah merujuk kepada perubahan dalam pemakanan, pengurangan berat badan, aktiviti fizikal yang berkala, berhenti merokok dan mengurangkan atau memberhentikan pengambilan alkohol.

Untuk pesakit yang tidak mempunyai faktor risiko, rawatan kolesterol tinggi akan ditumpukan pada rawatan perubahan gaya hidup

Ubat

Terdapat beberapa jenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan kolersterol dalam darah.Ianya adalah:

  1. HMG CoA Reductase Inhibitors. Fungsi ubat ini adalah untuk merencat penghasilan kolesterol dalam badan. Ia diberi waktu sebelum tidur kerana hanya kolesterol banyak dihasilkan ketika seseorang tidur. Contoh ubat ini adalah Lovastatin, Simvastatin dan Atorvastatin
  2. Fibrate. Beberapa jenis ubat tersebut adalah Fenofibrate dan juga gemfibrozil

Cara Untuk Mengurangkan Kolesterol


Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan kolesterol dalam darah

1. Permakanan

Disebabkan lemak trans dan juga lemak tepu boleh menyebabkan kolesterol jahat menjadi tinggi, pesakit dinasihatkan untuk mengurangkan makanan jenis ini.

Makanan tersebut ada disenaraikan dalam bahagian punca kolesterol di atas. Pesakit juga perlu mengurangkan pengambilan gula kerana ia juga meningkatkan bacaan kolesterol.

Pesakit dinasihatkan untuk mengambil sayur dalam kuantiti yang lebih berbanding makanan yang mengandungi karbohidrat ataupun lemak. Pengambilan minyak omega 3 juga terbukti mengurangkan kolesterol jahat di dalam badan.

2. Mengurangkan berat badan

Perkara ini adalah penting bagi pesakit yang mengalami berat badan yang berlebihan. Kajian menunjukkan mereka yang mengurangkan berat badan akan mengurangkan kolesterol jahat dan meningkatkan kolestrol baik.

3. Melakukan aktiviti fizikal secara berkala

Peningkatan aktiviti fizikal dan pengurangan berat badan akan menambahkan lagi kesan pengurangan kolesterol jahat dalam badan. Ia juga akan menyebabkan tekanan darah menjadi normal, kawalan gula lebih elok dan kolesterol jahat menjadi rendah.

Senaman perlulah dilakukaan secara berkala iaitu 3 kali dalam seminggu

4. Berhenti merokok dan alkohol

Merokok merupakan salah satu faktor risiko yang kuat untuk menyebabkan seseorang itu terkena sakit jantung ataupun serangan strok. Mengurangkan pengambilan alkohol juga mampu mengurangkan bacaan kolesterol jahat dalam darah

Lemak Trans vs Lemak Tepu


Ramai daripada orang ramai tidak tahu bahawa marjerin merupakan lemak trans yang kesan buruknya lebih teruk daripada pengambilan lemak tepu seperti butter.

Majerin sebagai contohnya merupakan lemak trans dimana ia berasal daripada lemak tumbuhan iaitu lemak tidak tepu. Sebelum diproses, lemak tidak tepu ini berada dalam keadaan cecair seperti minyak. Tetapi selepas proses penghidrogenan dijalankan, sesetengah daripada lemak tersebut akan berubah menjadi lemak tepu dan yang lain pula menjadi lemak trans. Lemak jenis ini selalunya berada dalam keadaan pepejal.

Lemak trans inilah yang akan memberi kesan buruk ke atas badan kita. Ia akan meningkatkan kolesterol dalam badan serta meningkatkan risiko untuk terkena sakit jantung dan angin ahmar. Di US kini, lemak trans menjadi punca utama kepada masalah sakit jantung yang melanda negara tersebut. Ia diterukkan lagi jika seseorang itu tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat

Rujukan

  1. Clinical Practice Guideline: Management of Hyperlipidemia. Ministry of Health Malaysia
  2. Lewington S, Whitlock G, Clarke R, et al. Blood cholesterol and vascular mortality by age, sex, and blood pressure: a meta-analysis of individual data from 61 prospective studies with 55,000 vascular deaths. Lancet. 2007 Dec 1. 370(9602):1829-39.
  3. Sniderman AD, Tsimikas S, Fazio S. The severe hypercholesterolemia phenotype: clinical diagnosis, management, and emerging therapies. J Am Coll Cardiol. 2014 May 20. 63(19):1935-47.
5 1 vote
Article Rating
Categories: Perubatan

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science. Follow facebook saya di Latif Saad

Ikut perbincangan ini
Hantar notifikasi jika
guest
6 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Undian Terbanyak
Inline Feedbacks
View all comments
Hamsiah Binti Rahani
Hamsiah Binti Rahani
1 Bulan lalu

Jari jari kebas,susah untuk memegang barang,adakah kadar kolestrol dlm badan tinggi?
Tq

Nik Yaacob Bin Raja Aslam
Nik Yaacob Bin Raja Aslam
1 Bulan lalu

saya baru membuat pemeriksaan ,dan doc mendapati kolestrol saya tinggi.doc sarankan saya memakan ubat 1/2 biji pada waktu malam.

soalan saya — benarkah merokok penyebab utama kolestrol?
adakah saya boleh menghilangkan balik kolestrol saya?

cara terbaik bagi menurunkan kadar kolestrol tinggi?

terima kasih

Leah
Leah
6 Bulan lalu

Bolehkah ubat kolesteral menyebabkan kerosakan buah pinggang jika diambil untuk jangka waktu panjang, terima kasih

6
0
Tanya soalan anda disinix
()
x