Skip to content

Tiroid: Struktur, Fungsi dan Kepentingan dalam Perubatan

Kalenjar tiroid merupakan salah satu kelenjar endokrin yang terletak pada bahagian hadapan leher. Ia mengandungi 2 bahagian yang berhubungan dengan bahagian tengah yang kecil. Penghubung itu dipanggil sebagai ‘isthmus’. Ia terletak dibawah halkum

Ia merupakan kelenjar yang menghasilkan hormon tiroid yang membantu dalam kawalan metabolik dan juga penghasilan protein di dalam badan. Bahkan ia juga membantu pembesaran mental dan fizikal pada kanak-kanak. Jika kalenjar ini tidak berfungsi atau tidak boleh menghasilkan hormonnya, maka pertumbuhan kanak-kanak tersebut akan terbantut.

Penghasilan hormon tiroid dikawal selia oleh hormon perangsang tiroid yang dirembeskan oleh kalenjar pituitari di bahagian otak. Manakala yang mengawal kalenjar pituitari pula adalah pada bahagian hipotalamus yang merupakan sebahagian daripada otak.

Struktur



Ia berbentuk seperti rama-rama dimana ia terletak pada bahagian hadapan leher. Ia mempunyai 2 bahagian iaitu bahagian kiri dan kanan yang disambungkan oleh bahagian tengah yang kecil. Bahagian tengah itu dipanggil sebagai isthmus.

Kalanjer ini terletak dibawah halkum dan menyelaputi bahagian hadapan trakea iaitu saluran udara daripada tekak ke dalam paru-paru.

Lapisan luar kalenjar adalah bersambungan dengan tisu yang dinamakan dengan pretracheal fascia dan ia melekat pada rawan cricoid dan rawan tiroid. Rawan tiroid merupakan tisu yang fleksibel dan ia mempunyai satu unjuran di bahagian hadapan. Unjuran inilah yang dinamakan sebagai halkum(adam’s apple).

Ketika manusia menelan makanan, rawan cricoid dan tiroid akan bergerak ke atas dan kebawah bersama-sama dengan kalenjar tersebut disebabkan ia bersambungan dengan tisu pretracheal fascia. Oleh sebab itulah jika doktor memeriksa tiroid seseorang, selalunya mesti dia akan pegang bahagian tiroid dan suruh seseorang itu menelan. Ini kerana doktor ingin mengetahui bahawa struktur yang dipegang itu adalah tiroid ataupun tidak. Jika ia bergerak, maka ia adalah kelanjar tiroid.

Mikroanatomi

Pada peringkat mikroskopik, terdapat 3 karakter yang ada pada kalenjar tersebut. Ianya terdiri daripada folikel, sel folikular dan sel parafolikular



Folikel

Folikel di kalenjar ini adalah struktur yang berbentuk bulat di dalam kalenjar tiroid dimana ia dikelilingi oleh sel folikular. Di dalam folikel inilah terdapat bahan yang akan membentuk hormon thyroxine. Ianya terdiri daripada thyroglobulin dan juga glycoprotien yang telah bergabung dengan usur iodin

Sel folikular

Teras folikel pula dikeliling oleh sel folikular. Apabila sel ini dirangsang oleh hormon perangsang tiroid, ia akan merembeskan hormon yang terdiri daripada thyroxine dan juga triiodothyronine.

Ia menghasilkan hormon thyroxine dengan menggunakan thyroglobulin di dalam folikel tersebut.

Sel parafolikular

Sel ini terdapat di antara folikel. Ia menghasilkan hormon calcitonin yang berfungsi untuk mengelakkan penyerapan semula kalsium di buah pinggang dan mengurangkan aktiviti sel osteoclast.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Fungsi Tiroid

Fungsi utama bagi kalenjar ini adalah untuk menghasilkan hormon tiroid yang terdiri daripada thyroxine dan triiodothyronine. Ia juga dapat menghasilkan hormon calcitonin yang menjadi salah satu hormon untuk mengawal metabolisma kalsium di dalam badan.



Metabolik: Hormon thyroxine meningkatkan kadar metabolik di dalam badan. Ia meningkatkan penyerapan makanan di usus dan penguraian glukosa(karbohidrat) di dalam sel. Ia juga meningkatkan penguraian lemak.

Kardiovaskular: Ia meningkatkan kadar dan kekuatan denyutan jantung. Kadar pernafasan dan kadar penggunaan oksigen juga meningkat. Ini kerana metabolisma pada sel badan meningkat dan menyebabkan ia memerlukan oksigen yang lebih. Maka badan akan cuba menyeimbangkan perkara tersebut dengan meningkatkan kadar pernafasan dan juga kadar denyutan jantung

Pertumbuhan: Hormon tiroid adalah penting untuk tumbesaran yang normal. Ia meningkatkan kadar tumbesaran bagi kanak-kanak. Sel otak merupakan salah satu sel yang menjadi fokus utama bagi hormon tiroid dalam kanak-kanak. Ia penting bagi kematangan otak mereka.

Kepentingan dalam bidang perubatan

Masalah Hipertiroid

Penghasilan hormon thyroxine yang banyak dipanggil sebagai masalah hipertiroid(hyperthyroidism). Ia selalu disebabkan penyakit Graves, Goiter toksik dan juga adenoma tiroid.

Hipertiroid selalunya mempunyai simptom seperti tinggi selera makan tetapi masih mempunyai berat badan yang berkurangan, susah untuk tidur, tidak tahan panas, tangan yang menggeletar, berdebar-debar, selalu mempunyai rasa risau dan gementar. Dalam kes yang teruk, ia boleh menyebabkan sakit dada dan cirit-birit.

Bacaan lebih lanjut berkenaan hipertiroid: Punca, simptom dan cara rawatan

Masalah Hipotiroid



Masalah hipotiroid terjadi apabila kalenjar tersebut tidak menghasilkan hormon thyroxine pada kadar yang normal. Ini akan menyebabkan simptom seperti berat badan yang meningkat walaupun kurang selera makan.

Kekurangan unsur iodin di dalam makanan merupakan punca utama masalah hipotiroid di kawasan bukit. Manakala, Hashimoto’s thyroiditis pula merupakan salah satu punca hipotiroid pada negara yang telah membangun

Masalah hipotiroid selalunya diatasi dengan pemberian ubat thyroxine bagi menggantikan hormon thyroxine di dalam badan.

Bacaan lebih lanjut berkenaan hipotiroid: Punca, simptom dan cara rawatan

Goiter

Kalenjar tiroid yang membesar di panggil sebagai goiter. Ada beberapa penyebab yang boleh menyebabkan kalenjar tersebut membesar seperti penyakit Graves, jangkitan kuman, sarocidosis dan beberapa penyebab lain.

Ada juga masalah goiter yang tidak mempunyai apa-apa penyebab.

Selain daripada itu, goiter juga boleh menyebabkan masalah hipotiroid dan juga hipertiroid.



Rujukan:

  1. Cummings CW, et al. Thyroid anatomy. Cummings CW, ed. Otolaryngology – Head and Neck Surgery. 3rd ed. St. Louis, Mo: Mosby; 1998. 2445-49.
  2. Thyroid gland. Williams PL, Bannister LH, et al. Gray’s Anatomy. 38th ed. New York, NY: Churchill Livingstone; 1995. 1891-6.
  3. Sumber featured image: amandean.com
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 2 =