Skip to content

Ubat Cetirizine: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat cetirizine dan kesan sampingannya? Artikel ini akan membincangkan penggunaan ubat cetrizine, dos, kesan sampingan, peringatan dan simptom yang berlaku jika pengambilan dos yang berlebihan

Pengenalan

Cetirizine ialah ubat generasi kedua antihistamin yang sering digunakan untuk merawat alahan/allergi. Ubat ini telah dipatenkan pada tahun 1981 dan telah digunakan semenjak tahun 1987. Anda boleh mendapatkan ubat ini dalam bentuk tablet atau kapsul di farmasi tanpa perlu preskripsi daripada doktor. Secara umumnya, ubat ini sangat efektif dan selamat untuk digunakan.

Nama generic: Cetirizine



Nama brand:

  • Zyrtec
  • Zertin
  • Sunizine
  • Simtec
  • Pharmaniaga Cetirizine
  • Cezti
  • Cetihis
  • Ceritec
  • Axcel Cetirizine

Jenis Antihistamin

Antihistamin boleh dibahagikan kepada:

  • Generasi pertama (Diphenhydramine, promethazine)
  • Generasi kedua (Loratadine, cetirizine)
  • Generasi ketiga (Fexofenadine)

Selalunya generasi pertama antihistamin akan menyebabkan seseorang itu rasa mengantuk dan mudah tidur. Ini disebabkan generasi pertama antihistamin mudah untuk masuk merentasi ‘Blood Brain Barrier’ menyebabkan mereka mudah bertindak balas dengan reseptor dalam otak sehingga mana menyebabkan pesakit mengantuk.

Bagi generasi kedua, selalunya ia tidak menyebabkan rasa mengantuk bagi kebanyakan individu.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kegunaan

Ubat ini boleh digunakan untuk:

  • Alahan
  • Selesema
  • Resdung atau dalam istilah perubatan dipanggil sebagai Allergic Rhinitis(radang hidung disebabkan oleh reaksi alahan kepada bahan-bahan seperti hama)
  • Keadaan alergi kulit seperti ekzema dan urtikaria (gatal-gatal)
  • Konjunktivitis alergi (radang mata)


Ubat ini boleh menghilangkan simptom penyakit tetapi ia tidak boleh  menghalang penyakit daripada berlaku.

Cara Ubat Bertindak

Apabila seseorang yang mempunyai alahan/allergi terkena alergen (bahan yang menyebabkan alahan/allergi) contohnya debunga dan hama, badan secara semulajadi akan merembeskan histamin iaitu sejenis protein yang digunakan oleh sistem imun untuk membantu melindungi sel-sel badan daripada jangkitan.

Pembebasan histamin akan mencetuskan keradangan dan menyebabkan tisu berdekatan jangkitan menjadi merah dan bengkak. Ia juga boleh menjejaskan saraf di dalam kulit sehingga menyebabkan kulit berasa gatal. Cetirizine bertindak menyekat tindakan histamin terutamanya pada reseptor histamin 1 seterusnya mengelakkan berlakunya simptom alahan/allergi.

Cara Penggunaan

Ubat ini boleh diambil secara oral/makan sama ada diambil sebelum makan atau selepas makan.

Dos Cetirizine

Untuk orang dewasa, mereka boleh mengambil 10 mg sekali sehari.

Kanak-kanak:

  • 2-6 tahun: 2.5 mg dua kali sehari
  • 6-12 tahun: 5 mg dua kali sehari
  • >12 tahun: sama seperti orang dewasa

Penyimpanan Ubat

Ia hendaklah disimpan pada suhu antara 20°-25°C

Kesan Sampingan Ubat Cetirizine

Walaupun ubat ini kebiasaannya tidak menyebabkan mengantuk seperti generasi pertama antihistamin, ada sesetengah pengguna yang mempunyai respon berbeza dan masih berasa mengantuk. Justeru, pengguna dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan dan mengendalikan mesin selepas mengambil ubat tersebut bagi mengelakkan kemalangan berlaku.



Antara kesan sampingan lain yang boleh berlaku adalah:

  • Keletihan
  • Pening
  • Mulut kering
  • Sakit perut
  • Cirit birit
  • Muntah

Peringatan

Ubat ini tidak boleh boleh digunakan untuk pengguna yang mempunyai masalah buah pinggang yang teruk/kronik kerana ubat ini disingkirkan melalui buah pinggang.

Bagi mereka yang mempunyai masalah berikut, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil ubat ini. Keadaanya adalah seperti berikut:

  • Lelah
  • Kencing manis (jenis 1 dan jenis 2)
  • Darah tinggi
  • Sawan
  • Glaukoma
  • Pembesaran kelenjar prostat
  • Sakit jantung
  • Sakit buah pinggang
  • Kerosakan pundi kencing
  • Kerosakan hati
  • Usus tersumbat
  • Kelenjar tiroid yang terlampau aktif
  • Wanita mengandung atau menyusukan anak
  • Kanak-kanak terutamanya berusia 2 tahun ke bawah

Interaksi Antara Ubat

Interaksi ubat boleh berlaku. Pengguna mestilah memberitahu doktor atau ahli farmasi sekiranya ada menggunakan ubat untuk membantu tidur kerana kesan sampingan ubat ialah mengantuk. Seterusnya, penggunaan cetrizine bersama ubat yang bertindak pada sistem saraf tunjang akan menyebabkan pengguna mengalami mengantuk yang amat.

Selanjutnya, ubat ini tidak boleh diambil bersama theophyline kerana ia akan menyebabkan proses untuk cetirizine disingkirkan daripada badan menjadi lebih lama. Mengambil ubat ini bersama alkohol akan menyebabkan pengguna mengantuk dan kurang reaktif.

Kesan Terlebih Dos

Antara kesan terlebih dos adalah:

  • Confusion (keliru)
  • Tidak sedarkan diri
  • Jantung bergerak laju
  • Cirit birit
  • Pening
  • Sakit kepala
  • Pupil mata mengembang
  • Kegatalan
  • Tidak dapat kencing

Jika seseorang itu mengalami dos yang berlebihan hingga menyebabkan keracunan, maka prosedur cuci perut(Gastric lavage) akan dibuat untuk membersihkan bahagian dalam perut daripada ubat yang berlebihan itu.

Rujukan



  1. Cetirizine – Healthline
  2. MIMS Malaysia “Cetirizine”
  3. MyHEALTH “Antihistamin”
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × 2 =