Skip to content

Ubat Fentanyl: Dos, Kegunaan dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat fentanyl? Artikel ini akan membincangkan kegunaan ubat fentanyl, dos dan juga kesan sampingan ubat ini.

Pengenalan

Dalam merawat kesakitan tahap serius lebih-lebih lagi dalam kalangan pesakit kanser, ubat-ubat yang tersenarai dalam Akta Dadah Berbahaya akan lebih kerap diberikan sebagai rawatan utama. Namun begitu, penggunaan morfin kebiasaannya masih tidak cukup.

Dari sinilah pilihan ubat opioid lain yang lebih efektif dan sangat selektif serta profil keselamatan yang dipertingkatkan sangatlah dipertimbangkan. Artikel ini akan membincangkan mengenai satu lagi ubat opioid terbitan selain morfin iaitu fentanyl.

Penggunaan



FDA telah melesenkan penggunaan ubat ini untuk:

  • Ubat tahan sakit untuk pesakit kanser yang dalam rawatan ubat opioid, tidak mengira sama ada secara tiba-tiba ataupun untuk pengurusan jangka masa panjang sebagai rawatan harian pada pesakit yang kerap mengalami kesakitan sepanjang masa.
  • Ubat tahan sakit selepas pembedahan sebagai pengurusan jangka pendek ketika rawatan di hospital.

Seperti morfin juga, fentanyl juga tidak boleh dimulakan sewenang-wenangnya tanpa penelitian menyeluruh dari para doktor. Lagipun, ubat ini sendiri setakat mana penulis dapat nyatakan di sini tidak sama sekali dijual di luar memandangkan ubat ini tertakluk di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (amat mudah untuk disalahgunakan). Sama seperti morfin juga, ubat ini perlu sentiasa direkod seiring dengan peruntukan undang-undang.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara Penggunaan

Sediaan ubat yang terkandung fentanyl kebiasaanya boleh dimulakan oleh doktor biasa (untuk sediaan suntikan) manakala bagi sediaan tampalan transdermal dan tablet sublingual (ubat diletakkan di bawah lidah) biasanya memerlukan kebenaran doktor pakar untuk memulakan.

Cara penggunaan:

  • Suntikan (diberikan secara infusi perlahan untuk mengelakkan kelumpuhan otot dalam intravena, dan intramuskular) -kebiasaannya dalam kekuatan 50 mcg/ml
  • Tablet sublingual (diletakkan di bawah lidah untuk meningkatkan kepekatan ubat dalam darah untuk menjalankan reaksi terapeutik tanpa melepasi metabolisme tahap pertama dalam hati) – kebiasaannya berkekuatan 100 mcg, 200 mcg dan 400 mcg.
  • Tampalan transdermal (pengambilan melalui cara ditampal pada permukaan rata badan yang tidak merengsa atau bahagian atas lengan untuk pelepasan ubat berterusan) – kekuatan yang ada adalah 12 mcg/jam, 25 mcg/jam dan 50 mcg/jam.

Berikut adalah cara-cara pemberian ubat terbabit secara ringkasnya:



Gunakan Dos yang Rendah Terlebih dahulu

Dos rendah perlu digunakan terlebih dahulu (untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini) dan boleh dinaikkan dan diturunkan secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan semasa dan juga prestasi buah pinggang dan hati pesakit selepas penilaian berterusan doktor.

Ubat ini tidak boleh dihentikan secara mengejut kerana melibatkan pelbagai risiko kesan sampingan dan kesan penarikan yang teruk. Bertanyalah pada para doktor jika pesakit perlu berhenti atau teruskan pengambilan ubat tersebut.

Penggunaan Tampalan Transdermal

Bagi sediaan tampalan transdermal, ubat tersebut perlu ditampal di permukaan rata yang tidak berbulu rambut, tidak mudah merengsa dan berpeluh serta bersih (seperti di kawasan belakang bahu badan atau bahagian atas lengan) dan dibiarkan selama 3 hari.

Tampalan mestilah ditampal sepenuhnya. Tampalan tersebut mestilah ketat dan tidak longgar. Pesakit tidak boleh sama sekali menanggalkan ubat sedemikian dengan sengaja. Tampalan tersebut tidak boleh dikenakan air terlalu lama untuk mengelakkan tampalan menjadi longgar.

Sebaik-baiknya tampalan lama perlu ditanggalkan dahulu sebelum tampalan baru diberikan. Kebiasaannya doktor akan menyuruh pesakit menukarkan tempat tampalan sedia ada dan tidak boleh digunakan di tempat sama 2 kali berturut-turut.

Pengambilan ubat secara tampalan mungkin mengambil masa 24 jam untuk menunjukkan kesannya, jadi pengambilan ubat dos opioid biasa perlu diteruskan juga untuk mengelakkan kesakitan. Untuk perkara ini, sebaiknya dapatkan nasihat doktor dan farmasi tentang cara penggunaannya yang betul.



Penggunaan Ubat Sublingual

Sediaan ubat sublingual biasanya digunakan dengan dos rendah terlebih dahulu sebelum dioptimumkan dos ketika berlakunya kesakitan secara tiba-tiba. Pada mulanya pengambilan sediaan sublingual ubat ini perlu diasingkan dahulu selama 2 jam sebelum pengambilan ubat seterusnya.

Kemudian, apabila dos individu telah ditetapkan, pesakit boleh mengambil ubat ini paling kurang 4 kali sehari bila perlu. Jika pesakit sudah tidak merasa kesakitan lagi, pengambilan sublingual boleh dihentikan tetapi pesakit masih lagi terus tetap mengambil terapi opioid lain.

Jika diambil berlebihan ubat tersebut perlu dikeluarkan dari tubuh badan dan perlu melaporkan segera pada doktor, farmasi dan hospital berdekatan segera.

Ubat-ubat yang sudah digunakan mestilah diasingkan dari yang belum digunakan. Lipat tampalan transdermal yang telah digunakan. Apa-apa sahaja ubat-ubatan sediaan opioid yang telah atau tidak digunakan perlulah dihantar semula ke farmasi di hospital untuk pelupusan.

Sediaan ubat transdermal dan sublingual tidak boleh sama sekali digunakan untuk sebarang sakit akut biasa. Sediaan sublingual juga tidak boleh sama sekali digunakan untuk pesakit yang tidak mampu mengambil ubat opioid dan juga pesakit selepas operasi pembedahan kerana risiko kesukaran pernafasan.

Penyimpanan

  • Ubat sediaan transdermal serta suntikan: Simpan dalam suhu 15 – 30°C, dijauhkan dari cahaya.
  • Ubat sediaan sublingual: Disimpan dalam suhu bilik, antara 20 – 25°C, jangan disimpan dalam keadaan lembap, dan jangan sejukkan.

Ubat-ubat sediaan opioid termasuklah ubat ini juga memandangkan mudah untuk disalahgunakan, penyimpanan perlulah diletakkan dengan pengawasan rapi. Sebaiknya jauhkan dari kanak-kanak dan dalam tempat yang selamat. Jangan gunakna ubat meebihi tarikh luput.

Ubat-ubat tersebut perlu dikembalikan semula kepada hospital jika sudah digunakan (tampalan transdermal dan ubat sublingual jika ada) untuk tujuan pelupusan.



Cara Ubat Berfungsi

Ubat Fentanyl adalah terbitan sintetik daripada ubat morfin. Ia akan merencat impuls pada laluan rasa sakit dan menyebabkan kesakitan seseorang itu berkurangan

Ubat ini turut menghasilkan kesan sedatif dan mengurangkan respons pusat kawalan pernafasan di kawasan otak dan boleh menyebabkan seseorang itu berhenti bernafas. Namun begitu, fentanyl lebih berkesan sebagai ejen analagesik daripada morfin oleh kerana sifatnya yang mudah memasuki saraf pusat serta reaksi yang sangat cepat. Penggunaan fentanyl serta keluarga terdekatnya seperti remifentanyl sangat membantu dalam pembedahan jantung.

Kesan sampingan

Seperti morfin, kesan sampingannya adalah lebih kurang sama:

  • Sembelit
  • Sukar membuang air kencing
  • Kering mulut
  • Hilang selera makan
  • Sakit perut
  • Loya dan muntah
  • Pening dan sakit kepala
  • Lesu
  • Otot badan rasa terlampau lemah (badan terasa lemah luar biasa)
  • Mengantuk (mungkin tidak berkekalan lama bagi sesetengah pesakit)
  • Ruam atau kegatalan pada kulit
  • Berpeluh
  • Kekebasan tulang dan otot (mungkin berlaku kekejangan)
  • Sesak nafas
  • Tekanan darah rendah, muka kemerah-merahan (merah padam)
  • Berdebar-debar (palpitasi mungkin juga berlaku)

Antara kesan sampingan teruk yang pernah dilaporkan termasuklah:

  • Hipersensitiviti
  • Kesukaran pernafasan

Seperti tramadol, fentanyl juga boleh menjadi ketagih dan boleh disalahgunakan jika diambil dalam jangka masa panjang.  Jika rawatan dihentikan secara tiba-tiba pesakit mungkin mengalami sindrom pemberhentian (withdrawal symptom) seperti:

  • Naik tekanan darah dan nadi jantung
  • Disforia (rasa murung tiba-tiba)
  • Mudah marah, tidak selesa dan gelisah
  • Sukar tidur
  • Mengantuk
  • Mata berair
  • Hidung berhingus
  • Kejang otot perut dan cirit-birit
  • Berpeluh
  • Rasa menggigil dan seram sejuk
  • Sakit otot, belakang dan sendi-sendi

Oleh sebab itu, fentanyl tidak sama sekali digunakan pada golongan ini:

  • Sakit akut atau sakit selepas pembedahan; termasuklah pening kepala / migrain, sakit gigi, ataupun dalam bilik bersalin
  • Ibu mengandung – diletakkan dalam kategori C oleh FDA untuk kegunaan ibu mengandung, ketagihan dan sindrom penarikan opioid boleh berlaku pada bayi
  • Menyusukan anak – fentanyl boleh berada dalam susu ibu
  • Kanak-kanak – peranan dalam anestesia adjung di bawah 2 tahun tidak digalakkan
  • Pesakit kegagalan buah pinggang dan hati yang serius – ubat fentanyl mampu berkumpul dalam tubuh badan menaikkan kesan sampingannya. Dalam pesakit buah pinggang, efek pengumpulan opioid dalam otak meningkatkan kesensitifan otak terhadap ubat tersebut.
  • Asma akut atau serius tanpa pengawalan klinikal sepenuhnya dan masalah pernafasan yang teruk selainnya
  • Hipersensitif terhadap fentanyl dan ubat-ubat terbitan opioid lain (morfin, tramadol dan sebagainya)
  • Mempunyai masalah berkaitan sistem penghadaman terutamanya dalam usus, seperti kesakitan pada abdomen badan, kelumpuhan usus kecil dan pengosongan gastrik tertunda
  • Pesakit yang memiliki polimorfisme enzim sitokroma CYP2D6 terutamanya pesakit ultra-rapid metabolised CYP2D6 polymorphism – risiko kesukaran pernafasan serius.

Peringatan (precaution)

  • Bahagian badan yang melalui tampalan transdermal tidak boleh dihalakan ke sebarang sumber haba (air panas, sauna dsb)- menaikkan potensi penyerapan ubat
  • Ubat boleh mengantuk, dinasihatkan untuk tidak memandu atau melakukan kerja berat
  • Boleh digunakan secara berhati-hati pada golongan ini dengan kawalan doktor (dapatkan konsultansi lanjut dari doktor berkenaan pengambilan ubat ini, berikut adalah antara golongan yang terlibat:
    • Pesakit berisiko tinggi pernafasan sukar ketika tidur (terutamanya kegagalan jantung dan obesiti) seperti pesakit komplikasi jantung, kurang tekanan darah serta nadi jantung dan pernafasan yang perlahan
    • Sakit kepala serius
    • Sawan
    • Masalah berkaitan keradangan usus, pankreas ataupun melibatkan pundi hempedu
    • Masalah abnormal pada pundi kencing dan kelenjar prostat serta kelenjar adrenal dari sistem perkumuhan (penyakit Addison, benign prostatic hyperplasia dan sebagainya)
    • Pesakit yang mengalami masalah mental (skizofrenia, kemurungan dsb)
    • Pesakit mengalami ketagihan opioid dan dadah lain, dan juga pernah mengalami sindrom penarikan selepas berhenti mengambil opioid atau dadah lain (agitasi, terketar-ketar, keresahan, berpeluh dsb)
    • Pesakit mengandung dan menyusukan anak (boleh dimulakan setelah mengambil kira keadaan semasa pesakit juga).
    • Kanak-kanak ≥2 tahun – biasanya akan dipantau jika ada berlaku kesan sampingan akibat pengambilan opioid
    • Warga tua – pengambilan diberikan mulai dos kecil dahulu dan dinaikkan perlahan-lahan.

Interaksi antara ubat

Berhubung doktor terlebih dahulu jika ada mengambil apa sahaja ubat-ubatan dan makanan yang diambil ketika dalam rawatan morfin. Berikut antara contoh-contoh interaksi morfin bersama makanan dan ubat-ubatan.

  • Alkohol: menaikkan insiden kesukaran pernafasan dan sedatif morfin
  • Ubat-ubat berkaitan morfin lain (pethidine,tamadol, methadone dsb), ubat-ubat benzodiazepine (diazepam dsb), ubat kebimbangan (chloral hydrate), ubat antihistamin untuk selsema dan gatal (chlorpheniramine misalnya), ubat sawan dan sakit saraf (gabapentin): menaikkan kesan sedatif dan kesukaran pernafasan
  • Kesan analgesik berkurang jika dicampur bersama ubat terbitan opioid yang mempunyai kesan agonis-antagonis sekaligus (buprenorphine, pentazocine)
  • Ubat antibiotik rifampicin: mengurangkan kepekatan morfin dalam badan
  • Menaikkan sindrom serotonin (tekanan darah dan nadi jantung menaik, refleks badan meningkat, demam, cirit-birit, loya, muntah, gegaran, halusinasi dan koma – jika serius): Ubat penebat pengambilan semula serotonin (SSRI) [sertraline, citalopram, escitalopram, fluoxetine, fluvoxamine, paroxetine], ubat penebat pengambilan semula noradrenalin (SNRI)  [duloxetine, venlafaxine, desvenlafaxine], antibiotik linezolid, ubat bipolar (garam lithium), ubat reseptor agonis serotonin (sumatriptan), herba (St John’s wort), antibiotik untuk TB (isoniazid) dan pengambilan bersama ubat-ubatan opioid lain (morfin, fentanyl dan sebagainya)
  • Ubat gastrik cimetidine, ubat antibiotik erythromycin, ubat jantung (amiodarone, quinidine), ubat antikulaty (ketoconazole), ubat antivirus (ritonavir, indinavir dsb), jus limau gedang: menaikkan kesan toksisiti morfin

Kesan Terlebih Dos

Dos tramadol kerap disalahgunakan dan ketagihan lebih cepat berlaku dari ubat opioid lain, dengan kes pesakit datang dengan simptom yang dimanifestasi dari kesan sampingan biasa fentanyl dinyatakan di atas.



Kebiasaannya, rawatan keracunan biasa diberikan mengikut respons dan simptom pesakit yang ada. Ini termasuklah:

  • Kawalan parameter penting seperti tekanan darah dan nadi, serta kepekatan oksigen dan karbon dioksida dalam darah dan juga memantau ketagihan pesakit.
  • Ubat sublingual – keluarkan ubat tersebut dari badan
  • Naloxone (ubat antagonis reseptor opioid) sebagai antidot untuk mengelakkan depresi pernafasan lebih ketara dalam kes serius.
  • Benzodiazepine, barbiturat dan ubat sedatif lain untuk kes sawan
  • Sokongan pernafasan, intubasi dan defibrilator untuk kes serius
  • Sindrom serotonin: selain rawatan segera dengan benzodiazepine, pengambilan cyproheptadine mungkin difikirkan sesuai untuk kes sederhana/serius

Rujukan

  1. MIMS Gateway
  2. Micromedex
  3. Medscape
  4. BNF 78
  5. Buku Formulari Farmasi Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  6. risalah Maklumat Ubat Untuk Pengguna (RiMUP) Abstral Sublingual Tablet Fentanyl Citrate 100, 200 dan 400 microgram.
  7. Risalah Maklumat Ubat Untuk Pengguna (RiMUP) DUROGESIC® Transdermal Patch Fentanyl (12 mcg/hr, 25 mcg/hr, 50 mcg/hr)
  8. Comer, S. D. & Cahill, C. M. (2019). Fentanyl: Receptor pharmacology, abuse potential, and implications for treatment. Neuroscience & Biobehavioral Reviews, 106, 49 – 57.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − fourteen =