Skip to content

Ubat Metoclopramide: Kegunaan & Kesan Sampingan

Muntah adalah antara perkara yang sering berlaku dalam konteks hidup seharian, yang mungkin kekadang agak membebankan para pesakit. Oleh itu, bukanlah perkara pelik kalau ada pesakit yang memerlukan ubat untuk selesaikan masalah muntah mereka. Kali ini penulis mahu menerangkan mengenai salah satu ubat tahan muntah yang ada di pasaran, iaitu metoclopramide.

Kegunaan

Metoclopramide (nama jenama kerap disebut di hospital dan klinik kesihatan sebagai Maxolon) diletakkan dalam kumpulan B ubat racun berjadual, jadi amat memerlukan preskripsi terus daripada doktor untuk mengambil ubat ini. Walaupun ubat tersebut mudah diakses dalam hospital dalam klinik kerajaan serta premis farmasi komuniti, penggunaan ubat tersebut boleh dikatakan agak rencam. Ini adalah antara indikasi ubat tersebut seperti FDA benarkan:

  • Rawatan loya dan muntah untuk orang dewasa dan kanak-kanak
  • Mencegah loya dan muntah disebabkan kemoterapi dan radioterapi
  • Mencegah kesan loya dan muntah lepas pembedahan
  • Pedih ulu hati (gastroesophageal reflux disease) setelah rawatan biasa tidak berjaya mengatasi masalah tersebut
  • Gastroparesis (perut gagal mengosongkan bebanan makanan yang dihadam ke usus) disebabkan oleh kencing manis

Selain itu, di luar dari indikasi biasa, metoclopramide juga boleh:

  • Menaikkan pengeluaran susu ibu
  • Keracunan makanan
  • Gastroparesis biasa
  • Muntah dalam kalangan wanita mengandung (Gred B diberikan FDA, jadi boleh digunakan bila perlu sahaja).
  • Rawatan kesan sampingan sesetengah ubat – Seperti kegunaan Ubat tahan sakit Tramadol yang boleh menyebabkan rasa loya dan muntah


Sediaan

Pengambilan ubat tersebut perlu diguna setelah diperiksa dan dikaji lebih teliti oleh para doktor. Dalam pasaran, metoclopramide terdapat dalam sediaan berikut:

  • Tablet biasa dengan dos 10 mg (juga turut ada dalam formulari ubat KKM)
  • Suntikan 5 mg/ml (dalam formulari ubat KKM) (biasa disediakan dalam kekuatan 10 mg/2 ml) untuk suntikan intramuskular dan intravena
  • Sirap 5 mg/ 5 ml (dalam formulari ubat KKM 1 mg/ml)
  • Supositori (ubat dubur) 10 mg.

Cara Pengambilan

Cara pengambilan ubat tersebut secara ringkasnya dinyatakan di sini:

  • Pengambilan setengah jam sebelum makan adalah digalakkan – penyerapan lebih baik
  • Ubat sirap dalam bentuk ampaian: perlu goncang ubat terlebih sebelum digunakan, dan ambil ubat mengikut sukatan yang disuruh doktor. Ubat sirap dalam bentuk cecair pula perlu mengikut sukatan yang diberikan oleh doktor.
  • Ubat dubur diambil mengikut saranan doktor.
  • Pengambilan biasa diambil paling banyak boleh sampai 3 kali sehari (selang 8 jam).
  • Rawatan boleh dicadangkan untuk 5 hari sahaja.
  • Diambil dengan ditelan ubat tersebut sepenuhnya dengan air yang banyak.
  • Dos metoclopramide bagi rawatan loya dan muntah biasa adalah 10 mg (dewasa) dan 0.2 – 0.5 mg/kg berat badan (untuk kanak-kanak) selang 8 jam. Maksimum penggunaan adalah 30 mg sehari atau 0.5 mg/kg sehari (kanak-kanak bawah 12 tahun). Dos berbeza diberikan mengikut indikasi pelbagai juga, dan sebaik-baiknya para pesakit perlu berhubung terus dengan para doktor sebelum menggunakan metoclopramide ini.

Dalam pesakit kegagalan hati pula (biasa hanya boleh dimulakan apabila:

  • Klasifikasi Child-Pugh jenis B atau C biasanya perlu kurangkan dos ubat ini sehingga 50% dos biasa diambil.
  • Rawatan gastroparesis: maksimum 20 mg/hari (5 mg setiap dos)
  • Rawatan pedih ulu hati (GERD): maksimum 30 mg/hari (10 mg setiap dos 3 kali sehari atau 5 mg setiap dos.


Populasi warga tua:

  • Maksimum penggunaan boleh sampai 40 mg/ hari (gastroparesis berkenaan diabetis) dan 60 mg/hari (dalam pesakit pedih ulu hati).
  • Perlu digunakan dari dos rendah 5 mg sebelum tiap kali makan dan sebelum tidur malam dan boleh ditingkatkan sedikit demi sedikit hingga 10 – 15 mg selang 6 jam.

Bagi pesakit yang ada mengambil bersama ubat perencat enzim sitokroma (CYP2C6) seperti bupropion dan fluoxetine dan mutasi enzim CYP2C6 yang menyebabkan metabolisme metoclopramide yang lebih lambat dari normal, dos perlu dikurangkan.

Penyimpanan

Ubat metoclopramide perlu disimpan dalam suhu bilik biasa yang kering dan dingin. Jauhkan dari cahaya matahari dan tempat yang lembap.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara ubat berfungsi

Metoclopramide tergolong dalam keluarga benzamide adalah agen rangsangan kepada reseptor dopamine subreseptor D2 yang banyak di dalam kawasan perut dan usus kecil serta memberikan reaksi agonis terhadap reseptor 5-hydroxytryptamine (serotonin, 5-HT), iaitu subreseptor 5-HT4 dan mengaruh secara lemah subreseptor 5-HT3.

Kajian klinikal mendapati rangsangan dari ubat metoclopramide pada reseptor dibahagian perut, menyebabkan otot dibahagian perut bergerak dengan lebih aktif dan menyebabkan pergerakkan dan penghadaman makanan menjadi lebih laju.

Metoclopramide juga boleh melintasi sistem saraf pusat di otak, secara spesifiknya  melakukan aktiviti pengaruhan di bahagian kemoreseptor otak. Ini akan mengurangkan rasa loya dan muntah. Selain itu, rangsangan di bahagiak juga mengaktifkan rembesan hormon prolaktin dari kelenjar pituitari, seterusnya menggalakkan penghasilan susu ibu juga.

Kesan sampingan

Berikut adalah antara kesan biasa ubat ini:

  • Bengkak air dalam kawasan badan
  • Loya (4.2 – 5.6% kes)
  • Perubahan deria rasa (melalui sediaan spray hidung, sediaan spray hidung tidak ada dijual di Malaysia setakat pengetahuan penulis)
  • Mengantuk (kesan lebih ketara – 70% untuk sediaan suntikan intravena berbanding pengambilan oral)
  • Lemah longlai
  • Pening kepala
  • Pengsan
  • Tidak mampu duduk diam
  • Cirit-birit
  • Penghasilan cecair dari payudara (galactorrhea)
  • Kemandulan
  • Gangguan waktu haid
  • Gangguan melibatkan sistem darah

Kesan yang serius:



  • Simptom ekstrapiramidal (pergerakan otot dalam keadaan sedar secara tidak terkawal, biasa pesakit tidak mengalaminya lepas berhenti mengambil metoclopramide)
  • Tardive dyskinesia (kesan sampingan bersifat kekal dan tiada rawatan khusus untuk sakit ini. Simptom biasa melibatkan pergerakan tidak terkawal pada bahagian muka dan sendi-sendi kaki dan tangan, boleh berlaku secara tiba-tiba dan tidak boleh dikawal. Apabila simptom tersebut mula berlaku dalam kalangan pesakit, doktor mesti menghentikan ubat tersebut untuk mengelakkan masalah yang lebih teruk).
  • Sindrom malignan neuroleptik (suhu terlampau tinggi, kadar nadi tak sekata, kadar nadi tinggi, perubahan status mental, lumpuh otot badan dan fungsi sistem saraf autonomi badan – hipertensi, kegagalan jantung, kesukaran bernafas)

Kontraindikasi utama penggunaan ubat ini adalah pada golongan berikut:

  • Pesakit yang mengalami perforasi (pembentukan lubang), ataupun apa-apa kerosakan struktur  dan pendarahan dalam sistem penghadaman yang mungkin memburukkan pergerakan sistem penghadaman
  • Insiden sawan (tidak mengira apa tahap dan kekerapan)
  • Pernah dan ada mengambil ubat-ubat neuroleptik dan ubat tersebut menyebabkan kesan tardive dyskinesia
  • Sensitiviti dan tidak mampu tahan terhadap metoclopramide
  • Pesakit yang memiliki penyakit phaeochromocytoma (tumor tidak berbahaya pada kelenjar adrenal) dan apa-apa sahaja tumor melibat saraf paraganglioma yang lebih melibatkan pelepasan perantara adrenergik seperti adrenaline dan noradrenaline – penggunaan bersama boleh meningkatkan krisis hipertensi pada pesakit
  • Pernah atau mengalami sakit mental – depresi sebagai contoh

Peringatan (precautions)

  • Ubat ini perlu diambil 30 minit sebelum makan – lebih digalakkan untuk memudahkan penyerapan
  • Elakkan dari membuat kerja berat dan memandu atau menunggang motor atau basikal – ubat mengantuk
  • Pengambilan melalui intravena perlu dilakukan perlahan-lahan – boleh menyebabkan kesan mengantuk, kebimbangan dan tidak boleh duduk diam lebih ketara tetapi bersifat sementara jika diambil dalam sukatan yang tidak dicairkan
  • Jangan ambil bersama ubat-ubat sakit mental lain (depresi, kebimbangan, sawan dan sebagainya)
  • Jika pesakit menyusukan anak: metoclopramide juga muncul dalam susu ibu, jika boleh perlu dielakkan.
  • Perhatian perlu diberikan pada pesakit yang pernah ada alergi (contoh seperti asma) dan juga masalah berkaitan darah (porphyria akut dan sebagainya) untum menggunakannya bila perlu sahaja.
  • Ambil peringatan kepada warga tua dan kanak-kanak (lebih-lebih lagi di bawah 1 tahun) – kesan tardive dyskinesia lebih ketara dalam kalangan pesakit ini.
  • Apa-apa sahaja kesan sampingan yang memanifestasikan simptom tardive dyskinesia atau/dan simptom ekstrapiramidal lain atau sindrom malignan neuroleptik perlu segera dibawa berjumpa dengan doktor.
  • Elakkan mengambil bersama ubat ini dengan alkohol ataupun ubat yang mengurangkan prestasi otak.
  • Pesakit perlu melaporkan depresi serius, apa-apa perubahan ketara pada mental dan perasaan mahu membunuh diri seberapa segera pada doktor.
  • Jika tertinggal dos ubat, tidak perlu diambil semula ubat terbabit, dan jangan sama sekali gandakan dos.

Interaksi antara ubat

Ini adalah antara contoh ubat yang boleh bertindak balas dengan metoclopramide. Namun begitu, tidak semua interaksi ubat-ubat metoclopramide dapat disertakan di sini. Sebaik-baiknya berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu berkenaan pengambilan ubat-ubatan yang diambil setiap hari..

  • Pengambilan alkohol menaikkan kesan mengantuk metoclopramide.
  • Ubat yang mengurangkan fungsi otak (sebatian berkaitan morfin, ubat anti-kebimbangan, pengaruh ubat reseptor histamine H1, barbiturat, ubat kemurungan sedatif, clonidine) menaikkan kesan mengantuk metoclopramide
  • Meningkatkan kesan tardive dyskinesia dan kesan ekstrapiramidal jika diambil bersama ubat psikotik (chlorpromazine)
  • Menaikkan kesan sindrom serotonin dengan ubat selektif pengambilan semula serotonin (selective serotonin reuptake inhibitor, SSRI – citalopram, dothiepin dan sebagainya) (anda boleh baca lebih lanjut dalam artikel tramadol sebelum ini berkaitan sindrom serotonin).
  • Mengurangkan kesan terapeutik digoxin
  • Mengurangkan penyerapan paracetamol, ciclosporin dan aspirin
  • Memanjangkan kesan terapeutik ubat pengaruh neuromuskular (suxamethonium dan sebagainya)
  • Menaikkan kesan sampingan metoclopramide dengan ubat yang mengaruh enzim CYP2C6 (fluoxetine, paroxetine)
  • Memanjangkan nadi QT jika diambil bersama ubat-ubatan aritmia (quinidine)

Kesan terlebih dos

Kesan lebihan dos metoclopramide biasa dilaporkan setiap tahun, dan biasanya sebagai lanjutan kesan sampingan ubat ini. Kes terambil lebih secara sengaja turut direkodkan, dan kes toksisiti melibatkan ubat ini tidak terlampau serius.

Biasanya simptom terlebih dos kepada kanak-kanak direkodkan seperti;

  • Mengantuk
  • Sukar mengawal diri
  • Pening kepala
  • Pergerakan otot badan di luar kawalan secara akut (antara simptom yang turut terkena dalam kalangan dewasa muda, tetapi berpanjangan bagi kalangan pesakit warga tua).

Rawatan lebihan dos kebiasaannya bersandarkan pada simptom dialami pesakit.

  • Kes ringan dan sederhana
  • Distonia akut biasanya diberikan ubat benztropine atau diphenhydramine untuk beberapa hari dalam kawalan doktor.
  • Kes teruk
  • Rawatan standard termasuklah atropine untuk kurangkan penurunan nadi
  • Sawan: IV diazepam atau lorazepam juga digunakan; jika terapi tidak berhasil, propofol atau ubat barbiturat boleh dipertimbangkan.
  • Penghasilan darah methemoglobin berlebihan: methylene blue boleh digunakan.

Rujukan

  1. Metoclopramide. Dalam: MIMS Gateway.
  2. Frank Shann
  3. Micromedex
  4. Medscape
  5. Buku Biru Formulari Ubat, Program Perkhidmatan Farmasi, Kemenerian Kesihatan Malaysia (KKM)
  6. BNF 66 & BNF 78
  7. Drug Control Authority of Malaysia (2015). Berita Ubat-ubatan, 64 (42).
  8. Lee, A., Kuo, B. (2010). Metoclopramide in the treatment of diabetic gastroparesis. Expert Review of Endocrinology and Metabolism, 5(5), 653 – 662.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 + 16 =