Apakah punca kepada masalah hilang deria bau?Artikel ini akan membincangkan perkara ini berserta punca dan rawatannya.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Dalam konteks evolusi, deria bau merupakan deria yang penting dengan kadar kebergantungan yang tinggi dalam kehidupan manusia. Dengan deria baru, manusia boleh mengenal pasti sumber makanan, mencari pasangan dan mengesan musuh atau situasi bahaya.
Keadaan ini menunjukkan ia mempunyai kepentingan dari sudut interaksi hidupan dengan persekitaran. Oleh sebab itulah masalah deria bau (atau anosmia) boleh mempengaruhi kualiti hidup bagi mereka yang menghidapnya.
Anosmia bukanlah satu keadaan kesihatan yang serius namun impaknya boleh menyebabkan masalah kesihatan lain. Sebagai contoh, mereka yang mengalami anosmia kebiasaannya tidak berupaya untuk menikmati makanan.
Ia berikutan interaksi deria rasa dan deria bau boleh mempengaruhi persepsi individu terhadap rasa makanan. Jika fungsi deria bau terganggu, ia boleh menyebabkan selera makan seseorang itu berkurangan. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah hilang berat badan atau jika teruk, malnutrisi.
Punca hilang deria bau
Secara amnya, masalah hilang deria bau boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor:
- Iritasi pada membran yang melapisi hidung
- Hidung tersumbat disebabkan oleh faktor mekanikal
- Gangguan pada sistem saraf yang menyebabkan proses penghantaran isyarat dari reseptor bau ke otak terganggu
Antara proses penyakit yang boleh menyebabkan masalah pada deria baru adalah seperti berikut.
Iritasi pada permukaan membran mukus yang melapisi hidung
Masalah hilang deria bau berkait dengan mekanisme patologi ini kebiasaannya bersifat sementara. Apabila punca utamanya telah dirawat, deria bau akan kembali dan berfungsi seperti sedia kala.
Antara penyakit yang boleh menyebabkan iritasi pada permukaan membran mukus adalah:
- Jangkitan virus seperti influenza
- Rinitis alergi
- Hidung tersumbat kronik yang tiada kaitan dengan proses alergi
- Jangkitan sinus
- Tabiat merokok
Laluan nasal tersumbat
Deria bau boleh hilang sekiranya terdapat entiti fizikal yang menutup laluan udara untuk masuk ke dalam hidung. Antaranya seperti:
- Ketumbuhan (tumor)
- Polip nasal
- Deformiti pada tulang atau septum di dalam hidung
Punca yang tersenarai dipengaruhi oleh faktor yang menyebabkan halangan pada aliran udara di dalam hidung. Jika masalah berkaitan sudah dirawat, deria bau akan kembali seperti biasa.
Masalah pada laluan saraf ke otak
Reseptor di dalam hidung akan menghantar maklumat bau ke otak melalui laluan saraf.
Sekiranya terdapat anomali atau kerosakan pada laluan yang ditetapkan atau otak individu itu sendiri, anda akan mengalami masalah hilang deria bau. Antara keadaan kesihatan yang boleh mempengaruhi fungsi deria bau adalah:
- Usia lanjut
- Ketumbuhan pada otak
- Penyakit Alzheimer
- Sklerosis berbilang
- Skizofrenia
- Epilepsi
- Kencing manis
- Masalah berkaitan hormon
- Penyakit Huntington
- Kesan kronik pengambilan alkohol
- Strok
- Kesan sampingan terapi radio
- Kecederaan pada kepala atau otak
- Komplikasi pembedahan otak
Terdapat juga keadaan di mana individu terbabit sememangnya tidak berkebolehan untuk bau sejak lahir. Keadaan ini berpunca daripada masalah genetik namun ia sangat jarang berlaku.
Ia dikenali sebagai anosmia kongenital.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Ujian Pengesanan Punca
Oleh sebab bau bukanlah satu parameter yang mudah untuk diukur, diagnosis kepada masalah ini lebih tertumpu kepada pengambilan sejarah perubatan pesakit dan pemeriksaan fizikal oleh doktor. Anosmia kebiasaannya merupakan manifestasi (simptom) bagi masalah yang lebih serius seperti tumor atau penyakit berkaitan otak.
Oleh itu, pemeriksaan bagi mencari punca akan dilakukan secara sistematik. Ujian imbasan seperti CT, MRI dan X-ray akan dilakukan bagi melihat sekiranya terdapat masalah pada otak.
Doktor juga akan melakukan endoskopi hidung bagi melihat sekiranya terdapat faktor mekanikal yang boleh membuatkan hidung anda tersumbat.
Rawatan bagi masalah hilang deria bau
Rawatan lebih tertumpu kepada punca yang menyebabkan anda mengalami masalah hilang deria bau. Sekiranya ia disebabkan oleh jangkitan, maka protokol rawatan lebih berfokus kepada antibiotik (jika bakteria) atau antiviral (jika virus).
Walau bagaimanapun, sekiranya deria bau anda masih lagi tidak kembali walaupun anda sudah sembuh daripada jangkitan tersebut, rujukan doktor boleh membongkarkan punca sebenar ia terjadi.
Antara rawatan yang boleh membantu meredakan masalah hilang deria bau kesan daripada iritasi membran mukus adalah:
- Ubat dekongestan (redakan hidung tersumbat).
- Penggunaan alat penyembur nasal steroid
- Antihistamin
- Lebih peka kepada punca alergi
- Berhenti merokok
Bagi mereka yang menghidap anosmia kongenital, setakat ini tiada rawatan yang dapat membantu deria bau untuk berfungsi. Begitu juga dengan mereka yang mengalami masalah deria bau hilang disebabkan oleh proses penuaan.
Namun, jika dibandingkan dengan anosmia kongenital, masalah hilang deria bau disebabkan oleh penuaan berlaku sedikit demi sedikit untuk satu tempoh masa yang agak lama. Jarang ada pesakit berusia yang hilang keupayaan bau sepenuhnya.
Rujukan
- The importance of the olfactory sense in the human behavior and evolution. Diakses pada 14 Ogos 2020.
- Taste and smell. Diakses pada 14 Ogos 2020.
- Lost or changed sense of smell. Diakses pada 14 Ogos 2020.
- Congenital anosmia. Diakses pada 14 Ogos 2020.
- Loss of smell. Diakses pada 14 Ogos 2020.