Apakah punca kepada masalah kencing berdarah? Artikel ini secara lengkapnya akan membincangkan berkenaan masalah ini berserta rawatan kepada masalah kencing berdarah.
Isi Kandungan
Pengenalan
Kencing berdarah dalam istilah perubatan dipanggil sebagai Hematuria. Ia berasal daripada 2 perkataan iaitu Hema yang membawa maksud darah dan uria yang membawa maksud air kencing.
Gabungan kedua patah perkataan ini menghasilkan perkataan hematuria yang membawa maksud kencing berdarah. Ada pesakit yang akan nampak secara jelas perubahan warna merah pada air kencingnya.
Akan tetapi, terdapat juga pesakit yang hanya diketahui mengalami kencing berdarah apabila dibuat ujian air kencing. Ia mungkin disebabkan kandungan darah di dalam air kencing tersebut sedikit sahaja. Perlu diketahui bahawa kencing berdarah mempunyai pelbagai punca dan setiap satu punca mempunyai cara rawatan yang berbeza-beza.
Punca Kencing Berdarah
Terdapat pelbagai punca kepada masalah kencing berdarah. Dibawah ini adalah punca-punca kencing berdarah yang kerap berlaku pada kita:
1. Kencing Kotor
Kencing kotor atau jangkitan kuman pada tempat pembuangan air kencing boleh menyebabkan masalah ini berlaku. Bakteria yang berada di dalam saluran air kencing akan menyebabkan saluran air kencing keradangan.
Ini pula menyebabkan saluran darah di tempat air kencing membesar dan luka boleh menyebabkan sedikit darah masuk ke dalam air kencing.
Selalunya bagi masalah ini, darah hanya boleh dikesan dengan melakukan ujian makmal. Warna air kencing masih lagi berwarna kuning. Tidak kemerah-merahan
2. Senaman yang berlebihan
Senaman yang berlebihan boleh menyebabkan kematian pada sel otot badan. Sel otot yang mati ini akan melepaskan satu protein bernama myoglobin.
Protein ini boleh pergi ke saluran buah pinggang dan merosakkannya menyebabkan protein terlepas masuk ke dalam air kencing.
3. Kanser di saluran air kencing
Kanser pundi kencing sebagai contoh akan menyebabkan pendarahan di dalam saluran air kencing. Air kencing pesakit selalunya berwarna merah dan penuh dengan darah.
4. Batu Karang
Pesakit yang mempunyai batu karang di dalam saluran air kencing juga boleh menyebabkan kencing berdarah. Tetapi selalunya ia tidaklah sehingga menyebabkan air kencing bertukar kepada warna merah. Hanya dengan ujian makmal boleh mengesan kehadiran darah tersebut.
5. Demam
Demam sedikit sebanyak boleh mengganggu otot dan melepas myoglobin yang boleh memberi sedikit kesan kepada buah pinggang.
Terdapat beberapa punca yang lain adalah:
- Sindrom Hemolytic-Uremia
- Henoch-scholein purpura
- IgA Nephropathy
- Keradangan buah pinggang yang disebabkan penyakit Systemic Lupus Erythematosus(SLE)
Simptom Berserta Punca
Tanda-tanda dan simptom yang terhasil daripada kencing berdarah sangat bergantung kepada punca yang menyebabkan masalah ini.
Beberapa simptom yang akan terhasil daripada beberapa jenis penyakit adalah:
1. Kencing kotor
Jangkitan kuman di tempat buang air kencing juga boleh menyebabkan kencing berdarah kerana ia akan menyebabkan keradangan di bahagian saluaran air kencing.
Keradangan ini akan menyebabkan saluran darah membesar dan pecah. Selalunya darah hanya dapat dikesan ketika melakukan pemeriksaan air kencing.
Pesakit kencing kotor akan mengalami simptom
- Sakit ketika kencing
- Kerap kencing
- Demam
- Air kencing kelihatan keruh
- Sakit pada bahagian ari-ari
2. Batu karang
Batu karang boleh menyebabkan kencing berdarah kerana batu yang terhasil akan mencederakan saluran air kencing.
Selalunya pesakit akan mengadu:
- Sakit belakang yang teruk
- Jangkitan kuman pada air kencing yang berulang
3. Kanser
Kanser pada mana-mana bahagian saluran air kencing boleh menyebabkan masalah ini. Kanser yang selalu berlaku hingga menyebabkan masalah ini adalah kanser pundi kencing.
Pesakit akan mengalami simptom:
- Kencing berdarah yang sangat banyak. Air kencing akan berwarna merah pekat seperti darah
- Pendarahan tersebut tidak akan menyebabkan kesakitan di tempat buang air kencing
- Kurang berat badan
- Kurang selera makan
4. Sindrom Hemolytic-Uremia
Penyakit ini adalah disebabkan jangkitan bakteria E.coli dimana ia akan menghasilkan satu jenis toksin bernama Shiga toxin.
Toksin ini akan menyebabkan sel darah merah pecah dan menghasilkan darah beku dalam saiz yang kecil(Microthrombi) dan menyebabkan sumbatan pada saluran darah yang kecil seperti pada kapilari darah.
Saluran kapilari seperti glomerular seperti di buah pinggang pun akan mengalami sumbatan dan menyebabkan kerosakan pada kawasan tersebut.
Saluran darah tersebut akan rosak dan bocor menyebabkan darah memasuki air kencing.
Simptom-simptomnya adalah:
- Demam yang tinggi
- Muka kelihatan pucat disebabkan kekurangan sel darah merah
- Berdebar-debar
- Kaki bengkak
5. Alport Syndrome
Ia disebabkan masalah genetik iaitu perubahan genetik yang menganggu penghasilan kolagen jenis 4.
Masalah ini akan memberi kesan pada bahagian mata dan juga pada buah pinggang.
Saluran darah glomerular tidak dapat terbentuk dengan baik menyebabkan salur darah menjadi rapuh. Lalu penapis tersebut bocor dan mengeluarkan darah ke dalam air kencing.
Pesakit juga selalunya akan mengalami masalah tekanan darah tinggi, masalah penglihatan dan masalah retina.
6. IgA Nephropathy
Perkara ini berlaku apabila sel pertahanan badan menjadi keliru. Dimana antibodi yang dihasilkan menyerang bahagian glomerular dan merosakkan penapis tersebut.
Ini akan menyebabkan penapis itu bocor dan mengeluarkan sel darah merah ke dalam air kencing. Bahkan ia juga boleh merosakkan buah pinggang.
Bagi pesakit ini, mereka akan mengalami masalah bengkak kaki dan tekanan darah tinggi disebabkan buah pinggang yang rosak.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Ujian pengesahan kencing berdarah
Ujian yang selalunya dilakukan untuk mengetahui seseorang itu mengalami masalah ini adalah dengan melakukan pemeriksaan Urine Full Examination and Microscopic Examination(UFEME) pada air kencing pesakit.
Air kencing pesakit akan diuji dengan menggunakan dengan satu kertas khas dimana padanya ia boleh mengesan kehadiran beberapa bahan dalam air kencing seperti sel darah merah, sel darah putih, kompaun nitrate, pH dan beberapa bahan yang lain.
Ujian mengesan punca
Setiap daripada ujian untuk mengetahui punca kepada masalah ini adalah berdasarkan simptom dan punca yang disyaki dialami oleh pesakit.
Terdapat beberapa ujian yang boleh digunakan untuk mengetahui punca kepada masalah ini. Ia adalah:
1. UFEME
Ujian ini boleh mengesan kehadiran sel darah merah dalam air kencing. Ia juga boleh mengesan kehadiran sel darah putih dan juga kompaun nitrate. Kedua-dua bahan ini jika dijumpai dalam air kencing, ia menunjukkan pesakit sedang mengalami kencing kotor(Jangkitan kuman pada tempat buang air kencing).
2. X-ray ataupun Ultrasound scan
Bagi pesakit yang disyaki mengalami masalah batu karang, x-ray atau/dan ultrasound scan boleh dilakukan untuk mengesan batu karang di kawasan saluran air kencing
Bagi pesakit yang disyaki mengalami masalah batu karang, x-ray atau/dan ultrasound scan boleh dilakukan untuk mengesan batu karang di kawasan saluran air kencing.
3. Cytoscopy
Cytoscopy adalah satu prosedur yang digunakan untuk melihat keadaan di dalam pundi kencing.
Caranya adalah dengan memasukkan kamera ke dalam pundi kencing. Prosedur ini dilakukan jika pesakit disyaki mempunyai kanser pundi kencing.
4. Biopsi
Biopsi adalah prosedur pengambilan sampel pada organ atau kawasan tertentu. Ia bertujuan untuk mengetahui sama ada wujudnya kanser sel di kawasan tersebut.
5. Bacaan Anti-streptolysin
Seperti yang diceritakan di atas, salah satu punca kencing berdarah adalah penyakit Acute Post-streptococcus glomerulonephritis.
Penyakit ini adalah disebabkan jangkitan kuman yang bernama Streptoccus sp. Badan manusia akan menghasilkan antibodi bernama anti-streptolysin untuk melawan jangkitan kuman tersebut.
6. Bacaan Anti-Nuclear antibodi
Salah satu punca masalah kencing berdarah ini adalah disebabkan penyakit autoimun seperti Systemic Lupus Erythematosus. Untuk mengesan masalah ini, bacaan Anti-nuclear antibodi boleh diambil.
Rawatan Kencing Berdarah
Berkenaan dengan rawatan bagi mereka yang menghadapi masalah ini, rawatannya adalah spesifik bergantung kepada punca masalah tersebut.
1. Kencing kotor
Rawatan untuk kencing kotor ataupun jangkitan kuman pada saluran air kencing ini adalah dengan pemberian antibiotik yang berfungsi untuk membunuh kuman di kawasan tersebut.
Ubat untuk mengalkalikan air kencing juga selalunya diberi. Air kencing selalunya bersifat asid. Tetapi jika ia dapat dialkalikan, ia akan merencat pembiakan bakteria.
2. Batu Karang
Ketika mana pesakit menghadapi sakit belakang disebabkan batu karang, pesakit perlulah diberi ubat tahan sakit terlebih dahulu. Jika batu tersebut kecil, satu ‘stent’ akan dimasukkan ke dalam saluran air kencing.
Stent ini merupakan satu tiub yang berfungsi untuk memudahkan pengaliran air kencing terus ke dalam pundi kencing dan mengelakkan penghasilan batu di dalam saluran air kencing. Jika batu tersebut terlalu besar, pembedahan perlu dibuat untuk mengeluarkan batu tersebut.
3. Kanser Pundi Kencing
Ketika mana pendarahan berlaku, ia akan menyebabkan pesakit susah untuk kencing kerana darah akan membeku di dalam pundi kencing. Oleh itu, selalunya doktor akan memasukkan tiub terus ke dalam pundi kencing.
Kemudian air akan dimasukkan ke dalam pundi kencing dan air tersebut akan masuk melalui liang lagi satu pada tiub yang sama untuk mengeluarkan air di dalam pundi kencing.
Prosedur ini digunakan untuk membersihkan pundi kencing daripada darah.Rawatan untuk memulihkan pesakit adalah dengan melakukan pembedahan dan juga kemoterapi
Rawatan bagi masalah yang disebabkan kerosakan pada glomerular buah pinggang akan dibincangkan pada topik yang lain. Ini kerana rawatannya adalah lebih kompleks.
Rujukan:
- Committee Opinion No. 703 Summary: Asymptomatic Microscopic Hematuria in Women. Obstet Gynecol. 2017 Jun. 129 (6):1153-1154.
- Quigley R. Evaluation of hematuria and proteinuria: how should a pediatrician proceed?. Curr Opin Pediatr. 2008 Apr. 20(2):140-4.
- Kashtan CE. Familial hematuria. Pediatr Nephrol. 2009 Oct. 24(10):1951-8.
- Avner ED, Davis ID. Acute poststreptococcal glomerulonephritis. Behrman RE, Kliegman RM, Jenson HB, eds. Nelson Textbook of Pediatrics. 17th ed. Philadelphia, Pa: Elsevier Science; 2004. 1740-41.
Saya mengalamai kencing berdarah beberapa hari ni.. sebelum tu, saya rsa nak kencing tpi tak keluar. Adakah itu Batu karangg
Boleh disebabkan batu karang dan juga boleh disebabkan jangkitan kuman. Tapi perlu melakukan pemeriksaan air kencing terlebih dahulu puan.