Bersin merupakan satu nikmat yang mesti disyukuri. Perasaan “lega” selepas bersin, memberi keselesaan kepada hidung kita. Bayangkan hendak bersin, tetapi tak mampu, seolah-olah ada benda menyekat sungguh menyeksa diri. Namun, sekiranya terlampau kerap bersin pasti ia jugak meragut keselesaan kita seterusnya mengganggu aktiviti harian kita.
Penulisan kali ini cuba mengupas tentang gejala kerap bersin.
Apa itu Bersin?
Secara mudah, bersin merupakan salah satu cara pertahanan diri semulajadi untuk mengeluarkan bahan iritasi dari hidung menerusi hembusan angin yang kuat melalui hidung dan mulut yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak disengajakan. Ia tidaklah berbahaya, namun memerlukan rawatan sekiranya ia berlaku terlampau kerap.
Apa yang menyebabkan Bersin?
Sebenarnya bukan sahaja manusia, bahkan haiwan juga bersin. Mesti kita pernah melihat haiwan seperti kucing bersin kerana bersin merupakan salah satu mekanisme sistem pertahanan semulajadi badan. Hidung merupakan anggota badan yang memainkan peranan cukup penting dalam kehidupan seharian kita.
Manakan tidak, kita menghirup udara segar setiap detik dan saat untuk bernafas melalui hidung. Udara yang dihirup seterusnya akan melalui salur pernafasan menuju ke paru-paru sebelum proses pertukaran gas pun berlaku.
Hidung juga berfungsi untuk membantu menapis dan membersihkan udara yang yang masuk ke dalam badan. Antaranya, mukus yang dihasilkan di dalam hidung dan salur pernafasan akan memerangkap kekotoran dan kuman seperti bakteria.
Mukus bercampur kekotoran dan kuman ini akan dikeluarkan menerusi bersin atau akan dibawa ke perut untuk dihadam oleh asid perut. Walau bagaimanapun, kekotoran dan kuman tersebut boleh terlepas dari diperangkap oleh mukus. Ia seterusnya merangsang lapisan mukosa dalam hidung dan salur pernafasan. Lapisan mukosa yang dirangsang ini, juga mengakibatkan bersin berlaku.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Punca Kerap Bersin
Bersin boleh disebabkan oleh faktor-faktor berikut:
- Allergi atau alahan (Resdung)
- Debu
- Kutu haiwan
- Debunga
- Kulat
Allergi atau alahan berlaku apabila sistem pertahanan badan mengesan bahan asing yang tidak berbahaya (secara umumnya) sebagai bahaya kepada badan. Hasilnya, badan akan cuba mengeluarkan bahan asing tersebut menerusi mekanisme bersin.
- Jangkitan virus
- Selesema
- Jangkitan salur pernafasan
Jangkitan virus pada lapisan mukosa mengaktifkan sistem pertahanan badan untuk bersin.
- Lain-lain faktor/bahan yang menyebabkan iritasi kepada hidung
- Bedak
- Asap
- Bau yang kuat
- Bernafas dengan udara sejuk
- Kecederaan pada hidung
Cara Rawatan Kerap Bersin
Terdapat beberapa cara rawatan untuk masalah kerap bersin bergantung kepada punca masalah tersebut.
1. Alergi atau alahan
- Kenal pasti bahan alergi. Setiap orang mempunyai bahan alergi yang berbeza. Selepas bahan alergi dikenalpasti, cuba elakkan daripada mendekati bahan tersebut.
- Jauhi haiwan peliharaan berbulu seperti kucing.
- Guna penapis udara untuk mengurangkan debunga atau bahan alergi dari udara.
- Elakkan dari merokok dan asap.
- Tukar atau cuci penapis udara secara berkala.
- Cuci karpet dengan penyedut hampa gas secara berkala.
- Penggunaan penyapu adalah tidak digalakkan, sila gunakan penyedut hampa gas (vacuum cleaner).
Sekiranya anda masih bersin, anda boleh mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berhampiran. Doktor boleh memberi preskripsi ubat “antihistamina” untuk membantu melegakan gejala. Antara ubat yang boleh diberi ialah Loratadine (Claritin) dan Cetirizine (Zyrtec).
Sekiranya bersin masih berterusan, anda boleh dapatkan temujanji untuk bertemu doktor pakar bahagian Otorinolaringologi (ENT) untuk rawatan lanjut seperti penggunaan semburan hidung dari ubat steroid.
2. Jangkitan virus
- Elakkan dari bertemu orang lain kerana virus selsema amat mudah berjangkit.
- Tiada antibiotik yang boleh digunakan untuk merawat virus.
- Banyakkan berehat dan minum banyak air.
Dapatkan rawatan dengan segera sekiranya bersin disertai dengan sakit kepala, hidung tersumbat, sesak nafas, mata gatal, ruam badan atau demam.
Etika Ketika Bersin
- Guna tisu, sapu tangan atau tangan untuk menutup mulut ketika bersin.
- Buang tisu yang telah dipakai ke dalam tong sampah.
- Basuh tangan selepas bersin.
- Elakkan bersalaman dengan orang lain.
- Dinasihatkan supaya memakai penutup hidung.
Rujukan:
- Sneezing – Healthline