Skip to content

Merkuri dalam Kosmetik dan Produk Penjagaan Wajah

Pernahkah anda terserempak dengan iklan di media sosial yang menjanjikan pemutihan kulit seawal 3 hari? Atau mungkin wajah anda diserang oleh jerawat selepas berhenti menggunakan satu produk? Mungkin produk-produk tersebut mengandungi merkuri.

Jadi, artikel kali ini akan membedah penggunaan merkuri dalam produk penjagaan kulit muka.

APAKAH MERKURI?


Merkuri merupakan logam berat yang terhasil di lapisan kerak bumi. Manusia terdedah dengan logam ini daripada alam sekitar seperti batu, air dan tanah. Sungguhpun begitu, ianya tidak mendatangkan bahaya kerana parasnya yang sangat rendah.



 Logam ini mempunyai 3 bentuk iaitu elemen yang tidak bercampur dengan unsur yang lain, tak organik dan organik. Setiap bentuk ini memberikan kesan sampingan berlainan sekiranya manusia terdedah pada paras yang tinggi atau dalam jangkamasa yang lama.

Merkuri berbentuk elemen

Biasanya dalam keadaan cecair dalam suhu bilik. Digunakan di dalam thermometer, lampu fluorescent dan peralatan elektrik.

Merkuri tak organik

Terbentuk apabil merkuri bergabung atau bercampur dengan elemen lain seperti sulphur atau oksigen untuk membentuk sebatian. Boleh juga terhasil secara semulajadi. Biasanya digunakan dalam industri pemprosesan dan juga produk kosmetik.



Merkuri organik

Terbentuk apabila bercampur dengan karbon. Biasa ditemui di dalam ikan

PENGGUNAAN MERKURI


Merkuri mula digunakan ratusan tahun dahulu apabila tamadun seperti Mesir Purba dan Rom menggunakannya dalam bidang perubatan seperti agen antibakteria, julap dan antiseptik. Malah, orang pada tamadun itu juga menggunakan logam berat ini bagi mencerahkan kulit mereka.

Pada abad ke-18, ubat untuk penyakit sifilis turut mengandungi merkuri kerana bersifat antibakteria. Namun pada hari ini, ia digunakan dalam perusahaan industry seperti bateri, thermometer dan barometer.

Beberapa dekad dahulu, produk penjagaan kulit berasaskan merkuri mendapat tempat dalam kalangan wanita. Namun, pada tahun 1973, pihak Food and Drug Administration (FDA) telah mengharamkan merkuri di dalam semua produk kecantikan seperti krim, pencuci muka dan losyen.

Hanya produk kosmetik untuk penjagaan mata seperti mascara sahaja mendapat kebenaran menggunakan merkuri sebagai bahan preservative dengan syarat kandungan merkuri tidak melebihi 1 ppm (1 part per million – 1 bahagian per sejuta). Namun, masih terdapat pengusaha produk penjagaan kulit yang tidak mengendahkan arahan ini dan menggunakan merkuri sehingga 30 ribu kali ganda lebih tinggi daripada had yang dibenarkan.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

BAGAIMANA MERKURI MEMUTIHKAN KULIT?


Kebanyakan produk pemutih yang mengandungi merkuri digunakan untuk menghilangkan masalah kulit seperti pigmentasi atau jeragat. Jeragat terhasil apabila kulit terdedah kepada sinaran UVB tanpa sebarang perlindungan. Jadi, sel kulit akan menghasilkan melanin untuk melindungi kulit muka daripada sinaran UVB.

Merkuri bertindak dengan menghalang tindakan enzim tyrosinase, enzim yang membantu penghasilan melanin, apabila disapu pada kulit muka. dengan ini, penghasilan melanin akan terbantunt menyebabkan kulit akan menjadi lebih cerah dan bersinar.



KESAN BURUK MERKURI


Disebabkan saiz molekul merkuri terlalu kecil, logam ini boleh memasuki saluran darah dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan jika digunakan pada konsentrasi yang tinggi atau jangkamasa yang lama. Antara masalah tersebut ialah

  • Iritasi kulit
  • Allergi
  • Masalah Jerawat
  • Psikosis
  • Kecelaruan minda
  • Neurotoksisiti
  • Kemurungan
  • Neuropati
  • Masalah pendengaran
  • Kerosakan buah pinggang

Malah, penggunaan merkuri juga akan mengurangkan ketahanan kulit terhadap bakteria dan fungi. Kulit akan lebih mudah dijangkiti dan rosak.

Bahan ini juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau bayi yang belum dilahirkan sekiranya para ibu menggunakannya ketika hamil atau menyusu.

CARA MENGENAL PASTI PRODUK MENGANDUNGI MERKURI


Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh para pengguna bagi mengelakkan pembelian produk yang mengandungi merkuri. Antaranya,

1. KENAL PASTI PRODUK SASARAN.

Kebiasaannya merkuri digunakan dalam produk antipenuaan dan pemutihan. Produk ini juga didatangkan dalam set yang terdiri daripada pencuci muka, toner, krim malam dan krim siang

2. BACA LABEL SEBELUM MEMBELI

Pastikan produk tersebut tidak mengandungi bahan seperti



  • Calomel
  • Mercury
  • Mercurous chloride
  • Mercuric
  • Quicksilver
  • Cinnabonis
  • Hydrogyri oxydum rubrum

Kadangkala, produk ini akan meletakkan label amaran supaya dijauhkan daripada barang kemas kerana sifatnya yang menghakis.

3. KENALI PLATFORM YANG DIGUNAKAN

Produk-produk ini selalunya dipasarkan di media sosial atau kedai jamu serta memberikan jaminan pemutihan dalam masa yang singkat. (tidak sampai 7 hari)

4. WARNA

Warna seperti krim atau kelabu menandakan produk tersebut mungkin mengandungi merkuri. Namun, tidak semua produk sebegitu

5. BAU

Kebiasaanya produk tersebut berbau seperti logam atau terlampau wangi. Hal ini kerana banyak pewangi dimasukkan bagi menutup bau logam tersebut.

APA YANG ANDA PERLU BUAT SEKIRANYA TERBELI ATAU TERPAKAI PRODUK MERKURI


  1. Berhenti pakai dengan segera
  2. Cari pencuci muka yang lembut dan ph rendah
  3. Dapatkan bantuan professional sekiranya mengalami gejala di atas

Kesimpulannya, kesihatan merupakan anugerah terbaik yang dikurniakan kepada manusia. Usah gadaikan kesihatan demi mendapatkan kecantikan yang bersifat sementara. Jadilah pengguna yang bijak dan jagalah kesihatan anda dengan sebaiknya.



Rujukan

  1. Mercury. Cosmetic Info
  2. Mercury Toxicity. Medscape
  3. Mercury in Skin Lightening Products. WHO
  4. Mercury: Dermatology review. Medge
  5. Mercury. CDC
  6. Skin Lightener Containing Mercury Can Cause Serious Health Problem. American Academy of Dermatology Association.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 − 7 =