Perut memulas selalunya disebabkan masalah dalam pergerakan usus ataupun batu hempedu. Seseorang itu mesti pernah mengalami simptom perut memulas ini paling kurang sekali dalam seumur hidupnya.
Masalah ini selalunya berlaku apabila seseorang itu mengalami masalah cirit-birit. Walaubagaimanapun terdapat beberapa punca lain yang boleh menyebabkan perkar ini berlaku.
Punca perut memulas
Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku. Ia adalah:
1. Masalah usus(Intestinal Colic)
Sakit perut jenis ini boleh berpunca dari masalah usus besar ataupun usus kecil. Ianya boleh berpunca dari pergerakan usus yang terlalu laju disebabkan masalah cirit-birit ataupun berlaku sumbatan pada usus disebabkan sembelit.
Sumbatan boleh berlaku disebabkan:
- Parut di dalam abdomen disebabkan oleh pembedahan
- Keradangan usus disebabkan penyakit Crohn’s disease
- Tahi yang keras(sembelit)
- Kanser usus
Cirit-birit pula boleh disebabkan:
- Jangkitan pada saluran pencernaan(Acute gastroentritis)
- Keracunan makanan
- Terlebih dos ubat(Vitamin C atau Lactulose)
2. Masalah batu hempedu
Batu hempedu yang terhasil di dalam pundi hempedu boleh menyebabkan saluran hempedu tersumbat.
Ketika saluran hempedu ini tersumbat, kawasan saluran tersebut itu akan mengembang dan merangsang reseptor sakit.
Perkara ini akan menyebabkan kesakitan yang amat terutamanya apabila seseorang itu baru sahaja mengambil makanan berlemak. Ini kerana lemak yang diambil akan merangsangkan penghasilan hormon cholecystokinin yang akan menyebabkan pundi hempedu mengecut untuk menolak batu hempedu tersebut.
3. Batu karang
Batu karang yang menyebabkan saluran kencing tersumbat boleh menyebabkan sakit perut atau belakang yang teruk.
Simptom
Pesakit yang mengalami simptom ini selalunya akan mengambarkan sakit perut tersebut menjadi kuat dalam masa beberapa saat kemudian ia berkurangan untuk masa beberapa minit. Kemudian jadi kuat semula. Perut seolah-olah dipulas ketika sakit tersebut berlaku.
Pesakit juga selalunya mempunyai simptom yang lain bersama-sama masalah perut memulas ini. Simptom tersebut adalah:
1. Muntah
Mereka yang mengalami perut memulas berserta muntah boleh disebabkan beberapa perkara:
- Jangkitan kuman pada saluran usus
- Keracunan makanan
- Saluran usus tersumbat
2. Cirit-Birit
Cirit-birit juga boleh berlaku dalam masalah ini dan selalunya ia disebabkan jangkitan kuman pada usus dan juga keracunan makanan
3. Demam
Jika ia disebabkan jangkitan kuman seperti Rotavirus, seseorang itu boleh mengalami simptom demam.
4. Tidak boleh kentut
Selalunya pesakit yang mengalami sumbatan pada usus akan mengalami simptom ini.
5. Perut kembung dengan teruk
Mereka yang mengalami sumbatan pada usus juga akan mengalami simptom ini
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Ujian untuk mengesan punca
Doktor pada mulanya akan melakukan pemeriksaan fizikal terlebih dahulu untuk mengetahui punca masalah perut memulas.
Kemudian barulah ujian yang tepat boleh dilakukan untuk menguatkan lagi diagnosis tersebut.
1. Sampel Kultur daripada tahi pesakit
Jika seseorang itu mengalami masalah cirit-birit yang teruk berserta demam, sampel tahi pesakit akan diambil untuk diuji di makmal.
Kuman daripada tahi tersebut akan cuba dikesan dan rawatan yang sepatutnya akan diberikan kepada pesakit
2. X-ray abdomen
Jika pesakit disyaki mengalami masalah usus tersumbat ataupun sembelit, penggunaan x-ray abdomen dapat mengesahkan perkara tersebut.
Dari x-ray abdomen juga kita dapat melihat batu karang yang terbentuk pada saluran air kencing.
3. Ultrasound scan
Pengimbas ultrasound boleh digunakan untuk mengesan batu hempedu dan juga batu karang.
Rawatan perut memulas
Punca kepada masalah ini perlulah diketahui terlebih dahulu sebelum melakukan rawatan. Kami akan menceritakan sedikit sebanyak rawatan yang dilakukan berdasarkan punca tersebut.
1. Jangkitan Kuman pada saluran pencernaan
Masalah ini dikenali sebagai Acute gastroentritis dan ia sering berlaku kepada kita. Pesakit selalunya akan mengalami muntah atau cirit-birit atau kedua-duanya sekali.
Pesakit selalunya akan baik dengan sendirinya tanpa memerlukan rawatan yang intensif. Ubat yang selalu diberikan untuk mengawal simptom adalah:
- Ubat tahan muntah seperti metoclopramide
- Ubat kurangkan cirit seperti gabungan diphenoxylate dan atropine(Jenama Lomotil)
- Garam rehidrasi(Oral rehydration salt)
- Ubat untuk kurangkan pergerakan usus seperti hyoscine(Jenama buscopan)
Pesakit yang mengalami kekurangan air atau dehidrasi perlu dimasukkan air terus ke dalam saluran darah. Prosedur ini selalunya dilakukan di hospital.
2. Usus tersumbat
Usus tersumbat (intestinal obstruction) adalah satu keadaan kecemasan yang perlu dirawat dengan segera. Pesakit selalunya akan disuruh berpuasa dan semua makanan di dalam perutnya akan dikeluarkan melalu tiub yang akan dimasukkan daripada hidung terus ke dalam perutnya.
Jika sumbatan itu masih berlaku, pembedahan perlu dilakukan untuk membetulkan balik sumbatan yang berlaku
3. Batu hempedu
Simptom sakit disebabkan batu hempedu ini boleh berlaku sekali sahaja ataupun kerap kali berlaku. Jika ia kerap berlaku, maka pembedahan untuk membuang pundi hempedu perlu dilakukan.
4. Batu karang
Batu karang yang kecil selalunya boleh pecah dengan sendirinya tanpa apa-apa rawatan.
Tetapi jika batu tersebut masih ada, satu rawatan menggunakan gelombang yang dinamakan sebagai Extracorporeal shock wave lithotripsy (ESWL) boleh digunakan untuk memecahkan batu tersebut.
Jika batu tersebut terlalu besar, maka pembedahan perlu dilakukan untuk mengeluarkan batu tersebut.
5. Sembelit
Untuk masalah ini, ubat pelembut najis boleh diberikan untuk melembutkan dan mengeluarkan najis tersebut.
Pembacaan bagi masalah yang lain
Rujukan:
- Mayo Clinic Staff. (2018). Colic.
- Mayo Clinic Staff. (2018). Intestinal obstruction.
- Treatment for gallstones. (2017). National Institutes of Health