Skip to content

Ubat Celecoxib: Dos, Kegunaan dan Kesan Sampingan

Apakah dos dan kegunaan ubat dan pil celecoxib? Artikel ini akan membincangkan dos, kegunaan dan kesan sampingan yang boleh ada ketika menggunakan ubat ini.

Penggunaan

Celecoxib diletakkan dalam Kumpulan A, bermakna hanya Doktor Pakar sahaja yang boleh memulakan ubat ini. Pemberian ubat ini biasanya diberikan mengikut situasi semasa pesakit itu sendiri dan tidak boleh sama sekali dimulakan tanpa penelitian dari para doktor terlebih dahulu. Ubat ini biasanya terdapat di fasiliti kesihatan kerajaan dalam bentuk kapsul untuk oral berkekuatan 200 mg dan 400 mg sekapsul.

FDA mengklasifikasikan penggunaan celecoxib untuk indikasi berikut:

Ubat tahan sakit
Rheumatoid Arthritis dewasa dan kanak-kanak
Rawatan tanda-tanda dan simptom ankylosis spondylitis
Migrain
Senggugut
Serangan Gout
Ubat tahan sakit selepas pembedahan
Rawatan adjung bagi stent koronari stenos

Cara Pengambilan Ubat



Ubat ini boleh diambil sebelum makan; tetapi biasanya diambil selepas makan untuk mengelakkan gastrik.

Biasa mengikut dos yang seperti disyorkan oleh doktor, dan boleh diambil sehingga 2 kali sehari. Sebaiknya hanya perlu diambil jika betul-betul sakit sahaja.

Bagi pesakit artritis misalnya, ubat ini perlu diambil sehingga 2 minggu bergantung kepada saranan dan nasihat doktor serta farmasis.

Ubat perlu ditelan dengan segelas air kosong (250 ml).

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara Simpanan

Boleh disimpan dalam suhu kurang dar 30°C (suhu bilik juga boleh digunakan).

Brand ubat yang ada dalam pasaran



Pasaran Malaysia hanya terdapat 2 jenama untuk celecoxib

  • Celebrex (Pfizer): ubat inovator, kapsul 100 mg, 200 mg dan 400 mg
  • Geloxib-200 (Healol Pharmaceuticals): ubat generik, kapsul 200 mg
  • Celebib 200 dan Celebib 100 (Synerrv): ubat generik, kapsul 100 mg dan 200 mg
  • Hovid-Celecoxib (Hovid): ubat generik, kapsul 200 mg

Cara Ubat Berfungsi

Ubat ini adalah satu lagi jenis ubat inflamatori yang bukan berasaskan steroid (nonsteroidal anti-inflammatory drug, NSAID), sama fungsi seperti ubat NSAID lain di pasaran seperti aspirin, diclofenac dan mefenamic acid.

Ubat ini berfungsi merencat enzim siklooksigenase yang bertindak sebagai salah satu enzim bagi menghasilkan hormon prostaglandin. Hormon prostaglandin ini pula berfungsi untuk menghantar maklumat sakit ke bahagian otak. Ini menyebabkan sesuatu bahagian yang tercedera akan merasa sakit disebabkan penghasilan hormon prostaglandin ini.

Manakala, ubat celecoxib ini akan merencat fungsi siklooksigenase menyebabkan hormon prostaglandin kurang dihasilkan dan maklumat sakit akan kurang dihantar kepada otak. Hasilnya, individu tersebut akan kurang rasa sakit.

Walau bagaimanapun, 3 contoh ubat yang tadi mengaruh secara kekal 2 subenzim siklooksigenase, COX-1 dan COX-2.

Manakala celecoxib secara spesifiknya mengaruh enzim COX-2 sahaja, seterusnya mengurangkan kesan sampingan gastrik yang secara relatifnya lebih banyak berlaku menerusi pengaruhan kedua-dua subenzim siklooksigenase tersebut.

Kesan Sampingan

Berikut antara kesan sampingan biasa dijumpai:

  • Bengkak air di mana-mana kawasan badan (seperti ubat NSAID lain, celecoxib boleh mengurangkan pengeluaran air dalam tubuh badan)
  • Badan lemah
  • Berat badan dengan mendadak
  • Tekanan darah meningkat (kerana pengumpulan air dalam badan) (13%)
  • Pedih Ulu hati
  • Loya dan muntah
  • Kembung perut
  • Pedih ulu hati
  • Sindrom usus sensitif (irritable bowel syndrome, IBS)
  • Sakit kepala (10-16%) dan pening kepala
  • Susah tidur
  • Kegatalan
  • Demam
  • Batuk
  • Bersin
  • Sakit-sakit di bahagian sendi, belakang, atau abdomen badan
  • Sukar buang air kecil
  • Tumbesaran kelenjar prostat (benign prostate hyperplasia)
  • Pembentukan batu karang
  • Jangkitan saluran pernafasan dan saluran perkumuhan
  • Boleh mengubah kadar creatinine buah pinggang, dan juga tahap enzim ALT dan AST ketika pemeriksaan makmal untuk buah pinggang dan hati
  • Sakit Jantung

Mereka yang tidak sesuai Mengambil ubat ini

Oleh disebabkan itu, ubat ini tidak boleh sama sekali diberikan kepada pesakit-pesakit berikut:



  • Alahan (hipersensitif) pada celecoxib dan ubat tahan sakit NSAID yang lain.
  • Alahan pada ubat-ubatan berasaskan sulfonamide
  • Kegagalan buah pinggang dan hati yang serius
  • Ada ulser perut dan usus ataupun mengalami pendarahan dalam perut dan usus.
  • Pesakit mengandung (Kategori C jika kandungan <20 minggu, D jika kandungan sudah berusia 30 minggu dan seterusnya kerana boleh menyebabkan penutupan pramatang duktus arteriosus janin dan kegagalan fungsi buah pinggang janin)
  • Ibu yang menyusukan bayi
  • Pesakit radang usus seperti penyakit Crohn dan ulseratif kolitis
  • Pesakit kegagalan jantung, serangan jantung, saluran darah ke otak tersekat sementara (angin ahmar), darah tinggi
  • Pesakit yang ada atau pernah mengalami masalah peredaran darah (penyakit arteri periferal), atau pernah menjalani pembedahan arteri kaki.

Peringatan (precaution)

Memandangkan terdapat risiko kesan sampingan mengancam nyawa melibatkan sistem kardiovaskular serta penghadaman yang tinggi dengan pengambilan dos serta tempoh  pengambilan ubat yang berterusan, penggunaan ubat ini hanya disyorkan jika perlu sahaja.

Sesetengah pesakit masih lagi boleh mengambil ubat ini, namun perlukan pengawasan dari para doktor, antaranya.

  • Pesakit mengandung yang kandungannya lebih dari 20 bulan hanya perlu dimulakan ubat ini hanya dengan mengehadkan penggunaannya kepada dos paling kurang dengan jangka masa yang pendek.
  • Pesakit kegagalan fungsi hati tahap sederhana (kategori Child-Pugh B) dan kegagalan fungsi buah pinggang (kadar pelepasan creatinine, CrCL >30 ml/min) masih boleh menggunakan ubat ini, tetapi peringatan kepada pesakit kegagalan hati tahap sederhana untuk kurangkan separuh dari dos biasa harian mereka.

Maklumat yang disertakan di sini mungkin tidak berapa lengkap. Sebaiknya berhubunglah dahulu dengan para doktor berdekatan jika mengalami penyakit-penyakit tertentu yang mungkin membolehkan pesakit mengambil celecoxib ini.

Interaksi antara ubat

Sebaiknya berbincanglah dahulu dengan doktor jika pesakit ada mengambil bersama ubat celecoxib ini bersama ubat-ubatan atau makanan lain untuk mengelakkan terjadinya sebarang kesan sampingan yang tidak diingini. Antaranya:

  • Mengurangkan kesan ubat darah tinggi lebih-lebih lagi ubat perencat enzim ACE (perindopril, enalapril, captopril, ramipril), ubat perencat reseptor angiotensin (losartan, telmisartan), ubat diuretik (hydrochlorothiazide, frusemide), perencat reseptor beta (atenolol, metoprolol dsb) dan ubat-ubat tekanan darah tinggi lain.
  • Meningkatkan kepekatan ubat lithium (penyakit mania), tacrolimus, cyclosporine (dalam rawatan imunosupresan bagi kes penerimaan organ buah pinggang sebagai contoh), dan methotrexate (antikanser dan juga dalam sesetengah rawatan autoimun dan gout). Ini juga membahayakan sistem buah pinggang pesakit.
  • Meningkatkan kesan digoxin (ubat untuk kegagalan jantung)
  • Meningkatkan insiden pendarahan lebih-lagi pendarahan dalam saluran gastrousus jika digunakan bersama ubat cair darah (warfarin, apixaban, fondaparinux), dan dengan ubat NSAID lain (ibuprofen, aspirin), ubat kemurungan dan kebimbangan SSRI (duloxetine, escitalopram), dan glukokortikoid (prednisolone, dexamethasone dsb).
  • Herba-herba seperti ginkgo biloba, dong quai, halia, bawang putih boleh menaikkan kesan pendarahan celecoxib.
  • Ubat yang banyak bertindak dengan enzim sitokroma P450 CYP2C9 yang juga memetabolismekan celecoxib:
    • Fluconazole, itraconazole (ubat kulat), efavirenz (ubat HIV/AIDS), dextromethorphan (ubat batuk): menaikkan kesan celecoxib
    • Rifampicin (antibiotik), carbamazepine (ubat sawan, penyakit psikosis dan kesakitan), barbiturat (juga ubat sawan dan dalam penyakit berkaitan psikosis): menurunkan kesan celecoxib

Kesan terlebih dos

Kes toksisiti disebabkan celecoxib jarang berlaku, tetapi tiada kesan serius pernah dilaporkan terhadap keracunan celecoxib. Simptom biasa yang mungkin dijumpai adalah simptom tipikal terlebih dos NSAID antaranya:

  • Sakit-sakit abdomen badan
  • Perut meragam
  • Kembung perut
  • Loya dan muntah
  • Tekanan darah naik (jarang)
  • Kegagalan fungsi ginjal akut (jarang)

Rawatan yang diberikan untuk kes keracunan sedemikian kebiasaannya berpandukan pada simptom pesakit.

Rujukan

  1. QUEST 3+ Product Search: Celecoxib [Internet].
  2. Medscape
  3. MIMS Gateway
  4. Micromedex
  5. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) hovid-Celecoxib 200 mg [Internet]. Diambil dari: Quest3plus
  6. Buku Biru Farmaseutikal Kebangsaan. Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  7. Celecoxib [Internet]. Dalam: WebMD.
Advertisements

1 thought on “Ubat Celecoxib: Dos, Kegunaan dan Kesan Sampingan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × five =