Skip to content

11 Tanda Anda Mungkin Mempunyai Masalah Pendengaran

Masalah pendengaran atau lebih mudah difahami sebagai masalah susah untuk mendengar adalah sejenis masalah yang selalunya dipandang enteng oleh sesetengah masyarakat. Ramai yang tidak tahu kesan daripada masalah ini boleh menyebabkan berlakunya gangguan dalam komunikasi, seterusnya mencetuskan kemerosotan kesihatan mental seperti berasa rendah diri untuk berkomunikasi, tertekan dengan masalah yang dihadapi dan sebagainya.

Menurut Mahmud dalam artikel yang dipaparkan dalam Harian Metro pada tahun 2019, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menjangkakan seramai lebih 900 juta penduduk dunia bakal mengalami masalah susah untuk mendengar menjelang tahun 2050.

Masalah pendengaran boleh diklasifikasikan kepada tiga jenis berdasarkan keputusan yang diperolehi daripada ujian pendengaran yang dikendalikan oleh audiologis di hospital atau pusat alat bantu dengar. Namun begitu, terdapat tanda-tanda yang boleh sahaja anda gunakan sebagai petunjuk untuk mengetahui sama ada anda mempunyai masalah pendengaran atau tidak.

Tanda-tanda Anda Mempunyai Masalah Pendengaran

  1.  Anda mendengar rakan komunikasi bercakap, tetapi sukar untuk memahaminya.
  2. Anda kerap kali meminta rakan komunikasi anda untuk mengulangi semula.
  3. Anda tidak terhibur dengan jenaka yang disampaikan kerana anda terlepas banyak kata kunci yang penting dalam ucapan tersebut.
  4. Anda selalu merungut bahawa rakan komunikasi anda tidak bercakap dengan betul dan jelas.
  5. Anda perlu bertanyakan tentang perkara penting dalam mesyuarat kepada orang lain kerana anda terlepas banyak kata kunci ketika mesyuarat.
  6. Anda sering menguatkan bunyi radio atau televisyen berbanding tahap kelantangan yang biasa didengari oleh rakan atau ahli keluarga anda.
  7. Anda tidak mendengar bunyi panggilan telefon, loceng atau salam dari luar rumah.
  8. Anda mendapati dengan memandang ke arah muka rakan komunikasi anda, ianya dapat memudahkan untuk anda mendengar berbanding memandang ke arah lain.
  9. Anda sering terlepas bunyi-bunyi persekitaran seperti bunyi burung atau daun-daun terbang.
  10. Anda lebih suka untuk pergi ke restoran atau kawasan yang sunyi berbanding tempat yang bising kerana anda mendapati suasana yang bising itu mengganggu komunikasi anda.
  11. Anda kerap mendengar bunyi berdesing dari dalam telinga.


Seandainya anda mempunyai salah satu atau semua tanda yang telah dinyatakan, anda berkemungkinan mempunyai masalah pendengaran. Oleh itu, anda hendaklah segera menjalani ujian pendengaran untuk mengesahkan keputusan sama ada anda mempunyai masalah tersebut ataupun tidak. 

Selain daripada itu, anda juga perlu tahu bahawa masalah pendengaran yang boleh dikategorikan   kepada tiga jenis ini bergantung kepada bahagian telinga yang terganggu atau gagal berfungsi dengan baik. Ada jenis masalah pendengaran yang selalunya hanya sementara, manakala ada juga jenis masalah pendengaran yang kebiasaannya bersifat kekal. Disebabkan itu, anda haruslah sentiasa mengambil berat tentang penjagaan kesihatan telinga dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai masalah berkaitan telinga dan pendengaran.

Sebelum anda mempelajari tentang jenis masalah pendengaran dengan lebih dalam, anda haruslah terlebih dahulu mengetahui tentang struktur telinga manusia yang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu bahagain luar, tengah dan dalam.

Jenis-jenis masalah pendengaran

1. Masalah pendengaran konduktif (conductive hearing loss)

Masalah pendengaran jenis ini berlaku disebabkan terdapat masalah di bahagian telinga luar, tengah atau kedua-duanya.



Apabila anda mengalami masalah pendengaran konduktif, bunyi yang sampai melalui telinga luar dan tengah untuk ke bahagian telinga dalam tidak dapat dihantar dengan efisen. Hal ini menyebabkan kekuatan bunyi menjadi lebih perlahan berbanding bunyi yang sampai ke telinga individu lain yang tidak mempunyai masalah susah mendengar.   

Masalah pendengaran jenis ini selalunya bersifat sementara di mana apabila punca masalah ini terjadi dapat dirawat, pesakit tidak lagi susah untuk mendengar.

Gegendang telinga berlubang
Struktur Telinga Luar tidak normal

Punca: Cecair berkumpul dalam telinga, jangkitan pada telinga luar atau tengah, gegendang telinga berlubang, menghadapi penyakit yang melibatkan tulang osikel pada telinga tengah, struktur telinga tidak normal, salur telinga tersumbat dan sebagainya.

2. Masalah pendengaran sensorineural (sensorineural hearing loss)

Masalah pendengaran jenis ini berlaku disebabkan terdapat masalah di bahagian telinga dalam, saraf pendengaran atau kedua-duanya.

Apabila anda mengalami masalah pendengaran sensorineural, bunyi yang sampai ke telinga dalam tidak dapat diterima atau dihantar ke otak dengan baik. Hal ini menyebabkan pengesanan bunyi menjadi lebih sukar.   

Masalah pendengaran jenis ini selalunya bersifat kekal di mana kebiasaannya audiologis akan mencadangkan kepada pesakit untuk memakai alat bantu dengar dan mengamalkan strategi pendengaran ketika berkomunikasi.

Punca: Terdedah kepada bunyi kuat dalam tempoh yang lama dan kerap, peningkatan tekanan pada cecair yang terdapat di telinga dalam, gangguan peredaran darah ke telinga, kecederaan kepala, keturunan, faktor umur, penyakit, mengambil sesetengah ubat yang ototoksik dan sebagainya.



3. Masalah pendengaran campuran (mixed hearing loss)

Masalah pendengaran jenis ini berlaku disebabkan terdapat kedua-dua masalah pendengaran jenis konduktif dan sensorineural.

Rawatan untuk masalah pendengaran jenis ini selalunya dimulai dengan rawatan bagi menangani masalah pendengaran konduktif. Selepas itu, barulah diikuti dengan menguruskan masalah pendengaran sensorineural.

Punca: Kesemua punca yang boleh menyebabkan seseorang individu mempunyai masalah pendengaran konduktif dan sensorineural.

Dengan bertambahnya pengetahuan anda tentang tanda, jenis dan punca masalah pendengaran melalui artikel ini, semoga ianya dapat menjadi sebagai peringatan untuk anda lebih berjaga-jaga daripada terdedah kepada punca-punca yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku seterusnya lebih mempunyai kesedaran untuk menjaga kesihatan telinga anda.

Rujukan

  1. Abdul Halim, N., & Amri, N. A. (2014). Penyebab Masalah Pendengaran. Retrieved on October, 2020 from Portal Myhealth.
  2. Katz, J. (n.d). Hearing Library. Retrieved on October, 2020
  3. Mahmud, N. H. (2019). Bendung Masalah Pendengaran. Retrieved on October, 2020 from Harian Metro
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

10 + twelve =