Skip to content

Leukemia: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca dan simptom kepada masalah kanser leukemia?

Artikel ini akan menerangkan dengan lengkap berkenaan masalah leukemia, punca-puncanya berserta cara rawatan yang akan diberikan kepada pesakit yang mengalami masalah ini.

Isi Kandungan
  1. Apa itu Leukemia?
  2. Punca Leukemia
  3. Simptom Leukemia
  4. Jenis Leukemia
  5. Diagnosa-diagnosa lain
  6. Penyiasatan
  7. Rawatan

Asal Usul Sel darah

Adakah anda mengetahui bahawa sel darah dalam badan manusia terhasil daripada satu tisu yang dinamakan sebagai sum-sum tulang. Jika dilihat secara luaran mungkin kita akan mendapati tulang itu bersifat keras secara fizikalnya, tetapi apabila kita melihat secara anatomi tulang itu, ia satu organ yang kompleks, yang berfungsi untuk menghasilkan sel darah yang begitu besar peranannya.



Sel darah itu bukan hanya sekadar sel darah merah (Red Blood Cell) sahaja, malah terdiri daripada sel darah putih (White Blood Cell) dan juga platelet. Secara fisiologi, tugas utama sum-sum tulang ini adalah untuk menghasilkan sel darah dalam keadaan yang normal (jumlah dan saiz). Tetapi apabila terdapat faktor-faktor yang mengganggu tugas utama sum-sum tulang ini, secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada penghasilan sel darah itu, malah jika lebih teruk akan membawa kepada kanser darah atau juga dikenali sebagai kanser tulang.

Apa itu Leukemia?

Antara kanser darah yang selalu kita dengar adalah Leukemia. Masalah ini terhasil apabila sum-sum tulang mula menghasilkan sel darah dalam keadaan yang tidak normal. Selalunya sel-sel darah yang tidak normal ini adalah sel darah putih, yang mana sel darah putih ini sepatutnya mempunyai peranan dalam sistem pertahanan badan.

Sel darah putih ini umpama sebagai seorang ‘tentera’ dalam badan manusia, ia melindungi badan daripada serangan bakteria, virus, fungus dan bahan bendasing daripada badan. Jika masalah ini berlaku, sel darah putih ini tidak dapat melindungi badan dengan sempurna (secara normal) dan sel darah putih ini mula untuk membiak dan berganda secara dengan lebih cepat dan tidak normal.

Masalah ini menyebabkan ruangan di dalam sum-sum tulang telah dipenuhi dan diambil alih oleh sel darah putih yang tidak normal itu, seterusnya menyebabkan keadaan lebih buruk berlaku. Leukemia ini lebih cenderung berlaku kepada golongan yang berumur 55 tahun ke atas, tetapi ia juga boleh berlaku kepada golongan remaja di bawah 15 tahun.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca Leukemia

Leukemia ini akan berlaku apabila DNA badan yang menghasilkan sel darah ini mula untuk rosak dan terganggu fungsinya. Ini menyebabkan sel darah ini mula untuk hidup dan berkembang secara tidak terkawal. Sel darah yang sihat mula untuk mati, dan digantikan dengan sel darah yang baru (tidak normal). Kebiasaannya sel darah ini mati pada tempoh hayat secara semulajadi, tetapi apabila masalah ini berlaku, sel darah ini mati bukan pada waktu yang sepatutnya. Maka sel darah yang normal mula berkurang, sel darah yang tidak normal mula meningkat.



Antara punca yang menyebabkan masalah ini berlaku adalah:

1. Kesan rawatan radiasi (Ionizing Radiation)

Apabila pesakit itu mempunyai sejarah dalam mendapatkan rawatan kanser dengan menggunakan kaedah radiasi. Sebagai contoh jika seseorang itu pernah mengalami kanser tiroid atau kanser payudara dan pernah menjalani rawatan radioterapi, maka pesakit seperti ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah leukemia.

Ini kerana penggunaan gelombang radioterapi mampu merosakkan genetik di dalam sel badan dan dalam kes ini genetik sel stem di dalam sumsum tulang. Ini menyebabkan sumsum tulang menghasilkan sel darah putih yang banyak dan tidak normal

2. Kesan rawatan Kemoterapi

Apabila pesakit mempunyai sejarah dalam mendapatkan rawatan kemoterapi juga boleh meningkatkan risiko penyakit ini.

3. Bahan kimia (Benzene)

Menggunakan campuran yang mengandungi bahan kimia seperti benzene seperti pembersih bahan kimia.



4. Penyakit genetik tertentu

Kanak-kanak yang dilahirkan dengan mempunyai penyakit genetik tertentu seperti “Down Syndrome” mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami penyakit ini.

FAKTA MENGENAI SEL DARAH  
SEL DARAH MERAH   Sel darah merah yang matang berbentuk biconcave dan bersaiz 7.2. Jangka hayat: 120 hari. Jumlah (purata): 5 juta/mm3 (Lelaki 4.5 – 6 Juta/mm3, Wanita 4 – 5.5 Juta/mm3  
SEL DARAH PUTIH   Dua jenis yang utama: ”Granular” (Neutrophils, Basophils, Eosinophils) dan “Non Granular” (Monocytes, Lymphocytes) Jangka hayat: 13 – 20 hari. Jumlah (purata): 4000 – 11000/mm3  
PLATELET   Berbentuk umpama piring yang nipis Jangka hayat: 7 – 10 hari. Jumlah (purata): 150 000 – 450 000/mm3  

Simptom Leukemia

Terdapat beberapa tanda utama yang menunjukkan seseorang itu menghidapi masalah ini sebelum dibuat pemeriksaan selanjutnya, antaranya ialah:

  • Keletihan: Disebabkan kekurangan sel darah merah yang mengandungi hemoglobin yang berfungsi untuk membawa zat besi (iron) ke seluruh badan.
  • Tanda – tanda pendarahan dan lebam: Kerana proses pembekuan darah terganggu menyebabkan seseorang itu mudah untuk lebam dan berdarah dengan cepat. Ia adalah salah satu simptom darah cair
  • Kurang selera makan: Sel kanser darah ini akan memberi kesan kepada hati dan juga limfa yang menyebabkan hati dan limfa membesar dari saiz normal, proses pencernaan turut terganggu.
  • Kehilangan berat badan, sakit kepala, kesakitan tulang dan sakit sendi dan demam yang berpanjangan.

Walau bagaimanapun, kesemua gejala ini boleh terjadi kepada beberapa penyakit yang lain, oleh itu pemeriksaan lanjut dan siasatan daripada doktor amat diperlukan untuk mengesahkan penyakit yang dihidapi.

Periksa Simptom anda Di Sini

Jenis Leukemia

Terdapat pelbagai jenis Leukemia yang harus kita ketahui dan ia penting kepada doktor untuk mengenal pasti jenis leukemia yang dihadapi oleh pesakit itu. Masalah ini terbahagi kepada dua jenis utama yang dikategorikan berdasarkan kematangan dan kepantasan sel-sel darah itu membiak.

“Acute Leukemia” dan “Chronic Leukemia”

  • Acute Leukemia: Sel kanser darah yang tidak matang dan tidak boleh menjalankan fungsi sel darah secara normal. Sel kanser ini juga membiak dengan pantas dan agresif, menyebabkan penyakit ini menjadi lebih teruk.
  • Chronic Leukemia: Sel kanser yang matang dan membiak secara perlahan. Adakala ketika waktu ini, ia tidak menunjukkan apa-apa gejala yang memberi kesan yang teruk kepada pesakit.

Adapun begitu, setiap jenis Leukemia ini terbahagi kepada beberapa klasifikasi yang utama bergantung kepada di mana sel kanser ini mula-mula terjadi dalam badan individu tersebut, sama ada dari jenis “Myeloid” atau “Lymphoid”. Ini kerana, setiap jenis ini terjadi kepada golongan yang berbeza dan mempunyai rawatan yang berbeza. Empat klasifikasi utama yang harus kita ketahui:



1. Acute Lymphocytic Leukemia (ALL)

Jenis yang selalu berlaku (common type) bagi kanak-kanak terutama bagi kanak-kanak yang berumur lima tahun ke bawah, dan boleh juga berlaku kepada golongan dewasa yang berumur 50 tahun ke atas.

2. Acute Myelogenous Leukemia (AML)

Jenis yang jarang berlaku dan lebih berisiko kepada golongan dewasa berbanding kanak-kanak. Lelaki lebih banyak dihidapi berbanding wanita.

3. Chronic Lymphocytic Leukemia (CLL)

Jenis yang sering berlaku kepada golongan dewasa yang berumur 55 tahun ke atas, tetapi golongan remaja juga mempunyai kebarangkalian untuk terkena penyakit ini.

4. Chronic Myelogenous Leukemia (CML)

Jenis ini sering berlaku kepada golongan remaja dan seseorang yang mengalami jenis ini hampir tidak menunjukkan apa-apa gejala yang jelas untuk tempoh beberapa bulan sebelum sel kanser darah ini mula untuk membiak dengan lebih agresif.



APAKAH BEZA DI ANTARA LYMPHOCYTIC DAN MYELOID?

Doktor menentukan jenis ini berdasarkan jenis sel darah yang terkesan dan terganggu fungsinya.

LYMPHOCYTICMYELOID  
Lymphocytic Leukemia: Jika sel kanser darah memberi kesan kepada jenis sum-sum tulang yang menghasilkan sel darah putih (lymphocyte), di mana sel darah putih ini mempunyai fungsi dalam sistem pertahanan badan.  Myelogenous Leukemia: Berlaku apabila sel kanser darah memberi kesan kepada sel sum-sum tulang yang menghasilkan sel darah.  

Jenis-jenis Diagnosa yang berbeza

Bukan semua penyakit darah itu akan membawa kepada Leukemia, dan bukan semua gejala Leukemia itu akan membuktikan seseorang itu mengalami masalah ini. Terdapat beberapa diagnosa yang berbeza (Differential Diagnosis) yang mungkin boleh menjadikan seseorang itu perlu kepada pemeriksaan yang selanjutnya:

  1. Severe Aplastic Anemia
  2. Acute Rheumatic Fever
  3. Septicemia
  4. Infectious Mononucleosis
  5. Myelodysplastic Syndromes
  6. Lymphblastic lymphoma
  7. Thrombocytosis

Penyiasatan

Untuk penyiasatan lanjut bagi mengenal pasti adakah seseorang itu mengalami Leukemia dan apakah jenisnya, selalunya ia boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan sum-sum tulang. Pemeriksaan makmal akan dijalankan dengan mengambil sampel darah pesakit yang diperolehi daripada tulang pinggul.

Sampel darah atau juga dikenali sebagai “Complete Blood Count (CBC)” bertujuan untuk mengenal pasti berapakah jumlah sel darah yang terkandung dalam badan pesakit itu. Dalam hal ini, doktor akan melihat jumlah bilangan sel darah merah, sel darah putih dan juga jumlah platetet, adakah ia mempunyai jumlah yang normal mengikut piawaian yang telah digariskan.

Kemudian, doktor akan melihat melalui mikroskop untuk menentukan keadaan dan bentuk sample darah yang diambil. Walaupun begitu, ujian sampel darah melalui sum-sum tulang ini satu prosedur yang selamat dan tidak memberi kesan yang besar kepada pesakit.

Rawatan

Bagi pesakit yang telah disahkan menghidapi masalah ini, mereka akan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya bagi mengelakkan sel kanser ini terus membiak dan memberi kesan yang besar kepada pesakit jika tidak dirawat dengan secepat mungkin.

Seperti mana yang disebutkan, setiap rawatan Leukemia ini berbeza dengan jenis Leukemia yang telah disahkan. Rawatan yang selalu akan diterima adalah:



1. Kemoterapi

Kemoterapi adalah rawatan utama yang selalu diberikan untuk merawat Leukemia. Rawatan ini bertujuan untuk membunuh sel-sel leukemia yang tidak normal dan membenarkan sel-sel darah yang normal pulih kembali. Ada beberapa kesan sampingan yang sering berlaku hasil daripada rawatan chemotherapy ini seperti keguguran rambut, kehilangan berat badan dan rasa loya.

2. Pemindahan sum-sum tulang

Jika keadaan semakin membimbangkan, pesakit disarankanuntuk melakukan pemindahan sum-sum tulang (Bone Marrow Transplantation). Rawatan ini bertujuan untuk menggantikan sum-sum tulang yang telah rosak dengan sum-sum tulang yang lebih baik untuk mencegah sel kanser terus merebak ke seluruh badan. Dengan rawatan yang moden pada masa kini, penyakit ini mampu untuk disembuhkan.

3. Pengambilan ubat

Bagi jenis “Chronic Leukemia” disarankan untuk mengambil rawatan dengan ubat-ubatan yang dinamakan “Tyrosine Kinase Inhibator” yang berupaya untuk menghapuskan sel kanser yang berbahaya kepada badan. Prognosis bagi pengidap Chronic Leukemia ini selalunya mampu untuk hidup dengan normal kembali tanpa mengganggu fungsi hidup yang ketara.

4. Rawatan susulan

Walaupun begitu, terdapat beberapa rawatan yang lain yang diguna pakai untuk merawat masalah ini, mengikut keadaan pesakit dan jenis yang dihidapi. Terlebih penting, segala rawatan yang diambil perlu mendapat nasihat dan saranan daripada doktor yang merawat, untuk mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku.



Periksa Simptom anda Di Sini

RUJUKAN

  1. Internal Medicine (Part 2). Leukemia – Prof. Dr. Magdy Ishak, Cairo University
  2. Mayoclinic, Leukemia (Symptoms and Causes)
  3. Leukemia, Healthline
  4. Webmd. What Is Leukemia
  5. Medical News Today. Leukemia
  6. American Cancer Society, Leukemia
  7. Oncology Encylopedia, Staging Of Leukemia
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 + 5 =