Skip to content

Sakit Gusi: Punca, Rawatan dan Pencegahan

Apakah punca kepada masalah sakit gusi? Artikel ini akan membincangkan punca sakit gusi, rawatannya dan pencegahan kepada masalah ini.

Pengenalan

Gusi adalah sebuah tisu lembut yang mengelilingi gigi serta melindungi akarnya. Gusi yang sihat selalunya berwarna merah jambu. Namun begitu, kadang-kala kita akan mengalami situasi di mana gusi menjadi sakit. Selalunya, masalah ini akan diiringi dengan gusi berdarah. Apabila hal ini terjadi, anda perlu mengambil perhatian mengenai gusi anda kerana keadaan ini mungkin menjadi tidak selesa jika dibiarkan. Anda boleh memeriksa keadaan gusi anda dan jika berlarutan, pemeriksaan bersama doktor gigi perlu dijalankan.

Punca Sakit Gusi

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan gusi anda mengalami kesakitan. Kadang-kala puncanya adalah disebabkan teknik memberus gigi anda yang tidak tepat, iaitu memberus terlalu kuat. Selain itu, punca lain yang lebih signifikan adalah seperti:



1. Penyakit gusi

Penyakit gusi atau gingivitis adalah antara penyebab sakit gusi. Pada peringkat awal, gusi tidak sakit namun berdarah. Penyakit ini terjadi apabila terdapat pembinaan plak pada permukaan gigi dan bahagian dalam gusi. Plak ini mengandungi bakteria dan lama-kelamaan menjadi karang gigi apabila tidak dibersihkan. Disebabkan kehadiran plak dan karang, gusi akan mengalami inflamasi dan berdarah seterusnya sakit.

2. Penyakit gusi melibatkan tulang

Penyakit ini juga dikenali sebagai periodontitis. Keadaan ini adalah penyakit gusi yang lebih serius yang melibatkan tulang yang menyokong gigi. Apabila karang gigi telah membentuk di bahagian dalam gusi dan bakteria berada di dalamnya, inflamasi akan menjadi lebih serius. Gusi akan mendapat poket periodontal yang membentuk sekeliling gigi dan menyebabkan lebih banyak bakteria memasuki poket gusi. Akhirnya, tulang dan tisu penghubung yang memegang gigi anda akan menyusut dan menghilang. Simptom utama penyakit ini adalah sakit gusi.

3. Kandidiasis mulut



Ia melibatkan pertumbuhan organisma kulat daripada spesis candida. Jangkitan kulat ini terjadi apabila terdapat masalah sistem pertahanan badan atau apabila ekologi mulut terganggu. Di dalam mulut, kandidiasis kelihatan seperti lesi putih, lesi merah atau lesi campuran putih dan merah yang berada pada gusi, tonsil atau lelangit mulut. Jika terjadi pada gusi, gusi akan berasa sakit atau iritasi.

4. Hormon mengandung

Semasa mengandung, hormon seperti progesterone boleh mengubah keadaan badan berhadapan dengan toksin dan baketria yang ada pada plak. Pregnancy gingivitis atau penyakit gusi semasa mengandung boleh terjadi. Peningkatan saluran darah ke gusi akan menyebabkan gusi bengkak dan sakit.

5. Aplians gigi

Aplians gigi seperti pendakap gigi, aplians boleh tanggal, gigi palsu, dan mouthguard boleh menyebabkan sakit gusi. Hal ini terjadi jika aplians ini mengalami pecah pada permukaan atau tidak muat pada gigi. Hasilnya, aplians ini akan menyebabkan iritasi pada gusi akibat tekanan atau permukaan tajam.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom

Terdapat beberapa simptom yang boleh dikaitkan dengan sakit gusi. Simptom ini juga kadang-kala terjadi bersama sakit gusi. Anda perlu mengambil maklum dan memberitahu kepada doktor gigi. Contohnya:

Komplikasi

Masalah gusi ini mungkin tidak begitu serius namun jika ianya dibiarkan atau berlaku bersama penyakit lain contohnya, penyakit gusi, ia akan membawa komplikasi yang lebih serius seperti:

  • Gusi bernanah berulang kali
  • Gusi menyusut
  • Gigi longgar
  • Kehilangan gigi

Rawatan

Terdapat pelbagai cara untuk merawat sakit gusi. Ia terbahagi kepada rawatan di rumah dan rawatan di klinik gigi. Jika di rumah:



  • Kumur mulut dengan ubat kumur mulut seperti chlorhexidine atau berkumur dengan air garam
  • Menggunakan berus gigi lembut
  • Memperbaiki teknik memberus gigi
  • Mengambil ubat tahan sakit seperti paracetamol
  • Mengurangkan pengambilan makanan pedas atau masam

Namun begitu, jika gusi anda sakit dan tidak berubah walaupun selepas mengamalkan rawatan di rumah, maka disarankan anda berjumpa dengan doktor gigi. Di klinik, anda boleh mendapat rawatan seperti:

  • Scaling dan root planing: Cara pembersihan dalam gusi ini boleh membantu dan merawat penyakit gusi.
  • Ubat kumur mulut: Ini boleh membantu gusi yang dijangkiti pulih dan melawan bakteria di dalam mulut.
  • Memeriksa dan menggantikan aplians gigi seperti pendakap gigi, aplians boleh tanggal, gigi palsu, dan mouthguard jika ianya mengalami kerosakan atau tidak muat sepenuhnya.
  • Jika terdapat penyakit selain penyakit gusi yang menyebabkan masalah ini, doktor gigi akan melakukan pemeriksaan menyeluruh pada mulut dan gigi anda seterusnya memberikan rawatan susulan yang berkaitan.

Pencegahan

Secara dasarnya, sakit gusi tidak seharusnya dipandang enteng. Masalah gusi ini boleh memberi gambaran awal kepada penyakit yang mungkin terjadi pada mulut anda. Namun begitu, anda tidak perlu panik atau risau kerana ianya boleh dicegah, contohnya:

  • Memberus gigi 2 kali sehari
  • Flos gigi sehari sekali
  • Membuat janji temu bersama doktor gigi setiap 6 bulan dan menjalani pemeriksaan berkala
  • Melakukan rawatan scaling gigi
  • Berhenti merokok

Rujukan:

  1. Sore Gums Causes And Treatments. Colgate.
  2. Gum disease. NHS UK.
  3. Why Are My Gums Sore? Healthline.
  4. How to Treat Gum Pain. WebMD.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × 2 =