Apakah itu masalah bruxism atau mengisar gigi? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan masalah Bruxism, simptom dan rawatan kepada masalah ini.
Apa itu bruxism?
Pernahkah anda mengalami masalah bruxism? Bruxism adalah perbuatan mengisar serta mengetap gigi di antara rahang atas dan bawah tanpa sedar atau disengajakan. Masalah ini boleh terjadi pada setiap peringkat umur merangkumi orang dewasa mahupun kanak-kanak. Bruxism boleh hadir dengan beberapa simptom namun ia juga berkemungkinan tiada simptom. Perbuatan mengisar gigi ini sering kali dikaitkan dengan keadaan tertekan atau kegelisahan. Masalah ini sering dilaporkan berlaku ketika tidur, atau ketika tertekan.
Punca
Masalah bruxism sering kali dikaitkan berpunca dari masalah tekanan atau kegelisahan. Namun begitu, terdapat juga faktor lain yang memungkinkan bruxism atau perbuatan mengetap gigi berlaku kepada sesorang individu.
- Tekanan dan kegelisahan
- Tekanan dari persekitaran seperti perhubungan, tempat kerja atau tempat belajar.
- Kesan sampingan ubat
- Ubatan seperti antidepressant atau psikiatri
- Gangguan tidur dan tabiat ketika tidur
- Jika anda berdengkur atau mempunyai gangguan ketika tidur seperti obstructive sleep apnoea (OSA), anda lebih berkemungkinan mengetap gigi ketika tidur. OSA menganggu pernafasan anda ketika tidur.
- Selain itu, kemungkinan bruxism juga berlaku sekiranya anda bercakap ketika tidur, mengalami sleep paralysis atau berhalusinasi ketika tidur.
- Gaya hidup
- Contohnya seperti mengambil alkohol, merokok, menyalahgunakan dadah serta mengambil minuman mengandungi kafein secara berlebihan.
- Susunan gigi yang tidak betul
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Simptom
Bruxism kadang-kala hadir dengan beberapa simptom yang anda boleh kenal pasti. Contohnya seperti:
- Kesakitan di muka
- Sakit kepala
- Sakit di telinga
- Sakit dan rasa kejang pada sendi rahang (sendi temporomandibular) dan otot di sekitarnya, yang boleh menyebabkan gangguan temporomandibular (TMD)
- Gangguan ketika tidur
- Permukaan gigi haus
- Gigi atau tampalan patah
- Gigi sensitif
- Gigi retak
Komplikasi
Jika anda mempunyai simptom seperti di atas, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor gigi sebelum ianya mengakibatkan komplikasi yang lebih serius seperti:
- Kerosakan pada gigi dan restorasi
- Gusi menyusut
- Tulang menyusut
- Gangguan temporomandibular (TMD)
- Arthritis pada rahang
- Gangguan pemakanan
Rawatan
Jika anda merasakan anda mengalami masalah bruxism, anda perlu mengambil perhatian kepada semua simptom dan memberitahu kepada doktor anda. Apabila anda bertemu dengan doktor gigi, anda akan menjalani pemeriksaan pada gigi dan keadaan mulut untuk mengetahui sebab untuk masalah ini.
Terdapat beberapa rawatan untuk merawat masalah bruxism yang boleh disyorkan. Pertama sekali, dengan cara menggunakan mouth guard atau mouth splint. Alat ini akan meliputi keseluruhan gigi dan selalunya dipakai ketika tidur. Kegunaan alat ini adalah mengurangkan sensasi untuk mengetap atau mengisar gigi anda. Selain itu, mouth guard juga akan mengurangkan rasa sakit dan mengelakkan kehausan gigi serta mempertahankan struktur gigi. Jika masalah anda berkaitan dengan gangguan temporomandibular (TMD), anda disarankan untuk bertemu pakar.
Seterusnya, gigi yang telah haus dan menyebabkan sensitiviti akan menjalani restorasi semula. Anda juga akan diajar senaman untuk merehatkan otot. Di rumah juga, anda boleh meletakkan tuala suam pada sendi rahang. Ini akan melegakan kesakitan yang terdapat pada rahang anda. Selain itu, anda juga perlu mengawal kadar tekanan anda serta mengurangkan pengambilan alkohol.
Cara Mengelakkan Bruxism
Bruxism sebenarnya boleh dielakkan dan dikurangkan jika ianya berlaku. Pelbagai cara boleh dilakukan dan ianya boleh bermula dari rumah anda sendiri. Anda boleh amalkan ini iaitu:
- Cara pertama adalah dengan mengurangkan tekanan pada diri anda. Ini boleh dicapai dengan cara mendengar lagu yang menenangkan atau melakukan hobi kesukaan anda.
- Cara kedua adalah dengan mengurangkan pengambilan alkohol dan perbuatan merokok dalam kehidupan seharian anda. Ini kerana kemungkinan individu yang mengambil alkohol dan merokok untuk mengalami bruxism adalah 2 kali ganda menurut kajian Journal of the American Dental Association pada November 2016.
- Cara ketiga adalah dengan mengamalkan tabiat tidur yang baik. Langkah ini boleh dilakukan dengan mengamalkan kadar tidur yang sihat serta tidak tidur lewat.
- Cara terakhir adalah dengan sentiasa membuat pemeriksaan berkala dengan doktor gigi anda. Dengan ini, doktor gigi dapat mengenal pasti lebih awal sekiranya anda mengalami masalah bruxism.
Masalah mulut yang lain
Mulut Berbau | Kanser Gusi |
Lidah Pendek | Tonsil Bengkak |
Kanser Tekak | Kanser Tonsil |
Hilang Suara | Hilang Deria |
Masalah Bruxism | Ranula |
Rujukan
- Teeth grinding (bruxism). NHS UK.
- Bruxism (Tooth Grinding). Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Teeth Grinding. Mouth Healthy by American Dental Association.