Skip to content

10 Makanan Untuk Pesakit Gastrik Yang Anda Boleh Cuba

Pemakanan yang baik penting untuk kesihatan sistem penghadaman termasuk melindungi daripada penyakit gastrik. Ada beberapa makanan yang boleh membantu mencegah dan mengurangkan gejala gastrik. Artikel ini akan membincangkan 10 makanan untuk masalah gastrik.

Pengenalan

Penyakit gastrik atau gastritis adalah masalah penghadaman yang berlaku kerana keradangan atau hakisan pada lapisan perut. Gastritis terbahagi kepada dua jenis iaitu gastritis akut yang berlaku secara tiba-tiba dan gastritis kronik yang muncul secara perlahan dan untuk jangka masa panjang.

Kebanyakan pesakit gastrik mengalami keradangan pada lapisan perut yang boleh hilang dengan rawatan gastritis. Namun, ada juga yang mengalami penyakit gastrik yang lebih teruk sehingga boleh menyebabkan ulser perut atau peptik pada lapisan sel yang lebih dalam dan boleh meningkatkan risiko kanser.



Perut mengeluarkan asid hidroklorik atau asid perut untuk mencernakan makanan yang masuk ke dalam perut. Lapisan mukosa pada dinding perut berfungsi untuk melindunginya daripada terhakis oleh asid perut yang kuat ini. Masalah gastrik yang berlaku ketika lapar menandakan asid dalam perut terlalu banyak dan masalah gastrik selepas makan pula mungkin menandakan terdapat masalah ulser perut kerana lapisan mukosa yang sudah lemah.

Punca Masalah Gastrik

  1. Jangkitan kuman Helicobacter pylori.
  2. Pengambilan alcohol berlebihan
  3. Keracunan makanan
  4. Merokok
  5. Stress
  6. Ubat-ubatan NSAID seperti aspirin, ibuprofen, voltaren dan ponstan

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom masalah gastrik

  1. Sakit perut (pada bahagian atas perut)
  2. Rasa senak, perut berangin atau pedih
  3. Rasa tidak selesa
  4. Perut kembung, kerap sendawa dan kentut selepas makan
  5. Loya dan muntah
  6. Hilang selera makan
  7. Berat badan turun (pada peringkat teruk)

10 Makanan untuk Masalah Gastrik

1. Yogurt

Yogurt adalah makanan yang baik untuk masalah gastrik. Ia mengandungi probiotik iaitu bakteria baik yang mempunyai manfaat kepada kesihatan terutamanya kesihatan perut. Kajian menunjukkan pengambilan probiotik dalam yogurt (bersama dengan ubat) memberi kesan anti bakteria yang kuat ke atas bakteria Helicobacter pylori yang merupakan salah satu punca masalah gastrik. Selain itu, probiotik atau bakteria baik dalam yogurt juga boleh membantu melindungi daripada bakteria jahat lain dalam perut.

2. Sayur-sayuran

Sayur-sayuran mengandungi kandungan serat tidak larut yang tinggi. Serat baik untuk sistem penghadaman dengan membantu melancarkan pergerakan usus dan mengelakkan daripada sembelit. Pesakit gastritis atau ulser perut dinasihatkan untuk mengambil diet yang tinggi dengan serat.



Ini kerana serat boleh mengurangkan kepekatan asid dalam perut dan mempercepatkan proses penghadaman dalam usus. Oleh itu, ia boleh mengurangkan kembung perut dan rasa kurang selesa pada perut.

Antara sayur-sayuran yang digalakkan adalah sayuran berdaun hijau, lobak merah dan juga bayam. Pesakit Gastrik dinasihatkan untuk mengelakkan sayuran seperti kubis, bunga kubis, brokoli dan timun yang boleh menyebabkan kembung perut.

3. Bijirin penuh

Selain daripada sayur-sayuran, makanan bijiran penuh juga adalah sumber serat tidak larut yang baik untuk sistem penghadaman. Makanan bijirin penuh termasuk roti bijirin penuh, pasta, beras perang dan lain-lain. Walaubagaimanpun, jika simptom-simptom masalah gastrik anda teruk, nasi putih atau roti putih lebih mudah untuk dihadam.

4. Buah-buahan

Buah-buahan seperti epal, betik dan pisang pula adalah sumber serat larut yang juga baik untuk sistem penghadaman. Selain itu, buah-buahan mengandungi antikoksida seperti flavonoid yang boleh mencegah daripada kerosakan sel, menghalang pembiakan bakteria termasuk bakteria Helicobacter pylori dan mengurangkan gastritis. Namun, elakkan buah-buahan berasidik seperti oren, nenas dan limau kerana mampu menerukkan keadaan masalah gastrik.

5. Protein rendah lemak

Ayam, telur dan ikan adalah sumber protein yang rendah dengan lemak. Pengambilan protein yang mencukupi akan membantu mempercepatkan proses penyembuhan. Pilih masakan yang rendah lemak seperti membuat sup, membakar dan mengukus berbanding menggoreng kerana lemak boleh meningkatkan lagi keradangan dan juga melambatkan proses penghadaman. Keadaan ini boleh menyebabkan keadaan gastritis menjadi lebih teruk.



6. Minyak zaitun

Sepertimana yang telah disebut, pesakit gastritis haruslah mengelakkan makanan yang berlemak kerana boleh menerukkan lagi simptom-simptom masalah gastrik.  Namun, pengambilan lemak yang sihat seperti minyak zaitun mempunyai manfaat dan kebaikan terhadap pesakit gastritis.

Minyak zaitun kaya dengan polifenol yang mempunyai sifat antioksida dan antiradang semula jadi yang mampu mengurangkan keradangan. Selain itu, kajian juga menunjukkan kandungan polifenol dalam minyak zaitun boleh membunuh dan menghalang pembiakan bakteria Helicobacter pylori. Oleh itu, ia boleh melindungi daripada masalah gastrik dan juga ulser perut.

Artikel Berkaitan: Khasiat Minyak Zaitun Pada Kesihatan

7. Minyak ikan

Minyak ikan tinggi dengan kandungan omega -3 yang juga merupakan lemak yang sihat. Omega- 3 mempunyai aktiviti anti-radang yang kuat. Diet yang tinggi dengan omega-3 mampu mengurangkan keradangan termasuk keradangan pada perut akibat masalah gastrik. Kajian menunjukkan pengambilan omega-3 mampu melindungi daripada masalah gastrik dan kanser perut yang disebabkan oleh bakteria Helicobacter pylori.

8. Green tea (Teh hijau)

Pengambilan teh hijau boleh melindungi daripada masalah gastrik dan kanser perut. Kajian menunjukkan orang yang mengambil teh hijau mempunyai 51% risiko yang lebih rendah untuk mendapat penyakit gastrik kronik berbanding orang yang tidak mengambil teh hijau. Kesan perlindungan teh hijau ini adalah disebabkan kandungan antioksida yang tinggi dalam teh hijau yang boleh mencegah penyakit gastrik kronik.



9. Kelapa

Pengambilan air kelapa merupakan salah satu rawatan dalam rawatan tradisional Ayuverda untuk melegakan penyakit gastritis. Air kelapa dipercayai memberi kesan sejuk kepada dinding perut dan mempunyai kesan antiradang yang boleh mengurangkan keradangan pada perut.

Satu kajian ke atas tikus makmal menunjukkan air kelapa dan santan boleh melindungi daripada ulser perut dan menunjukkan penurunan ulser sebanyak 39% dan 54%. Selain itu, kelapa juga mempunyai kesan antiseptik yang boleh membunuh bakteria, menguatkan sistem imun badan dan mempercepatkan proses penyembuhan.

Artikel Berkaitan: Khasiat Air Kelapa Pada Kesihatan Badan

10. Halia

Halia telah lama digunakan dalam perubatan tradisional terutamanya untuk melegakan sakit perut. Kajian menunjukkan halia boleh mengurangkan kekejangan pada usus, kembung perut dan mampu mempercepatkan pengosongan perut (gastric emptying).

Kesan-kesan ini boleh melegakan simptom dan melindungi daripada masalah gastrik. Satu kajian juga menunjukkan ekstrak halia mempunyai kesan antibakteria terhadap bakteria Helicobacter pylori dan boleh menghalang pembiakan bakteria ini.

Artikel Berkaitan: Khasiat Air Halia pada Kesihatan Badan



Kesimpulan

Akhir sekali, jelaslah bahawa ada beberapa makanan yang boleh membantu mencegah masalah gastrik dan mengurangkan simptom-simptomnya. Pesakit gastritis juga dinasihatkan untuk mengikut waktu makan yang betul dan mengambil 5 hingga 6 hidangan kecil sehari berbanding 3 hidangan besar. Mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap boleh membantu proses penyembuhan dengan memastikan pengeluaran asid perut setiap kali makan adalah pada tahap yang optimum.

Selain itu, ada juga beberapa makanan yang harus dielakkan oleh pesakit gastrik. Antaranya adalah alkohol, kopi, makanan berasidik, makanan berlemak dan bergoreng, makanan pedas dan minuman berkarbonat. Makanan-makanan ini mampu meningkatkan keradangan pada perut dan memburukkan lagi masalah gastrik. Diharapkan artikel 10 makanan untuk masalah gastrik dapat memberi sedikit sebanyak pengetahuan kepada para pembaca.

Rujukan

  1. Nazzaro, F., Fratianni, F., Cozzolino, R., Martignetti, A., Malorni, L., De Feo, V., Cruz, A. G., & d’Acierno, A. (2019). Antibacterial Activity of Three Extra Virgin Olive Oils of the Campania Region, Southern Italy, Related to Their Polyphenol Content and Composition. Microorganisms, 7(9)
  2. Nikkhah Bodagh, M., Maleki, I., & Hekmatdoost, A. (2018). Ginger in gastrointestinal disorders: A systematic review of clinical trials. Food Science & Nutrition, 7(1), 96–108.
  3. Nneli, R. O., & Woyike, O. A. (2008). Antiulcerogenic effects of coconut ( Cocos nucifera ) extract in rats: COCONUT MILK AND WATER PROTECT AGAINST INDUCED ULCERS. Phytotherapy Research, 22(7), 970–972.
  4. Setiawan, V. W., Zhang, Z. F., Yu, G. P., Lu, Q. Y., Li, Y. L., Lu, M. L., Wang, M. R., Guo, C. H., Yu, S. Z., Kurtz, R. C., & Hsieh, C. C. (2001). Protective effect of green tea on the risks of chronic gastritis and stomach cancer. International Journal of Cancer, 92(4), 600–604. https://doi.org/10.1002/ijc.1231
  5. VOMERO, N. D., & COLPO, E. (2014). Nutritional care in peptic ulcer. Arquivos Brasileiros de Cirurgia Digestiva : ABCD = Brazilian Archives of Digestive Surgery, 27(4), 298–302.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen − sixteen =