Skip to content

10 Khasiat Air Kelapa Pada Kesihatan Tubuh Badan

Air kelapa adalah minuman yang sesuai untuk melegakan kehausan kerana rasanya yang enak dan menyegarkan. Ia sedap dinikmati pada hari yang bercuaca panas. Pasti anda juga pernah terdengar tentang banyaknya kebaikan air kelapa ini. Tetapi apakah sebenarnya khasiat air kelapa kepada tubuh badan? Artikel ini akan membincangkan 10 khasiat air kelapa, kandungan nutrisinya dan juga komponen berkhasiat di dalam air kelapa.

Pengenalan

Cocos nucifera atau pokok kelapa adalah pokok dari keluarga Arecaceae. Ia adalah tumbuhan tropika yang hidup subur dan banyak terdapat di kawasan persisiran pantai. Hampir semua bahagian pokok kelapa boleh dimanfaatkan untuk kegunaan manusia seperti batang, daun, buah, isi dan juga airnya.

Air kelapa adalah minuman yang popular di Malaysia dan negara-negara tropika yang lain. Ia adalah jus yang terkandung di dalam tempurung buah kelapa terutamanya  buah kelapa muda. Air kelapa mempunyai rasa yang manis dan kekacangan serta mempunyai aroma semula jadi.



Air di dalam buah kelapa akan bertukar menjadi isi pada buah kelapa yang lebih matang. Selain diminum segar, air kelapa juga dijadikan pelbagai minuman popular seperti Coconut shake dan ice blended yang kini selalu dijual di gerai, pasar malam, pasar tani ataupun di dalam menu beberapa restoran.

Kandungan nutrisi

Air kelapa adalah minuman isotonik yang kaya dengan pelbagai nutrisi dan mempunyai kandungan kalori yang rendah. Air kelapa membekalkan 5 jenis mineral yang diperlukan oleh tubuh badan iaitu kalium, sodium, magnesium, fosforus dan juga kalsium. Satu cawan atau 240 ml air kelapa mengandungi:

NutrisiKandungan
Kalorikcal46 kcal
Karbohidratg9 g
Proteing2 g
Seratg3 g
Vitamin CRDI10% RDI
MagnesiumRDI15% RDI
KaliumRDI17% RDI
SodiumRDI11% RDI
KalsiumRDI6% RDI

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen berkhasiat dalam air kelapa

1. Fitohormon

Fitohormon adalah hormon tumbuhan atau senyawa organik yang mempunyai peranan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan tumbuhan. Fitohormon dalam air kelapa terdiri daripada auxin, cytokinin dan giberelin.  Selain berfungsi untuk memastikan pertumbuhan tumbuhan yang sihat, ada juga kajian yang mencadangkan manfaat fitohormon kepada kesihatan manusia. Antara khasiat fitohormon yang dicadangkan adalah mengawal kadar gula dalam darah, mengawal keradangan, menggalakkan pembiakan sel dan juga mencegah jangkitan.

2. Ion tidak organik



Air kelapa mengandungi pelbagai jenis ion tidak organik yang menyumbang kepada khasiat air kelapa. Ion tidak organik penting untuk kesihatan tubuh badan terutamanya dalam memastikan fungsi sel dan fungsi hemoglobin yang baik dan penting untuk pembentukan tulang dan juga penghasilan enzim badan. Selain itu, kandungan ion tidak organik dalam air kelapa boleh menggantikan kehilangan elektrolit dalam badan daripada peluh.

3. Vitamin

Air kelapa merupakan sumber vitamin yang baik. Ia kaya dengan vitamin B seperti vitamin B1, B2, B3, B4, B5, B6, B7 dan B9. Vitamin B adalah vitamin larut air yang mempunyai peranan penting dalam metabolisme sel dan pembentukan sel darah merah. Selain daripada vitamin B, air kelapa juga mengandungi vitamin C yang merupakan antioksida yang baik. Pengambilan vitamin yang mencukupi akan mengurangkan risiko penyakit seperti penyakit jantung, strok, kanser mulut, kanser paru-paru, kanser perut dan juga kanser usus.

10 Khasiat Air Kelapa Pada Kesihatan Badan

1. Antioksida

Tekanan oksidatif menjadi salah satu punca kebanyakan penyakit seperti penyakit koronari, strok, Alzheimer dan Parkinson. Diet yang tinggi dengan antioksida dapat merendahkan tekanaan oksidatif lalu mengurangkan risiko penyakit kronik. Air kelapa mempunyai kandungan antioksida yang tinggi.

Beberapa kajian ke atas tikus makmal telah membuktikan sifat antioksida air kelapa yang mampu menurunkan tekanan oksidatif, melindungi sel dari kerosakan akibat radikal bebas dan juga meningkatkan aktiviti antioksida di dalam tikus.

Kajian juga membuktikan sifat antioksida air kelapa adalah disebabkan kandungan L-arginine dan vitamin C dalam air kelapa yang mampu menghalang pembentukan spesies oksigen reaktif (ROS) dan pengoksidaan lemak di dalam badan.

2. Mencegah diabetes



Kajian ke atas tikus makmal menunjukkan bahawa air kelapa mempunyai sifat anti diabetes. Kajian itu menunjukkan pengambilan air kelapa selama 16 hari menyebabkan penurunan bacaan gula dalam darah dan juga penurunan pada bacaan HbA1c iaitu bacaan purata gula untuk tempoh tiga bulan.

Ini menunjukkan air kelapa boleh membantu dalam pengawalan gula dalam darah untuk jangka masa panjang. Selain itu, pengambilan air kelapa juga boleh meningkatkan kandungan hormon insulin dalam badan yang berfungsi mengawal paras gula dalam darah dengan membantu proses penyerapan gula ke dalam sel-sel badan.

Artikel Berkaitan: Punca Kencing Manis dan Rawatan

3. Mencegah batu karang

Batu karang adalah penyakit yang disebabkan oleh pembentukan batu di dalam saluran air kencing seperti di dalam buah pinggang, ureter atau pundi kencing. Batu karang terbentuk apabila adanya kristal dalam saluran air kencing yang disebabkan oleh kepekatan beberapa bahan tertentu di dalam air kencing.

Pengambilan air kelapa boleh melindungi daripada terjadinya batu karang. Kajian ke atas tikus dengan batu karang menunjukkan rawatan menggunakan air kelapa mampu menghalang pembentukan kristal dalam buah pinggang dan menurunkan kandungan kristal dalam air kencing. Selain itu, air kelapa juga boleh melindungi daripada kerosakan dan tekanan oksidatif pada buah pinggang.

Artikel Berkaitan: Tanda Sakit Batu Karang dan Rawatan

4. Melindungi jantung



Bacaan kolesterol yang tinggi dalam darah merupakan penyebab utama risiko penyakit jantung. Ini kerana kolesterol yang tinggi mengganggu aliran darah kepada jantung. Air kelapa merupakan minuman yang baik untuk mencegah penyakit jantung.

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan air kelapa boleh menurunkan bacaan kolesterol total, kolesterol jahat (LDL), triglyceride dan meningkatkan kolesterol baik (HDL) dalam darah. Selain itu, satu kajian ke atas tikus menunjukkan pengambilan air kelapa boleh melindungi daripada serangan jantung dan pengoksidaan lemak dalam mitokondria.

Mitokondria = organel dalam sel tubuh manusia yang diperlukan untuk penjanaan tenaga sel.

5. Mengawal tekanan darah

Air kelapa mengandungi kandungan kalium yang tinggi. Kalium merupakan salah satu mineral penting yang boleh membantu mengawal tekanan darah dan menstabilkan debaran jantung. Satu kajian menunjukkan pengambilan 300 ml air kelapa dua kali sehari selama 14 hari mampu menurunkan bacaan tekanan darah sistolik secara signifikan.

Artikel Berkaitan: Punca Darah Tinggi, Simptom dan Rawatan

6. Minuman isotonik

Air kelapa merupakan minuman isotonik semula jadi. Komposisi mineral dan gula dalam air kelapa memberi keseimbangan electrolit yang sama seperti keseimbangan electrolit dalam tubuh badan manusia. Minuman isotonik seperti air kelapa membantu mengekalkan kandungan air, mineral dan nutrien di dalam darah terutamanya dapat menggantikan kehilangan cecair semasa bersenam.



7. Melindungi hati

Kajian ke atas tikus menunjukkan air kelapa mampu melindungi daripada kerosakan hati. Apabila terdapat kerosakan hati, bacaan enzim hati seperti glutamate oxaloacetate transaminase (SGOT) dan glutamate pyruvate transaminase (SGPT) akan berada pada tahap yang tinggi. Pengambilan air kelapa oleh tikus dengan penyakit hati menunjukkan bacaan enzim hati kembali kepada tahap yang normal dan kajian histopatologi (pemeriksaan spesimen tisu) ke atas tisu hati tikus tidak menunjukkan tanda kerosakan pada hati atau tanda hati berlemak (fatty liver).

8. Antinosiseptif dan Anti radang

Antinosiseptif merupakan tindakan atau proses yang menghalang neuron deria daripada mengesan rangsangan yang menyakitkan atau merbahaya. Air kelapa mempunyai ciri-ciri antinosiseptif dan anti radang yang membantu mengurangkan rasa sakit dan mengurangkan keradangan.

Kajian ke atas tikus makmal menunjukkan bahawa air kelapa mempunyai kesan tahan sakit dan juga kesan anti radang yang kuat. Kajian itu mencadangkan ciri-ciri antinosiseptif dan antiradang air kelapa adalah disebabkan komposisinya yang unik yang terdiri daripada campuran gula, vitamin, mineral, asid amino dan cytokinin.

9. Rawatan cirit-birit

Dehidrasi atau kehilangan air adalah komplikasi utama pada orang yang mengalami cirit-birit. Pengambilan air kelapa telah lama diamalkan dalam rawatan dehidrasi yang disebabkan oleh cirit-birit pada kanak-kanak ataupun orang dewasa. Ini kerana air kelapa kaya dengan kandungan air dan juga electrolit seperti kalium, sodium dan manganese yang boleh menggantikan kehilangan air dan electrolit dalam badan akibat cirit-birit.

Artikel Berkaitan: Cirit Birit. Simptom dan Rawatan



10. Meningkatkan hemoglobin

Hemoglobin merupakan protein di dalam sel darah merah yang mengikat oksigen ke dalam darah untuk dibawa ke tisu-tisu badan.  Apabila kekurangan hemoglobin di dalam darah, maka akan terjadi anemia dan komplikasi kekurangan oksigen dalam badan.

Salah satu penyebab kekurangan hemoglobin dalam darah adalah akibat jangkitan malaria. Oleh itu, kajian ke atas tikus yang menghidap jangkitan malaria menunjukkan air kelapa berkesan untuk menurunkan parasitemia index iaitu bacaan yang menunjukkan kadar parasit dalam darah dan boleh meningkatkan kandungan hemoglobin dalam darah secara signifikan.

Artikel Berkaitan: Masalah Anemia, simptom dan Rawatan

Kesimpulan

Akhir sekali, daripada perbincangan di atas jelaslah bahawa air kelapa membawa pelbagai kebaikan kepada kesihatan tubuh badan. Namun, jika anda sudah mengalami sebarang penyakit seperti kencing manis, penyakit jangtung atau penyakit lain, air kelapa bukanlah menjadi alternatif kepada ubat anda. Anda perlulah meneruskan penggunaan ubat dan meminta nasihat doktor. Diharapkan artikel khasiat air kelapa ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat Timun JepunKhasiat Buah Ciku
Khasiat KeladiKhasiat Air Halia
Khasiat Bunga CengkihKhasiat Ketumbar
Khasiat Air LemonKhasiat Belut
Khasiat Limau PurutKhasiat Air Kelapa
Khasiat PetaiKhasiat Air Barli
Khasiat Ikan BilisKhasiat Buah Tembikai
Khasiat Minyak Kelapa DaraKhasiat Jering
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Serai
Khasiat Ikan KeliKhasiat Minyak Argan

Rujukan

  1. Ajeigbe, K., ZA, N., Amegor, O., Onifade, A., Asuk, A., GF, I., & Olaleye, S. (2011). Anti-Nociceptive and Anti-Inflammatory Potential of Coconut Water (Cocos nucifera L.) in rats and mice. Australian Journal of Basic and Applied Sciences, 5, 1116–1122.
  2. Anurag, P., & Rajamohan, T. (2003). Cardioprotective effect of tender coconut water in experimental myocardial infarction. Plant Foods for Human Nutrition, 58(3), 1–12.
  3. Chanclud, E., & Lacombe, B. (2017). Plant Hormones: Key Players in Gut Microbiota and Human Diseases? Trends in Plant Science, 22(9), 754–758.
  4. EFFECTIVENESS OF TENDER COCONUT WATER (COCOS NUCIFERA L) AGAINTS PARASITEMIA INDEX AND HEMOGLOBIN LEVELS IN MALARIA INFECTION | INTERNATIONAL JOURNAL OF PHARMACEUTICAL SCIENCES AND RESEARCH. (n.d.). Retrieved April 4, 2021
  5. Gandhi, M., Aggarwal, M., Puri, S., & Singla, S. K. (2013). Prophylactic effect of coconut water (Cocos nucifera L.) on ethylene glycol induced nephrocalcinosis in male wistar rat. International Braz J Urol: Official Journal of the Brazilian Society of Urology, 39(1), 108–117.
  6. HEALTH BENEFITS OF TENDER COCONUT WATER (TCW) | INTERNATIONAL JOURNAL OF PHARMACEUTICAL SCIENCES AND RESEARCH. (n.d.). Retrieved April 4, 2021
  7. Yong, J. W. H., Ge, L., Ng, Y. F., & Tan, S. N. (2009). The Chemical Composition and Biological Properties of Coconut (Cocos nucifera L.) Water. Molecules, 14(12), 5144–5164.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 − 12 =