Skip to content

10 Khasiat Ikan Bilis Pada Kesihatan

Apakah khasiat ikan bilis pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat ikan bilis, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalamnya.

Pengenalan

Nasi lemak merupakan antara salah satu makanan yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tapi tahukah anda, salah satu komponen yang terdapat dalam nasi lemak, mempunyai khasiat yang sangat baik untuk kesihatan tubuh badan? Ya, tidak lengkap rasanya andai anda makan nasi lemak tanpa ikan bilis, salah satu komponen utama terdapat didalam nasi lemak, yang memiliki pelbagai manfaat kepada kesihatan.

Ikan bilis sudah mula dinikmati oleh manusia ribuan tahun dahulu sejak zaman peradaban Rom lagi. Pada tahun 1990, ikan bilis mula terkenal saat dijadikan sebagai topping pada masakan piza. Memiliki lebih daripada 140 spesis, meskipun ikan bilis kerap dinikmati secara segar, terdapat juga ikan bilis yang dijadikan ikan kering, diasinkan serta ditinkan (canned).

Kandungan Nutrisi



Meskipun terlihat kecil, ikan bilis mengandungi kandungan yang sangat berkhasiat untuk tubuh badan. Satu hidangan 100 gram ikan bilis yang belum dimasak menyumbang sebanyak 131 kalori, 20.4 gram protein serta 4.9 gram lemak. Selain daripada kandungan makronutrisi tersebut, ikan bilis juga menyumbang pelbagai vitamin dan mineral seperti kalsium, potassium, sodium dan fosforus, antara mikronutrisi yang tidak kurang pentingnya diperlukan setiap individu untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat dalam Ikan Bilis

Ikan bilis menyumbang banyak khasiat serta manfaat untuk kesihatan tubuh badan. Selain kaya dengan protein yang penting untuk kesihatan tisu, tulang serta pelbagai lagi manfaat lain, ikan bilis juga kaya dengan Omega-3, salah satu lemak penting yang sangat diperlukan, berfungsi sebagai anti-keradangan. Ikan bilis juga kaya dengan vitamin-vitamin seperti riboflavin, selenium, niacin, folat, vitamin A, C, E, K serta mineral-mineral seperti zinc, zat besi, kalsium dan banyak lagi yang membantu memelihara tubuh badan agar kekal sihat. Artikel ini seterusnya akan membincangkan lebih lanjut khasiat-khasiat yang terdapat dalam ikan bilis untuk kesihatan individu.

10 Khasiat Ikan Bilis pada Kesihatan

1. Baik untuk kesihatan jantung

Jantung merupakan organ yang berfungsi memastikan darah dapat disalurkan keseluruh tubuh badan. Kesihatan jantung adalah penting agar oksigen serta komponen-komponen yang terdapat didalam darah dapat dihantar dan diterima oleh semua sel dalam badan bagi memastikan sel-sel tersebut dapat berfungsi dengan baik.

Menurut kajian, ikan bilis memiliki kandungan lemak poli-tidak tepu (poly-unsaturated fat) yang tinggi berfungi menurunkan kadar kolesterol jahat (LDL cholesterol) secara tidak langsung mencegah daripada sakit jantung, strok dan sebagainya.

Ikan bilis juga didapati mengandungi niacin dan selenium, yang bertanggungjawab menurunkan risiko seseorang individu daripada menghidapi penyakit jantung.



Artikel Berkaitan: Tanda Serangan Sakit Jantung dan Rawatan

2. Baik untuk kesihatan kulit

Kulit merupakan ekspresi pertama yang kita tonjolkan kepada orang sekeliling. Namun, kulit sangat terdedah kepada kerosakan seperti sinaran UV, diet yang tidak sihat dan sebagainya. Situasi tersebut boleh menyebabkan kedutan, jerawat dan pelbagai lagi masalah kulit yang lain, yang pastinya sangat tidak diinginkan oleh setiap individu.

Menurut kajian, pengambilan ikan bilis dalam diet seharian dapat mengurangkan masalah jerawat hasil daripada kandungan Omega -3 dalam ikan bilis yang baik untuk kesihatan kulit.

3. Kaya dengan protein

Protein merupakan salah satu makronutrisi yang sangat diperlukan untuk memastikan tubuh badan dapat berfungsi dengan baik dan sihat. Satu kajian yang dijalankan mendapati makanan yang tinggi dengan protein dapat membantu mengawal kadar gula dalam darah serta menghalang daripada kerosakan otot.

Satu hidangan ikan bilis menyumbang sebanyak 13 gram protein, sedikit sebanyak menyumbang kepada keperluan protein seharian. Pastikan anda mengambil kandungan protein yang mencukupi bagi memastikan kesihatan anda sentiasa di tahap yang baik.

4. Membantu menurunkan berat badan

Berat badan yang berlebihan merupakan salah satu faktor yang menjadi penyumbang kepada penyakit kronik seperti diabetes dan sebagainya. Justeru, penjagaan berat badan yang baik adalah penting bagi setiap individu agar tubuh badan kekal sihat.

Satu kajian yang dijalankan mendapati makanan berasaskan ikan yang tinggi dengan protein membantu individu merasa kenyang secara tidak langsung mengelakkan individu daripada makan berlebihan serta dapat menghalang penghasilan hormon ghrelin yang berfungsi menjadikan individu berasa lapar.

5. Meningkatkan kesihatan tulang

Kesihatan tulang yang baik dapat membantu mengelakkan individu daripada penyakit osteoporosis, riket dan pelbagai lagi penyakit lain yang berkaitan dengan tulang. Bagi memastikan tulang kekal sihat, setiap individu perlu mengambil vitamin dan mineral serta protein yang mencukupi.



Ikan bilis didapati mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang sangat baik bagi kesihatan tulang, seperti kalsium dan vitamin A yang mampu melindungi individu daripada pereputan tulang.

Artikel Berkaitan: Punca Osteoporosis dan Rawatan

6. Membantu “self-healing”

Ikan bilis mengandungi kandungan protein yang tinggi yang sangat diperlukan untuk membantu fungsi metabolisme sel serta memperbaiki tisu yang rosak dalam badan. Seperti yang kita ketahui, protein juga diperlukan oleh badan untuk membina sel-sel, tisu serta tulang yang sihat disamping pelbagai lagi fungsi lain.

Justeru, secara keseluruhan, protein yang terdapat didalam ikan bilis dapat membantu meningkatkan kemampuan individu untuk mendapatkan self-healing.

7. Kaya dengan Omega-3

Omega -3 merupakan salah satu lemak yang sangat diperlukan oleh badan. Omega -3 dapat membantu mengurangkan risiko seseorang individu daripada penyakit yang berkaitan dengan jantung serta baik untuk kesihatan otak.

Menurut American Heart Association (AHA), pengambilan makanan yang kaya dengan Omega -3, seperti yang terdapat pada ikan bilis, sebanyak 2 hidangan seminggu (1 hidangan sebanyak 100 gram) mampu memenuhi keperluan Omega-3 individu.

8. Baik untuk kesihatan mata

Vitamin A merupakan komponen penting yang diperlukan oleh setiap individu untuk mendapatkan mata yang sihat. Satu kajian yang dijalankan mendapati sambal ikan bilis yang kaya dengan vitamin A, berpotensi memelihara glaucoma daripada menjadi semakin teruk, serta berpotensi memelihara individu daripada katarak dan degenarasi makula.

9. Bertindak sebagai anti-keradangan

Keradangan merupakan proses semulajadi badan yang berfungsi sebagai salah satu langkah self-healing. Namun begitu, keradangan untuk tempoh masa yang lama, juga dikenali sebagai keradangan kronik boleh menjadi punca kepada penyakit lain seperti sakit jantung dan sebagainya. Omega -3 seperti yang terdapat dalam ikan bilis berfungsi sebagai anti-keradangan yang secara tidak langsung membantu memelihara individu daripada risiko penyakit-penyakit kronik.



10. Kaya dengan zat besi

Ikan bilis merupakan salah satu makanan yang kaya dengan zat besi. Bayangkan, hanya 20 gram ikan bilis yang belum dimasak dapat menyumbang sebanyak 12 peratus keperluan zat besi lelaki serta 5 peratus keperluan zat besi wanita. Zat besi memainkan peranan yang sangat penting dalam memelihara kesihatan tubuh badan.

Zat besi membantu meningkatkan pembekalan oksigen dalam badan serta membantu peredaran darah yang baik. Zat besi juga dapat memelihara badan daripada jangkitan dengan membantu sel darah putih dalam badan untuk menghapuskan bakteria.

Penutup

Sebagai nota akhir, ikan bilis dilihat memiliki banyak manfaat dan pelbagai khasiat yang boleh diperolehi untuk kesihatan, justeru, memasukkan ikan bilis dalam menu dan hidangan seharian adalah baik bagi mendapatkan tubuh badan yang sihat. Namun begitu, amalan pemakanan yang seimbang dengan berpandukan Pinggan Sihat Suku-suku Separuh serta gaya hidup yang sihat juga perlu dititikberatkan agar kesihatan badan terpelihara serta terhindar daripada apa jua jenis penyakit.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat Timun JepunKhasiat Buah Ciku
Khasiat KeladiKhasiat Air Halia
Khasiat Bunga CengkihKhasiat Ketumbar
Khasiat Air LemonKhasiat Belut
Khasiat Limau PurutKhasiat Air Kelapa
Khasiat PetaiKhasiat Air Barli
Khasiat Ikan BilisKhasiat Buah Tembikai
Khasiat Minyak Kelapa DaraKhasiat Jering
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Serai
Khasiat Ikan KeliKhasiat Minyak Argan

Rujukan

  1. American Heart Association (2017). Fish and Omega-3 Fatty Acids. Retrieved from Heart.org
  2. Smith M. W. (2020). Health Benefits of Anchovies. Retrieved from Heart.org
  3. Staughton J. (2019). 9 Reasons Why Anchovies should be Included in Your Diet. Retrieved from organic fact
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

13 − one =