Skip to content

10 Khasiat Bunga Cengkih Pada Kesihatan Badan

Apakah khasiat bunga cengkih pada kesihatan badan. Artikel ini akan membincangkan khasiat bunga cengkih, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.

Pengenalan

Siapa yang tidak kenal dengan bunga cengkih? Sejenis rempah unik mempunyai bentuk seakan bunga yang sering digunakan dalam masakan bagi meningkatkan bau serta rasa yang enak dalam hidangan. Namun, keenakkan tersebut seakan terhenti saat anda tergigit bunga cengkih tersebut tanpa disedari ekoran rasanya yang agak kurang menyenangkan bagi mereka yang kurang biasa memakannya.

Selain daripada peranannya sebagai pemangkin aroma serta peningkat rasa, bunga cengkih sebenarnya mempunyai khasiat yang banyak untuk kesihatan tubuh badan. Mari ikuti artikel ini bagi mengenalpasti manfaat dan khasiat bunga cengkih yang pelbagai bagi kesihatan tubuh badan kita seharian. 

Kandungan Nutrisi



Bunga cengkih memilki kandungan nutrisi yang sangat baik untuk tubuh badan. Menurut United States Deparment of Agriculture (USDA) FoodData Central, satu sudu teh bunga cengkih mengandungi sebanyak 5.75 kalori, serta menyumbang sebanyak 1.38 gram karbohidrat, 0.13 gram protein serta 0.27 gram lemak.

Selain daripada makronutrisi tersebut, satu sudu teh bunga cengkih juga mengandungi sebanyak 0.71 gram serat serta pelbagai vitamin dan mineral seperti vitamin E, vitamin C, riboflavin, kalsium, potassium dan beberapa lagi vitamin dan mineral lain yang penting untuk kesihatan tubuh badan.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat dalam Bunga Cengkih

Selain daripada kandungan makronutrisi serta mikronutrisi yang terdapat didalam bunga cengkih seperti yang dinyatakan diatas, bunga cengkih juga mengandungi beberapa komponen bioaktif yang memainkan peranan penting dalam pemeliharaan kesihatan tubuh badan. Antara komponen bioaktif yang terdapat dalam bunga cengkih adalah flavonoids, ethanol, eugenol, hexane, methyl chloride, thymol serta benzene yang masing-masingnya mempunyai sifat seperti antioksida, anti-keradangan, anti-mikrob dan sebagainya. Artikel ini seterusnya akan membincangkan 10 khasiat bunga cengkih kepada kesihatan tubuh badan.

10 Khasiat Bunga Cengkih pada Kesihatan

1. Tinggi kandungan antioksida

Antioksida diperlukan oleh badan untuk melawan tekanan oksida yang boleh merosakkan sel dan menjadi penyebab kepada masalah kesihatan. Tekanan oksida ini boleh berpunca daripada persekitaran dan juga pemakanan yang diambil oleh individu seharian.



Bunga cengkih memiliki kandungan antioksida yag tinggi dilihat baik bagi melawan tekanan oksidatif yang boleh menjejaskan kesihatan individu.

2. Berpotensi memelihara daripada kanser

Kanser merupakan penyakit yang semakin membimbangkan saban hari, berikutan penghidap kanser yang meningkat saban tahun. Kanser terjadi kerana pelbagai faktor antaranya genetik, gaya hidup yang tidak sihat serta pemakanan yang tidak seimbang.

Terdapat kajian makmal yang menunjukkan ekstrak bunga cengkih mampu menghalang perkembangan sel kanser serta menghapuskannya, dipercayai kerana kandungan eugenol yang dimilikinya.

Namun begitu, eugonel ini boleh menjadi toksik sekiranya diambil pada dos yang tinggi, justeru kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi mengenalpasti keberkesanan serta kesan sampingannya kepada kesihatan.

3. Menghapuskan bakteria

Bakteria merupakan antara organisme yang hidup dalam badan kita. Bakteria yang baik akan membantu sebahagian sistem dalam badan bagi berfungsi dengan sebaiknya. Namun begitu, bakteria yang jahat boleh menyebabkan kesihatan tubuh badan seseorang individu terjejas.

Bunga cengkih memilki ciri-ciri anti-mikrob yang mampu menghalang bakteria jahat daripada berkembang biak serta menjadi punca kepada penyakit. Kajian makmal yang dijalankan mendapati bunga cengkih mampu menghalang pembiakan dua jenis bakteria yang menjadi punca kepada penyakit gusi, secara tidak langsung membantu dalam pemeliharaan kesihatan mulut individu.



Namun begitu, kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi mengenalpasti keberkesanan serta kesan sampingannya kepada kesihatan.

4. Berpotensi baik untuk kesihatan hati

Hati memainkan peranan yang penting dalam tubuh badan kita. Hati bertindak sebagai tempat penyimpanan tenaga, menghasilkan albumin, melakukan proses detoksifikasi bagi mengeluarkan toksik dalam badan serta pelbagai lagi.

Justeru kesihatan hati adalah sangat penting agar proses-proses penting dalam tubuh badan dapat berfungsi dengan baik. Kajian makmal yang dijalankan ke atas tikus mendapati eugenol yang terdapat dalam bunga cengkih mampu merawat masalah sirhosis hati (liver cirrhosis) secara tidak langsung memperbaiki kesihatan hati.

Namun, kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi mengenalpasti keberkesan serta kesan sampingannya kepada kesihatan individu.

5. Berpotensi membantu mengawal kadar gula dalam darah

Badan kita memerlukan gula sebagai sumber tenaga untuk melakukan aktiviti seharian. Namun begitu, kandungan gula yang berlebihan dalam badan boleh merosakkan saluran darah serta menjadi penyebab kepada penyakit seperti strok, sakit jantung dan sebagainya.

Justeru, pengawalan gula yang baik adalah penting bagi menghindarkan individu daripada penyakit-penyakit tersebut. Menurut kajian yang dijalankan keatas tikus mendapati bunga cengkih berpotensi mampu membantu mengawal kadar gula dalam darah individu dengan meningkatkan pengambilan gula oleh sel-sel dalam badan serta menggalakkan penghasilan insulin.



Artikel Berkaitan: Punca Kencing Manis dan Rawatan

6. Berpotensi baik untuk kesihatan tulang

Kesihatan tulang yang baik adalah penting bagi mengelakkan individu daripada penyakit seperti osteoporosis, yang meningkatkan risiko individu mengalami patah dan retak tulang, ekoran keadaan tulang yang tidak kuat.

Kajian makmal yang dijalankan keatas haiwan mendapati pengambilan bunga cengkih mampu meningkatkan kekuatan tulang, dipercayai kerana kandungan eugenol yang terdapat dalam bunga cengkih.

Namun begitu, kajian keatas manusia masih terhad untuk mengenal pasti keberkesanan serta kesan sampingannya kepada kesihatan.

7. Berpotensi mampu mengurangkan ulser perut

Ulser perut merupakan suatu kondisi yang pasti sangat menyakitkan bagi individu yang mengalaminya. Ini boleh terjadi kerana pelbagai faktor seperti genetik, stres serta jangkitan. Menurut kajian yang dijalankan keatas haiwan mendapati minyak bunga cengkih mampu meningkatkan penghasilan gastric mucus yang menjadi pelindung lapisan perut daripada asid pencernaan.

Namun begitu, kajian keatas manusia perlu dijalankan bagi mengenalpasti keberkesanan serta kesan sampingan pengambilan minyak bunga cengkih ini kepada kesihatan.



Artikel Berkaitan: Punca Ulser Perut dan Rawatan

8. Meningkatkan imunisasi badan

Imunisasi badan berfungsi memelihara tubuh badan kita daripada serangan bakteria, virus, toksin dan sebagainya. Justeru, imun badan yang berfungsi dengan baik adalah penting bagi memastikan badan kekal sihat serta terhindar daripada penyakit. Kompoun yang terdapat dalam bunga cengkih mampu meningkatkan imunisasi badan dengan meningkatkan penghasilan sel darah putih yang berfungsi melawan jangkitan dan penyakit.

9. Mempunyai ciri-ciri anti-keradangan

Keradangan merupakan proses semulajadi tubuh untuk memastikan kesihatan kita dalam keadaan baik dengan melawan jangkitan, kecederaan dan sebagainya. Namun, keradangan yang berlaku untuk tempoh masa yang lama, dikenali juga sebagai keradangan kronik akan menyebabkan terjadinya penyakit seperti sakit jantung, diabetes, strok dan sebagainya.

Menurut kajian yang dijalankan keatas tikus, eugenol yang terdapat dalam bunga cengkih mempunyai sifat anti-keradangan dan mampu mengurangkan keradangan yang berpunca daripada edema. Kajian lebih mendalam perlu dijalankan keatas manusia bagi mengenalpasti kesan sampingan serta keberkesanannya terhadap kesihatan individu.

10. Baik untuk kesihatan seksual

Masalah seksual merupakan antara masalah yang penting untuk diselesaikan terutama bagi golongan yang sudah berumahtangga. Ini bagi mengelakkan pertelingkahan yang berpunca daripada hak seksual pasangan yang tidak dipenuhi.



Menurut kajian, ekstrak bunga cengkih dilihat mempunyai kesan yang sama seperti yang dihasilkan oleh ubatan untuk mengatasi masalah seksual. Namun, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor sekiranya ingin mengambil ekstrak bunga cengkih tersebut bagi mengelakkan apa-apa masalah yang boleh menjejaskan kesihatan.

Kesimpulan

Sebagai penutup, bunga cengkih dilihat memiliki pelbagai manfaat dan khasiat yang baik untuk kesihatan tubuh badan kita. Namun demikian, pengambilan bunga cengkih sebagai suplemen perlu diambil perhatian serius dan nasihat daripada doktor perlulah diperolehi terlebih dahulu terutama bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Selain daripada itu, sentiasa amalkan pemakanan yang seimbang serta gaya hidup yang sihat agar kita terhindar daripada penyakit serta kesihatan badan terpelihara dengan baik.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat Timun JepunKhasiat Buah Ciku
Khasiat KeladiKhasiat Air Halia
Khasiat Bunga CengkihKhasiat Ketumbar
Khasiat Air LemonKhasiat Belut
Khasiat Limau PurutKhasiat Air Kelapa
Khasiat PetaiKhasiat Air Barli
Khasiat Ikan BilisKhasiat Buah Tembikai
Khasiat Minyak Kelapa DaraKhasiat Jering
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Serai
Khasiat Ikan KeliKhasiat Minyak Argan

Rujukan

  1. Butler N. (2018). Cloves: Nutrition Facts and Health Benefits. Retrieved from Medical News Today
  2. Link R. (2020). 8 Surprising Health Benefit of Cloves. Retrieved from Healthline
  3. Nagdeve M. (2020). 10 Surprising Health Benefit of Cloves. Retrieved from Organic Facts
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 2 =