Skip to content

Ubat Azithromycin: Kegunaan, Dos & Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat antibiotik azithromycin? Artikel ini akan membincangkan kegunaan ubat azithromycin, dos dan kesan sampingan disebabkan ubat ini.


Penulis rasa agak teruja apabila akhirnya buat kali pertamanya genap sudah 10 artikel terkini berkaitan ubat semenjak memulakan ruangan ini dalam The Diagnosa.

Tiada siapa menyangka impian untuk menulis sebuah karya ilmiah santai sebegini mampu dijayakan secara tuntas daripada hasrat penulis untuk mengajar kepada masyarakat tentang penggunaan ubat secara berkualiti, berkesan dan selamat – antara tujuan keramat farmasis setiap kali berbicara tentang ubat – mesti perlu ditayangkan pada umum.



Semestinya penulis harapkan angan ini mampu dijayakan dan berterusan, serta mempermudahkan semua pihak juga. Apapun penulisan kali ini saya hendak fokuskan pada satu antibiotik yang mungkin ada pernah terdengar mengenainya, iaitu ubat azithromycin.

Pengenalan

Dalam hospital dan klinik kesihatan kerajaan, antibiotik azithromycin adalah antara ubat-ubatan terkawal. Biasa diletakkan sebagai A/KK (Pakar Perubatan) dan A* (Pakar Perunding Perubatan) dan memerlukan preskripsi dari mereka untuk membelinya di farmasi komuniti. Antara dos yang biasa didapati dalam pasaran adalah:

  • Tablet 250 mg (dalam Buku Formulari KKM) dan 500 mg, juga muncul dalam tablet bersalut 250 mg
  • Suntikan 500 mg/vial (dalam Buku Formulari KKM)
  • Serbuk bebutir (biasa dibancuh menjadi sirap 200 mg/5 ml) (dalam Buku Formulari KKM)
  • Ubat titik mata 15 mg/g atau 1%

Ubat tablet dan sirap boleh diambil sebelum dan selepas makan, tetapi lebih baik diambil selepas makan untuk mengelakkan kesan sistem penghadaman. Sesetengah kapsul yang mengandungi azithromycin dan diformulasikan sebagai extended-release (kontak ubat terhadap bakteria dipanjangkan) selalunya dinasihatkan untuk diambil pada waktu perut kosong (sekurang-kurangnya 1 jam sebelum makan atau 2 jam selepas makan).

Dos ubat kebiasaannya mengikut saranan para doktor dan farmasis, dengan ukuran dos yang pelbagai untuk dewasa dan kanak-kanak dengan indikasi tertentu. Terdapat bukti digunakan dalam kanak-kanak bawah 6 bulan untuk jangkitan telinga akut (acute otitis media) dan bawah 2 tahun untuk pesakit pharyngitis/ tonsilitis.

Cara Ubat Berfungsi

Azithromycin adalah ubat antibiotik generasi kedua kumpulan makrolid (macrolides) yang juga terdiri daripada ubat yang hampir semua pesakit pernah kenal – erythromycin (kadang-kadang ubat pengganti disebabkan pesakit alergik kepada ubat penicillin).



Ubat azithromycin antara ubat yang agak berkuasa berbanding erythromycin disebabkan profil farmakokinetik yang lebih stabil (boleh diambil secara oral, aktif dalam saluran darah pesakit sehingga 72 jam) dan sifat lebih aktif pada bakteria Gram-negatif (Neisseria sp., Legionella sp., Klebsiella sp., Helicobacter sp.).

Sifat lipofilik (mudah larut dalam tisu lipid) memudahkan penyerapan dalam tisu sasaran terutamanya di paru-paru dan otak. Penggunaanya yang hanya sekejap dan hanya sesetengah penyakit khas dalam situasi hospital dan klinik kesihatan adalah perlu memandangkan ubat ini sendiri juga turut terlibat dalam kerintangan bakteria.

Dalam bakteria, azithromycin melekap dalam subunit 50S ribosom yang terlibat dalam pembentukan protein penting dalam bakteria yang terlibat.  Keadaan demikian mengekang tumbesaran dan penyebaran bakteria terlibat ke seluruh badan dan membiarkan sistem imunisasi bekerja membunuh bakteria tersebut dari badan (sifat ini dikenali sebagai bakteriostatik). Dalam dos yang banyak, azithromycin boleh bertindak membunuh terus bakteria sasaran (sifat bakterisid).

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kegunaan

Penggunaan ubat ini adalah seperti berikut:

  • Jangkitan pada kemaluan
    • Jangkitan serviks
    • Jangkitan Urethra
    • Pelvic Inflammatory Syndrome
    • Siflis
  • Batuk kokol (pertussis)
  • Jangkitan Sistem Pernafasan
  • Jangkitan telinga (otitis media)
  • Jangkitan hidung (acute bacterial sinusitis/rhinosinusitis)
  • Jangkitan Paru-paru
  • Jangkitan kulit
  • Jangkitan pada tekak
  • Kolera
  • Endokarditis (jangkitan otot jantung) disebabkan bakteria
  • Rawatan gastrik melibatkan bakteria Helicobacter pylori
  • Demam kepialu

Penyimpanan

  • Ubat suntikan, tablet dan sirap serapan segera (immediate-release) (kebanyakan ubat ini dalam pasaran adalah jenis ini): simpan di bawah 30°C, suhu bilik lebih digalakkan
  • Kapsul / ubat titis mata (1.5%): simpan dalam suhu bawah 25°C dan elakkan dari cahaya
  • Ubat titis mata 1%: simpan dalam peti sejuk dalam julat 2 – 8°C

Kesan Sampingan

Berikut adalah antara kesan sampingan biasa yang terlibat dengan azithromycin. Sakit di tempat cucuk (jika diambil secara suntikan)

  • Sistem penghadaman
    • sakit di bahagian abdomen badan
    • cirit-birit
    • kembung perut
    • loya
    • muntah-muntah
  • Kenaikkan enzim-enzim dalam hati (ALT, AST sebagai contoh)
  • Pening kepala
  • Penglihatan abnormal (5%)
  • Tuli (tidak boleh mendengar; biasanya kesan sementara saja)

Walaupun kesan sampingan ubat ini ringan dan tidak berterusan, sebaiknya dapatkan bantuan dari doktor jika sekiranya keadaan tersebut berlanjutan seberapa segera.

Ambil perhatian juga dengan kesan serius yang pernah direkodkan berkenaan azithromycin adalah:

  • Rentak Jantung yang tidak normal
  • Kemusnahan sel hati
  • Sindrom Steven-Johnson, nekrolisis epidermal toksik dan pustulosis eksantematus umum akut (jerawat keluar disebabkan ubat, juga boleh melibatkan jangkitan darah putih eosinofil dan simptom sistemik badan; juga mengancam nyawa)
  • Penutupan saluran keluar perut disebabkan tumbesaran abnormal otot dalam kanak-kanak (congenital hypertrophic pyloric stenosis) menyebabkan makanan sukar keluar dari perut
  • Cirit-birit berkaitan bakteria Clostridium difficile
  • Kesan hipersensitiviti terhadap azithromycin (sebaiknya berhenti menggunakannya), dan jangkitan sel darah putih terutamanya eosinofilia
  • Sindrom Eaton-Lambert (sistem imunisasi menyerang otot pergerakan) dan myasthenia gravis (penyakit melibatkan otot yang menyebabkan otot menjadi makin lemah)
  • Rekahan kornea mata (kurang 1%)

Ubat azithromycin tidak sesuai digunakan dalam pesakit demikian:



  • Jaundis kolestatik atau kegagalan fungsi hati sebelum penggunaan azithromycin
  • Hipersensitif terhadap azithromycin dan sesetengah ubat dalam kumpulan makrolid ataupun bahan yang terdapat dalam produk azithromycin

Peringatan (Precaution)

Penggunaan azithromycin dalam sesetengah pesakit perlu diambil perhatian walaupun boleh digunakan bagi sesengah pesakit ini:

  • Pesakit myasthenia gravis
  • Garam tidak seimbang tidak seimbang (hipokalaemia dan hypomagnesemia)
  • Pesakit yang memiliki sejarah atau mengalami sebarang masalah kardiovaskular (bacaan nadi rendah, aritmia jantung, torsades de pointes, pemanjangan sela QT jantung dari kanak-kanak)
  • Pesakit kegagalan buah pinggang (<10 ml/min)
  • Pesakit kegagalan hati – juga boleh membawa kematian, mungkin perlu dihentikan apabila simptom dan tanda hepatitis berlaku
  • Kanak-kanak (ada bukti digunakan dalam kanak-kanak bawah 6 bulan untuk jangkitan telinga akut dan bawah 2 tahun untuk pesakit pharyngitis/tonsilitis tetapi lebih baik digunakan dengan pengawasan rapi doktor).
  • Mengandung: Walaupun boleh digunakan (Gred B oleh FDA bagi pesakit mengandung), sesetengah pembekal menyarankan agar menggunakannya jika tiada alternatif dikesan untuk sesetengah indikasi.
  • Menyusukan anak: Azithromycin juga muncul dalam susu ibu, juga disarankan untuk digunakan apabila tiada ubat alternatif lain.

Interaksi antara ubat

Pesakit perlu dimaklumkan seberapa banyak yang mungkin berkaitan kesan interaksi sesetengah ubat yang terlibat dengan antibiotik ini, dan dapatkan rawatan segera sekiranya kesan tersebut serius. Antara interaksi signifikan azithromycin dengan ubat seperti yang direkodkan termasuklah:

  • Meningkatkan kesan aritmia, pemanjangan sela QT jantung dan kemungkinan insiden torsades de pointes bagi:
    • ubat-ubatan aritmia jantung – Kelas IA (quinidine, procainamide), Kelas IC (flecainide) dan Kelas III (amiodarone, dofetilide dan sotalol)
    • antibiotik fluoroquinolone (ciprofloxacin, ofloxacin, levofloxacin dan sebagainya)
    • ubat psikotik (SNRI seperti citalopram; haloperidol; sulpiride)
    • donepezil (ubat Parkinson)
    • domperidone (ubat muntah)
  • Digoxin (ubat jantung)- menaikkan kepekatan dalam darah dan meningkatkan kesan kardiotoksisiti.
  • Warfarin (ubat cairkan darah)- meningkatkan insiden pendarahan
  • Menyebabkan kesan neutropenia (kurang sel darah putih) dengan ubat anti-tuberkulosis rifampicin dan rifabutin (sebaiknya pengambilan ubat bersama pengawasan doktor dan dihentikan segera apabila berlaku simptom neutropenia)
  • Menaikkan insiden rhabdomyolysis (pengoyakan otot badan keluar ke saluran darah) dengan atorvastatin
  • Menaikkan serum nelfinavir, indinavir (pengaruh enzim HIV protease digunakan dalam rawatan HIV/AIDS) dan menaikkan kesan kegagalan hati
  • Menaikkan kesan imunosupresan ciclosporin (ubat yang digunakan dalam terapi transplan organ buah pinggang misalnya)
  • Mengurangkan penyerapan azithromycin dengan pengambilan antasid (magnesium trisilicate sebagai contohnya)
  • Menaikkan kesan colchicine (ubat gout akut)

Kesan terlebih dos

Mengambil dos azithromycin berlebih jarang menyebabkan kes toksisiti yang signifikan pada pesakit. Simptom yang ada direkodkan dalam kes melibatkan pengambilan erythromycin (azithromycin adalah terbitan dari erythromycin, maka boleh dirujuk dengan ciri-ciri yang sama) terdiri daripada:

  • Sakit ulu hati
  • Loya dan muntah
  • Pankreatitis (jangkitan dari pankreas)

Antara simptom yang ditemui dalam kes dos berlebihan azithromycin:

  • Cirit-birit
  • Tuli (boleh sembuh semula)

Rawatan untuk pesakit dos berlebihan ini mengikut simptom biasa bersama rawatan lain sebagai sokongan pesakit yang terlibat untuk kes ringan – sederhana dan juga kes serius.

  • Tekanan darah turun: IV normal saline 0.9% (sodium klorida) 10-20 ml/kg. Mungkin boleh ditambah inotrop (ubat meningkatkan reaksi jantung dan tekanan darah) dopamine dan noradrenaline.
  • IV benzodiazepine (diazepam sebagai contoh) jika pesakit mengalami sawan
  • Torsades de pointes: Dirawat seberapa segera dengan suntikan IV garam magnesium dalam pesakit stabil (langkah paling utama), dan kawalan garam-garam dalam darah serta kesukaran bernafas (jika ada)
  • Hipersensitiviti: Ubat anti-histamine (ubat alergik seperti chlorpheniramine)

Rujukan

  1. Buku Formulari Farmasi KKM. Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. National Antibiotic Guideline (3rd Edition) (2019). Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  3. BNF 66 & 78
  4. Micromedex
  5. Zithromex. Medscape
  6. Azithromycin. Dalam: MIMS Gateway.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ten + 10 =