Skip to content

Cerebral Palsy: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah Cerebral Palsy? Artikel ini akan membincangkan, simptom dan rawatan kepada masalah cerebral palsy ini.

Isi Kandungan
1. Pengenalan
2. Punca dan Risiko
3. Jenis
4. Sejarah Pesakit dan Simptom
5. Pemeriksaan dan Ujian
6. Cara Rawatan

Pengenalan

Cerebral palsi (CP) merujuk kepada sekumpulan gangguan kekal akibat kerosakan otak pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak yang merencatkan keupayaan otot untuk bergerak, melakukan aktiviti, mengekalkan keseimbangan dan mengawal atau mengkoordinasi tubuh badan. Kerosakan otak tersebut boleh berlaku ketika janin masih di dalam kandungan lagi, ketika proses kelahiran dan juga selepas kelahiran.

CP merupakan antara punca paling biasa yang menyebabkan kelainan upaya dalam kalangan kanak-kanak. Dalam kalangan 1000 bayi, 1 atau 2 dalam kalangan mereka ada masalah CP.



CP bukan penyakit yang menjadi lebih teruk merentas masa kerana CP tidak bersifat progresif, namun simptom dan manifestasi penyakit CP biasanya sukar dikenal pasti dengan jelas sehinggalah kanak-kanak yang mengidapnya sudah berusia 2-5 tahun. Ibu bapa biasanya mungkin akan berasa pelik dengan perkembangan fizikal, mental dan intelektual anak-anak mereka pada usia tersebut sebelum membawa mereka bertemu doktor dan mendapat diagnosis CP.

Punca, simptom, jenis dan tahap ketidakupayaan, fungsi yang hilang, masalah-masalah lain yang wujud serentak (comorbidity) dan komplikasi yang disebabkan oleh CP berbeza daripada satu kanak-kanak kepada satu kanak-kanak lain yang menghidapnya. Rawatan juga wujud dalam pelbagai bentuk dan bergantung kepada konteks keadaan masing-masing.

Punca dan Risiko

CP boleh berlaku akibat kerosakan otak semasa janin di dalam kandungan, semasa dilahirkan dan selepas dilahirkan. Punca dan keadaan yang paling merisikokan kanak-kanak untuk mendapat CP kebanyakannya berlaku ketika di dalam kandungan dan semasa kelahiran berbanding selepas kelahiran.

Di dalam kandungan

  • Masalah perkembangan otak janin
  • Jangkitan kuman dalam rahim
  • Pembesaran terbantut dalam kandungan (Intrauterine growth restriction)
  • Kandungan kembar

Semasa dilahirkan

  • Lahir pramatang
  • Bayi kurang berat badan ketika lahir
  • Trauma
  • Kurang bekalan darah dan oksigen ke otak bayi (Hypoxic Ischaemic Encephalopathy)


Selepas dilahirkan

  • Masalah kuning (kandungan bilirubin terlalu tinggi dalam darah)
  • Jangkitan kuman pada otak (meningitis atau encephalitis)
  • Kecederaan otak

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Jenis Cerebral Palsy

Terdapat 4 jenis cerebral palsy iaitu:

1. Spastik

CP jenis spastik adalah yang paling kerap berlaku dalam kalangan pesakit CP. Ia merangkumi 75-80 peratus daripada kesemua pesakit CP.

CP spastik menyebabkan otot pesakit menjadi tegang dan keras. CP spastik boleh dibahagikan lagi kepada

  1. Spastik diplegia: otot tegang dan keras berlaku pada kedua-dua belah kaki biasanya manakala tangan kurang terkesan.
  2. Spastik hemiplegia: otot tegang dan keras pada tangan dan kaki di satu belah bahagian badan sahaja, sama ada kanan sahaja atau kiri sahaja. Tangan biasanya lebih terkesan daripada kaki.
  3. Spastik quadriplegia: otot tegang dan keras pada kedua-dua belah tangan dan kaki. Otot muka pesakit juga terkesan.

2. Diskinetik

CP diskinetik menyebabkan otot menjadi kadang-kadang tegang dan kadang-kadang kendur dalam kitaran yang berulang. Pesakit CP diskinetik berhadapan dengan masalah untuk mengawal pergerakan tangan dan kaki mereka. Pergerakan menjadi tidak terkawal, spontan, dan terlalu perlahan atau laju

3. Ataksik



CP ataksik menyebabkan gangguan keseimbangan dan koordinasi badan. Pesakit berjalan dengan langkah yang tidak stabil dan jarak antara kaki mereka semasa berjalan biasanya lebih lebar daripada normal. Pesakit juga mengalami masalah tangan menggeletar untuk melakukan perbuatan yang memerlukan kawalan otot tangan yang kompleks seperti menulis dan memegang benda kecil.

4. Campuran

CP campuran menggabungkan dua jenis CP berbeza. Gabungan yang sering berlaku ialah gabungan jenis spastik dan diskinetik.

Sejarah Pesakit dan Simptom

Doktor akan meneliti sejarah berikut

  • Sejarah ketika dalam kandungan: mencari risiko dan punca kepada CP seperti pertumbuhan terencat dalam kandungan dan penyakit yang dialami atau tabiat berbahaya yang dilakukan oleh ibu ketika mengandungkan pesakit
  • Sejarah ketika lahir: mencari risiko dan punca kepada CP seperti kelahiran pramatang, trauma ketika lahir dan berat badan kurang semasa lahir
  • Sejarah perkembangan pesakit yang merangkumi perkembangan motor kasar, motor halus, bahasa, penglihatan, pendengaran dan sosial

Simptom-simptom CP sangat pelbagai dan boleh diklasifikasikan seperti berikut:

Pergerakan dan Keseimbangan

  • Otot terlalu tegang atau kendur
  • Hilang keseimbangan
  • Tidak dapat mengawal pergerakan
  • Menggeletar
  • Susah untuk berjalan atau pergerakan kaki yang janggal ketika berjalan
  • Sukar melakukan perbuatan yang memerlukan pergerakan otot kecil seperti menulis, memegang benda dan memakai butang baju
  • Memilih untuk menggunakan tangan atau kaki hanya pada satu bahagian badan bagi melakukan sesuatu

Penggunaan Struktur Oromotor

  • Sukar menghisap, mengunyah, makan dan menelan
  • Sukar bercakap

Pendengaran dan Penglihatan



  • Sukar mendengar
  • Sukar melihat
  • Juling (strabismus)

Perkembangan

  • Skill motor kasar seperti duduk dan merangkak lambat dicapai
  • Lambat pandai bercakap
  • Kurang kecerdasan
  • Tumbesaran perlahan

Lain-Lain

  • Sawan
  • Tidak boleh kawal kencing
  • Sembelit
  • Masalah sendi
  • Masalah emosi dan kelakuan
  • Kerap mendapat sesak nafas yang memerlukan rawatan hospital (pesakit CP cenderung tersedak dan mendapat radang paru-paru yang disebut sebagai aspiration pneumonia)

Pemeriksaan dan Ujian

Doktor akan melihat postur badan pesakit dan menilai motor kasar, motor halus, dan refleks pesakit.

Tidak ada ujian khas untuk CP kerana CP dinilai daripada sejarah pesakit dan pemeriksaan fizikal. Namun ujian-ujian di bawah mungkin akan dibuat dalam keadaan tertentu dan untuk menolak kebarangkalian pesakit ada penyakit lain selain CP

  1. CT scan atau MRI otak: menilai struktur otak
  2. EEG: jika pesakit ada sawan
  3. EMG: untuk menilai keadaan otot dan saraf yang menggerakkannya
  4. Pemeriksaan pendengaran dan penglihatan
  5. Ujian darah, air kencing dan kulit: untuk menilai masalah genetik dan proses metabolik pesakit

Cara Rawatan

CP ialah penyakit yang kekal sepanjang hayat dan tidak dapat dirawat sepenuhnya. CP menyebabkan simptom yang bermacam-macam jenis dan hadir bersama masalah-masalah dan komplikasi pelbagai seperti epilepsi, masalah sendi dan tulang, masalah intelektual, masalah nutrisi, masalah penglihatan, masalah pendengaran, dan masalah komunikasi.

Rawatan biasanya akan bersifat multidisiplin dan melibatkan pakar pelbagai bidang untuk mengatasi atau mengurangkan kesan masalah dan komplikasi spesifik yang dihadapi pesakit. Kombinasi rawatan yang dirancang akan disesuaikan dengan konteks individu pesakit yang datang.

Pekerja kesihatan berikut mungkin terlibat dalam rawatan:

  • Pakar kanak-kanak
  • Pakar pembedahan
  • Pakar tulang
  • Jururawat
  • Pakar pemakanan
  • Jurupulih perubatan cara kerja
  • Pakar audiologi
  • Pakar psikologi
  • Pekerja sosial

Secara kasar rawatan dibuat untuk tujuan berikut:



  • Mengurangkan masalah ketegangan otot
  • Merawat sawan
  • Membantu pesakit makan, minum dan mendapat nutrisi yang cukup
  • Mengurangkan dan mengatasi masalah sendi dan tulang pesakit
  • Membantu pesakit menggerakkan badan
  • Melatih fungsi tangan dan kaki
  • Membantu pesakit untuk melihat dan mendengar
  • Membantu pesakit untuk berdikari dan berfungsi dalam kehidupan sosial
  • Membantu pesakit mendapatkan pendidikan khas jika perlu

Bentuk bentuk rawatan yang diberikan mungkin seperti berikut:

  1. Ubat-ubatan: ubat sawan, ubat anti kejang
  2. Alat bantuan: tongkat, kerusi roda, alat ortotik, alat membetulkan postur badan, alat bantuan pendengaran, alat bantuan penglihatan
  3. Terapi dan rehabilitasi: menambah baik pergerakan badan, melatih fungsi kaki dan tangan, membantu pesakit melakukan penjagaan diri, menggalakkan pesakit berdikari, membantu pesakit bertutur
  4. Penjagaan diet dan nutrisi: protein untuk tumbesaran, kalsium dan vitamin D untuk kesihatan tulang, serat yang mencukupi untuk mengurangkan sembelit
  5. Pembedahan: merawat kontraktur sendi (joint contracture), merawat otot tegang melalui pembedahan saraf tunjang
  6. Perhatian khas: pemakanan enteral untuk pesakit dengan masalah menelan makanan, membincangkan keperluan untuk dimasukkan dalam kelas pendidikan khas

Rujukan

  1. Cerebral Palsi – PORTAL MyHEALTH
  2. 11 Things to Know about Cerebral Palsy | CDC
  3. Patel, D. R., Neelakantan, M., Pandher, K., & Merrick, J. (2020). Cerebral palsy in children: a clinical overview. Translational pediatrics, 9(Suppl 1), S125.
  4. Hallman-Cooper, J. L., & Cabrero, F. R. (2022). Cerebral palsy. StatPearls [Internet].
  5. Spastic Cerebral Palsy – Causes, Symptoms and Treatment – Cerebral Palsy Guide
  6. Learn More About Cerebral Palsy (CP) | CDC
  7. Cerebral Palsy: Practice Essentials, Background, Anatomy – Emedicine
  8. Cerebral palsy – Symptoms and causes – Mayo Clinic
  9. Pengendalian Kanak-kanak Cerebral Palsy – PORTAL MyHEALTH
  10. Dietary Needs for Kids With Cerebral Palsy (for Parents) – Nemours KidsHealth
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twelve − 2 =