Perubatan

Demam Ruam: Punca, Simptom dan Rawatan

ruam demam

Apakah punca kepada masalah demam berserta ruam? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah demam berserta ruam ini.

Isi Kandungan
1. Pengenalan
2. Punca
3. Sejarah Pesakit dan Simptom
4. Pemeriksaan dan Ujian
5. Cara Rawatan

Pengenalan

Ruam dengan demam (fever with rash) ialah simptom yang pernah dan akan dialami oleh majoriti manusia sekurang-kurangnya sekali dan tidak pelik juga beberapa kali dalam hidup mereka. Biasanya ruam dengan demam berlaku kepada kanak-kanak namun orang dewasa juga boleh mengalaminya. Senarai punca demam ruam sangat ekstensif dan setiap satunya memerlukan pendekatan rawatan tersendiri. Doktor akan mengenal pasti punca ruam demam melalui pemeriksaan jenis ruam, lokasi ruam, perkembangan ruam dan simptom-simptom lain yang hadir bersama ruam demam itu.

Punca Demam Ruam

Punca demam ruam sangat banyak, namun boleh diklasifikasikan secara mudah kepada kategori jangkitan dan bukan jangkitan.

Jangkitan

Advertisements

I- Cacar air dan Kayap

Cacar air (chicken pox) dan kayap (shingles) kedua-duanya disebabkan oleh virus yang sama iaitu varicella zoster tetapi cacar air biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak manakala kayap berlaku dalam kalangan orang dewasa.

Virus varicella disebarkan melalui udara apabila pesakit batuk atau bersin dan juga merebak melalui sentuhan cecair yang keluar daripada lepuh ruam (blister). Demam akan berlaku beberapa hari sebelum ruam cacar air timbul. Ruam pula biasanya bermula dari dada dan belakang sebelum merebak ke lokasi lokasi lain. Cacar air biasanya berlaku dalam jangka masa 1-2 minggu dan sembuh dengan sendiri tanpa memerlukan rawatan.

Selepas varicella zoster menyebabkan cacar air, virus ini akan berhibernasi secara senyap dan biasanya tidak menyebabkan apa-apa penyakit lagi, tetapi dalam keadaan tertentu seperti imun sistem melemah dan penuaan, virus ini boleh menjadi aktif semula dan menyebabkan kayap. Kayap menyebabkan radang saraf pada kawasan yang spesifik dan bahagian badan spesifik (dermatome) yang berkait dengan saraf itu akan terasa sakit. Bahagian yang selalunya terkesan ialah dada.

II- Demam campak (rubeola)

Advertisements

Demam campak disebabkan oleh virus measles yang merebak melalui titisan cecair mulut dan hidung ketika pesakit bercakap, batuk atau bersin. Program imunisasi kebangsaan telah pun menyediakan vaksin terhadap virus measles kepada semua kanak-kanak namun penolakan terhadap vaksin dan pertambahan warga asing yang tidak divaksin telah menyebabkan penyakit ini muncul semula dan bertambah di sesetengah tempat.

Simptom utama demam campak ialah demam tinggi, mata berair, dan batuk. Ruam bermula selepas 3-5 hari simptom-simptom lain telah muncul, dan merebak dari kawasan kepala terlebih dahulu sebelum berkembang ke badan.

III- Demam scarlet

Apabila bakteria streptococcus menjangkiti tekak, kadang-kadang bakteria itu mengeluarkan toksin ke dalam darah dan menyebabkan ruam-ruam di badan. Demam ruam akibat bakteria ini dipanggil demam scarlet. Antara simptomnya ialah demam, tonsil bengkak dan merah, lidah merah menyala dan ruam yang terasa kasar seperti kertas pasir. Ruam biasanya bermula dari leher sebelum merebak ke badan. Pesakit juga boleh mendapat sakit perut dan muntah.

IV- Roseola infantum

Roseola infantum atau dikenali juga sebagai 6th disease disebabkan oleh virus human herpesvirus (HHV) type 6. Penyakit ini biasanya berlaku hanya sekali pada usia awal kanak-kanak dan tidak lagi berulang. Virus disebarkan melalui titisan air ketika bersin, batuk dan bercakap. Pesakit akan mengalami demam selama beberapa hari, batuk, mata merah dan cirit birit. Ruam pula muncul setelah demam sudah reda selepas beberapa hari, bermula dari dada, perut dan belakang sebelum merebak ke tempat lain.

V- Penyakit kaki tangan dan mulut

Penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) merupakan penyakit yang sangat biasa berjangkit dan menular dalam kalangan kanak-kanak kecil yang ditempatkan di taska. HFMD disebabkan oleh jangkitan virus coxsackie dan biasanya menyebabkan simptom demam, sakit tekak, dan ruam lepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah selepas beberapa hari demam berlaku. Biasanya majoriti pesakit hanya mengalami simptom ringan selepas beberapa hari namun taska tempat pesakit ditempatkan perlu ditutup beberapa hari untuk mengelakkan penularan.

Advertisements

VI- Demam Denggi

Demam denggi disebabkan oleh gigitan nyamuk aedes dan boleh menyebabkan simptom yang bermacam-macam, daripada sakit kepala dan otot sehinggalah ke muntah, sakit perut dan pendarahan. Demam denggi juga boleh menyebabkan ruam merah yang sering disebut sebagai “pulau putih di laut merah” (island of white in sea of red).

VII- Cellulitis

Cellulitis ialah jangkitan pada lapisan kulit dalam yang majoritinya disebabkan oleh bakteria streptococcus. Simptom cellulitis ialah demam dengan kemerahan pada bahagian-bahagian yang dijangkiti. Cellulitis boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan tetapi biasanya terjadi pada bahagian kaki.

VIII- Infectious mononucleosis

Infectious mononucleosis atau dikenali juga sebagai “kissing disease” disebabkan oleh jangkitan virus epstein-barr yang merebak melalui air liur. Penyakit ini disebut “kissing disease” kerana ia boleh merebak melalui ciuman namun ia juga boleh merebak melalui perkongsian cawan dan sudu atau garfu. Biasanya pesakit yang mendapat penyakit ini ialah golongan remaja dan dewasa awal. Simptom penyakit ini ialah demam, ruam, tonsil sakit dan bengkak yang tidak hilang dengan rawatan antibiotik, dan kelenjar limfa bengkak.

IX- Meningococcemia

Meningococcemia berlaku apabila bakteria neisseria meningitidis yang menjagkiti badan tersebar ke dalam darah dan menyebabkan ruam-ruam lebam. Meningococcemia boleh berlaku bersama jangkitan otak (meningitis) dan boleh juga terjadi tanpanya. Pesakit yang terdedah kepada jangkitan ini biasanya dalam kalangan orang dengan sistem imun lemah, pelancong yang melawat kawasan endemik dan jemaah haji. Vaksin boleh diambil untuk mencegah penyakit ini sebelum urusan haji atau lawatan ke negara endemik dibuat.

Advertisements

Bukan Jangkitan

I- Kawasaki

Kawasaki ialah masalah radang salur darah yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak 5 tahun ke bawah. Antara simptom Kawasaki ialah demam selama sekurang-kurangnya 5 hari, mulut merekah, mata merah, lidah merah menyala, kelenjar limfa bengkak, dan ruam pada muka, dada, tangan dan kaki. Demam yang berlaku biasanya tidak hilang dengan penggunaan ubat demam seperti PCM dan antibiotik. Jika dibiarkan tanpa rawatan, Kawasaki boleh menyebabkan salur darah arteri koronari melemah (coronary artery aneurysm) dan mengakibatkan masalah jantung yang boleh mengancam nyawa. 1-2% pesakit meninggal dunia   dalam 1-2 bulan selepas pesakit mendapat masalah Kawasaki akibat komplikasi jantung.

II- Henoch-Schönlein purpura (HSP)

HSP ialah masalah radang salur darah yang berlaku akibat serangan autoimun selepas pesakit mendapat jangkitan kuman pada sistem pernafasan dalam jangka masa terdekat sebelumnya. HSP dicirikan oleh empat simptom utama iaitu ruam lebam di punggung dan kaki, sakit perut, sakit sendi dan radang pada sistem penapis buah pinggang (glomerulonephritis). Pesakit juga boleh mendapat demam dan sakit kepala.

III- Psoriasis

Psoriasis ialah masalah autoimun yang menyerang tisu-tisu badan sendiri dan mengakibat komplikasi sistemik secara kronik dan berpanjangan. Ruam kemerahan yang sangat gatal dan plak seakan-akan warna perak muncul biasanya di kulit kepala, lutut, belakang badan dan belakang siku. Pesakit juga boleh ada demam gred rendah kerana psoriasis ialah masalah keradangan kronik.

IV- Systemic Lupus Erythematosus (SLE)

 SLE ialah masalah autoimun yang biasanya berlaku kepada wanita muda dan menyerang sistem-sistem badan yang pelbagai. Kulit juga boleh terkesan dan menyebabkan ruam kemerahan yang biasanya boleh dilihat di muka dan berbentuk seperti rama-rama. Demam gred rendah ialah simptom yang kerap berlaku dalam SLE.

Advertisements

V- Steven Johnson Syndrome (SJS)

SJS ialah keadaan yang jarang berlaku namun boleh mengancam nyawa. SJS terjadi biasanya sebagai respon kepada ubat-ubat tertentu atau respon kepada jangkitan kuman. SJS boleh bermula dengan demam dan kemudiannya menyebabkan ruam, lepuh dan rekah yang sakit pada kulit dan permukaan mukosa seperti mulut.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Sejarah Pesakit dan Simptom

Doktor akan bertanya mengenai ruam dengan terperinci seperti lokasi, corak perkembangan, jangka masa, dan jika pesakit rasa sakit dan gatal atau tidak pada ruam. Doktor akan bertanya juga mengenai durasi demam dan jika ruam bermula dengan demam terlebih dahulu atau berlaku ketika demam sudah reda. Doktor akan kenal pasti jika pesakit mendapat jangkitan daripada orang lain, jika pesakit ada alergi kepada apa apa bahan atau ubat, sejarah imunisasi, sejarah lawatan ke mana-mana kawasan endemik punca ruam demam, dan sejarah denggi di tempat tinggal atau tempat kerja.

Simptom-simptom berikut boleh berlaku dengan ruam demam:

  • Batuk, sakit tekak
  • Muntah
  • Cirit
  • Sakit perut

Pemeriksaan dan Ujian

Doktor akan memeriksa ruam dengan lebih teliti, mengenalpasti coraknya, lokasinya, dan sifat-sifatnya untuk mencari punca yang berpadanan dengan ciri-ciri ruam yang terdapat pada badan pesakit. Pemeriksaan selanjutnya akan bergantung kepada punca dan konteks keadaan pesakit.

Ujian-ujian makmal yang akan dilakukan oleh doktor juga bergantung kepada keadaan dan punca yang disyaki.

Cara Rawatan

Terdapat pelbagai punca ruam demam dan setiap satunya memerlukan pendekatan berbeza. Namun rawatan umum adalah seperti berikut

  • Memastikan pesakit ada cukup air dalam badan
  • Memberi ubat demam dan ubat gatal jika pesakit rasa gatal
  • Menyuruh pesakit mengasingkan diri daripada orang lain
  • Memaklumkan kepada pejabat kesihatan daerah jika punca demam ruam datang daripada penyakit penyakit yang perlu dimaklumkan

Rawatan yang lebih spesifik pula

Advertisements
  • Demam ruam akibat jangkitan virus: jangkitan virus biasanya tidak perlukan rawatan khusus dan akan lega dengan sendiri, namun dalam keadaan tertentu pesakit mungkin perlukan ubat antiviral
  • Demam ruam akibat jangkitan bakteria: antibiotik
  • Demam ruam akibat radang: IVIg dan ubat anti radang

Jenis Demam yang Lain

Demam RuamDemam Campak
Demam KuningDemam Reumatik
Demam BerpanjanganDemam Malaria
Demam DenggiDemam Kepialu
Demam SawanDemam Virus

Rujukan

  1. McKinnon Jr, H. D., & Howard, T. M. (2000). Evaluating the febrile patient with a rash. American family physician, 62(4), 804-816.
  2. Kang J. H. (2015). Febrile Illness with Skin Rashes. Infection & chemotherapy, 47(3), 155–166. IC Journal
  3. Haji Muhammad Ismail, H.I, Mohd Ibrahim, H., Ng, H.P., and Thomas, T. Paediatric Protocols for Malaysian Hospitals. Kuala Lumpur: Ministry Of Health Malaysia, 2019.
  4. Chickenpox – NHS 
  5. Chickenpox (Varicella) Signs and Symptoms | CDC
  6. Kayap – PORTAL MyHEALTH
  7. Roseola (Sixth Disease): Symptoms, Causes, Treatment & Prevention
  8. Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut (HFMD) – JKN Perlis
  9. Cellulitis | CDC
  10. Mononucleosis – Symptoms and causes – Mayo Clinic.
  11. Meningococcemia: Practice Essentials, Background, Pathophysiology – Medscape
  12. Psoriasis: Practice Essentials, Background, Pathophysiology – eMedicine
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven + six =