Skip to content

Sakit Pinggang Sebelah Kanan: Punca dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah sakit pinggang sebelah kanan? Artkel ini akan membincangkan punca dan rawatan kepada masalah sakit pinggang sebelah kanan ini.

Pengenalan

Sakit pinggang sebelah kanan atau ‘right flank pain’ merupakan kesakitan yg dialami di bahagian kanan antara bawah tulang rusuk dan tulang pinggul. Buah pinggang merupakan organ utama yang berada di kawasan pinggang. Jika berlaku jangkitan, kecederaan, sumbatan dan tekanan kepada struktur sekitar, akan menyebabkan kesakitan di bahagian pinggang belah kanan.

Punca Sakit Pinggang Sebelah Kanan

Antara punca berlaku sakit pinggang belah kanan boleh dibahagikan kepada beberapa punca.

Buah pinggangBatu karang, pendarahan, Kanser Buah Pinggang
JangkitanJangkitan buah pinggang, Nanah, Jangkitan tulang
Salur darahSalur darah aorta mengembang, Buah pinggang mati (renal infarct)
MuskuloskeletalRadikulopati
Lain-lainKayap, Otot tegang
Reproduktif wanitaKandungan luar rahim, ovari pecah, penyakit inflamasi pelvis


1. Buah Pinggang

 Batu karang

Batu karang di buah pinggang bermula daripada air kencing yang pekat menyebabkan pembentukan kristal di dalam saluran kencing. Batu kristal ini melekat di dinding salur kencing lalu membesar dan mencederakan saluran kencing. Terdapat 4 jenis batu karang yang bergantung kepada komposisi kimia iaitu kalsium, struvit, asid urik dan sistin.

Faktor risiko batu karang

  • Penyakit metabolik seperti tinggi kalsium dan gout
  • Komposisi air kencing yang pekat 
  • Jangkitan saluran kencing yang kerap
  • Sejarah keluarga dengan batu karang
  • Tekanan darah tinggi
  • Obesiti

Pesakit akan datang dengan sakit pinggang kanan atau kiri. Simptom lain adalah sakit yang merebak ke alat sulit, sakit semasa kencing, kencing berdarah, loya dan muntah-muntah.



Pendarahan

Pendarahan di buah pinggang berlaku atas beberapa sebab seperti trauma, prosedur  seperti pengambilan sampel, prosedur pemecahan batu karang atau pendarahan yang berlaku secara tiba tiba (spontaneous). Risiko pendarahan adalah tinggi bagi penghidap tekanan darah tinggi, kencing manis, obesiti, orang tua dan penggunaan ubat cair darah. Selain sakit pinggang , pesakit juga akan mengalami simptom kencing berdarah.

Kanser buah pinggang

Sel-sel kanser muncul dalam lapisan dinding tiub-tiub halus dalam buah pinggang atau di dinding pelvis dan membesar menjadi ketulan. Kanser jenis ‘renal cell carcinoma’ merupakan jenis kanser buah pinggang paling kerap berlaku.  Antara faktor risiko bagi kanser buah pinggang ialah perokok, darah tinggi, obesiti, pesakit buah pinggang kronik, penggunaan ubat tahan sakit jangka masa panjang yang mengandungi aspirin dan phenacetin. Individu yang terdedah kepada kadmium, asbestos dan petroleum juga meningkatkan risiko kanser buah pinggang.

Pesakit akan mengalami sakit pinggang di bahagian kanan atau kiri, kencing berdarah dan ketumbuhan di bahagian pinggang. Jika kanser telah merebak, kaki akan bengkak, hilang selera makan dan berat badan turun mendadak.

2. Jangkitan

Jangkitan buah pinggang (acute pyelonephritis) ialah sejenis jangkitan bakteria yang menyebabkan inflamasi di buah pinggang. Antara bakteria ialah Escherichia coli, Proteus, Klebsiella dan Enterobacter. Escherichia coli adalah paling kerap menjangkiti kerana mempunyai kelebihan yang dipanggil ekor ‘fimbriae’ yang mampu melekat di dinding saluran kencing dan membiak. Terdapat 2 cara bakteria ini menyebabkan jangkitan iaitu jangkitan daripada saluran pundi kencing yang merebak ke buah pinggang (ascending infection) atau perebakan melalui darah (hematogenous). Perebakan melalui darah jarang berlaku melainkan pesakit mempunyai sistem imun rendah.

Jangkitan di buah pinggang akan menyebabkan demam, badan menggigil, muntah-muntah, sakit semasa kencing, kerap kencing, kencing berdarah dan rasa tidak tahan kencing. Jika tidak dirawat, jangkitan di buah pinggang boleh menyebabkan terjadi nanah (renal abscess).



3. Salur Darah

Aneurisma

Salur darah aorta merupakan salur darah terbesar di tubuh manusia yang membawa darah yang dipam oleh jantung untuk disalurkan kepada organ-organ. Apabila dinding salur darah aorta menjadi lemah, saluran ini mengembang seperti belon dipanggil aneurisma (abdominal aortic aneurysm) dan mempunyai risiko untuk pecah.

Risiko berlaku aneurisma meningkat dengan peningkatan umur (>65 tahun), lelaki, merokok, penyakit aterosklerosis, sejarah keluarga mempunyai aneurisma dan penyakit tisu penghubung seperti sindrom Marfan. Pesakit mungkin merasa terdapat pembesaran di tengah badan yang berdenyut seperti nadi.

Antara manifestasi keadaan ini ialah pesakit mungkin tiada mengalami sebarang simptom atau jika sudah membesar dan pecah, sakit abdomen yang teruk dan tekanan darah rendah.

Buah pinggang mati (renal infarction)

Buah pinggang mati kerana terputus bekalan darah yang berpunca daripada beberapa sebab iaitu gumpalan darah dari jantung, kecederaan salur darah arteri atau darah pekat.

Punca paling kerap menyebabkan buah pinggang mati ialah terdapat gumpalan darah dari jantung (cardioemboli) yang menyumbat saluran darah ke buah pinggang. Pesakit yang mengalami penyakit jantung seperti kardiomiopati, jangkitan bakteria (endocarditis), pembedahan injap jantung dan masalah ritma jantung (atrial fibrillation). Bergantung kepada tahap, buah pinggang mati menyebabkan tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang kronik



Antara simptom adalah pesakit datang dengan sakit datang secara tiba tiba diikuti loya, muntah dan tekanan darah tinggi.

4. Masalah Saraf

Saraf tunjang di tulang belakang manusia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu servikal, torasik dan lumbar. Penghimpitan saraf ini menyebabkan manifestasi sakit di bahagian di mana saraf tersebut mengagihkan sensasi. Saraf torasik mengagihkan rasa sensasi di bahagian abdomen hingga ke pinggang. Oleh itu, sebarang penghimptan di saraf ini akan menyebabkan kesakitan di bahagian pinggang belah kanan atau kiri.

Beberapa risiko penghimpitan saraf berlaku ialah slip disc, trauma, kanser, skoliosis dan jangkitan kuman. Individu mempunyai kencing manis mempunyai risiko radikulopati tanpa sebab penghimpitan.

Jika saraf di tulang belakang vertebra terhimpit, pesakit akan merasa sakit pinggang yang diikuti rasa kebas dan sensasi elektrik.  

5. Lain-lain

Kayap

Kayap juga dikenali sebagai herpes zoster atau ‘shingles’ dalam istilah perubatan. Ianya sejenis penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh jangkitan Virus Varicella Zoster (VZV). Pada awalnya, individu akan dijangkiti virus ini yang menyebabkan cacar air atau ‘chicken pox’. Apabila sembuh daripada cacar air ini, sebahagian virus akan bersembunyi di dalam saraf sehingga ia akan kembali aktif lalu menyebabkan kayap. Virus ini kembali aktif dengan peningkatan usia (>50 tahun) atau lemah sistem imun.



Terdapat ruam yang sakit kerana keradangan satu urat saraf (dermatome). Pesakit akan merasa kebas dan panas di bahagian urat saraf yang terlibat, demam, keletihan dan sakit kepala.

Ketegangan otot

Ketegangan otot berlaku apabila otot diregangkan terlalu banyak, cepat atau perlu bekerja terlalu keras. Ia boleh berlaku semasa aktiviti sukan atau kemalangan. Tegang otot kerap berlaku di belakang badan, leher dan peha. 

Otot tegang menyebabkan kesakitan, bengkak, lebam dan tidak boleh menggerakkan otot tersebut.

  • Rehatkan otot – elakkan pergerakan yang menyebabkan kesakitan
  • Meletakkan ais selama 15 min dengan kekerapan setiap 1-2 jam.
  • Membalut otot mengguna elastic bandage untuk memberikan sokongan kepada otot
  • Mengambil ubat tahan sakit dan kurang bengkak seperti acetaminophen, ibuprofen dan naproxen

6. Bagi Wanita

Kandungan luar Rahim (kandungan ektopik)

Selepas persenyawaan antara telur dan sperm, hasil persenyawaan iaitu blastokista akan menempel di dinding rahim untuk membesar. Namun, kandungan luar rahim bermaksud blastokista ini menempel selain dinding rahim. Antara tempat lain ialah ovari dan tiub falopian. Keadaan ini mendatangkan bahaya kepada ibu kerana apabila janin mula membesar, ia menyebabkan tempat menempel seperti ovari atau tiub fallopian ini pecah dan menyebabkan pendarahan dan kesakitan.

Risiko terjadi kandungan luar rahim meningkat jika:



  • Kandungan sebelum ini kandungan luar rahim
  • Pembedahan di tiub fallopian
  • Penyakit jangkitan kelamin
  • Penyakit inflamasi pelvis
  • Endometriosis

Doktor akan mengesyaki kandungan luar rahim jika wanita tidak datang haid selama 6-8 minggu daripada tarikh haid terakhir diikuti sakit pinggang secara tiba tiba dan pendarahan daripada faraj.

Ovari pecah atau terpulas

Semasa kitaran haid yang biasa, terdapat pecahan fisiologi cyst dipanggil cyst follicular yang bersaiz <3cm. proses ini kebiasaanya tiada simptom atau sakit ringan kerana perembesan sedikit cecair seperti serous atau darah semasa cyst pecah.

Risiko cyst ini pecah ialah pesakit yang mempunyai cyst di ovari, mengambilan ubatan meransang ovulasi dan hubungan kelamin. Jika anda mempunyai cyst di ovari, ia boleh pecah atau terpulas menyebabkan sakit di bahagian pinggang secara tiba tiba.

Penyakit inflamasi pelvis

Sistem reproduktif wanita adalah unik kerana terdapat beberapa mekanisma untuk menghalang jangkitan berlaku. Sebagai contoh, di dalam faraj, terdapat flora bakteria baik seperti Lactobacillus yang menghasilkan hydrogen peroxide untuk menghalang pertumbuhan bakteria yang membawa penyakit. Saluran endoservik berfungsi sebagai dinding menjaga bahagian reproduktif atas seperti rahim, tiub fallopian dan ovari.

Sebarang gangguan kepada struktur tersebut menyebabkan bakteria seperti Neisseria gonorrhoeae dan Chlamydia trachomatis daripada faraj merebak ke organ reproduktif lain menyebabkan jangkitan bakteria di rahim, ovari dan sekitarnya yang digelar Penyakit inflamasi pelvis. Antara risiko ialah persetubuhan tanpa kondom, banyak pasangan dan sejarah penyakit bawaan kelamin.

Pesakit mengalami sakit di bahagian bawah pusat dan pinggang dalam tempoh yang lama (kronik). Selain itu, sakit semasa melakukan hubungan kelamin, sakit semasa kencing, senggugut teruk dan cecair faraj yang berbau dan berwarna kuning hijau.



Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Bilakah perlu pergi ke klinik?

Dapatkan rawatan dengan segera jika anda mempunya ‘red flag’

  1. Pengsan
  2. Sejarah penyakit jantung
  3. Haid tidak teratur
  4. Sejarah kanser
  5. Pucat dan berpeluh
  6. Tekanan darah rendah
  7. Ritma jantung laju
  8. Demam
  9. Kencing berkurang

Pemeriksaan dan ujian

Berdasarkan sejarah perubatan dan indikasi, doktor akan membuat pemeriksaan lanjut seperti mengambil beberapa sampel seperti sampel darah dan air kencing beserta pemeriksaan radiologi.

Sampel darah : Melihat bacaan hemoglobin, darah putih dan fungsi buah pinggang.

Sampel air kencing : Melihat sel darah merah, darah putih dan lain lain.

Ujian kehamilan air kencing : Jika anda wanita dalam usia reproduktif

Radiologi

X-ray pinggang : untuk megesan ketumbuhan, saluran tersumbat dan batu karang di buah pinggang, saluran ureter dan pundi kencing.

Ultrasound buah pinggang : melihat saiz dan bentuk buah pinggang, saluran darah ke buah pinggang, tanda tanda kecederaan, batu atau ketumbuhan di buah pinggang dan pundi kencing



CT urogram : Imbasan tomografi berkomputer bertujuan untuk memeriksa saluran kencing dengan memasukkan cecair kontras ke dalam salur darah.

Rawatan

Rawatan sakit pinggang sebelah kanan ini bergantung kepada diagnosis dan rawatan umum. Rawatan tersebut adalah:

  1. Ubat tahan sakit
    • Opiates seperti  Morphine
    • NSAIDs seperti Diclofenac
  2. Antibiotik : jika berlaku jangkitan buah pinggang, penyakit inflamasi pelvis
  3. Antivirus : jika berlaku kayap
  4. Pembedahan : pembedahan membuang sel kanser, membaiki salur darah anurisma dan mengeluarkan kandungan luar rahim
  5. Rehat yang secukupnya: Bagi pesakit yang mengalami ketegangan otot atau kecederaan otot, kami nasihatkan untuk mereka berehat secukupnya agar ia dapat pulih seperti sediakala

Pembacaan bagi masalah yang lain

Sakit Pinggang Sebelah KananSakit Perut Berpanjangan
Sakit Kepala BerdenyutBatuk Berpanjangan
Sakit DadaSakit Bahu
Kuat BerpeluhKetiak Berbau
Muntah Hijau dan KuningSakit Kepala Berpanjangan
Selesema BerpanjanganRasa Tercekik
TercekikBernafas Laju
Buku Lali Bengkak

Rujukan:

  1. Albrecht, A., & Levin, M. J. (2022, May). Epidemiology, clinical manifestations, and diagnosis of herpes zoster. UpToDate. Retrieved June 14, 2022, from Uptodate
  2. Atkins, M. B., Bakouny, Z., & Choueiri, T. K. (2022, May). Epidemiology, pathology, and pathogenesis of renal cell carcinoma. UpToDate. Retrieved June 14, 2022, from Uptodate
  3. Bansal, U., Sawant, A., & Dhabalia, J. (2010, September). Subcapsular renal hematoma after ureterorenoscopy: An unknown complication of a known procedure. Urology annals. Retrieved June 14, 2022, From NCBI
  4. Belyayeva, M., &amp; Jeong, J. M. (2021, July 10). Acute Pyelonephritis – StatPearls – NCBI Bookshelf. In: StatPearls. Retrieved June 14, 2022
  5. Curhan, G. C., Aronson, M. D., & Preminger, G. M. (2022, May 9). Kidney stones in adults: Diagnosis and acute management of suspected nephrolithiasis. UpToDate. Retrieved June 2, 2022, from Uptodate
  6. Singh, M. J. (n.d.). Abdominal aortic aneurysm. Abdominal Aortic Aneurysm | Society for Vascular Surgery. Retrieved June 14, 2022
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

thirteen − 10 =