Kafein merupakan bahan psikoaktif yang paling kerap diambil oleh seluruh dunia. Perkara ini disebabkan oleh kesan-kesan positif yang didapati seperti penambahan tenaga dan menghilangkan mengantuk. Minuman harian seperti kopi, teh dan air bergas sering dinikmati oleh rakyat Malaysia yang sememangnya gemar berkunjung ke kafe dan kedai mamak. Sejauh manakah pengambilan kafein boleh dikira sebagai sejenis ketagihan?
Pengambilan Kafein Berlebihan
Dari Sudut Psikiatri
Menurut garis panduan yang disediakan dalam “Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders 5th edition” (DSM-5), dalam kategori penyalahgunaan bahan, ciri-ciri pengambilan kafein yang berlebihan adalah seperti berikut:
A. Pengambilan kafein melebihi 250mg sehari.
B. Lima (atau lebih) kesan-kesan ini didapati selepas pengambilan:
- Kegelisahan.
- Rasa gemuruh.
- Keseronokan yang berlebihan.
- Insomnia.
- Muka kemerahan.
- Pembuangan air kecil yang berlebihan ( diuresis ).
- Gangguan pencernaan makanan.
- Renggutan otot ( “muscle twitching” ).
- Fikiran merewang-rewang atau percakapan yang berlebihan.
- Degup jantung yang laju atau aritmia.
- Tiada keletihan dalam sesuatu tempoh masa.
C. Kesan-kesan yang terdapat pada kriteria B menyebabkan stress atau kemerosotan dalam aktiviti sosial, pekerjaan atau apa-apa fungsi harian yang penting.
D. Simptom-simptom ini tidak disebabkan oleh apa-apa penyakit, masalah kesihatan mental atau kesan pengambilan bahan ketagihan lain.
Kesan-kesan sampingan lain adalah gangguan deria seperti telinga bordering atau kilauan cahaya pada mata.
Adakah Kafein Menyebabkan Ketagihan?
Sehingga kini, belum ada bukti yang kukuh untuk menyatakan kebergantungan kepada kafein akan menyebabkan ketagihan teruk seperti ketagihan kepada dadah atau alcohol. Tetapi, ramai yang mengambil kafein secara berlebihan dalam kehidupan harian.
Sebagai bukti, 20 tahun yang lalu, “Caffeine Withdrawal” tidak dimasukkan dalam garis panduan DSM-4. Kini, fenomena “caffeine withdrawal” diakui dalam garis panduan terkini iaitu DSM-5. Hal ini bermaksud penggunaan kafein yang berlebihan boleh menyebabkan kebergantungan pada bahan psikoaktif ini. Namun begitu, penggunaan kafein berlebihan belum boleh diakui sebagai satu penyakit atau “disorder” yang rasmi. Buat masa ini, “Caffeine Use Disorder” dimasukkan dalam garis panduan DSM-5 sebagai satu masalah kesihatan yang masih memerlukan penyelidikan yang lebih terperinci pada masa akan datang.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
“Caffeine Use Disorder”
Penggunaan kafein berlebihan yang membawa keburukan pada pengguna dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga kriteria pertama dalam jangka masa 12 bulan:
- Keinginan berterusan atau kegagalan dalam usaha mengurangkan pengambilan kafein.
- Pengambilan kafein berterusan walaupun mengetahui kesan buruk yang telah dialami.
- Simptom-simptom pengunduran pengambilan kafein(‘Caffeine Withdrawal‘) adalah seperti:
- Kafein atau bahan lain yang menyerupai kafein diambil bagi mengurangkan kesan sampingan “caffeine withdrawal”.
- Pengambilan dalam kuantiti berlebihan atau dalam jangka masa yang lebih panjang.
- Penggunaan berulang memberi kesan buruk pada kehidupan harian seperti tanggungjwab kerja yang tidak dilaksanakan dengan baik.
- Masalah sosial harian seperti pergaduhan berlebihan dengan pasangan.
- Had penerimaan kafein ( “tolerance” ) yang meningkat.
- Meluangkan masa yang banyak terhadap penggunaan kafein.
- Mengidam atau keinginan yang tinggi terhadap minuman mengandungi kafein.
“Caffeine Withdrawal”
Apabila seseorang individu yang sering mengambil kafein dalam dose yang berlebihan, mereka akan mengalami simptom-simptom “caffeine withdrawal”. Antara ciri-ciri yang didapati adalah:
A. Pengambilan berlebihan dalam kehidupan seharian.
B. Pemberhentian pengambilan dalam masa 24 jam menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti:
- Sakit kepala.
- Kepenatan atau kekurangan tenaga.
- Kurang berwaspada.
- Tidak dapat menumpukan perhatian.
- Mudah marah atau perasaan murung.
- Rasa loya, muntah, atau otot mengeras/kaku.
C. Kesan-kesan daripada kriteria B menyebabkan stress dalam kehidupan seharian.
D. Kesan-kesan yang didapati tidak disebabkan oleh penyakit lain seperti migrain, dan bukan juga akibat daripada masalah kesihatan mental atau penyalahgunaan bahan-bahan lain.
Kesimpulan
Kafein memberikan impak secara langsung kepada tubuh badan kita. Penggunaan dalam kadar normal boleh membantu dalam meningkatkan tenaga dan waspada dalam berfikir. Pengambilan kafein tidak menyebabkan tahap ketagihan teruk seperti pengambilan bahan terlarang dadah atau alkohol.
Walaupun begitu, penggunaan berlebihan boleh menyebabkan kebergantungan sekaligus memberikan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini seperti rasa senang marah dan sakit kepala. Justeru itu, kadar pengambilan minuman berkafein perlu dihadkan bagi mengelakkan kebergantungan dan kesan “caffeine withdrawal”.
Rujukan
- Strain, E C and R R Griffiths. “Caffeine dependence: fact or fiction?” Journal of the Royal Society of Medicine vol. 88,8 (1995): 437-40.
- American Psychiatric Association (2013) .Diagnostic And Statistical Manual Of Mental disorders Fifth Edition : DSM-5. Washington DC; APA.
- Meredith, Steven E et al. “Caffeine Use Disorder: A Comprehensive Review and Research Agenda” Journal of caffeine research vol. 3,3 (2013): 114-130.
- Juliano, L.M. & Griffiths, “A Critical Review of Caffeine Withdrawal: Empirical Validation of Symptoms and Signs, Incidence, Severity, and Associated Features”, R.R. Psychopharmacology (2004) 176: 1.
- Michael J. Glade, “Caffeine: Not just a stimulant”, Nutrition. 2010 Oct;26(10):932-8.
- Budney, Alan J et al. “Caffeine Withdrawal and Dependence: A Convenience Survey Among Addiction Professionals” Journal of caffeine research vol. 3,2 (2013): 67-71.
- Karima R. Sajadi-Ernazarova; Richard J. Hamilton, “Caffeine Withdrawal”, Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2018 Jan-.