Skip to content

Fibroid: Punca, Faktor Risiko dan Cara Rawatan

Fibroid adalah salah satu penyakit yang selalu diperkatakan pada kaum wanita. Ia melibatkan ketumbuhan pada rahim tetapi tidak agresif seperti kanser. Ia selalu berlaku pada kaum wanita tapi jarang sehingga menyebabkan simptom pada mereka

Istilah perubatan

Fibroid: ketumbuhan pada rahim yang melibatkan otot licin(smooth muscle)
Menopause: Keadaan di mana seseorang wanita itu berhenti haid

Apakah itu masalah fibroid?

Kebanyakkan wanita mempunyai fibroid ketika di dalam hidup mereka dan mereka tidak mengetahui pun akan kehadiran ketulan tersebut. Ini kerana ketulan ini selalunya tidak mendatangkan apa-apa simptom kepada individu yang menghidapinya



Penyakit ini selalu berlaku pada lingkungan umur 20 hingga 40 tahun iaitu umur ketika mana seseorang wanita itu subur. Ia akan mengecut dengan sendirinya apabila seseorang itu menopause

Kebanyakkan pesakit ini tidak memerlukan apa-apa rawatan kecuali ia mendatangkan simptom yang teruk

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom Fibroid

Fibroid selalu ditemui dengan tidak sengaja pada wanita yang tidak mempunyai apa-apa simptom sebagai contoh ketika hendak melihat usia kandungan. Hanya segolongan kecil sahaja mempunyai simptom disebabkan ketulan ini. Simptom tersebut adalah:

  • Pendarahan yang banyak ketika datang bulan
  • Senggugut yang teruk
  • Pendarahan yang berlaku sebelum datang haid
  • Sakit dan rasa penuh di bahagian bawah abdomen
  • Abdomen yang kelihatan besar
  • Selalu sembelit
  • Asyik selalu ingin membuang air kecil
  • Sakit ketika melakukan hubungan dengan suami
  • Sukar untuk mengandung
  • Haid tidak Teratur
  • Darah haid banyak

Periksa Simptom anda Di Sini

Punca Fibroid

Pengkaji masih tidak menemui punca sebenar kepada masalah ini. Tetapi kajian dan pengalaman yang terkini menunjukkan beberapa pekara ini:

  • Perubahan pada genetik: Kebanyakkan sel di dalam fibroid menunjukkan perubahan genetik berbanding dengan sel rahim yang lain
  • Hormon: Estrogen dan Progesteron adala 2 hormon yang terlibat untuk menebalkan lapisan dalam rahim supaya bersedia untuk mengandung. Kajian menunjukkan hormone ini membantu dalam pembesaran saiz ketulan ini
  • Kajian kepada sel fibroid menunjukkan reseptor estrogen dan progesteron pada sel ini adalah lebih banyak berbanding sel rahim yang normal. Ketika mana menopause pula, ketulan ini selalunya mengecut disebabkan hormon-hormon tersebut sudah semakin sedikit


Sebagai tambahan, rahim mempunyai bahagian otot yang terdiri daripada otot licin. Otot ini berfungsi untuk mengecut bagi mengeluarkan bayi ketika sudah sampai usianya.

Ia dinamakan sebagai otot licin kerana permukaannya nampak licin dan tidak berbelang jika dilihat dibawah mikroskop. Jika dibandingkan dengan jenis otot lain seperti otot rangka(skeletal muscle), ia berbelang-belang jika dilihat dibawah mikroskop.

Pembahagian sel otot licin yang tidak normal inilah yang akan menghasilkan ketulan ini.

Individu Berisiko

Terdapat beberapa faktor risiko yang dikatakan mempunyai kaitan dengan penyakit fibroid. Sesiapa yang mempunyai faktor risiko ini akan mempunyai risiko untuk menghidapi masalah ini. Ia adalah:

  • Keturunan: Jika ibu ataupun adik beradik anda mempunyai sejarah penyakit fibroid, anda mempunyai risiko untuk mendapat perkara yang sama
  • Diet: Pengambilan daging merah yang banyak, kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta pengambilan alkohol boleh meningkatkan risiko untuk menghidapi masalah ini
  • Obesiti
  • Haid bermula pada awal usia
  • Penggunaan pil perancang
  • Kurang pengambilan vitamin D

Bagaimana Fibroid boleh terbentuk?

Walaupun proses fibroid itu terhasil masih lagi belum diketahui sepenuhnya, tetapi terdapat kajian yang menunjukkan bahawa hormon estrogen dan progesterone terlibat di dalam penghasilan ketulan ini.

Selalunya fibroid berlaku dalam lingkungan umur yang masih subur untuk mengandung. Iaitu pada umur 20 hingga ke 40 tahun. Dan saiz ketulan akan meningkat ketika mana sedang mengandung ataupun ketika pengambilan pil perancang.

Manakala, ketika seseorang itu sudah pun menopause, pembesaran fibroid selalunya terhenti. Malah, ada sesetengah ketulanmengecil dan hilang dengan sendirinya.

Sangat jarang untuk fibroid bertukar menjadi kanser.



Contoh gambar fibroid

Penyakit lain yang Berkaitan

Terdapat beberapa diagnosa lain yang menunjukkan simptom yang seakan-akan sama iaitu:

Komplikasi

Terdapat beberapa komplikasi jika anda menghadapi fibroid:

  • Ketika mengandung, ia boleh menyebabkan kelahiran tidak cukup bulan. Jika fibroid tersebut terlampau besar hingga menutup jalan keluar peranakan, maka, pesakit memerlukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi tersebut
  • Ia juga boleh menyebabkan ketidaksuburan seseorang perempuan. Tetapi sangat jarang berlaku
  • Fibroid yang mempunyai tangkai juga boleh terpulas. Hingga menyebabkan saluran darah kepada ketulan tersebut terhenti dan menyebabkan kesakitan yang teruk kepada pesakit. Pesakit dinasihatkan untuk berjumpa terus dengan doktor jika mengalami sakit bahagian abdomen yang teruk

Ujian Pemeriksaan

Untuk mengetahui seseorang itu mempunyai masalah ini ataupun tidak, doktor perlu memeriksa bahagian abdomen pesakit dan juga melakukan ultrasound scan untuk melihat rahim

1. Pemeriksaan abdomen

Pemeriksaan abdomen perlu dilakukan untuk melihat saiz rahim. Selalunya jika fibroid itu besar, doktor boleh merasakan saiz rahim tersebut

2. Pemeriksaan ultrasound

Pemeriksaan ultrasound boleh menentukan lokasi dan juga saiz ketulan tersebut. Jenis fibroid juga boleh ditentukan daripada pemeriksaan ultrasound. Beberapa jenis fibroid adalah:

  1. Intramural: Di dalam dinding uterus
  2. Subserosal: Pada permukaan uterus bahagian luar
  3. Submucosal: Pada permukaan uterus bahagian dalam
  4. Cervical fibroid: Fibroid pada bahagian pangkal rahim(serviks)
  5. Pendunculated Fibroid: Fibroid yang mempunyai tangkai. Ia seperti buah yang melekat pada rahim

3.  Pengambilan darah



Sebahagian kecil pesakit ini akan mengalami pendarahan yang teruk ketika datang haid. Pengambilan sampel darah boleh menentukan seseorang pesakit mengalami anemia(kekurangan darah merah) ataupun tidak

Rawatan Fibroid

Jika fibroid itu tidak mendatangkan apa-apa simptom yang serius, selalunya tiada rawatan yang diberikan. Doktor selalunya akan memberi temujanji yang tetap untuk melihat sama ada saiznya semakin membesar ataupun tidak dan juga bertanyakan simptom pesakit

Tetapi jika terdapat simptom, ia bergantung kepada keterukan simptom tersebut

1. Rawatan sokongan

Jika simptomnya lebih kepada senggugut sahaja, penggunaan ubat tahan sakit seperti mefenamic acid dan juga ibuprofen dapat mengurangkan sakit tersebut. Terdapat juga beberapa jenis ubat tahan sakit lain yang boleh mengurangkan sakit tersebut

Jika pesakit mengalami pendarahan yang banyak pula, pengambilan ubat tranxenamic asid dapat mengurangkan pendarahan tersebut

2. Pembedahan

Hanya beberapa keadaan sahaja dimana pembedahan diperlukan untuk merawat pesakit fibroid. Keadaan tersebut adalah:



  • Pendarahan yang teruk: Walaupun diberi ubat, pendarahan tersebut masih teruk dan menyebabkan kekurangan sel darah merah pada pesakit
  • Kesakitan yang teruk: Walaupun diberi ubat tahan sakit, kesakitan tersebut mengganggu sehingga mana kerja seharian tidak dapat dibuat dan terpaksa selalu tidak hadir ke tempat kerja.
  • Saiz Fibroid yang besar

Jenis pembedahan pula terbahagi kepada dua:

  • Myomectomy: Ia adalah pembedahan yang melibatkan pengeluaran bahagian fibroid daripada rahim sahaja. Jenis pembedahan ini selalunya sesuai untuk pesakit yang masih mahu mengandung
  • Hysterectomy: Pembedahan yang melibatkan pengeluaran semua bahagian uterus. Pembedahan ini sesuai untuk mereka yang sudah menopause.

3. Cara rawatan lain

Ada satu prosedur yang boleh dilakukan untuk memusnahkan ketulan tersebut tanpa melakukan pembedahan. Salah satunya adalah prosedur embolisasi arteri rahim(Uterine arteri embolization).

Dalam prosedur ini, satu bahan akan disuntik  terus kepada ketulan tersebut melalui salur darah arteri untuk menyekat aliran darah ke bahagian fibroid. Ini akan menyebabkan sel fibroid kekurangan oksigen dan berkahir dengan kematian sel. Saiz ketulan ini akan mengecil setelah prosedur ini

Tetapi, komplikasi akan berlaku jika bahan tersebut menyekat aliran darah ke ovari ataupun organ lain

Cara untuk mengelakkan fibroid

Sebenarnya tiada cara untuk mengelakkan fibroid. Tetapi perubahan dalam cara permakanan boleh mengurangkan kebarangkalian untuk mendapat penyakit tersebut

  • Kurangkan diet yang tinggi gula: Kajian menunjukkan wanita yang selalu mengambil diet yang tinggi gula mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat masalah ini
  • Lebihkan sayur: Kajian lain pula mendapati pengambilan sayur seperti brokoli, kobis, bunga kobis, sawi dan banyak lagi boleh mengurangkan risiko untuk mendapat masalah ini
  • Senaman yang selalu juga boleh mengurangkan risiko untuk menghadapi masalah ini

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:



  1. Wallach EE, Vlahos NF. Uterine myomas: an overview of development, clinical features, and management. Obstet Gynecol. 2004 Aug. 104(2):393-406
  2. Bradley, L. D., & Gueye, N. A. (2016). The medical management of abnormal uterine bleeding in reproductive-aged women. American Journal of Obstetrics and Gynecology, 214(1): 31-44. doi: 10.1016/j.ajog.2015.07.044
  3. Radin, R. G., Palmer, J. R., Rosenberg, L., Kumanyika, S. K., & Wise, L. A. (2010). Dietary glycemic index and load in relation to risk of uterine leiomyomata in the Black Women’s Health Study. The American Journal of Clinical Nutrition, 91(5), 1281–1288. http://doi.org/10.3945/ajcn.2009.28698
  4. Lukes, A. S., Moore, K. A., Muse, K. N., Gersten, J. K., Hecht, B. R. Edlund, M., Richter, H. E., Eder, S. E., Attia, G. R., Patrick, D. L., Rubin, A., & Shangold, G. A. (2010). Tranexamic acid treatment for heavy menstrual bleeding: a randomized controlled trial. Obstetrics & Gynecology, 116(4): 865-875. doi: 10.1097/AOG.0b013e3181f20177
  5. Shen, Y., Wu, Y., Lu, Q., and Ren, M. (2016) Vegetarian diet and reduced uterine fibroids risk: A case–control study in Nanjing, China. J. Obstet. Gynaecol. Res., 42: 87–94. doi: 10.1111/jog.12834.
Advertisements
Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × three =