Apa yang Perlu dibuat Jika Ditikam dengan Pisau?

apa yang perlu dibuat jika ditikam pisau

Hampir setiap hari di seluruh dunia, berita tentang tikaman yang membawa kecederaan serius dan juga membawa maut dilaporkan. Walaupun tikaman pisau mengerikan jika dibayangkan, masyarakat perlu sekurang kurangnya tahu perkara asas yang perlu dilakukan bagi membantu seseorang yang ditikam ataupun sekiranya mereka yang ditikam.

Luka tikaman bukan hanya terjadi dalam kes jenayah. Ia boleh terjadi di mana sahaja dan pada bila bila waktu. Ia boleh terjadi kerana kecederaan ketika bertukang, kecederaan ketika bekerja di dapur ataupun kecederaan ketika berkebun.

Rawatan cemas setelah ditikam

Walaupun kebiasaannya luka tikaman hanya kecil pada kulit, kesannya juga boleh masuk lebih dalam ke dalam organ dan menyebabkan kecederaan serius. Perkara penting yang harus anda ingat adalah untuk kekal bertenang. Lakukan perkara perkara berikut:

  1. Pastikan anda berada di kawasan yang selamat seperti kawasan terbuka dengan ramai orang bagi mengelakkan kejadian tidak sepatutnya berlaku. Setelah anda pasti anda selamat, segera telefon ambulans.
  2. Sementara itu, pastikan tiada objek tajam seperti pisau pada luka tikaman. Letak tangan anda pada kawasan luka dan tekan secara perlahan pada luka. Lebih baik jika anda memakai sarung tangan atau membalut tangan dengan kain sebelum menekan pada luka. Ini bertujuan untuk menggalakkan penghasilan ketulan darah bagi mengurangkan pendarahan dari luka.
  3. Jika terdapat objek tajam atau pisau pada luka, JANGAN alihkan objek tersebut. Walaupun objek tersebut menikam luka, ia mungkin telah mencederakan saluran darah utama dan apabila anda mengalihkannya, anda mungkin mencederakan saluran darah tersebut dan menyebabkan pendarahan serius.
  4. Angkat bahagian badan yang ditikam seperti kaki atau tangan lebih tinggi dari paras jantung bagi memperlahankan pendarahan.

Mengapa anda dilarang mengalihkan pisau/objek dari luka tikaman?

Apabila seseorang itu ditikam, ia mencederakan mereka namun pisau juga bertindak sebagai plug atau gam yang membantu menutup saluran darah utama yang telah ditikam. Jika anda menarik keluar pisau tersebut, saluran darah tersbeut boleh terputus dan menyebabkan pendarahan serius.

“Shock” atau Renjatan

Renjatan ialah keadaan dimana tekanan menjadi rendah disebabkan beberapa hal seperti pendarahan yang teruk atau jangkitan kuman. Perkara ini akan menyebabkan kekurangan oksigen yang dihantar ke seluruh badan.

Renjatan terjadi sebagai respons badan kita terhadap sistem peredaran darah yang semakin lemah. Ia menandakan tisu di dalam badan termasuk jantung dan otak tidak dapat bekalan oksigen yang secukupnya.

Badan bertindak mengurangkan peredaran darah ke organ lain seperti kulit dan usus bagi menyalurkan jumlah darah yang banyak kepada organ penting seperti otak dan buah pinggang. Oleh itu, kulit menjadi pucat dan sejuk kerana kekurangan darah. Anda juga akan mula rasa loya dan dahaga.

Jantung juga akan mengepam dengan lebih laju bagi membekalkan bekalan darah dan oksigen yang cukup. Jantung akan terasa berdebar debar dan berasa cemas serta pening.

Antara tanda tanda lain kejutan ialah:

  • Nadi berdenyut laju
  • Kulit pucat dan sejuk
  • Warna kebiruan pada kulit dan bibir
  • Muntah dan loya
  • Bernafas dengan laju
  • Lemah dan pening
  • Pengsan

Apa perlu dilakukan jika badan mengalami kejutan?

  1. Baringkan mangsa di atas lantai dan angkat kaki lebih tinggi dari paras jantung.
  2. Pastikan anda telefon ambulans.
  3. Longgarkan pakaian mangsa.
  4. Pastikan tubuh mereka hangat dengan menutup dengan selimut.
  5. Tenangkan mangsa.

Kehilangan darah

Seperti yang dibincangkan tadi, renjatan atau “shock” boleh berlaku kerana kehilangan darah dalam jumlah yang banyak.

Badan manusia mengandungi secara puratanya 6 liter darah. Jika badan kehilangan satu per lima dari jumlah darah iaitu bersamaan dengan sekurang kurangnya 1.2 liter darah, badan akan mengalami kejutan.

Bagi kanak kanak pula kiraannya sedikit berbeza. Hal ini kerana mereka mempunyai jumlah darah yang lebih sedikit berbanding dewasa. Kehilangan darah sebanyak 250ml sudah boleh membawa maut kepada bayi.

Apa akan terjadi setelah ditikam?

Ramai orang yang ditikam akan hidup selepas diberi rawatan. Namun begitu, terdapat juga mereka yang bernasib malang akan meninggal dunia setelah ditikam.

Punca utama kematian dalam luka tikaman ialah kehilangan darah yang banyak dalam masa yang singkat terutamanya jika tikaman tersebut terkena pada saluran darah utama.

Apabila darah hilang dengan jumlah yang banyak, organ organ penting termasuk otak, jantung dan buah pinggang tidak akan mendapat bekalan darah dan oksigen yang cukup menyebabkan mereka gagal berfungsi. Jika dibiarkan terlalu lama, badan akan mengalami kejutan dan jantung akan berdegup perlahan dan berhenti.

Rujukan

  1. How do I Help Someone Who’s been Stabbed – Safeandsound
  2. Would you know how to help with major bleeding – firstaidforlife
  3. What to do immediately after knife attack -bbc

Nurul Afza

Nurul Afza Shamsul Kamal merupakan merupakan seorang pelajar perubatan di Universiti Teknologi MARA. Penglibatan beliau dalam The Diagnosa sebagai penulis adalah merupakan satu usaha dalam menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

Kumpulan artikel-artikel Nurul Afza di SINI

Kenali Nurul Afza melalui profil beliau di SINI

Artikel berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *