Skip to content

Bagaimana Alat Bantu Dengar Berfungsi dan jenis jenisnya?

Bagaimana Alat Bantu Dengar Membantu Anda Mendengar?

Alat bantu dengar adalah sejenis alat yang dicipta khas untuk membantu seseorang yang mengalami masalah pendengaran untuk mendengar dengan lebih baik. Dengan menggunakan kuasa daripada bateri, alat ini dapat berfungsi sebagai penguat bunyi yang sampai ke telinga si pemakainya.

Selain daripada memudahkan si pemakai untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling dan mendengar bunyi persekitaran, alat yang direka dalam pelbagai bentuk dan saiz ini boleh juga meningkatkan kualiti kehidupan seseorang.

Seawal abad ke-13, manusia yang mempunyai masalah pendengaran atau pekak telah menggunakan hon yang diperbuat daripada tanduk haiwan sebagai alat untuk membantu mereka mendengar. Revolusi teknologi hingga ke hari ini telah menyebabkan terciptanya pelbagai jenis dan bentuk alat bantu pendengaran yang bergantung kepada kesesuaian pesakit. 

Jenis-jenis Alat Bantu Pendengaran



Terdapat beberapa jenis alat bantu dengar dan ia bergantung kepada lokasi alat tersebut berserta cara ia menghantar maklumat.

1. Alat bantu dengar belakang telinga (BTE Hearing Aid)

Alat ini adalah alat yang sering dipakai oleh pesakit yang mengalami masalah pendengaran. Hal ini kerana ia sesuai untuk semua tahap dan jenis pendengaran terutama sekali pada tahap pendengaran yang sangat teruk. Kelebihan alat jenis ini adalah mudah untuk dibersihkan dan diuruskan kerana ia bersaiz besar. Namun begitu, kedudukannya yang terletak di belakang telinga boleh menyebabkan pesakit yang memakai kaca mata berasa tidak selesa.

2. Alat bantu dengar receiver dalam telinga (RIC Hearing Aid)

Alat bantu jenis ini berbentuk sama seperti alat bantu dengar belakang telinga. Tetapi saiznya lebih kecil kerana receiver atau juga dikenali sebagai pembesar suara yang biasanya diletakkan di belakang telinga telah direka di bahagian dalam saluran telinga. Alat ini selalunya dicadangkan kepada pesakit yang mengalami masalah pendengaran di bahagian bunyi bernada tinggi. Saiznya yang lebih kecil menyebabkan ia menjadi lebih ringan dan menambahkan keselesaan buat pengguna.



3. Alat bantu dengar dalam telinga (ITE Hearing Aid)

Alat bantu pendengaran jenis ini tidak sesuai digunakan oleh pesakit yang memiliki tahap pendengaran teruk atau sangat teruk. Walaupun ia boleh menyebabkan si pemakai berasa susah untuk mengubah jenis program dan kekuatan bunyi yang terdapat pada alat tersebut, saiznya yang lebih kecil dan tidak begitu kelihatan ini membantu mereka berasa lebih yakin untuk memakainya.

4. Alat bantu dengar dalam saluran telinga (CIC Hearing Aid)

Alat bantu pendengaran dalam saluran telinga ini selalunya lebih mahal berbanding alat yang lain. Hal ini kerana semua komponen yang perlu ada dalam sesebuah alat bantu ini harus dimuatkan dalam satu alat yang bersaiz kecil. Pesakit yang berkaca mata digalakan menggunakan alat ini kerana ianya lebih selesa buat mereka.

5. Alat bantu dengar jenis konduksi tulang (BC Hearing Aid)

Alat jenis ini sudah semakin banyak digunakan pada masa kini. Tenaga bunyi yang sampai pada alat ini akan ditukarkan kepada getaran lalu disalurkan ke telinga melalui tiga cara. Salah satunya adalah getaran akan terus sampai ke tulang yang terdapat di telinga seterusnya merangsang koklea yang terletak di bahagian telinga yang lebih dalam. Walaupun ia jauh lebih mahal daripada alat bantu dengar yang lain, pesakit yang mengalami masalah pendengaran jenis konduktif yang kebiasaannya berlaku secara sementara dan berubah-ubah disarankan menggunakan alat jenis  ini.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Bagaimana Alat Bantu Pendengaran Berfungsi?

Alat bantu ini mempunyai empat komponen asas iaitu mikrofon, amplifier, pembesar suara atau receiver dan bateri. Mikrofon berfungsi sebagai penerima bunyi yang menukarkan tenaga bunyi kepada tenaga elektronik. Tenaga tersebut kemudiannya diperkuat oleh amplifier sebelum dihantar ke pembesar suara. Kemudian, pembesar suara akan menukar semula tenaga elektronik kepada tenaga bunyi lalu menghantarnya ke telinga pengguna.

Seperti cermin mata yang memberi kejelasan kepada pengguna untuk melihat dengan lebih baik, begitu juga dengan alat bantu pendengaran yang menambahkan kekuatan bunyi yang sampai ke telinga pengguna untuk mendengar dengan lebih jelas. Walaupun alat ini tidak boleh memulihkan tahap pendengaran pesakit, ianya dapat membantu pesakit untuk menjalani kehidupan seperti manusia biasa.



Masalah pendengaran terdiri daripada beberapa tahap iaitu tahap biasa, ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk. Tahap-tahap inilah yang menentukan alat apa yang sesuai dicuba oleh pesakit pada kali pertama. Audiologis yang bekerja di hospital atau pusat alat bantu dengar akan melaraskan alat bantu dengar yang dicadangkan kepada pesakit mengikut tahap pendengaran dan keselesan masing-masing.

Disebabkan itu, alat ini tidak boleh dikongsi atau dibeli di mana-mana kedai biasa kerana individu yang berbeza memerlukan pelarasan yang berbeza dalam sistem alat bantu pendengaran ini. Oleh itu, seandainya seseorang individu berasa seperti mempunyai masalah susah untuk mendengar, individu tersebut hendaklah pergi berjumpa dengan audiologis untuk membuat ujian pendengaran bagi menentukan sama ada seseorang itu perlu memakai alat bantu pendengaran atau tidak.

Rujukan

  1. Dillon, H. (2012). Hearing Aids, Second Edition. Boomerang Press:Sydney.
  2. Hailani, I., & Ariffin, N. (2012). Alat Bantu Pendengaran. Retrieved on September, 2020 from myhealth
  3. Packer, L. (2016). Hearing aid history: From ear trumpets to digital technology. Healthy Hearing. Retrived on September, 2020
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

thirteen − two =