Bed Sores(Kudis Tekanan): Punca, Simptom dan Rawatan

bed sores atau kudis tekanan

Apakah punca kepada bed sores atau kudis tekanan ini? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom serta penyelesaian kepada masalah Bed Sores.

Isi Kandungan
  1. Definisi
  2. Punca Kudis Tekanan
  3. Simptom
  4. Penyiasatan
  5. Rawatan

Adakah anda pernah melihat jika seseorang itu berada di atas katil terlampau lama kerana sakit lumpuh dan tidak boleh bangun, kulitnya mengalami luka-luka dan kudis? Ini mungkin salah satu kesan daripada Bed Sores.  

Definisi

Bed sores atau kudis tekanan ini adalah kulit dan tisu dalam keadaan yang luka disebabkan oleh tekanan yang terlampau lama dikenakan pada permukaan kulit. Kudis tekanan ini sering terjadi pada permukaan kulit yang mudah terkena pada tekanan seperti tumit kaki, buku lali dan pinggul.

Bed sores ini nama lainnya juga adalah pressure ulcer dan decubitus ulcer. Kudis tekanan ini sering berlaku pada golongan orang tua dan ini boleh menyebabkan keadaan yang lebih serius berlaku. Antara golongan yang berisiko untuk mengalami kudis tekanan ini ialah:

  • Orang tua.
  • Kurang pergerakan.
  • Baring atau duduk terlalu lama di atas katil atau kerusi roda.
  • Tidak dapat menggerakkan sebahagian anggota badan tanpa bantuan orang lain.
  • Mempunyai kulit yang nipis dan mudah luka.
  • Menghidap kencing manis.
  • Masalah pengaliran darah.
  • Kurang pengambilan nutrisi.

Punca Kudis Tekanan (Bed Sore)

Bed sores ini akan terjadi apabila darah yang dibekalkan ke bahagian tisu dan kulit terhenti lebih daripada dua ke tiga jam. Keadaan ini akan menyebabkan kulit mati, dan kudis tekanan ini mula untuk menjadi kemerahan di kawasan yang terkena tekanan itu. Jika tidak dirawat, luka yang terbentuk itu akan menjadi besar dan terdedah kepada jangkitan kuman.

Luka yang berlaku disebabkan oleh kudis tekanan ini boleh menjadi lebih dalam sehingga ke kawasan tulang dan otot. Apabila luka ini berlaku, tempoh untuk sembuh itu mengambil masa yang agak lama. Hal ini bergantung juga kepada keadaan seseorang itu jika ia mempunyai penyakit lain yang turut melambatkan proses kesembuhan dan menyebabkan kudis tekanan ini menjadi lebih teruk.

Punca utama yang menyebabkan bed sores atau kudis tekanan ini berlaku adalah apabila permukaan kulit berada dalam tekanan dalam tempoh yang lama dan faktor lain yang membantu kulit luka ini seperti kulit lembap, pengaliran darah yang kurang dan kurang nutirisi.

  • Tekanan: Apabila terdedah kepada tekanan dalam tempoh yang lama seperti baring di atas katil, duduk di atas kerusi roda tanpa penjagaan yang rapi, ini akan menyebabkan kurang darah yang dibekalkan ke tisu dan kulit badan. Darah sangat diperlukan oleh tisu dan kulit untuk bekalan oksigen dan nutrien. Tanpa oksigen dan nutrien ini, tisu dan kulit akan mudah rosak dan mati.
  • Geseran: Geseran akan berlaku apabila kulit bersentuh dan bergesel dengan kain atau katil. Ini akan menyebabkan kulit lebih mudah untuk terluka terutama bagi permukaan kulit yang sentiasa lembap.

Masalah ini selalunya berlaku pada mereka yang mengalami kelumpuhan disebabkan beberapa penyakit seperti:

Simptom

Simptom bagi kudis tekanan ini terbahagi kepada empat tahap, dari tahap yang rendah ke tahap yang lebih bahaya:

Tahap 1: Kawasan permukaan kulit berada dalam kemerah-merahan dan panas suam apabila disentuh. Keadaan di tahap ini hanya memberi kesan kepada kawasan paling atas permukaan kulit sahaja.

Yang perlu dilakukan jika berada pada tahap ini adalah hentikan punca yang menyebabkan ia berlaku seperti tekanan yang dikenakan pada permukaan kulit itu. Boleh ubah posisi kedudukan, gunakan bantal atau selimut yang sesuai. Jika berada di atas katil terlampau lama, boleh ubah kedudukan selepas dua jam, jika duduk di atas kerusi yang terlampau lama, boleh ubah posisi setiap 15 minit.

Tahap 2: Luka yang berlaku lebih dalam dan memberi kesan di lapisan kulit yang dalam. Kulit akan luka lebih besar dan bernanah. Bengkak, panas, kemerahan dan rasa sakit juga akan berlaku di kawasan kulit yang terluka.

Langkah yang perlu dibuat adalah cuci luka itu dengan air yang bersih dan lakukan seperti di tahap satu. Nanah yang terbentuk hendaklah dijaga dengan rapi dan lindungi daripada terdedah kepada kekotoran untuk mengelakkan sebarang jangkitan kuman yang berlaku.

Tahap 3: Kudis itu mula untuk memberi kesan ke lapisan kulit yang lebih dalam iaitu kawasan lapisan lemak. Kudis dan kulit luka ini akan menghasilkan bau yang lebih busuk dan menunjukkan tanda-tanda kulit sudah dijangkiti kuman seperti nanah, kemerahan, bau busuk, kepanasan dan kulit hitam.

Pada tahap ini, perlukan penjagaan yang lebih rapi. Perlu berjumpa dengan doktor untuk lakukan rawatan selanjutnya seperti mencuci luka dan membuang kulit-kulit yang mati dan mendapatkan rawatan antibiotik.

Tahap 4: Kudis pada tahap ini berada dalam keadaan yang lebih serius, dan ia boleh memberi kesan pada otot dan tulang. Kudis ini akan menyebabkan luka yang lebih dalam dan lebih besar.

Luka ini perlu mendapatkan rawatan yang secepatnya untuk mengelakkan keadaan yang lebih buruk berlaku. Jika perlu, mungkin pembedahan akan dilakukan.

Namun bagi kudis tekanan ini mempunyai simptom secara umum untuk kita kenal pasti:

  • Rasa sakit di kawasan luka.
  • Kawasan luka terkena jangkitan.
  • Luka yang terbuka.
  • Luka yang berbau.

Ujian Pemeriksaan

Doktor akan melakukan beberapa pemeriksaan fizikal untuk mengenal pasti punca yang menyebabkan kudis tekanan ini. Antara soalan yang akan ditanya adalah:

  • Bilakah kudis ini mula berlaku?
  • Skala kesakitan daripada kudis ini?
  • Pernah mengalami sebelumnya?
  • Bagaimana cara pengurusan kudis sebelum ini?
  • Kekerapan untuk mengubah posisi ketika baring dan duduk?
  • Apakah rawatan yang pernah diambil sebelum ini?
  • Diet dan nutrien yang diambil?

Kemudian, doktor akan menilai kudis yang berlaku dengan beberapa kriteria yang diletakkan:

  • Saiz dan kedalaman luka.
  • Jenis tisu yang terkesan disebabkan kudis.
  • Warna kulit di permukaan kudis.
  • Jumlah tisu yang mati daripada kudis.
  • Keadaan pada kudis (jangkitan, bernanah, bau busuk dan pendarahan)

Kriteria ini digunakan untuk mengetahui tahapan kudis tekanan tersebut dan juga rawatan yang sesuai

Rawatan Kudis Tekanan

Terdapat beberapa jenis rawatan yang boleh diberikan kepada mereka yang mengalami masalah bed sore atau kudis tekanan ini. Antara rawatan yang akan diberikan ialah:

1. Menghilangkan tekanan yang memberi kesan kepada kulit.

Sentiasa mengubah posisi sewaktu baring dan duduk antara cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan tekanan pada badan. Gunakan bantal dan tilam yang khusus kepada pesakit

Selain dari itu, ahli keluarga juga boleh membeli atau menyewa tilam khas yang dinamakan sebagai Ripple Mattress. Tilam ini dengan secara automatik akan mengubah tekanan pada bahagian badan pesakit dan akan mengelakkan kudis tekanan daripada berlaku.

2. Memastikan luka sentiasa dalam keadaan yang bersih dan tidak tercemar.

Basuh permukaan kulit yang luka dan kudis itu dengan air bersih atau air saline dan keringkan permukaan kulit yang luka itu dengan berhati-hati. Doktor juga akan membuang kawasan kulit yang mati.

3. Mengambil nutrien yang tinggi.

Mengambil makanan yang mengadungi nutrien yang tinggi akan membantu mempercepatkan proses kesembuhan pada luka itu.

4. Lindungi dan tutupi kudis yang luka itu.

Kawasan kudis itu juga perlu ditutup dengan bandage untuk mengelakkan luka kudis tercemar dengan jangkitan kuman.

Semestinya jika kudis tekanan ini semakin teruk, anda perlu berjumpa dengan doktor secepat mungkin bagi mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

RUJUKAN

  1. Hopkins Medicine – Bed Sores
  2. Mayo Clinic – Bed Sores

Ahmad Muazz

Ahmad Muazz bin Abdullah merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Penglibatan beliau dalam The Diagnosa sebagai penulis adalah merupakan satu usaha dalam menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

Kumpulan artikel-artikel Ahmad Muazz di SINI

Kenali Ahmad Muazz melalui profil beliau di SINI

Artikel berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *