Skip to content

Bengkak Susu: Punca, Simptom dan Rawatan

Bengkak Susu adalah bengkak dibahagian payudara disebabkan penghasilan susu yang meningkat. Selalunya ia terjadi pada beberapa hari setelah pesakit melahirkan anak. Pesakit selalunya mengadu sakit yang teruk pada bahagian payudara.

Apakah punca kepada masalah bengkak susu?

Bengkak pada bahagian payudara disebabkan penghasilan susu berlaku kerana selepas daripada melahirkan anak, hormon prolactin akan dihasilkan dengan lebih banyak. Ini akan merangsang penghasilan susu yang lebih banyak.

Penghasilan susu yang banyak mungkin tidak akan berlaku sehinggalah hari ke 3 hingga ke 5 selepas kelahiran. Oleh itu, bengkak susu selalunya berlaku pada minggu pertama atau kedua selepas daripada kelahiran bayi. Tetapi ia juga boleh berlaku pada bila-bila masa ketika seseorang wanita itu masih menyusukan anaknya.



Beberapa keadaan yang mungkin akan menyebabkan seseorang itu mengalami masalah ini adalah:

  • Tidak sempat menyusukan anak
  • Tidak pam susu mengikut masa
  • Memberi susu formula kepada bayi hingga menyebabkan bayi tersebut rasa kenyang dan tidak mahu menyusu badan
  • Mula makan pada awal usia
  • Bayi bermasalah untuk menghisap susu

Apakah simptom dan tanda bengkak susu?

Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan seseorang itu sedang mengalami masalah ini. Ia adalah:

Payudara bengkak tersebut boleh berlaku pada satu bahagian sahaja ataupun pada kedua-dua bahagian. Bengkak itu juga boleh merebak hingga ke bahagian ketiak seseorang pesakit.

Saluran darah dibawah kulit mungkin akan lebih kelihatan pada buah dada disebabkan aliran darah yang meningkat ke bahagian tersebut.

Ada juga sesetengah pesakit mengalami demam disebabkan masalah ini. Anda masih lagi boleh meneruskan penyusuan walaupun mengalami demam ini.



Akan tetapi jika ia bengkak terlalu besar, kemerah-merahan dan demam yang tinggi, pesakit perlulah berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk diperiksa sama ada bengkak tersebut disebabkan jangkitan kuman ataupun tidak. Jangkitan kuman ini perlulah dirawat terlebih dahulu sebelum ia menjadi lebih teruk.

Jangkitan kuman yang tidak dirawat boleh menyebabkan penghasilan nanah di dalam payudara dan ia boleh menyumbatkan saluran pengaluran susu. Ini boleh menyebabkan keadaan pesakit menjadi bertambah teruk.

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Apakah cara rawatan untuk masalah ini?

Ia bergantung kepada samada anda menyusukan anak ataupun tidak.

Pada mereka yang menyusukan anak, anda boleh mengikuti langkah-langkah ini:

  • Menyusukan bayi secara kerap sekurangnya 1-3 jam. Bayi perlulah disusukan 20 hingga ke 30 minit ke atas.
  • Tuam dengan benda panas pada bahagian tersebut untuk memudahkan susu keluar daripada payudara
  • Mandi menggunakan air suam juga boleh membantu dalam pengeluaran susu
  • Menyusukan bayi selama mana bayi tersebut ingin menyusu
  • Mengurut payudara secara perlahan ketika bayi menyusu
  • Bertukar-tukar bahagian payudara supaya susu pada kedua-dua belah payudara dapat dikeluarkan
  • Gunakan pam ataupun keluarkan susu dengan perahan ketika mana anda tidak boleh menyusukan bayi

Bagi mereka yang tidak menyusukan bayi, selalunya bengkak susu itu akan berlaku lebih kurang dalam satu hari. Selepas daripada itu, payudara tersebut masih merasa penuh dan berat, akan tetapi kesakitan atau rasa tidak selesa itu akan semakin berkurangan.

Anda boleh tunggu sehingga ia baik dengan sendirinya ataupun menggunakan cara ini untuk mengurangkan rasa sakit tersebut iaitu:

  • Guna ais ataupun bahan yang sejuk untuk mengurangkan bengkak dan rasa sakit
  • Pengambilan ubat tahan sakit
  • Menggunakan baju dalam yang mampu menyokong payudara supaya pergerakan payudara kurang.

Bagaimana saya boleh mengelakkan masalah ini?

Anda tidak boleh mengelakkan masalah ini terutamanya pada minggu pertama anda melahirkan anak sehinggalah badan sudah mampu menyesuaikan diri dengan penyusuan bayi. Oleh itu, payudara mungkin boleh menyebabkan penghasilan susu yang berlebihan hingga menyebabkan masalah bengkak susu.



Akan tetapi, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan perkara ini daripada berlaku. Ia adalah:

  • Menyusukan bayi atau pam susu secara kerap: Susukan bayi setiap 1 hingga ke 3 jam. Pastikan setiap kali penyusuan adalah lebih daripada 20 hingga ke 30 minit. Pam susu anda jika bayi anda tiada disisi.
  • Keluarkan sedikit susu daripada payudara: Anda boleh cuba mengeluarkan susu dalam kuantiti yang sedikit untuk mengurangkan tekanan pada payudara. Elakkan daripada mengeluarkan secara berlebihan, ini kerana ia boleh menyebabkan badan anda menghasilkan lebih banyak susu selepas daripada itu.
  • Mulakan pemakanan bayi secara berperingkat: Memulakan pemakanan bayi pada usia yang terlalu awal boleh menyebabkan bengkak susu
  • Gunakan ais untuk kurangkan penghasilan susu: Suhu yang sejuk akan menyebabkan saluran darah mengecut. Ini akan menyebabkan penghasilan susu berkurangan.

Jika anda tidak menyusukan bayi, anda tidak perlu berbuat apa-apa. Dalam masa beberapa hari, badan anda secara automatik akan menghentikan penghasilan susu tersebut. Tidak perlu cuba untuk mengeluarkan susu tersebut, jika tidak, badan berterusan menghasilkan susu.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Pustotina O. (2015). Management of mastitis and breast engorgement in breastfeeding women. DOI: 10.3109/14767058.2015.1114092
  2. What to expect while breastfeeding. (2018). – CDC

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty + 20 =