Skip to content

Berak Berdarah: Punca dan Rawatan

Apakah punca berak berdarah dan cara rawatan masalah tersebut?

Artikel ini akan menerangkan berkenaan punca kepada masalah berak berdarah, rawatan dan ujian untuk mengetahui punca kepada masalah ini.

Pengenalan


Berak berdarah adalah salah satu simpom yang dibimbangi oleh orang ramai jika menghadapinya. Masalah ini mempunyai pelbagai punca daripada buasir sehinggalah kanser usus yang boleh meragut nyawa seseorang.



Walapun perkara ini sangat dibimbangi oleh sesetengah orang, tetapi majoriti daripada masalah berak berdarah ini adalah disebabkan buasir di dalam dubur. Oleh itu, jika anda menghadapi berak berdarah ini, terus berjumpa dengan doktor untuk mengetahui punca kepada masalah tersebut.

Selain dari itu, pendarahan yang kronik daripada saluran pencernaan ataupun usus, boleh menyebabkan badan mengalami kekurangan darah merah. Ini akan menyebabkan masalah anemia dan pesakit akan mengalami simptom kekurangan darah seperti sesak nafas, sentiasa berdebar, pening kepala dan pengsan.


berak berdarah

Punca Berak Berdarah

Beberapa punca yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku adalah:

1. Buasir

Di kawasan dubur manusia, terdapat saluran darah. Saluran darah ini boleh membesar dan membengkak. Jika ia pecah, ia boleh menyebabkan pendarahan ketika membuang air pecah dan pesakit akan mengalami simptom berak berdarah.

Ketulan yang besar di dubur inilah buasir yang selalu diperkatakan.

2. Ulser Perut

Ulser perut boleh terbentuk dan selalunya perkara ini disebabkan penyakit gastrik. Asid yang terhasil akan menghakis dinding perut sehinggalah sampai ke pembuluh darah. Apabila pembuluh darah ini pecah, maka berlakulah pendarahan dan pesakit selalunya akan mengadu najisnya hitam. Jika terlalu teruk, pesakit pun akan mengalami muntah darah.

Terdapat dua punca yang selalunya menyebabkan masalah gastrik berlaku. Ia adalah jangkitan kuman Helicobacter pylori dan juga penggunaan ubat jenis Nsaids.

3. Kanser Usus

Kanser usus merupakan salah satu ketumbuhan yang rapuh pada dinding saluran usus. Apabila najis bergerak melalui kanser tersebut, ia akan menyebabkan sedikit pendarahan berlaku.

Perlu diketahui bahawa selalunya pendarahan kanser usus adalah sangat sedikit dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Terdapat satu ujian ringkas yang boleh dilakukan untuk mengetahui najis tersebut mempunyai darah ataupun tidak.

4. Esophageal Varices

Sama seperti dibahagian dubur, bahagian hujung esofagus juga mempunyai saluran darah yang banyak. Jika seseorang itu mengalami masalah kegagalan hati, ia akan meningkatkan tekanan darah dibahagian ini dan menyebabkan saluran darah dibahagian ini menjadi besar. Jika pecah, ia boleh menyebabkan pendarahan yang teruk.

5. Penyakit Divertikular

Masalah divertikular ini jarang berlaku pada rakyat Malaysia. Ia merupakan satu kantung kecil yang terbentuk pada permukaan usus besar. Kantung ini boleh pecah dan menyebabkan pendarahan.

6. Anal Fissure(Luka di kawasan dubur)

Jika seseorang itu mengeluarkan najis yang besar dan keras daripada duburnya, ia boleh menyebabkan kawasan tersebut koyak dan pendarahan berlaku. Perkara ini selalunya disebabkan masalah sembelit. Pesakit akan merasa sakit ketika membuang air besar tersebut dan pendarahan akan berlaku selepas daripada itu.

7. Angiodysplasia

Sama seperti namanya. Angio bermaksud saluran darah, dysplasia bermaksud sesuatu yang tidak normal. Dalam penyakit ini, terdapat saluran darah yang tidak normal di dalam usus, ia boleh pecah disebabkan saiznya yang besar dan menyebabkan pendarahan berlaku.

Periksa Simptom anda Di Sini

Ujian untuk mengesan punca


Adalah amat penting untuk mengetahui punca kepada masalah ini supaya rawatan yang diberikan adalah sesuai dengan punca penyakit tersebut.

Beberapa prosedur yang dilakukan adalah:



1. Pemeriksaan Per Rektal

Ia dilakukan untuk melihat sama ada najis tersebut mempunyai darah ataupun tidak dan juga memeriksa bahagian dalam dubur.

Dalam pemeriksaan ini, doktor akan menggunakan sarung tangan dan memasukkan jari ke dalam dubur untuk memeriksa bahagian dinding dubur.

2. Prosedur Proctoscope

Alat ini digunakan untuk melihat bahagian dalam dubur terutamanya bagi mereka yang disyaki mengalami buasir. Alat ini pendek. Ia akan dimasukkan ke dalam dubur. Terdapat bukaan pada alat ini yang akan membuatkan kawasan dubur itu dapat dilihat.

3. Nasogastrik lavage

Prosedur ini dilakukan untuk melihat sama ada pendarahan tersebut berlaku dibahagian perut ataupun tidak. Ia melibatkan satu tiub dimasukan daripada hudung ataupun mulut. Tiub itu akan ditolak sampailah ke dalam perut.

Sampel daripada perut akan diambil untuk dilihat sama ada pesakit mempunyai pendarahan ataupun tidak.



4. Esophagogastroduodenoscopy (OGDS)

Satu kamera akan dimasukkan daripada dalam mulut dan ditolak hingga ke dalam perut. Prosedur ini dilakukan untuk melihat keadaan dalam saluran esofagus dan juga dinding perut.

Jika didapat terdapat kawasan pendarahan, rawatan boleh diberikan terus pada ketika itu dengan memberhentikan pendarahan dikawasan perut tersebut.

5. Kolonoskop

Prosedur ini juga melibatkan penggunakan kamera. Cumanya ia dimasukkan melalui dubur untuk melihat keadaan di kawasan usus besar. Ketika prosedur ini dilakukan, sebarang ketumbuhan ataupun polip akan dipotong dan diambil untuk ujian makmal. Ia penting untuk menentukan sama ada ketulan tersebut kanser ataupunt tidak.


Rawatan

Rawatan yang berbeza akan diberikan kepada pesakit bergantung kepada lokasi pendarahan tersebut berlaku. Ia boleh dibahagikan kepada:

1. Pendarahan saluran pencernaan bahagian atas

Pendarahan ini selalunya melibatkan kawasan perut ataupun kawasan esofagus. Ketika mana prosedur OGDS dilakukan, doktor akan mencari dimana punca pendarahan tersebut.

Jika kawasan tersebut masih mengalami pendarahan, terdapat beberapa prosedur yang dilakukan untuk menghentikan pendarahan di kawasan tersebut. Ia adalah:

  • Menyembur ubat adrenaline yang berfungsi untuk mengecutkan saluran darah tersebut
  • Membakar menggunakan besi khas yang boleh dipanaskan

Ketika prosedur OGDS ini dilakukan, sedikit sampel daripada dinding perut juga akan diambil untuk ujian H. pylori. Jika ujian tersebut positif, pesakit akan diberikan antibiotik untuk membunuh kuman tersebut.

Pesakit juga akan diberikan ubat gastrik untuk mengelakkan asid di dalam perut menghakis kawasan pendarahan tersebut.

2. Pendarahan saluran pencernaan bahagian bawah

Jika ia disebabkan buasir, pesakit akan diminta untuk mengambil makanan yang lembut supaya najis menjadi lembut dan tidak merosakkan saluran darah dibahagian dubur ketika buang air besar. Ubat buasir yang mengandungi kombinasi Diosmin dan Hesperidin juga boleh diberikan kepada pesakit untuk mengecutkan saluran darah dikawasan dubur tersebut.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Nebraska Colon Cancer Screening Program: “Rectal Bleeding: What You Should Know.”
  2. Chiu PW, Ng EK, Cheung FK, et al. Predicting mortality in patients with bleeding peptic ulcers after therapeutic endoscopy. Clin Gastroenterol Hepatol. 2009 Mar. 7 (3):311-6; quiz 253.
  3. Rivadeneira DE, Steele SR, Ternent C, et al. Practice parameters for the management of hemorrhoids (revised 2010). Dis Colon Rectum. 2011 Sep. 54(9):1059-64
  4. Chey WD, Wong BC. American College of Gastroenterology guideline on the management of Helicobacter pylori infection. Am J Gastroenterol. 2007 Aug. 102(8):1808-25
  5. Ibrahim AM, Hackford AW, Lee YM, Cave DR. Hemorrhoids can be a source of obscure gastrointestinal bleeding that requires transfusion: report of five patients. Dis Colon Rectum. 2008 Aug. 51(8):1292-4.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × one =