Skip to content

Cepat Penat: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah cepat penat? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah ini.

Pengenalan

Manusia memerlukan tenaga untuk bekerja, melakukan aktiviti harian dan berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan. Cepat penat ialah masalah yang semestinya sangat menjejaskan aktiviti pekerjaan dan sosial mana-mana individu yang mengalaminya.

Cepat penat sangat biasa berlaku dalam kalangan masyarakat dan kerap menjadi punca yang menyebabkan ramai orang datang berjumpa doktor untuk mendapatkan bantuan. Dalam banyak keadaan cepat penat bukanlah masalah serius dan biasanya akan hilang dengan sendiri namun cepat penat juga boleh menjadi petanda masalah medikal atau mental yang memerlukan lebih banyak perhatian. 

Punca



1. Gaya Hidup

Masalah cepat penat boleh jadi berkait dengan cara hidup. Ia cenderung berlaku jika pesakit

  • Terlalu lama bekerja dan melakukan aktiviti
  • Tidak cukup tidur 
  • Jarang bersenam dan tidak mengamalkan gaya hidup aktif
  • Ada masalah obesiti dan berat badan berlebihan
  • Kurang nutrisi, vitamin, dan mineral 
  • Tidak mengamalkan diet seimbang
  • Mengambil minuman keras

2. Masalah Tidur

Secara purata manusia perlukan 7-8 jam tidur setiap hari. Tidur yang tidak mencukupi boleh menyebabkan rasa cepat penat dan mengganggu prestasi aktiviti. Masalah masalah berikut boleh mengganggu tidur:

  • Apnea tidur: masalah ini menyebabkan pernafasan pesakit terganggu ketika tidur dan mengakibatkan tidur terasa tidak puas ketika bangun dan cepat penat. Individu dengan masalah obesiti berisiko mendapat masalah ini
  • Narkolepsi: pesakit akan rasa mengantuk secara kerap pada siang hari ketika waktu-waktu yang tidak sepatutnya. Masalah ini boleh berlaku ketika memandu dan menyebabkan kemalangan
  • Insomnia: sukar untuk tidur, kerap terjaga ketika tidur atau bangun daripada tidur terlalu awal

3. Kesan Sampingan Ubat



Ubat seperti antihistamine yang dipakai untuk rawatan batuk selsema dan ubat benzodiazepine yang dipakai untuk rawatan sawan dan serangan panik boleh menyebabkan rasa cepat penat dan mengantuk. 

4. Jangkitan 

Apabila pesakit mendapat jangkitan kuman, cepat penat ialah simptom yang kerap berlaku bersama simptom demam. Mana-mana pesakit yang pernah mendapat demam selsema sedar mengenai keadaan ini, malah rasa penat inilah yang biasanya mendorong mereka untuk memohon cuti daripada doktor. 

Rasa cepat penat biasanya akan hilang apabila jangkitan kuman berakhir selepas beberapa hari namun ia boleh jadi berpanjangan dalam kes-kes jangkitan kuman yang bersifat kronik seperti AIDS, hepatitis, dan TB. 

5. Masalah Perubatan

Rasa cepat penat boleh jadi petanda kepada pelbagai masalah kronik lain yang sangat luas. Antaranya: 

  • Kegagalan jantung: pesakit biasanya berasa cepat penat yang tidak normal, mendapat sesak nafas, dan mengalami bengkak pada kaki
  • COPD (chronic obstructive pulmonary disease): pesakit sukar bernafas dan bekalan oksigen ke tubuh badan terganggu
  • Anemia: masalah kurang darah yang menyebabkan simptom cepat penat, pucat dan dalam keadaan serius, sukar bernafas. Anemia boleh berlaku akibat pendarahan berpanjangan, penyakit kronik dan kurang zat besi atau asid folik dalam pemakanan
  • Masalah pendarahan: pendarahan dari mana-mana bahagian badan yang berlaku secara berpanjangan seperti kanser usus, ulser peptik, fibroid, kanser rahim, dan kanser serviks boleh menyebabkan anemia dan rasa cepat penat
  • Kencing manis: kencing manis mengganggu penggunaan gula oleh sel badan dan menyebabkan tubuh badan tidak dapat menggunakan tenaga secara optimum. 
  • Kegagalan buah pinggang: buah pinggang yang tidak berfungsi boleh menyebabkan terkumpulnya toksin dalam badan dan masalah kurang darah (anemia) yang menyumbang kepada rasa cepat penat. Simptom-simptom lain yang dialami ialah rasa gatal badan, bengkak badan, kencing berbuih dan muntah-muntah. 
  • Hipotiroid: simptom masalah kurang hormon tiroid merangkumi cepat penat, murung, sembelit, dan tidak tahan sejuk
  • Masalah radang kronik: radang kronik yang mengganggu badan secara keseluruhan seperti rheumatoid arthritis (RA), inflammatory bowel disease (IBD), systemic lupus erythematosus (SLE), dan psoriasis boleh menyebabkan cepat penat dan hilang berat badan
  • Kanser: cepat penat, hilang selera makan dan hilang berat badan secara mendadak ialah simptom yang sangat kerap terjadi dalam kalangan pesakit kanser

6. Masalah Mental

Pesakit dengan masalah depresi, keresahan, dan pelbagai lagi masalah mental yang lain kerap berasa lesu dan penat yang teramat sangat walaupun pesakit tidak melakukan aktiviti yang banyak. Namun doktor akan siasat dahulu punca-punca penyakit medikal seperti hipotiroid, kencing manis dan masalah keradangan kronik sebelum meletakkan masalah mental sebagai punca cepat penat. 



Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom dan Sejarah Pesakit

Cepat penat ialah simptom yang sangat umum dan tidak spesifik. Ia boleh berlaku bersama apa-apa sahaja simptom lain dan doktor akan bertanya lebih lanjut mengenai simptom-simptom itu untuk mendapatkan senarai punca yang berkebarangkalian tinggi menyebabkan rasa cepat penat berlaku. 

Berikut ialah simptom-simptom yang boleh membantu doktor menganalisis keadaan pesakit dengan lebih baik

  • Simptom sistemik: demam, hilang atau bertambah berat badan, menggigil, berpeluh pada waktu malam
  • Simptom pernafasan: batuk, selsema, sesak nafas, batuk berdarah
  • Simptom jantung dan peredaran darah: badan bengkak, sesak nafas, rasa hendak pitam, jantung berdebar, sakit dada
  • Simptom abdomen: muntah, cirit, sukar menelan, berak atau muntah berdarah, perubahan corak rutin buang air besar, kuning pada badan, sakit perut, perut bengkak atau ada ketulan 
  • Simptom buah pinggang dan saluran kencing: kencing berbuih, kencing kurang, sakit ketika kencing, kencing berdarah, sakit pinggang
  • Simptom organ reproduktif wanita: keluar darah haid berlebihan, keluar darah dari faraj walaupun bukan ketika haid, sakit perut, ketulan pada perut
  • Simptom saraf: sawan, sakit kepala, gangguan penglihatan, badan rasa kebas, lemah sebahagian badan
  • Simptom otot dan tulang: sakit otot, sakit sendi, sendi terasa keras, sukar menggerakkan sendi
  • Simptom kulit: ruam, gatal, perubahan warna kulit pada mana-mana bahagian badan, ulser
  • Simptom psikologi: murung, gelisah, tidak dapat menumpukan perhatian, rasa hendak mencederakan atau membunuh diri

Selain simptom-simptom lain yang berkait, doktor akan bertanya juga mengenai

  • Waktu bermulanya rasa cepat penat dan berapa lama pesakit mengalaminya
  • Adakah rasa cepat penat bertambah teruk atau kurang
  • Impak rasa cepat penat ke atas tabiat penjagaan diri, aktiviti hidup, hubungan sosial, pelaksanaan tanggungjawab dan pekerjaan
  • Ubat yang pesakit ambil
  • Diet dan tabiat makan pesakit
  • Pekerjaan pesakit, tabiat tidur, aktiviti fizikal, sejarah merokok, sejarah mengambil bahan terlarang atau minuman keras

Pemeriksaan dan Ujian

Doktor akan membuat pemeriksaan umum untuk melihat

  • Tahap kesedaran dan kewarasan
  • Berat badan
  • Kadar pernafasan, degupan jantung, suhu badan dan tekanan darah
  • Pucat atau kuning pada mata
  • Ruam atau perubahan warna pada kulit
  • Ketulan pada leher

Pemeriksaan sistem badan yang lebih spesifik bergantung kepada punca yang disyaki oleh doktor.

Ujian makmal lanjut yang dibuat juga bergantung kepada punca yang disyaki. Ujian-ujian berikut mungkin akan dibuat

  • Ujian sel darah: untuk melihat jika ada masalah darah kurang dan jangkitan kuman
  • Ujian fungsi buah pinggang: untuk melihat keadaan buah pinggang dan elektrolit badan 
  • Ujian fungsi hati: jika doktor mengesyaki ada masalah hati
  • Ujian gula dalam darah: jika doktor mengesyaki pesakit ada kencing manis
  • Ujian hormon tiroid: untuk melihat jika ada masalah hormon tiroid
  • Ujian ESR atau CRP: jika pesakit ada masalah radang
  • Ujian zat besi: jika pesakit ada masalah darah kurang dan doktor mengesyaki kurang zat besi sebagai punca
  • Ujian tidur (sleep study): jika pesakit sering berasa tidur tidak cukup walaupun sudah tidur lebih 7-8 jam. 
  • Pengimejan X Ray: x-ray dada jika pesakit disyaki ada masalah kegagalan jantung atau masalah paru-paru, x-ray perut jika pesakit disyaki ada masalah pada usus atau organ reproduktif, x-ray sendi jika pesakit ada radang sendi kronik

Cara Rawatan

Jika tiada punca lain yang lebih serius, doktor akan memberi nasihat kepada pesakit untuk mengubah tabiat hidup

  • Makan makanan seimbang yang lengkap dengan nutrisi, vitamin dan mineral untuk keperluan harian
  • Tidak makan berlebihan
  • Mengamalkan gaya hidup aktif dan lebihkan bersenam. Pesakit digalakkan untuk berjalan dan bergerak dengan lebih kerap
  • Turunkan berat badan
  • Ambil cuti beberapa hari jika perlu
  • Dapatkan tidur yang cukup. Elakkan tidur siang, elakkan minum kopi pada waktu petang dan elakkan melihat skrin telefon sebelum tidur
  • Kawal stress dan elakkan atau minimakan situasi yang memberi tekanan
  • Lakukan aktiviti yang menenangkan seperti meditasi, yoga, dan mengurut badan
  • Berhenti merokok atau mengambil minuman keras dan bahan terlarang

Rawatan yang lebih spesifik bergantung kepada punca dan keadaan pesakit. 



Bilakah Hendak Berjumpa Doktor

Pesakit perlu berjumpa doktor dengan segera jika ada

  • Pendarahan dari mana-mana bahagian badan
  • Hilang atau bertambah berat badan secara mendadak
  • Ketulan pada leher dan tidak tahan sejuk atau panas
  • Demam dengan menggigil
  • Rasa hendak pitam
  • Sesak nafas
  • Batuk berpanjangan 
  • Sakit dada
  • Bengkak badan
  • Sakit perut, pinggang atau belakang
  • Rasa hendak mencederakan atau membunuh diri

Rujukan 

  1. Stadje, R., Dornieden, K., Baum, E., Becker, A., Biroga, T., Bösner, S., … & Donner-Banzhoff, N. (2016). The differential diagnosis of tiredness: a systematic review. BMC Family Practice, 17(1), 1-11.
  2. Wilson, J., Morgan, S., Magin, P., & van Driel, M. (2014). Fatigue-a rational approach to investigation. Australian family physician, 43(7), 457-461.
  3. Extreme Fatigue and Exhaustion: 10 Possible Causes  -WebMD
  4. Fatigue Causes – Mayo Clinic. 
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five + four =