Skip to content

COVID-19 Menyebabkan Peningkatan Kes Sindrom Patah Hati

Doktor di sebuah hospital di Ohio, Amerika Syarikat telah menemui lagi satu isu yang timbul akibat pandemik COVID-19 iaitu peningkatan kes ‘sindrom patah hati’(Broken Heart Syndrome).

Keadaan itu yang nama lainnya stress cardiomyopathy— dikatakan hampir serupa dengan serangan sakit jantung, dengan gejala seperti sakit dada dan sesak nafas. Tetapi puncanya berbeza: pakar mempercayai bahawa ia terjadi kerana kelemahan sementara pada otot jantung yang terjadi disebabkan paras hormon stres yang tinggi.

Di 2 buah lagi hospital di Cleveland, jumlah pesakit yang dikenal pasti mempunyai stress cardiomyopathy meningkat dengan mendadak di waktu awal permulaan pandemik ini.



Sewaktu bulan Mac dan April, kajian tersebut telah mendapati bahawa, stress cardiomyopathy yang telah dikenal pasti dalam hampir 8% pesakit yang tiba di jabatan kecemasan dengan mengadu sakit dada dan pelbagai lagi gejalan berkaitan jantung yang lain.

Ini bersamaan dengan hampir empat hingga lima kali ganda lagi tinggi dari kadar biasa yang dilihat sebelum pandemik bermula, di mana kadar pada waktu tersebut ialah antara 1.5% ke 1.8%.

Walaupun COVID-19 boleh menyebabkan komplikasi pada jantung, tidak ada seorang pun pesakit yang mengalami stress cardiomyopathy disahkan positif virus itu, kata Dr Ankur Kalra, seorang pakar jantung yang menjalankan kajian tersebut.

Ini bermakna ia bukan terjadi disebabkan virus, tetapi disebabkan tekanan akibat pandemik, katanya.

Penyakit stress cardiomyopathy  adalah sejenis penyakit yang jarang ditemui, dan doktor masih dalam proses mendalami penyakit itu, kata Kalra. Ia mendapat nama jolokannya kerana ia mungkin terjadi berikutan keadaan beremosi seperti perceraian ataupun kehilangan orang tersayang.



Namun keadaannya tidak berlaku sejurus selepas pencetusnya, kata Dr David Kass, seorang profesor kardiologi di John Hopkins University School of Medicine di Baltimore, Amerika Syarikat.

Kass berkata, sebagai contohnya, seseorang boleh mengalami stress cardiomyopathy setelah terlibat dalam gempa bumi dan hidup dalam ketakutan terhadap terjadinya gempa bumi yang lain.

Keadaan ini dipercayai berlaku disebabkan otot jantung yang terbeban dengan terlalu banyak catecholamines– sejenis hormon stress, kata Kass. Ini akan menjejaskan keupayaan jantung untuk mengepam dengan sempurna.

Keadaan ini agak berbeza dengan serangan sakit jantung, jelasnya. Tidak ada saluran darah yang tersumbat, dan walaupun otot jantung lemah, ia boleh pulih dan tidak mati.

Gejalanya memang menyerupai serangan sakit jantung, jelas Dr James Januzzi, seorang ahli American College of Cardiology dan pakar jantung di Massachussets General Hospital di Boston, Amerika Syarikat.

Namun jelasnya, apabila ujian telah dijalankan, puncanya menjadi semakin jelas.

Sebagai contohnya, kata Januzzi, stress cardiomyopathy tampak berbeza daripada serangan sakit jantung jika dilihat pada hasil ujian elektrokardiogram, yang merekod aliran elektrik pada jantung. Apabila doktor melakukan angiogram bagi melihat keadaan dalam saluran darah, mereka tidak menemui sebarang halangan dalam pesakit stress cardiomyopathy.

Berita baiknya, jelas Januzzi adalah mereka yang mengalami keadaan ini sembuh dengan agak cepat, tanpa kerosakan pada jantung.



Kass berkata disebabkan tekanan yang dihadapi sepanjang pandemik– daripada takut dijangkiti sehingga ke takut dibuang kerja dan kuarantin– tidak sukar untuk membayangkan jumlah tekanan yang terpaksa dihadapi menyebabkan meningkatnya kes stress cardiomyopathy.

Namun begitu, dia juga berhati hati dengan satu lagi penemuan: semenjak bermulanya pandemik, banyak hospital di seluruh Amerika Syarikat telah melihat penurunan yang mendadak dalam bilangan pesakit serangan jantung– ia mungkin terjadi kerana orang awam takut untuk ke jabatan kecemasan dan tidak menelefon 911.

Ujar Kass, ia juga boleh menjadi sebab mengapa peratusan stress cardiomyopathy meningkat.

“Keadaan sudah berubah, jadi sukar untuk mengetahui kebenarannya”, ujar Kass lagi.

Januzzi juga menyokong pendapat di atas.

Apa yang lebih menarik ialah, katanya, tidak ada seorang pesakit pun yang positif COVID-19. Kes yang melibatkan pesakit COVID mengalami stress cardiomyopathy telah dilaporkan berlaku, namun Januzzi menambah, kes yang melibatkan pandemik masih baru.

Bagi orang awam, Januzzi berkata, sangat penting untuk mengambil tindakan segera apabila anda mengalami sakit dada dan sesak nafas: pergi ke jabatan kecemasan dan doktor akan mengenal pasti keadaan anda.

Kesimpulan



Pandemik COVID-19 bukan sahaja menyebabkan jangkitan COVID tersebut, tetapi ia juga menyebabkan timbulnya penyakit-penyakit lain disebabkan terkesan kepada wabak yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini.

Kita tahu wabak ini akan memberi kesan daripada sudut ekonomi yang menyebabkan ramai yang akan kehilangan kerja. Bahkan ramai yang diminta untuk duduk dirumah sehinggalah wabak ini benar-benar dalam pemulihan.

Di Malaysia, jarang untuk kita lihat penyakit ini dan Wabak COVID-19 di negara kita sudah semakin terkawal. Ini menyebabkan ramai daripada rakyat Malaysia sudah dibenarkan keluar dari rumah untuk berkerja dan mencari rezeki dan kebarangkalian untuk mendapat sindrom patah hati ini semakin rendah.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × four =