Buah pinggang berfungsi untuk membuang bahan kumuh dan juga air yang berlebihan dari badan. Bahan kumuh ini akan disingkirkan daripada badan melalui air kencing. Dialisis adalah prosedur untuk menggantikan fungsi buah pinggang apabila buah pinggang di dalam badan mempunyai masalah ataupun gagal berfungsi.
Mengikut, ‘National Kidney Foundation‘, tahap terakhir kegagalan buah pinggang adalah apabila buah pinggang hanya mampu berfungsi dalam 10-15% daripada fungsinya yang sebenar.
Dialisis adalah rawatan yang digunakan untuk menapis darah dari bahan kumuh dan juga membantu dalam menyeimbangkan air dan elektrolit dalam darah.
Kenapa Dialisis digunakan?
Buah pinggang yang normal boleh mengelakkan air dan bahan kumuh menjadi berlebihan dalam badan. Ia juga digunakan untuk mengawal tekanan darah dan beberapa fungsi yang lain. Buah pinggang juga berfungsi untuk mengaktifkan vitamin D supaya ia dapat merangsang penyerapan kalsium di dalam usus
Apabila anda melihat buah pinggang gagal melakukan fungsinya ini, prosedur ini boleh menggantikan beberapa fungsi tersebut supaya badan boleh berfungsi seperti biasa. Tanpa rawatan ini, bahan kumuh, garam dan juga air akan terkumpul di dalam badan dan memberi kesan sampingan jika tiada rawatan yang dilakukan.
Apakah jenis-jenis dialisis
Terdapat 3 jenis dialisis iaitu:
1) Hemodialisis
Hemodialisis adalah dialisis yang selalu dilakukan kepada majoriti pesakit buah pinggang.Prosedur ini menggunakan satu mesin yang bertindak seperti buah pinggang tiruan. Darah dari badan pesakit akan dibawa keluar melalui satu tiub dan masuk ke dalam mesin tersebut.
Dalam mesin itulah, proses penapisan akan berlaku. Kemudian, darah yang telah ditapis itu akan dimasukkan semula kedalam badan pesakit melalui tiub yang lain
Untuk mendapat aliran darah yang bagus, doktor akan melakukan pembedahan untuk menghasilkan satu tempat yang penuh dengan darah. Kawasan tersebut dipanggil sebagai Arteriovenous (AV) Fistul.
Prosedurnya adalah menghubungkan salur darah arteri kepada salur darah vena. Salur darah tersebut akan membesar dan menghasilkan satu kawasan yang mudah untuk diambil darah. Ini adalah cara yang selalu dilakukan
Kekerapan prosedur ini bergantung kepada tahap kerosakan buah pinggang. Jika buah pinggang sudah berada pada tahap akhir, selalunya pesakit perlu melakukan prosedur ini sebanyak 3 kali seminggu
Prosedur tersebut perlulah dilakukan di hospital ataupun pusat dialisis
2) Dialisis peritoneal
Dialisis peritoneal melibatkan prosedur memasukkan tiub dialisis peritoneal ke dalam bahagian abdomen. Tiub tersebut akan digunakan untuk memasukkan satu jenis cecair yang khas ke dalam perut.
Lapisan di permukaan dinding bahagian abdomen akan menjadi tempat pemindahan bahan kumuh, garam dan juga air. Setelah beberapa jam, air tersebut akan dikeluarkan untuk membuang bahan kumuh yang ada.
Prosedur ini boleh dilakukan dirumah. Cumanya pesakit mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi jangkitan kuman di dalam bahagian abdomen
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Apakah risiko yang mungkin akan berlaku jika melakukan dialisis
Walaupun kesemua jenis dialisis adalah digunakan untuk menyelamatkan pesakit, tetapi ia juga membawa beberapa risiko
Risiko yang berkaitan dengan hemodialysis adalah:
- Tekanan darah menjadi rendah
- Anemia (Kekurangan sel darah merah)
- Otot yang cramp
- susah untuk tidur
- Kegatalan
- Jangkitan kuman dalam darah
Risiko yang berkaitan dengan dialisis peritoneal adalah:
- Jangkitan kuman pada kawasan tiub
- Jangkitan kuman di dalam abdomen
- Gula menjadi tinggi kerana dalam cecair yang digunakan mengandungi gula (dextrose)
- Angin pasang
- Demam
Adakah rawatan lain selain dialisis?
Terdapat satu lagi rawatan tetapi ia melibatkan pemindahan organ buah pinggang. Ini bermaksud buah pinggang orang yang sihat akan diambil dan diberikan kepada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang.
Belum lagi ada makanan kesihatan ataupun suplemen yang mampu menyembuhkan masalah kegagalan buah pinggang.
Rujukan:
- Albright R. (2017). Kidney dialysis: When is it time to stop?. – Mayoclinic
- Berns JS. (2018). Patient education: Dialysis or kidney transplantation — which is right for me? (Beyond the basics). – Uptodate
- Dialysis. (2015). kidney.org