Skip to content

Heel Spur: Punca, Simptom dan Rawatan

Heel Spur atau calcaneal spur ialah keadaan yang disebabkan oleh pemendakan kalsium tidak normal sehingga mengakibatkan berlakunya benjolan tulang di bahagian tumit kaki. Ia berkait rapat dengan radang plantar fascia (Plantar Fasciitis) iaitu penyakit yang terjadi pada tisu yang menyokong lengkungan di bahagian tapak kaki. Plantar fascia ini juga berfungsi untuk memberi kestabilan tapak kaki dan menyerap tekanan bahagian kaki semasa berjalan dan berlari. Apabila tisu plantar fascia mengalami ketegangan, ia akan menyebabkan pemendakan kalsium sehingga menimbulkan bonjolan tulang pada tumit sehingga mengakibatkan rasa sakit terutamanya semasa bergerak.

Heel Spur lazimnya bermula di bahagian hadapan dan bawah tumit kaki. Ia juga boleh terjadi kepada bahagian kaki yang lain dan mencecah setengah inci panjang. Wanita lebih muda terkena masalah ini berbanding lelaki kesan daripada pemakaian kasut tumit tinggi.

Mengenal pasti Heel Spur adalah agak mencabar kerana kadang kala ia tidak dapat dilihat secara kasar dan tidak semestinya menyebabkan kesakitan.

Simptom Heel Spur



Simptom yang mungkin di alami jika menghadapi Heel Spur ialah:

  • Sakit terutama di bahagian tumit
  • Keradangan
  • Bengkak di bahagian hadapan tumit
  • Bahagian kaki yang sakit merasa lebih suam berbanding normal
  • Bonjolan tulang mungkin dapat dilihat

Kadang kala, Heel Spur tidak menunjukkan sebarang simptom. Anda juga mungkin tidak melihat sebarang perubahan tisu lembut atau tulang di sekeliling tumit kaki.

Periksa Simptom anda Di Sini

Punca Heel Spur

Heel Spur terjadi disebabkan oleh ketegangan otot dan ligamen dalam jangka masa yang panjang, di mana regangan yang berlebihan ini akan memberi tekanan pada tulang tumit (calcaneus). Simptom sakit tumit disebabkan masalah ini akan berlaku sedikit demi sedikit dan tidak akan tiba-tiba muncul selepas melakukan aktiviti senaman atau acara sukan.

Selain itu, tekanan yang berulang semasa berjalan, berlari atau melompat atas permukaan yang keras merupakan punca biasa yang menyebabkan unjuran tulang dibahagian tumit ini. Kebarangkalian untuk anda mendapat Heel Spur juga tinggi jika anda memakan kasut yang tidak menyokong kaki anda seperti kasut yang terlalu ketat atau kasut tumit tinggi.



Punca lain yang menyebabkan Heel Spur:

  • Radang sendi (Arthritis)
  • Tumit bengkak
  • Berat badan berlebihan
  • Saiz kasut yang tidak sesuai
  • Cara berjalan yang tidak normal
  • Kerap memakai selipar flat seperti flip flop
  • Tapak kasut yang haus
  • Mempunyai radang Plantar Fascia (Plantar Fasciitis)

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Ujian Pemeriksaan

Mendiagnos Heel Spur tanpa bantuan daripada pakar perubatan adalah sukar kerana simptomnya yang hampir sama dengan kondisi kaki yang lain. Anda memerlukan ujian X-Ray untuk mengenal pasti sama ada anda mengalami Heel Spur atau masalah lain.

Sebelum melakukan ujian X-Ray, doktor mungkin akan melakukan beberapa ujian dahulu seperti pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian-ujian lain.

Rawatan

Rawatan untuk Heel Spur boleh dibahagi kepada 2 kaedah iaitu tanpa pembedahan dan secara pembedahan:

Tanpa pembedahan:

1. Rawatan tuam sejuk (Cold Compresses)

Penggunaan pek ais di bahagian tumit yang sakit selama 15 minit dapat membantu untuk menghilangkan sakit buat sementara waktu dan mengurangkan radang serta bengkak. Kaedah ini lebih disukai berbanding tuam panas kerana tuam panas lebih sesuai digunakan di bahagian sendi dan otot.

2. Suntikan ubat anti-radang



Jika anda mengalami sakit tumit yang teruk, doktor mungkin akan mengesyorkan suntikan ubat anti-radang seperti steroid untuk melegakan kesakitan dan mengurangkan keradangan di bahagian yang terkesan.

3. Ubat tahan sakit

Sakit jenis akut dan jangka pendek boleh dirawat menggunakan ubat tahan sakit seperti Acetaminophen (Paracetamol), Aspirin dan Ibuprofen. Beritahu doktor anda jika anda mengambil ubat cair darah atau mempunyai masalah hati dan ginjal.

4. Terapi fizikal dan senaman regangan

Senaman yang boleh dilakukan untuk mengurangkan Heel Spur termasuklah senaman regangan tumit dan otot plantar fascia. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa terutamanya pada waktu malam sebelum tidur. Lihat contoh aktiviti regangan di sini

5. Rehat

Rehat adalah salah satu rawatan yang paling disyorkan untuk masalah ini dan radang plantar fascia. Rehat bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kesakitan akut, tetap dapat juga mengelakkan keadaan kaki daripada bertambah buruk. Adalah sangat penting untuk merehatkan kaki setelah sekian lama berdiri dan melakukan aktiviti lain. 

6. Pemakaian insoles ortopedik khas



Penggunaan insoles ini seperti pad tumit dapat memberi sokongan pada lengkungan tumit yang diperlukan untuk mengurangkan kesakitan.

Pembedahan

Lebih daripada 90% orang menjadi lebih baik dengan rawatan tanpa pembedahan. Namun, sekiranya rawatan konservatif ini gagal masalah ini setelah tempoh 9 hingga 12 bulan, pembedahan mungkin diperlukan untuk menghilangkan rasa sakit dan memulihkan keadaan kaki anda untuk bergerak. Teknik pembedahan merangkumi:

  1. Release of plantar fascia
  2. Spur removal

Selepas pembedahan, anda mungkin memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya. Proses yang dapat membantu pemulihan ini ialah:

  • Meregangkan kaki
  • Penggunaan alat sokongan untuk meninggikan paras kaki
  • Rawatan tuam sejuk

Cara untuk mengelakkan Heel Spur

Heel Spur boleh dicegah dengan:

  • Memakai saiz kasut yang betul berserta pad kasut
  • Memakai kasut yang sesuai semasa melakukan aktiviti fizikal
  • Memanaskan badan terlebih dahulu sebelum bersenam
  • Kurangkan pemakaian kasut tumit tinggi
  • Kurangkan berat badan yang berlebihan

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Cherney, K. (2017, June 14). Everything You Need to Know About Heel Spurs – Healthline. Retrieved August 30, 2020
  2. Heel Spur Causes, Symptoms, Treatments, and Surgery – WebMD. (2018, February 04). Retrieved August 30, 2020,
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 + nine =