Seorang kanak-kanak berumur 10 tahun datang ke jabatan kecemasan disebabkan sesak nafas. Kanak-kanak tersebut juga mengalami demam selama 3 hari tetapi tidak mengalami batuk dan selesema.
Bila aku lihat balik kedua-dua anak dan ibu ini baru aku teringat pada 2 minggu yang lepas aku ada pernah merawat kanak-kanak tersebut. Pada ketika itu, pesakit mengalami jangkitan pada tekak, tonsilnya bengkak dan mempunyai lelehan(exudate) berwarna putih dibahagian tonsil tersebut. Pesakit pun pada ketika itu mempunyai demam yang tinggi.
Bahkan, terdapat kalenjar limfa yang bengkak dibahagian leher pesakit. Ini menunjukkan jangkitan tersebut telah sampai kebahagian kalenjar itu.
Jika dikira ‘Centor score‘ untuk pesakit ini, markahnya adalah 4. Markah 4 dan lebih daripada itu menunjukkan pesakit mempunyai jangkitan bakteria di bahagian tekak dan antibiotik wajib diberikan kepada pesakit.
(Centor score adalah permarkahan yang digunakan untuk menentukan seseorang yang mengalami sakit tekak itu perlu diberikan antibiotik ataupun tidak. Ia mengambil kira faktor umur pesakit, tonsil yang bengkak, bengkak kalenjar limfa, suhu melebihi 38 darjah celcius dan juga batuk. Jika markah pada 4 atau lebih, antibiotik perlu diberikan kepada pesakit)
Jadi aku pun bagi ubat antibiotik Syrup amoxycillin. Amoxycillin ini merupakan ubat antibiotik yang pertama akan diberikan pada pesakit jika seseorang itu mengalami sakit tekak terutamanya jika datang ke klinik atau hospital kerajaan.
Itu cerita 2 minggu yang lepas. Tetapi kenapa datang balik pada hari ini.
Maknya menceritakan selepas, mengambil antibiotik tersebut, demam dan sakit tekak pesakit semakin pulih dan dia seperti kanak-kanak biasa.
Sehinggalah sampai minggu ini, anaknya itu mengalami demam yang tinggi dan juga dikatakan cepat mengalami penat bila berbuat sesuatu. Contoh, kalau pesakit pergi mandi ia akan menyebabkan pesakit menjadi bernafas dengan cepat dan menjadi sangat penat.
Pesakit juga sering mengadu sakit dan bengkak dibahagian lutut dalam masa 3 hari ini.
Daripada pemeriksaan, aku dapat lihat dengan mata kasar jantungnya berdegup dengan laju. Selalunya denyutan jantung tidak dapat dilihat pada dada mereka yang normal. Tetapi bagi kanak-kanak ini ternampak jelas denyutan jantung pada dadanya.
Kadar denyutan jantungnya juga adalah tinggi daripada kanak-kanak biasa iaitu 160 denyutan dalam satu minit.
Pemeriksaan jantung menggunakan stethoscope pula menjumpai perkara yang tidak normal. Selalunya jantung akan berbunyi ‘Lub dup’ dimana ia terhasil ketika penutupan injap dalam jantung. Tetapi bagi pesakit ini ia berbunyi ‘Zub dub’.
Bunyi yang tidak normal ini terhasil disebabkan masalah pada injap jantung yang tidak dapat berfungsi dengan normal.
Pesakit ini berumur 10 tahun dan baru sahaja mengalami jangkitan tekak pada 2 minggu lepas dan pada hari ini mengalami masalah jantung. Satu sahaja penyakit dalam fikiran aku iaitu Rheumatic fever(Demam rheumatic)
Apakah itu demam Rheumatic?
Demam rheumatic ini berlaku disebabkan kekeliruan pada sel darah putih yang menyerang tisu badan sendiri seperti jantung dan juga sendi.
Ia selalunya berlaku selepas seseorang itu dijangkiti bakteria pada bahagian tekak. Secara spesifiknya bakteria yang menyebabkan jangkitan tersebut adalah streptococcus kumpulan A/Group A streptococcus.
Ketika sel darah putih melawan bakteria ini, ia menghasilkan antibodi untuk membunuh bakteria tersebut. Tetapi malangnya antibodi tersebut juga menyerang tisu-tisu badan menyebabkan keradangan pada bahagian jantung dan sendi.
Tidak habis antiobiotik boleh mendedahkan kepada risiko ini.
Setelah aku memeriksa pesakit, aku bertanyakan kepada ibunya pula.
“Anak puan habiskan antibiotik yang diberikan tak?”, Tanya aku.
“Maaf doktor, kami tak sempat nak habiskan sebab satu lagi botol antibiotik tersebut terjatuh. Anak saya sempat makan untuk 3 hari sahaja”, Jawab ibu pesakit.
Aku pun menjelaskan bahawa antibiotik yang tidak dihabiskan boleh menyebabkan beberapa komplikasi termasuk apa yang telah berlaku kepada anak dia.
Pesakit disahkan mengalami demam rheumatic yang telah merosakkan sedikit sebanyak struktur jantung pesakit.
Pesakit telah dirujuk ke wad kanak-kanak dan rawatan dimulakan. Selalunya pesakit akan diberikan antibiotik untuk membunuh semua bakteria streptococcus yang mungkin berada di dalam badan pesakit.
Pesakit juga akan diberikan ubat anti keradangan seperti aspirin untuk merawat masalah tersebut.
Kesimpulan
Sakit tekak disebabkan jangkitan bakteria boleh menyebabkan penyakit demam rheumatic yang merosakkan jantung ini. Risiko itu akan meningkat dengan lebih banyak jika antibiotik yang diberikan tidak dihabiskan.
Perlu diketahui injap jantung yang rosak selepas demam ini selalunya tidak akan pulih semula dan perlu menjalani pembedahan untuk membetulkannya.
Disamping itu, demam ini juga akan menyebabkan sendi mengalami sakit dan bengkak. Tetapi ia tidak sampai merosakkan sendiri tersebut.
Sebab itu ada pepatah dalam bahasa inggeris untuk penyakit ini iaitu ‘licks the joints and bites the heart’. Nak membawa maksud disini, sendi walaupun bengkak disebabkan penyakit ini ia tidak akan rosak berbanding jantung.