Skip to content

Masalah Pendengaran Disebabkan Bunyi Kuat

“Raise volume above safe level? Listening at high volume for long periods may damage your hearing.”

Pernahkah anda membaca amaran di atas pada telefon pintar anda? Jika ya, bermaksud telefon pintar anda sedang cuba untuk mencegah anda daripada menjadi mangsa kepada masalah pendengaran. Untuk pengetahuan pembaca, kes masalah pendengaran disebabkan faktor bunyi kuat adalah punca masalah pendengaran kedua terbanyak selepas faktor umur. Masalah pendengaran jenis ini juga merupakan satu-satunya masalah pendengaran sensorineural yang dapat dicegah.

Dalam kebanyakan kes, masalah ini menjejaskan pendengaran pada kedua-dua belah telinga. Namun begitu, terdapat juga kes di mana hanya sebelah telinga sahaja yang terkesan. Masalah ini juga boleh menjadi samada kekal ataupun sementara. Dan satu lagi fakta yang menarik adalah ianya berisiko untuk berlaku pada semua peringkat umur tidak kira bayi, kanak-kanak mahupun dewasa. Semuanya bergantung kepada tahap kekuatan bunyi yang terdedah kepada individu serta pada telinga mana ianya terdedah.

Konsep Tahap Bunyi Selamat

Mengikut panduan yang dikeluarkan oleh Acoustical Society of Amerika (ASA), semakin kuat bunyi yang dihasilkan oleh sesuatu alat, semakin kurang masa dibenarkan untuk terdedah kepada bunyi tersebut. Sebagai contoh, apabila individu mendengar musik dengan kekuatan 85dB SPL, masa pendedahan dibenarkan adalah sebanyak 8 jam. Bagi setiap peningkatan 5db SPL, waktu pendedahan akan berkurang kepada separuh iaitu 4 jam untuk 90dB SPL, 2 jam untuk 95 dB SPL dan begitulah seterusnya.

Simptom Masalah Pendengaran Disebabkan Bunya Kuat



Terdapat beberapa simptom yang akan dihadapi oleh mereka yang mempunyai masalah ini iaitu:

  1. Sukar untuk mendengar perbualan di dalam situasi yang bising.
  2. Merasa pendengaran seperti meredam (muffled).
  3. Mendengar bunyi berdesing di dalam telinga (tinnitus).
  4. Pening atau masalah keseimbangan.
  5. Noise notch” atau “sloping” pada bacaan audiogram.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Perubahan Audiogram Untuk Pesakit Yang Terdedah Pada Bunyi Kuat Berdasarkan Waktu

(Gambar daripada artikel “Occupational Noise Exposure a Review of Its Effects Epidemiology and Impact with Recommendations for Reducing Its Burden)

Punca Masalah

Kajian menunjukkan bunyi yang kuat akan menyebabkan samada kerosakan mekanikal, iskemik mahupun metabolik kepada sel rerambut koklea. Namun dalam artikel kali ini, kita mengupas khusus berkaitan kerosakan mekanikal.

(Gambar kedudukan Organ of Corti daripada Britannica.com )

Kerosakan mekanikal lazimnya berlaku apabila seseorang individu terdedah kepada bunyi yang sangat kuat secara tiba-tiba sekurang-kurangnya 130 dB SPL ke atas. Contoh pertama kerosakan mekanikal adalah apabila sterosilia yang berada di hujung sel rerambut menjadi tercabut, patah, rosak atau tidak lagi menyentuh membrane tektoral. Contoh kerosakan mekanikal kedua pula adalah apabila sel rerambut koklea itu sendiri yang tidak dapat berfungsi. Manakala contoh kerosakan ketiga adalah apabila Organ of Corti yang mengandungi sel rerambut luar dan sel rerambut dalam tercabut daripada membran basilar.



Selain daripada itu, terdapat juga keadaan di mana keletihan auditori (auditory fatigue) berlaku. Ini adalah keadaan di mana individu akan merasa pendengaran mereka menjadi teruk selepas mereka terdedah kepada bunyi yang kuat dalam tempoh masa yang panjang. Antara situasi yang selalunya menyumbang kepada masalah ini adalah apabila menghadiri konsert, mengendalikan mesin-mesin berat yang menghasilkan bunyi kuat, mendengar musik dengan menggunakan fon telinga (insert phone) serta menghadiri perlawanan sukan di stadium yang padat. Kesemua situasi ini mempunyai satu persamaan utama iaitu bunyi persekitaran yang kuat dan bising.

Sewaktu keletihan auditori berlaku, sel rerambut di dalam koklea akan bergerak dengan lebih laju. Bunyi yang kuat secara berterusan akan menyebabkan pergerakan ini berlangsung dalam tempoh masa yang panjang. Sel rerambut yang sentiasa bergerak dengan kuat akan menjadi rosak dan mengakibatkan pendengaran menjadi tidak jelas buat sementara waktu dalam anggaran 24 ke 28 jam (Temporary Threshold Shift). Majoriti sel rerambut akan kembali normal apabila individu keluar dari kawasan yang berbunyi kuat. Walaubagaimanapun, pendedahan secara berterusan setiap hari mengakibatkan sedikit demi sedikit sel rerambut ini mengalami kerosakan kekal. Akhirnya individu tersebut akan mengalami masalah pendengaran sensorineural secara kekal.

Rawatan

Sehingga ke hari ini, rawatan yang diberikan kepada individu adalah pemakaian alat bantu pendengaran oleh audiologist. Alat ini bertujuan untuk membantu individu mendengar dengan lebih jelas berbanding keadaan mereka sekarang. Jika perlu, alat ini akan dilengkapi dengan pilihan “tinnitus masker’’ apabila individu turut menghadapi masalah tinnitus. Kaunseling juga akan diberikan agar pesakit mempunyai jangkaan yang realistik apabila menggunakan alat bantu pendengaran.

Langkah Pencegahan

Sepertimana penyakit-penyakit lain, langkah pencegahan adalah pilihan awal dan terbaik untuk pesakit. Antara perkara yang boleh di lakukan adalah:

  1. Elakkan daripada terdedah kepada bunyi kuat dalam tempoh masa lama.
  2. Menghadkan waktu pendedahan sewaktu mengendalikan jentera dan mesin yang berbunyi kuat.
  3. Memakai alat perlindungan pendengaran seperti “earplugs’’ dan ‘’earmuff’’ketika menggunakan jentera dan mesin yang berbunyi kuat.
  4. Dengar musik menggunakan pembesar suara berbanding menggunakan “earphone”. Jika perlu, digalakkan menggunakan “noise cancelling headphone” agar tidak perlu menguatkan nada musik.

Rujukan:

  1. A, O. (2020, October 29). Auditory Ossicles. Retrieved from Kenhub.com:
  2. Britannica.com. (2020). Organ of Corti. Retrieved from Britannica.com:
  3. C, B. (2017). Standar for Safe Listening Systems: Situational Analysis. France: World Health Organization.
  4. C.L, T., & A, M. E. (3879–3905). Occupational Noise Exposure: A Review of Its Effects, Epidemiology and Impact with Recommendations for Reducing Its Burden. The Journal of the Acoustical Society of America, 2019.
  5. M, R. P. (2000). Noise-Induced Hearing Loss. Am Fam Physician, 2749-2756.
  6. National Institute for Occupational Safety and Health. (1998). Criteria for Recommended Standard Occupational Noise Exposure Revised 1998. Cincinnati: Education and Information Division National Institute for Occupational Safety and Health.
  7. National Institute of Deafness and Other Communication Disorders. (2019, May 31). Noise-Induced Hearing Loss. Retrieved from National Institute of Deafness and Other Communication Disorders: https://www.nidcd.nih.gov/health/noise-induced-hearing-loss
  8. S, P., & P, Z. H. (2004). Current Aspects of Hearing Loss from Occupational and Leisure Noise. GMS Current Topics in Otorhinolaryngology, Head and Neck Surgery Vol 3, Doc06.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen + 17 =