Skip to content

Pesakit pertama yang masih hidup setelah dijangkiti Rabies

Pertubuhan Kesihatan Dunia(WHO) menyatakan bahawa kematian disebabkan jangkitan rabies adalah 100%. Adakah ini bermaksud tiada yang selamat selepas terkena jangkitan Rabies?

Seperti yang kita tahu, penyakit Rabies adalah disebabkan virus yang menjangkiti bahagian saraf pusat. Ia masuk daripada luka gigitan dan bergerak sedikit demi sedikit daripada tempat luka melalui saraf periferi ke sistem saraf pusat terutamanya otak.

Tetapi ada beberapa kes yang telah selamat dengan menggunakan satu protokol yang dinamakan sebagai Milwaukee Protokol.

Kes Rabies pertama yang masih hidup



Pada tahun 2004, seorang remaja wanita, Jeanna Giese, 15 tahun telah digigit oleh kelawar ketika mana cuba menyelamatkan kelawar tersebut daripada tersangkut di tingkap rumahnya. Luka gigitan berukuran 5mm pada jari kelingking sebelah kiri. Luka itu dibasuh seperti biasa. Pesakit tersebut tidak dibawa berjumpa doktor dan tidak diberi vaksin rabies.

Dia menjalankan aktivitinya seperti biasa selepas gigitan tersebut. Aktif bersukan dan menyertai aktiviti di sekolah

Setelah sebulan daripada gigitan itu, remaja wanita itu mula menunjukkan simptom Rabies. Dia merasakan perasaan mencucuk-cucuk di bahagian yang digigit sebelum ini walaupun luka tersebut sudah pun pulih. Pandangannya menjadi kabur dan cara dia berjalan adalah tidak seimbang. Pesakit juga mengalami demam dan percakapan yang tidak teratur.

Pada ketika itu, Jeanna dibawa ke hospital dan sampel air tulang belakang menunjukkan dia menghidapi Rabies

Milwaukee Protokol

Diagnosis dan prognosis diperbincangkan dengan ibubapa Jeanna. Ibubapanya diberitahu bahawa pesakit yang dijangkiti Rabies mempunyai kadar kematian 100%. Tiada yang pernah selamat setelah mengalami simptom Rabies.



Doktor juga memberi tawaran sama ada hanya memberikan rawatan sampingan ataupun rawatan agresif yang belum lagi terbukti keberkesanannya serta tidak diketahui komplikasinya. Disebabkan tiada lagi ubat ataupun cara rawatan yang berkesan untuk merawat penyakit ini, maka ibubapa tersebut berikthiar untuk menggunakan cara rawatan yang belum lagi diketahui keberkesanannya.

Pesakit diletakkan dalam keadaan tidur dengan pemberian ubat kitamin dan juga midazolam. Dalam keadaan ini pesakit berada di dalam koma dan pernafasan perlu dikawal dengan pemberian oksigen daripada mesin ventilasi. Terapi antiviral juga diberikan kepada pesakit iaitu dengan menggunakan ubat Ribavirin. Beberapa lagi pemberian ubat diberikan kepada pesakit untuk merawat penyakit Rabies tersebut. Jaenna diletakkan dalam keadaan koma selama 6 hari.

Keadaan pesakit bertambah baik hari demi hari. Pada hari yang ke 31 setelah protokol itu dibuat, dia telah disahkan bebas daripada penyakit Rabies dan dibenarkan balik pada hari yang ke 76.

Jeanna menghadapai beberapa komplikasi disebabkan jangkitan rabies sebelum ini iaitu cara berjalan yang tidak stabil(unstable gait). Keadaan ini diatasi dengan menggunakan ‘Walking frame’. Dia juga mempunyai kawalan otot yang tidak teratur dan ia dinamakan sebagai Choreoathetoid. Beberapa lagi masalah saraf yang dihadapi oleh pesakit tetapi semakin lama masalah tersebut semakin pulih.

Pada tahun lepas, Jaenna telah menjadi seorang ibu dan merupakan seorang pesakit yang pertama sembuh setelah dijangkiti virus Rabies. Ia menjadi satu sejarah yang besar bagi dunia perubatan

Bahkan beberapa tahun selepas itu ada beberapa lagi pesakit yang selamat setelah dijangkiti virus tersebut

Tetapi perlu diketahui ini hanyalah beberapa pesakit yang hidup setelah dijangkiti Rabies. Majoriti pesakit yang menghidapi Rabies masih mempunyai kebarangkalian mati menghampiri 100%.

Nota penting: Perkongsian ini adalah lebih kepada perkongsian ilmu. Ia bukan bahan rujukan wajib untuk menentukan sesuatu rawatan di hospital. Keluarga pesakit masih perlu mendapat kaunseling daripada doktor yang merawat pesakit



Rujukan:

  1. Rodney E. Willoughby, Jr., M.D., Kelly S. Tieves, D.O., George M. Hoffman, M.D., Nancy S. Ghanayem, M.D., Catherine M. Amlie-Lefond, M.D., Michael J. Schwabe, M.D., Michael J. Chusid, M.D., and Charles E. Rupprecht, V.M.D., Ph.D. Survival after Treatment of Rabies with Induction of Coma. N Engl J Med 2005; 352:2508-2514June 16, 2005DOI: 10.1056/NEJMoa050382
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen − 14 =