Skip to content

Prostat Bengkak: Punca, Simptom dan Rawatan

Penyakit benign prostatic hyperplasia (BPH) atau dikenali sebagai prostat bengkak merupakan antara penyakit yang sering berlaku pada golongan lelaki berusia 50 tahun dan ke atas. Boleh dikatakan, 90% lelaki berusia 85 tahun ke atas mempunyai masalah ini. Justeru, penulisan ini akan cuba menghuraikan penyakit ini.

Isi Kandungan
  1. Apa itu Prostat?
  2. Bagaimana Prostat Bengkak terjadi?
  3. Punca Prostat Bengkak
  4. Simptom Prostat Bengkak
  5. Ujian Pengesahan Punca
  6. Rawatan Prostat Bengkak
  7. Komplikasi
  8. Adakah Penyakit ini boleh menyebabkan kanser?

Apa itu Prostat?


Prostat merupakan kelenjar yang berada di antara pundi kencing dan penis. Ia dianggarkan sebesar saiz kacang walnut (30g) dan membaluti sebahagian daripada saluran kencing (prostatic urethra). Prostat akan menghasilkan cecair membantu ketahanan sperma. Cecair prostat yang bersifat alkali membantu untuk meneutralkan asid di dalam vagina. Cecair ini akan dirembes bersama sperma (air mani) sewaktu proses ejakulasi.

Wanita tidak mempunyai kelenjar prostat.

Kalenjar prostat dan prostat bengkak (BPH)

Bagaimana prostat bengkak ini terjadi?




Penyakit ini terjadi disebabkan oleh sel-sel prostat membahagi dengan banyak. Pembahagian ini dikatakan berlaku disebabkan oleh perubahan hormon pada lelaki seiring peningkatan usia. Pertambahan sel ini menyebabkan pembesaran prostat yang mana boleh mengakibatkan penyempitan salur kencing. Penyempitan salur kencing ini pula boleh mengakibatkan masalah susah kencing.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca Prostat Bengkak


Prostat bengkak atau BPH ini dikira sebagai proses penuaan yang normal. Kebanyakkan mereka yang sudah berumur 80 tahun ke atas selalunya mempunyai simptom BPH. Walaupun puncanya tidak diketahui, tetapi perubahan dalam hormon seks berserta dengan peningkatan usia merupakan salah satu faktor.

Bagi mereka yang telah membuang testis ketika usia muda, tidak akan mendapat masalah ini ketika telah mencapai usia tua.

Golongan berisiko untuk mendapat penyakit ini adalah:

  • Lelaki berusia 80 tahun dan ke atas
  • Mempunyai sejarah penyakit prostat dalam kalangan ahli keluarga
  • Mempunyai masalah pada testis

Simptom Prostat Bengkak


Tanda-tanda penyakit ini pada awalnya tidak begitu teruk, namun andai gagal mendapat rawatan pada peringkat awal ia boleh mengakibatkan:

  • Aliran air kencing yang tidak lancar dan terganggu (poor stream)
  • Rasa susah untuk mulakan kencing (Hesitancy)
  • Meneran semasa kencing
  • Pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya
  • Terdapat titisan air kencing selepas selesai kencing (Dribbling)
  • Kerap kencing pada waktu malam (>2 kali)
  • Kerap kencing (perlu kencing dalam tempoh 2 jam)
  • Perasaan terdesak hendak terkencing (urgency)
  • Perasaan ingin kencing lagi usai kencing (pis-a-deux)
  • Sakit ketika hendak kencing
  • Kencing berdarah


Periksa Simptom anda Di Sini

Ujian Pengesahan Punca


Doktor akan menilai sejauh mana gejala yang berlaku pada pesakit dan kesannya  dalam kehidupan harian pesakit.

1. Pemeriksaan fizikal

Pemeriksaan Dubur

Pemeriksaan ini untuk menentukan saiz dan bentuk prostat. Doktor akan menggunakan sarung tangan dan pelincir semasa memasukkan jari ke dalam dubur pesakit

Sekiranya lembut dan licin (smooth), kemungkinan ia adalah disebabkan oleh BPH. Sekiranya ia keras dan berbiji, kemungkinan ia adalah disebabkan oleh jangkitan prostat atau kanser

Pemeriksaan abdomen

Untuk mengenal pasti sakit atau ketidakselesaan pada bahagian abdomen disebabkan oleh pembesaran pundi kencing



2. Ujian makmal

Analisis air kencing (urinalysis)

Untuk menguji kehadiran darah, bakteria, protein atau glukos

Prostate-specific antigen (PSA)

Prostate Specific Antigen merupakan salah satu bahan yang berada di dalam sel prostat. Jika prostat tersebut tercedera ataupun mempunyai kanser, selalunya bacaan PSA adalah tinggi.

Oleh itu, Ujian PSA adalah salah satu cara untuk mengesan ataupun saringan kanser prostat

3. Pengimejan

Sinar X



Untuk melihat keadaan pundi kencing kerana batu karang sering terjadi dikalangan pesakit BPH

Ultasound

Melihat saiz prostat dan menilai  fungsi buah pinggang sekiranya BPH menyebabkan masalah susah kencing yang teruk

Cystocsopy

Melihat  keadaan salur kencing dan pundi kencing menerusi scope

4. Uroflow

Pesakit akan kencing dan air kencing itu akan disalurkan pada satu alat di mana ia akan mengukur kelancaran perjalanan air kencing itu. Sekiranya aliran air kencing itu lambat, kemungkinan pesakit menghidap BPH

Rawatan Prostat Bengkak


Terdapat beberapa jenis rawatan yang akan dilakukan bagi melihat pesakit yang mengalami masalah prostat bengkak.



1. Tunggu dan lihat

Sesuai untuk pesakit yang mempunyai gejala yang minimum, tiada komplikasi dan keputusan penyiasatan yang normal. Pesakit seperti ini akan dipantau secara berterusan untuk melihat sama ada simptom susah kencing itu berterusan

2. Ubah cara hidup

Beberapa perkara yang boleh dilakukan adalah:

  • Kencing dalam posisi duduk berbanding dalam posisi berdiri
  • Elakkan mengambil minuman sebelum tidur atau ketika hendak keluar
  • Elakkan pengambilan Caffeine dan Alkohol kerana ia boleh mengakibatkan kerap kencing (diuretic)
  • Ambil masa sewaktu kencing dan jangan terburu-buru

3. Ubat-ubatan

Alpha-adrenergic receptor blockers

Ubat ini digunakan untuk mengendurkan otot prostat dan leher pundi kencing supaya air kencing dapat mengalir dengan lancar. Contoh ubat ini adalah Terazosin (Hytrin), Doxazosin (Cardura), dan Alfuzosin (Xatral)

Keberkesanan selalunya dilihat dalam tempoh 2 minggu. Ubat ini boleh mengakibatkan tekanan darah rendah yang menyebabkan pesakit mengadu pening dan sakit kepala. Pesakit disarankan mengambil ubat sebelum tidur pada waktu malam



5-alpha reductase inhibitors

Boleh mengurangkan saiz prostat dalam kadar 20%. Keberkesanan dalam tempoh 6 bulan. Contohnya ubat adalah Finasteride (Proscar) dan Dutasteride (Avodart)

Kesan sampingannya adalah mati pucuk, kehilangan nafsu seks dan pengurangan air mani

4. Pembedahan

Transurethral resection of the prostate (TURP)

Paling biasa dilakukan (gold standard). Tisu pada bahagian prostat akan dibuang sedikit demi sedikit sehingga salur kencing menjadi besar dan memudahkan aliran air kencing

Proses ini mengambil masa satu jam dan pesakit akan tinggal di wad sekurang-kurangnya 3 hari

Prostatectomy



Pembedahan ini melibatkan pembuangan prostate. Ia dibuat jika pembengkakan yang sangat besar (>75g)

Indikasi untuk pembedahan

Terdapat beberapa sebab yang memerlukan kita untuk melakukan pembedahan. Sebab tersebut adalah:

  • Kaedah ubat-ubatan tidak berjaya
  • Mengganggu aktiviti harian
  • Mempunyai komplikasi
  • Sering kencing berdarah
  • Terhasil batu karang disebabkan BPH

Komplikasi Pembedahan

  • Pendarahan dan jangkitan
  • Prosedur TURP boleh menyebabkan ejakulasi ke belakang di mana air mani tidak keluar semasa ejakulasi sebaliknya masuk ke pundi kencing
  • Kesukaran untuk mencapai ereksi zakar jarang berlaku selepas pembedahan
  • Pembengkakan semula prostat  boleh berlaku

Komplikasi


Antara komplkasi BPH sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal adalah:

Adakah penyakit ini boleh membawa kepada kanser?


Penyakit ini tidak dikategorikan sebagai kanser dan tidak meningkatkan risiko seseorang individu untuk mendapat kanser prostat. Walau bagaimanapun, tanda-tanda penyakit ini dan kanser prostat agak sama. Justeru, penyiasatan yang terperinci dan sejarah kesihatan pesakit amat penting untuk mendiagnos penyakit ini.

Kencing berdiri mengikut pandangan islam

Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Yang zahirnya baginda melakukannya (kencing secara berdiri) adalah untuk menjelaskan akan keharusannya dan dalam banyak keadaan baginda membuang air kecil secara duduk. Lihat Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari, Ibn Hajar (1/330).

Kesimpulan

Penyakit ini sering terjadi seiring pertambahan umur  dan mempunyai tanda-tanda yang hampir sama dengan kanser prostat. Oleh itu, anda disarankan untuk mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai gejala seperti di atas.



Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Browse’s Introduction to The Symptoms & Signs of Surgical Disease
  2. Medbear
  3. Essential Surgery
  4. Medscape: Benign Prostatic Hyperplasia
  5. UpToDate: Benign Prostatic Hyperplasia
  6. Healthline: What Do You Want to Know About Enlarged Prostate?
  7. AL-KAFI #429 : HUKUM KENCING SECARA BERDIRI
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × 4 =